Peugeot 308 R Concept: Hello VW GTi!

Peugeot 308 R Concept 2013.01

Sejarah Peugeot di Malaysia sebenarnya telah bermula berpuluh tahun lepas dan jenama dari Perancis itu mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Hak pengedaran Peugeot telah pun diambil alih oleh Kumpulan Naza dan jenama itu semakin kukuh dan stabil. Antara produk awal yang mendapat sambutan ialah Peugeot 206 atau Naza Bestari dan untuk masa sekarang, Peugeot 308 dilihat begitu dominan di atas jalan raya.

Untuk pasaran antarabangsa, Peugeot telah memperkenalkan model peganti 308 yang kelihatan lebih kemas dan seolah-olah ingin memberitahu kepada dunia bahawa ianya bersedia untuk berlawan dengan hatchback popular iaitu VW Golf. Tidak cukup dengan itu, Peugeot memperkenalkan pula 308 R Concept yang terang lagi bersuluh adalah saingan kepada VW Golf GTi. Model 308 baharu dijelmakan di dalam bentuk kereta berprestasi dengan rekabentuk yang menonjol dan berkualiti tinggi. Dengan jarak kelegaan yang hampir menyeret bumi, 308 R Concept dikuasakan oleh enjin baharu yang digunakan oleh Peugeot RCZ R dengan output kuasa setinggi 270bhp.

Peugeot 308 R Concept 2013.02

Kit badan yang dipasangkan pada 308 R Concept diperbuat daripada gentian kaca seperti pintu, bonet dan bampar dan yang menariknya ialah hanya bumbung dan bonet belakang sahaja yang sama dengan model 308 standard. Wajah depan tampak agresif dengan tiga ruang masukan udara yang menyembunyikan enjin 270 hp disebalik bampar tersebut. Badan 308 R Concept direndahkan sebanyak 26mm dan bahagian sisinya disempurnakan dengan roda aluminium bersaiz 19 inci dengan setiap roda tersebut mempunyai logo R berwarna merah.

Peugeot 308 R Concept 2013.03

Untuk pemandu, alat kawalannya jelas dan ringkas manakala sterengnya pula responsif. Saiznya yang kompak sebenarnya adalah sebahagian daripada agenda pengurangan berat kereta di samping menambah kelincahan dan keseronokan pemanduan. Panel instrumen pula diposisikan supaya pemandu dapat melihat di atas stereng dan bukan melaluinya supaya selari dengan pandangan mata. Dengan rekaan yang tepat, membuatkan bacaan dari enjin dapat dibaca dengan mudah dan secara spontan tanpa perlu mengalihkan mata dari jalan. Turut dibekalkan adalah skrin boleh sentuh bersaiz 9.7 inci.

Peugeot Sport telah membangunkan enjin dan suspensi yang akan membuatkan mereka yang berada di dalam kereta berasa teruja. Di sebalik bonet adalah sebuah enjin yang kompak, menjimatkan petrol yang sama seperti model RCZ R Sports Coupé yang baharu sahaja dilancarkan. Pasukan juruteranya berjaya mengekstrak sebanyak 270bhp daripada enjin yang hanya bersaiz 1598cm3. Dengan kuasa enjin yang tinggi tersebut beberapa peralatan enjin diperkuatkan antaranya blok enjin telah melalui proses pemanasan sebelum dimesinkan manakala omboh pula menggunakan sejenis gred aluminium yang biasa digunakan di dalam perlumbaan.

Peugeot 308 R Concept 2013.05

Proses tersebut membolehkan enjin 1.6 liter THP 270 menghasilkan kuasa maksimum pada 6,000rpm dengan sebaran tork pada julat kuasa yang lebih luas iaitu 330Nm dari 1900 hingga 5500rpm. Kuasa itu dijanakan ke atas jalan raya melalui pacuan roda depan melalui transmisi enam kelajuan manual. Untuk menghentikan kereta berkuasa ini, cakera brek Alcon dipasangkan dengan saiz diameter depan 380mm yang setebal 32mm manakala cakera belakang pula berdiameter 330mm dengan tebal 22mm. Dipasang pada hub aluminium ialah angkup brek empat omboh untuk menghentikan tayar bersaiz 235/35 R19.

Peugeot 308 R Concept 2013.04

Pasaran hatchback berprestasi sebenarnya sudah pun sesak dengan jenama terkemuka dunia. Bermula dengan VW Golf GTi dan kini Mercedes menawarkan A-Class, BMW dengan 1 series, Renault dengan Megane RS, Ford dengan Focus ST dan Honda pula sedang giat membangunkan Civic Euro Type R. Peugeot pula tidak berselindung dengan memperkenalkan model konsep 308 R ini dan boleh jadi ianya akan tampil sebagai 308 GTi, abang kepada Peugeot 208 GTi yang sudah pun dilancarkan di Eropah. Harus tahu 208 GTi sebenarnya adalah pesaing kepada VW Polo GTi dan jika model kedua-dua model GTi daripada VW boleh dijual kenapa model-model GTi daripada Peugeot tidak boleh dijual dan mempunyai penggemarnya yang tersendiri?

Newspress

@muhd_gt

Muhammad

2 Comments

  1. terbaek 308, nampak lebih senonoh dari Golf.. cuma after sales service NAZAK masih boleh dipertikai.. sangat rugi kalau mereka masih tak mahu perbaiki kualiti servis..

Kata Anda//