PEUGEOT 2008: CROSSOVER URBAN!

Antara perasan atau tidak, kereta jenama Eropah semakin mendapat tempat di kalangan pembeli tempatan. Jika dahulu kereta jenama Eropah hanya dikaitkan dengan produk mewah buatan Mercedes atau BMW kini pasaran mula mengenali jenama pertengahan seperti Volkswagen. Namun ada sebuah jenama yang kini sedang meningkat naik dengan produk kereta entry-level hinggalah kepada premium. Hasil penjenamaan semula oleh Kumpulan Naza, Peugeot yang satu masa dahulu pernah gah dan melalui zaman-zaman suram meningkat kembali. Bermula dengan Naza Bestari atau Peugeot 206, jenama dari Perancis tersebut semakin hari semakin kuat, bukti mudah ialah kenderean Perancis tersebut yang berada di atas jalan. Agak senang untuk berselisih dengan Peugeot baharu seperti 208, 308, 3008 dan 5008. Mungkin kebanjiran semula model-model tersebut adalah kerana faktor harga yang setara dengan model buatan Jepun serta rangkaian khidmat lepas jualan yang nampak meyakinkan.

Terkini Peugeot melancarkan model baharu 2008, crossover yang berada di dalam segmen B. Kemajuan dunia yang semakin cepat berkembang melahirkan generasi baharu yang sentiasa bergerak. Mereka mahukan produk yang mewakili personaliti diri.

“Dengan 2008, Peugeot mempunyai sebuah produk yang akan menerajui segmennya di pasaran Eropah dan seterusnya akan memenangi pelanggan baharu di Asia dan Amerika Latin”, kata Maxime Picar, Pengarah Besar Peugeot.

2008 menggabungkan karakter pemanduan kereta hatchback dengan kelebihan SUV seperti ruang dan keselesaan. Wajah depan 2008 adalah kesinambungan identiti Peugeot baharu. Bonet depan diperincikan sebagai lambang kekuatan, perlindungan dan berat yang ringan. Gril depan yang terapung pula adalah refleksi aerodinamik dan efisyen. Lampu utama pula direka sebagai pelengkap wajah depan yang ekspresif dan mempunyai karakter. Bahagian tersebut dimodenkan lagi dengan lampu LED siang hari. Crossover baharu ini juga mempunyai sisi sofistikated yang menampakkan profail atletik. Bahagian belakang menggabungkan kekuatan dan kedinamikan. Ruang bonetnya yang rendah membolehkan pengisian barang dengan mudah. Garisan bumbungnya mempunyai lenggokan yang dinamik dan menariknya mempunyai bumbung double-bubble seperti yang terdapat pada Peugeot RCZ Sports Coupé. Lampu belakangnya nampak seperti terapung di dalam perumahnya manakala tiga bahagian pada lampu tersebut dinyalakan di bawahnya oleh LED yang nampak tergantung.

Bahagian bumbung yang berombak dan elegan nampak jelas menyerlah. Garisan beralun tersebut berada di atas bahagian kerusi belakang dan merupakan karakter tersendiri model 2008. Garisan tersebut mengeksploitasi lagi fungsi aerodinamik dengan penggunaan spoiler bonet belakang. Galang bumbung pula menyerlahkan lagi imej dinamik dan keseronokan yang ingin ditampilkan oleh crossover itu. Peugeot 2008 menggunakan enjin baharu iaitu e-HDi Diesel dan petrol tiga silinder sebagai pelengkap kepada rekabentuk yang menarik untuk menjadi sebuah crossover yang jimat bahan api dan mesra alam.

Peugeot akan menghasilkan model baharu ini di lokasi strategik dunia iaitu Mulhouse di Perancis, Wuhan di China dan Porto Real di Brazil. Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada 2008 akan dipasarkan atau tidak di dalam negara. Crossover urban seperti ini sudah lama ditinggalkan oleh pengeluar kenderaan. Dulu ada Perodua Kembara dan Nautica, selepas itu pasaran dibiarkan kosong. Jika dipasarkan kelak saya yakin 2008 akan menjadi crossover buatan Eropah yang paling murah di pasaran. Jika Peugeot telah dan sedang membuktikannya kenapa jenama Eropah lain tidak boleh melakukannya?

Garaj Kosmo

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

3 comments

    • baba.rxz on 22/01/2013 at 4:41 PM
    • Reply

    erkk..xde sape nk komen ke?..

    • audi on 23/01/2013 at 1:11 AM
    • Reply

    macam2 benda dh terapung skang ni..lampu terapung lah, grill terapung lah.. nanti seat pon terapung, I like

    • che kia on 23/03/2013 at 9:40 AM
    • Reply

    hebat peugeot..!! makin lama makin canggih.. crossover 2008 ni kalo wat redah banjir pun ok jgk.. kereta tinggi.. banyak dah benda dok terapung kat kereta ni..

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.