Perodua Lancar Myvi Wajah Baharu – Kini Dengan Skor 4 Bintang ASEAN NCAP!

Perodua Myvi 2015.02

Kuala Lumpur, 15 Januari: Perodua pada hari ini melancarkan Myvi wajah baharu dengan pelbagai kelengkapan baharu dan lebih nilai untuk rakyat Malaysia. Di antara pembaharuan yang dilakukan ialah pada reka bentuk, ciri keselamatan dan menariknya pada laras harga baharu.

“Myvi telah menerima sambutan yang baik dari pasaran dan sehingga kini telah terjual melebihi 800 ribu unit yang menjadikannya model Perodua paling popular setakat ini,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

“Myvi memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia dan kami percaya model ini masih lagi relevan dan boleh diterima baik oleh masyarakat. Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia dengan sokongan berterusan yang diberikan,” kata Datuk Aminar.

Perodua Myvi 2015.01

Model baharu Myvi menerima skor baharu 4 bintang ASEAN NCAP hasil dari pembaikan pada struktur kereta untuk menahan lebih impak pada bahagian hadapan selari dengan standard global. Perubahan lain ialah gayaan depan dan belakang baharu serta bahagian interior dan sistem multimedia yang dikemas kini. Tidak dilupakan ialah cangkuk anti peragut sama seperti Perodua Axia dan perumah pemegang minuman baharu. Myvi 2015 juga didatangkan dua warna baharu iaitu Electric Blue untuk varian SE dan Advanced manakala varian Standard G dan Premium X pula menerima warna Cosmic Gold. Secara keseluruhannya nilai yang diperoleh ialah sekitar RM4,500 termasuk penurunan harga yang dipakejkan dengan perkakasan baharu.

Perodua Myvi 2015.03

Perodua mensasarkan untuk menjual sebanyak 6 ribu unit Myvi sebulan melalui dua segmen utama yang dipecahkan kepada empat varian. Segmen pertama ialah model 1.3 dengan varian Standard G (Manual dan Automatik) dan varian baharu iaitu Premium X (Automatik sahaja). Segmen kedua ialah model 1.5 dengan dua varian iaitu Myvi SE 1.5 (Manual dan Automatik) dan Myvi Advance Version (Automatik sahaja).

Harga Perodua Myvi 2015 bermula dari RM41,500 hingga RM58,900 untuk semenanjung Malaysia.

Muhammad

Kata Anda//