Perodua Catat 207,100 Unit Jualan Pada 2016 – Dominasi Pasaran Automotif 11 Tahun Berturut-turut!

Walaupun 2016 adalah tahun yang mencabar untuk industri automotif, Perodua berjaya mengharunginya dengan bergaya apabila mencatat jualan melebihi 207,100 unit kenderaan atau 37.5% dari keseluruhan 579,600 jumlah industri kenderaan (TIV). Angka pegangan itu merupakan yang tertinggi sepanjang penubuhan syarikat. Dengan rekod tersebut, Perodua telah mendominasi jualan kenderaan tempatan untuk kali kesebelas berturut-turut.

“Walaupun 2016 adalah tahun yang mencabar, kami berbesar hati untuk mengumumkan kesemua model dari Alza hingga Bezza adalah pendahulu dalam segmen masing-masing,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Rekod Jualan

Perodua Bezza mencatat jualan memberangsangkan iaitu sebanyak 36,000 unit walaupun hanya dilancarkan pada bulan Julai 2016 menjadikannya sedan kompak nombor 1 dalam segmen A.

Untuk 2017, Perodua mensasarkan untuk memegang 34% pasaran atau 202,000 dengan jangkaan TIV sebanyak 590,000 unit berbanding 579,600 unit pada tahun 2016.

Eksport

Pasaran eksport pula menyaksikan peningkatan jumlah sebanyak 6% pada 2016 atau 4,700 unit berbanding 4,400 unit pada tahun 2015 dengan majoriti penghantaran ke Indonesia.

Pengeluaran

Pada tahun 2016 Perodua telah mengeluarkan sebanyak 213,000 kenderaan iaitu penurunan sebanyak 16,000 unit berbanding tahun 2015. Pengurangan itu disebabkan permintaan yang menurun sepanjang tahun 2016.

Di antara faktor penurunan permintaan ialah pengguna yang masih membuat penyelarasan dengan keadaan ekonomi mencabar, syarat pinjaman lebih ketat dan persaingan sengit di kalangan pemain industri.

Fokus dan Perolehan Sampingan

Untuk tahun 2017, Perodua akan memberi fokus kepada perolehan dari khidmat selepas jualan untuk meraih lebih keuntungan. Berdasarkan rekod 2016, perolehan dari khidmat servis meningkat ke RM682 juta berbanding RM600 juta pada tahun 2015.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.