Perodua Bezza Kini Dibuka Untuk Tempahan – Harga Bermula Dari RM37,300!

Kepada mereka yang tertanya dan berminat dengan sedan kompak pertama Perodua Bezza, syarikat automotif nasional kedua itu sudah pun membuka tempahan sejak 16 Julai 2016. Khabarnya tempahan yang diterima sudah pun melebihi 1200 unit.

Lebih menarik, harga permulaan yang ditawarkan ialah RM37,300 untuk model basik iaitu 1.0L Standard G manual. Harga paling tinggi ialah RM50,800 untuk 1.3L Advanced automatik.

Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, mereka mensasarkan untuk menjual sebanyak 7,600 unit sebulan.Sasaran utama syarikat ialah pasangan baru berkeluarga dan keluarga muda yang memerlukan tambahan bonet belakang selari dengan peningkatan hidup mereka.

Perodua Bezza merupakan model kompak segmen A yang diasaskan dari Perodua Axia dengan rekabentuk pertama direka sepenuhnya oleh tenaga tempatan. Kos pembangunan model itu ialah RM300 juta dengan 95% konten tempatan dan dimulakan pada tahun 2014.

Mengenai nama yang dipilih pula, Bezza adalah adaptasi perkataan Beza di dalam bahasa Melayu yang bermaksud berbeza. Dua huruf Z itu pula adalah refleksi 22 tahun operasi Perodua di dalam pasaran. Terdapat 5 varian Perodua Bezza iaitu 1.0l Manual dan Automatik, 1.3l Premium X Manual dan Automatik dan varian paling tinggi 1.3L Advanced Automatik.

Perodua Bezza dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik seperti:

  • VSC, ESC, Brake Assist dan Traction Control (Advance) 
  • Hill Start Assist (Advance) 
  • Eco Idle (Advance) 
  • Sistem multimedia dengan keupayaan fungsi Android dan sambungan Waze/Google Map (Advance) 
  • Push Start Button dan Smart Entry (Advance) 
  • Kamera undur 
  • Sensor bampar depan
  • ABS, EBD
  • Pengilap cermin mengikut kelajuan kereta 
  • Kerusi belakang pisahan 60:40
  • Bonet belakang 508 liter 

Perodua Bezza EEV dikuasakan oleh enjin baharu iaitu 1.0l 1KR-VE dengan VVT-i dan 1.3l 1NR-VE dengan Dual VVT-i. Transmisi manual seperti lazimnya mempunyai 5 kelajuan manakala transmisi automatik elektronik dengan 4 kelajuan.

Perodua Bezza 1.0 manual berupaya bergerak sehingga 22.8km dengan hanya seliter petrol manakala transmisi automatik pula sejauh 21.3 km dengan pemanduan eco. Perodua Bezza 1.3 manual pula mampu bergerak sehingga 21.7 km seliter, manakala versi automatik sehingga 22 kilometer dengan tetapan ‘Eco Idle’. Setangki penuh boleh bergerak sehingga 792km.

Kereta sedan kompak ini ditawarkan melalui 6 pilihan warna iaitu Sugar Brown and Ocean Blue for 1.3L yang merupakan warna baharu Perodua serta warna sedia ada seperti Lava Red, Ebony Black, Glittering Silver & Solid Ivory White.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.