Perodua Bezza Bakal Dilancarkan Hari Ini – 5 Poin Utama Kenapa Bezza Sebuah Sedan Yang Menarik

Kereta sedan pertama Perodua bakal dilancarkan hari ini. Ianya momen istimewa untuk Perodua kerana model ini yang pertama direka sepenuhnya oleh mereka. Berikut adalah 5 Poin kenapa Perodua Bezza adalah sebuah sedan yang menarik.

1. Permintaan pasaran.
Perodua Bezza dihasilkan susulan maklum balas dan permintaan pelanggan yang mahukan kenderaan Perodua dengan bonet belakang. Walaupun Perodua sudah hampir 10 tahun mendominasi pasaran dengan kereta kompak seperti Myvi, Viva dan kini Axia namun segmen utama negara ialah kereta sedan. Perodua hanya memberikan apa yang pasaran kehendaki.

2. Sedan kompak. Walaupun Bezza adalah sebuah sedan, namun saiznya masih mengikut tradisi Perodua iaitu di dalam segmen kompak. Bezza diasaskan dari model Axia yang walaupun kecil namun penggunaan ruang begitu optimum. Tidak hairanlah saiz bonet belakangnya ialah 508 liter! Saiz ini adalah setara dengan Honda City.

3. Model Perodua paling selamat. Walaupun kompak tetapi skor ujian pelanggaran ASEAN NCAP untuk varian Advance ialah 5 bintang! Lebih tinggi dari beberapa jenama import. Varian ini dilengkapi sistem kawalan cengkaman yang membolehkannya mencapai skor tersebut. Varian lain mencatat skor 4 bintang. Namun kelengkapannya tidak kurang apabila dilengkapi ABS dan EBD untuk pemberhentian kenderaan yang lebih cekap.

4. Eco Idle. Saya baharu sahaja memandu uji Volvo S60 T6 berharga RM280 ribu. Model itu dilengkapi sistem start/stop yang menghentikan operasi enjin di dalam keadaan melahu bagi menjimatkan petrol. Menarik apabila Perodua Bezza Advance dilengkapi sistem sama yang dikenali sebagai Eco Idle. Sistem ini adalah yang pertama untuk pengeluar nasional dan pada model kebanyakan seperti Bezza. Berbeza dengan Perodua Axia, model ini mempunyai enjin 1.0 liter VVT-i dan 1.3 liter Dual VVT-i baharu.

5. Ekonomikal. Perodua Bezza 1.0 manual berupaya bergerak sehingga 22.8km dengan hanya seliter petrol manakala transmisi automatik pula sejauh 21.3 km dengan pemanduan eco. Perodua Bezza 1.3 manual pula mampu bergerak sehingga 21.7 km seliter, manakala versi automatik sehingga 22 kilometer dengan tetapan ‘Eco Idle’. Setangki penuh boleh bergerak sehingga 792km.

Hakikatnya terdapat beberapa lagi poin yang menjadikan Perodua Bezza sebuah sedan menarik. Ciri di atas sudah memadai kenapa model ini boleh laku keras dan menepati selera pelanggan yang mahukan sebuah sedan ringkas melalui jenama dengan rekod yang boleh dipercayai.

Harga permulaan Perodua Bezza ialah RM37,300 untuk model basik iaitu 1.0L Standard G manual. Harga paling tinggi ialah RM50,800 untuk 1.3L Advanced automatik. Perodua Bezza boleh dilihat di bilik pameran bermula malam ini.

Muhammad

Kata Anda//