Peningkatan Kualiti Kereta Proton Mengukuhkan Penerimaan Pengguna

Proton Kualiti 2011.01

SHAH ALAM, 22 APRIL 2011 – PROTON melancarkan Kempen Kualiti 2011 bagi menggalakkan seluruh kakitangannya agar terus melipatgandakan usaha untuk menambahbaik tahap kualiti dalam operasi dan perkhidmatan demi menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi dan kompetitif samada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Dengan tema ’Kualiti Berlandaskan Inovasi’ untuk tahun 2011, kempen yang merupakan acara tahunan PROTON sejak tahun 2006 ini juga bertujuan untuk mengiktiraf dan menyampaikan penghargaan PROTON kepada kakitangannya atas pencapaian syarikat dalam peningkatan kualiti produk, perkhidmatan mahupun operasi.

Pengarah Urusan Kumpulan PROTON Holdings Berhad, Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang telah merasmikan pelancaran kempen tersebut berkata, tumpuan yang diberikan oleh PROTON terhadap kualiti pada setiap peringkat atau proses pembuatan sesebuah kereta Proton telah membolehkan PROTON memperkenalkan produk-produk yang lebih kompetitif dan setaraf dengan kenderaan-kenderaan yang diimpot walaupun dijual pada harga yang berpatutan.

”Kualiti amat ditekankan dalam setiap proses pembuatan sesebuah kereta Proton: dari mula penilaian pasaran dilakukan, diikuti perancangan produk, proses rekabentuk dan pemilihan bahan mentah; sehinggalah ke tahap penghasilan komponen, pengujian, pengilangan, pemasangan, penghantaran, penjualan dan akhirnya perkhidmatan selepas jualan,” kata beliau.

Komitmen terhadap aspek kualiti melalui pelbagai inisiatif yang telah dijalankan oleh PROTON selama ini juga telah banyak membawa perubahan sekaligus mengukuhkan penerimaan pengguna terhadap generasi terbaru kereta PROTON.

Pelbagai anugerah yang mengiktiraf kualiti produk, perkhidmatan atau operasi syarikat juga telah diterima oleh PROTON, samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Di antara anugerah-anugerah yang diterima baru-baru ini adalah Anugerah Pengurusan Kualiti Cemerlang 2010 dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Anugerah Frost & Sullivan 2011 ‘Kereta Tahun 2011 – Nilai Terbaik Untuk Ringgit Yang Di Belanjakan) bagi model Proton Persona.

Mengimbas kembali pencapaian PROTON, Dato’ Sri Haji Syed Zainal berkata pelbagai inisiatif yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti dalam operasi syarikat telah banyak menyumbang ke arah kejayaan berterusan PROTON.

Di bawah Skim Cadangan Kaizen umpamanya, iaitu cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh kakitangan untuk tujuan penambahbaikan yang berterusan, jumlah cadangan yang telah diterima telah menunjukkan satu peningkatan yang amat memberangsangkan. Pada tahun kewangan 2010/2011, PROTON telah menerima sebanyak 57,789 cadangan, berbanding 43,791 untuk tahun kewangan 2009/2010. Cadangan-cadangan tersebut telah menyumbang kepada penjimatan kos syarikat sebanyak RM28.5 juta.

Pelaksanaan program Kumpulan Inovatif Dan Kreatif atau ‘Innovative And Creative Circle (ICC)’ pada tahun kewangan 2010/2011 pula telah membolehkan PROTON membuat penjimatan kos sebanyak RM49.8 juta. Program ICC adalah satu program yang menggalakkan penglibatan kakitangan dalam mengatasi sesuatu cabaran ataupun memperkenalkan cara yang terbaik untuk meningkatkan kecekapan satu-satu proses dalaman.

Menurut Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin lagi, Kempen Kualiti PROTON juga membabitkan penglibatan pembekal-pembekal komponen mahupun perkhidmatan. Konsep Kaizen dan program ICC misalnya turut diperkenalkan kepada pembekal-pembekal PROTON. Begitu juga dengan program “Zero Defect” yang bertujuan mengatasi isu-isu berkaitan kualiti komponen-komponen yang dihasilkan. Setakat ini, seramai 80 buah syarikat pembekal telah mengikuti Kursus Latihan Perlaksanaan Program “Zero Defect” yang dianjurkan oleh PROTON bagi menyertai inisiatif tersebut.

“Kualiti adalah satu nilai yang tidak statik. Ia sentiasa berubah mengikut peredaran zaman dengan penanda aras yang senantiasa dipertingkatkan. Justeru, inisiatif-inisiatif yang menitik-beratkan kualiti akan diperluaskan lagi agar PROTON kekal sebagai sebuah syarikat yang cemerlang, benar-benar kompetitif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” kata Dato’ Sri Haji Syed Zainal lagi.

Muhammad

8 Comments

  1. mohon semua vendor sapotla program Proton nih
    kalo setakat Proton je melalak, xgune
    most of vendor Proton kualiti mmg chait…ptuihhh!!!
    give sapot la wei!!!

  2. Gua sokong yuri ngan kete itam…
    Vendor yg cam taik ni sepatutnye disingkirkan.
    Maybe untuk demo diorang wat yg berkualiti, tapi stok yg anta untuk pasang hampeh…

    Lagi satu pekerja kat pusat servis Proton Edar kena pantau…
    Dua hari lepas satria neo ofism3 gua yg baru pakai setahun rosak altenator.
    G la nak claim.
    Mekanik kat situ bagi macam2 alasan.
    Ckp kne tunggula, lambat la, nak anta yg rosak kat vendorla, nak geran kete la.
    Last2 ofism3 gua bengang, g opis jumpe supervisor ke manager camtula, trus dapat on the spot.
    Come on la.
    Kalo stok dah ade tu, bagi jela…
    Yang nk suh tunggu nak anta kat vendor dlu ape hal?
    Orang2 camni la yg akan merosakkan nama Proton…

Kata Anda//