Pasca Karnival Alami Proton 2015: Enjin GDI, Perdana, Persona, Saga Baharu dan Iriz 1.3 Turbo?

Tun Dr. Mahathir Pecah Tanah Proton 2015.01

Karnival Alami Proton 2015 sudah pun melabuhkan tirainya. Acara yang berlangsung selama dua hari berturut-turut itu banyak menghidangkan informasi yang mengujakan terutama sekali mengenai produk dan teknologi masa depan Proton. Terdapat maklumat yang selama ini hanya disimpan sebagai “off-record” di kalangan media sudah pun menjadi separa rasmi dan turut disiarkan secara arus perdana. Berikut ialah teknologi dan produk yang berkemungkinan akan ditawarkan ke dalam pasaran tempatan dan antarabangsa:

  1. Enjin GDI dan EO1 Petronas – Enjin CamPro telah lama berkhidmat iaitu sejak tahun 2004 lagi. Enjin yang berusia 11 tahun ini telah banyak mengalami evolusi iaitu dari CamPro asas kepada CamPro CPS, CFE dan VVT. Menerokai masa depan, Proton sedang mempersiapkan enjin generasi baharu iaitu GDI (Gasoline Direct Injection) yang bersesaran 1.3 dan 1.5 liter dengan varian n/a atau turbo. Enjin E01 yang telah dibeli hak miliknya dari Petronas pula bakal diberi nafas baharu dan dijangka akan digunakan pada pertengahan kitaran Perdana baharu nanti. Perdana yang bakal dilancarkan tahun depan khabarnya menggunakan enjin sediaada Honda bersesaran 2.0 dan 2.4. Satu lagi yang menarik ialah, Proton sudah menyiapkan enjin 1.3 Turbo dan mengikut perancangan akan digunakan pada model kompak Iriz.
  2. Transmisi CVT baharu – Transmisi CVT yang digunakan pada Saga, Preve, Suprima S, Exora dan Iriz sekarang dibekalkan oleh Punch. Khabarnya Proton bakal beralih kepada CVT generasi baharu yang dibekalkan oleh Jatco. Transmisi baharu tersebut diharapkan dapat mencerna potensi sebenar karakter enjin Proton yang sememangnya berkuasa dan istimewa.
  3. Tiga Model Baharu – Tahun 2016 jika mengikut perancangan adalah tahun yang sibuk buat Proton. Tun Dr. Mahathir sendiri menaruh harapan besar pada Proton Perdana untuk mengubah persepsi umum terhadap Proton. Beliau dan pengurusan Proton mengakui kelemahan khidmat lepas jualan Proton dan sedang mengambil langkah-langkah bagi mengatasi masalah tersebut. Menurut Tun. Dr. Mahathir, cabaran utama Proton sekarang ialah rakyat masih mengingati masalah lama yang sudah pun diselesaikan seperti isu tingkap kuasa. Proton Iriz adalah bukti syarikat itu mendengar dan sentiasa ingin maju ke hadapan. Tiga model baharu yang bakal menemui pelanggan ialah Perdana, Persona dan Saga yang diharapkan dapat membawa imej Proton ke tahap baharu dan menambat kembali kepercayaan pelanggan. Selain daripada itu, Proton Preve yang dilancarkan pada tahun 2012 juga bakal menerima imej baharu (facelift) supaya model sedan keluarga itu kekal segar dan relevan mengikut peredaran masa.
  4. Proton Pick-up Concept – Model konsep ini begitu hangat didebatkan di alam maya. Ada yang kata pikap ini model baharu yang akan dilancarkan. Hakikatnya Proton Pick-up Concept hanyalah model kajian semata dan tiada lagi pengesahan untuk diproduksikan. Proton Pick-up Concept ialah model ubahsuai Proton Exora dan sebagai simbol Proton boleh menghasilkannya jika perlu. Tambahan pula, Proton sudah pun membuktikannya lama dahulu dengan mengeluarkan Proton Arena yang sehingga hari ini masih mempunyai nilai harga yang baik di dalam pasaran kenderaan terpakai.
  5. Aksesori R3 Proton Iriz – Setiap model baharu Proton mempunyai aksesori R3 khusus atau setidaknya boleh dipasangkan aksesori umum jabatan penala rasmi Proton itu. Proton Iriz sekarang ini sedang diuji oleh R3 untuk perlumbaan secara rasmi pada tahun depan. Setakat ini tiada lagi pengesahan rasmi mengenai kit badan, spring dan kit talaan R3 untuk Proton Iriz. Jika benar Proton Iriz 1.3 Turbo dilancarkan dengan transmisi manual dan ditambah pula dengan kit badan R3, insya Allah ianya akan membuka mata ramai peminat kereta berprestasi dan mereka yang muda di hati. Di kala Proton Suprima S R3 dan Preve R3 berada diluar kemampuan pelanggan utama Proton, Iriz R3 mungkin berada di posisi yang tepat untuk dimiliki oleh kebanyakan pelanggan umum Proton atau pesaing terdekat yang popular tetapi kurang perisanya.

Secara kesimpulannya, Karnival Alami Proton tahun ini memberi impak yang tersendiri. Melalui pengamatan, dapat dirasakan bahawa staf dan pengurusan Proton mempunyai semangat yang tinggi dan sentiasa belajar untuk memperbaharui produk dan bersaing dengan orang luar. Dengan rungutan dan cabaran semasa, mereka masih lagi cekal membuktikan bahawa anak tempatan mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pengeluar antarabangsa lain. Harus tahu, Proton adalah syarikat tempatan yang paling besar melabur di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Untuk mencapai status negara maju, pemilikan harta intelek adalah satu faktor yang sangat penting dan Proton adalah salah satu dari penyumbang pencapaian tersebut. Proton bukan sahaja telah menyumbang kepada ekonomi negara malah sumbangan yang lebih besar ialah keupayaan berfikir anak tempatan dan menuju ke arah bangsa reka cipta!

@muhd_gt

Muhammad

2 Comments

Kata Anda//