Pandu Uji Subaru Forester 2.0XT

SONY DSC

Jika anda seorang peminat Subaru, pilihan yang ditawarkan Motor Image sebenarnya agak menarik di mana pengedar rasmi Subaru itu membawa masuk model-model yang tersendiri seperti BRZ, Impreza STI, Legacy Sedan GT dan Wagon GT, Forester dan yang paling laris ialah XV. Jika disenaraikan model bilik pameran itu agak komprehensif berbanding jumlah jualan yang diraih dan apa yang harus dipuji ialah setiap model mempunyai legasi dan terletak di aras tersendiri. Subaru XV misalnya yang pernah saya pandu uji sebelum ini mempunyai prestasi yang bagus dengan DNA sukan rali walaupun kereta itu dibina untuk pasaran umum. Subaru masih mengekalkan falsafah ‘sekolah lama’ dengan suntikan teknologi kontemporari. Orang muda sekarang ini mungkin sudah terbiasa dengan rasa kereta baharu dan moden tetapi Subaru mempunyai sesuatu yang kebanyakan kereta masa kini tiada.

Baru-baru ini saya diberi peluang untuk memandu uji Subaru Forester 2.0XT. Model crossover SUV ini sudah lama saya perhatikan dan sangat menarik perhatian melalui ukurannya yang tinggi dan falsafah rekabentuk yang langsung berbeza dengan pesaing lain (jika ada?). Bentuk badan Subaru Forester generasi pertama lebih kepada wagon dan dari generasi ke generasi saiznya semakin meningkat hinggalah kepada generasi keempat ini yang terus meninggi ibarat remaja yang sudah memasuki alam dewasa. Forester generasi pertama yang dahulunya padat dan kompak kini lebih menyerlah seolah-olah mahu menghebahkan kewujudannya kepada orang ramai. Memasuki ke dalam Forester baharu ini terasa ukuran bumbung yang tinggi dengan saiz cermin yang cukup luas untuk memandang keluar. Saiz kabin memang luas dari depan hinggalah belakang dan cukup untuk anak-anak bergerak bebas. Kerusi yang dibalut kulit pula selesa untuk menyokong pemandu dan penumpang. Peralatan yang menyenangkan semestinya bonet yang boleh dibuka dan ditutup secara automatik.

SONY DSC

Suasana dalaman Forester adalah tipikal Subaru, menggunakan tona gelap dengan susun atur suis dan kawalan yang mudah dicapai. Suatu yang menarik dan canggih ialah paparan meter bersepadu yang terletak di atas papan pemuka. Paparan yang dipamerkan meriah dan terperinci seolah-olah informasi permainan konsol seperti fungsi AWD, tekanan pengecas turbo, penggunaan minyak, jam dan radio. Paparan yang ditampilkan memberi definisi sebenar mengenai apa yang patut ditampilkan pada sesebuah kereta yang selari dengan era teknologi digital masa kini bukan sekadar informasi ringkas dan cukup syarat seperti sesetengah pengeluar lain.

Dari segi kelengkapan pula, Forester 2.0XT dibekalkan dengan pelbagai peralatan standard sesuai dengan harganya yang hampir RM200 ribu. Antaranya ialah bumbung suria, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, penyaman udara dua zon automatik dengan penapis anti habuk, penggilap cermin automatik, lampu utama HID dengan larasan automatik, sistem audio Harman/Kardon, kamera undur, kerusi pemandu dan penumpang depan automatik dan pencuci lampu utama. Sistem keselamatan juga lengkap dengan beg udara pemandu pada penumpang depan, buku lali pemandu, sisi, bidai sisi. Sistem elektronik turut membantu seperti ABS 4 sensor dengan EBD, Vehicle Dynamics Control System (VDC) dengan butang off, Hill Start Assist dan Hill Descent Control.

SONY DSC

Sewaktu enjin mula dihidupkan, getaran enjin boxer 2.0 turbo tidaklah terasa mana bahkan senyap seperti kereta dengan enjin bentangan menegak. Pulasan stereng kuasa elektrik pula seimbang dan tidak seberat sewaktu memandu uji Subaru XV dahulu. Kereta buatan legenda ini tidak adil jika dipandu uji sekitar bandar Kuala Lumpur sahaja dan untuk itu saya membawa famili ke Pahang. Memandu pada waktu malam dengan penutup cermin suria bertemankan cahaya bulan dan kerlipan bintang memang mengasyikkan, lampu HID yang jelas dan terang menyuluh Lebuhraya Pantai Timur. Kuasa enjin 240ps dengan tork 350Nm lebih dari cukup untuk pemanduan harian atau ke luar bandar cuma mungkin pemandu yang sukakan prestasi terasa tidak puas kerana Forester 2.0XT ditala untuk pemanduan normal. Tambahan pula model AWD ini dibekalkan dengan transmisi CVT Lineartronic yang merupakan suatu pantang untuk kereta berprestasi.

Untuk menebus keseronokan transmisi manual atau klac dual Subaru telah membekalkan tiga mode pemanduan iaitu I (intelligent), S (sport) dan S# (sport sharp). Jika dibandingkan dengan kereta moden lain, ketiga-tiga mode tersebut boleh dirujuk kepada pemanduan Ekonomikal, Normal dan Sport. Di dalam mode I, prestasi enjin terasa biasa dan kurang responsif yang sesuai untuk pemanduan bersahaja atau di dalam bandar. Mode Sport pula merubah sedikit karakter enjin dengan prestasi sederhana manakala mode S# pula langsung merubah karakter enjin menjadi lebih sporty. Di dalam mode itu, pemandu boleh mengeksploitasi tuil anjakan pada stereng hingga 8 kelajuan. Selain dari itu, Subaru turut membekalkan sistem pemanduan bonus iaitu X-Mode yang dapat digunakan untuk mendaki dan menuruni curam dengan darjah tinggi pada kelajuan sangat perlahan di mana kuasa kesemua roda akan dibahagi sama rata dan kuasa akan dialihkan pada roda yang memerlukan bagi mengelakkan gelinciran.

SONY DSC

Dari segi pemanduan dan pengendalian pula, sistem AWD merupakan aset terbesar Subaru yang banyak membantu kenderaan keluarannya kekal di laluan sewaktu melalui selekoh atau permukaan licin. Ditambah dengan sistem active torque-split yang membahagikan kuasa di antara roda depan dan belakang dan sistem VDC menjadikan Forester lekat di atas tar. Cuma faktor ketinggian badan mempengaruhi olengan SUV ini namun kuasa enjinnya yang tinggi dapat diperah agar kereta dapat keluar dan ‘memadam’ olengan semasa melalui selekoh tajam. Suspensi yang digunakan dan tayar bersaiz 225/55 r18 pula selesa untuk membawa keluarga, tidak terlalu keras dan tidak lembut.

Selepas hampir empat hari memandu uji Subaru Forester 2.0 XT saya merasa puas, kereta ini dilengkapi dengan resipi yang mencukupi untuk menjadikannya kereta keluarga yang sempurna. Rupa yang gah, interior yang selesa, berkuasa dan teknologi canggih. Cuma yang menjadi masalah apabila anda membuat perbandingan di dalam segmen terdekat seperti Honda CR-V, Mazda CX-5, Hyundai Santa Fe, Kia Sorento dan seangkatan di mana harga Forester 2.0 XT jauh lebih tinggi berbanding saingannya. Tetapi jika anda mahukan sesuatu yang berbeza dengan kereta yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, spesifikasi penuh, nadi kuasa turbo dan tidak berkira soal wang Subaru Forester 2.0 XT adalah jawapannya. Sehingga kini saya masih terasa kuasa pecutan dan standard binaannya. Secara peribadi saya suka bagaimana Subaru membangunkan produk mereka dan apa yang ditinggalkan untuk generasi masa kini.

@muhd_gt

Muhammad

One Comment

Kata Anda//