Pandu Uji Singkat Proton Ertiga

proton-ertiga-2016-04

Seperti yang diketahui, Proton telah menandatangani MoU bersama Suzuki Corporation pada tahun lalu. Untuk mereka yang bertanya kenapa Proton perlu ada banyak rakan kongsi dan hanya rebadging Proton Ertiga? Di antara jawapannya ialah Ertiga lebih ekonomikal jika dijenamakan semula dari pengeluar lain berbanding membangunkan sendiri kelas MPV yang tidak mempunyai jumlah jualan yang besar.

Proton Ertiga adalah MPV 7 tempat duduk bersaiz kompak atau tepatnya dalam segmen B. Ia merupakan “adik” kepada Exora. Walaupun berada dalam segmen berbeza, Proton Ertiga cukup sifat sebagai sebuah MPV permulaan bagi keluarga kecil di Malaysia. Tidak hairanlah, ia salah sebuah MPV yang laris di Indonesia dan India (Maruti Suzuki)

Apabila mengambil model rebadging terdapat beberapa limitasi terhadap pembangunan oleh pengeluar kedua. Dalam kes Ertiga, Proton tidak dibenarkan melakukan sebarang pengubahsuaian mekanikal pada MPV ini.

proton-ertiga-2016-08

Dengan kata mudah, ia adalah model pindahan terus, dari Suzuki, diletakkan kemasan logo Proton dan identiti Proton seperti logo, trim krom pada bampar, stereng dan layar jeriji hadapan. Ia sama seperti yang dilakukan ke atas Mazda VX-1.

Selain daripada itu, semuanya adalah dari Suzuki Ertiga. Berkenaan nama pula, Proton mengekalkan ERTIGA kerana ia nama yang sesuai. Kami juga rasa begitu kerana “ER” adalah sebutan huruf “R” dari Bahasa Indonesia dan TIGA mewakili 3 barisan kerusi jadi, kita ada ROW-THREE atau ER-TIGA. Memang ringkas, padat dan tepat.

IMPRESI PERTAMA

Ini adalah MPV yang disasarkan pada pembeli pertama yang akan beralih dari sedan atau hatchback kepada MPV 7 tempat duduk. Suzuki bukanlah pengeluar yang baru mengeluarkan MPV untuk pasaran Asia. Mereka  pernah bina Suzuki ER-V dan APV.

Ertiga adalah kemuncak Suzuki untuk melawan Avanza yang menguasai pasaran besar di Indonesia. Lalu mereka perlu mencipta yang lebih baik atau sekurang-kurangnya setara.

Suzuki membangunkan Ertiga dari kerangka monocoque, sama seperti Alza, Grand Livina dan BR-V. Untuk  menyerap hentakan, bagi saya ia cukup selesa untuk MPV dalam kelasnya. Ia dipasangkan dengan rim 15 X 5 inci dengan tayar 185/65R15 – tayar profil tinggi yang menjadi fokus untuk keselesaan.

Di litar ujian Proton dengan jarak terhad, kami menguji dengan kapasiti penuh penumpang dan menurut mereka yang duduk di barisan ketiga, ia masih selesa kerana kedudukan bumbungnya yang tinggi dan ruang lega kaki yang memuaskan.

proton-ertiga-2016-05

Pada kelajuan sekitar 140km, Ertiga masih terasa stabil tetapi saya rasa lakan ebih stabil jika jurutera Proton dibenarkan untuk menala sistem suspensi kereta ini. Sekali lagi, ia adalah tentang limitasi. Suzuki sudah tentu punya alasan sendiri (sama seperti Proton-Accord)

Satu lagi kelebihan MPV yang dibangunkan untuk pasaran khusus luar Jepun ialah sistem pendingin hawanya yang efisyen. Ertiga didatangkan dengan aircond kawalan berasingan di belakang yang terletak di lelangit bumbung.

ENJIN – K14B, 1373cc

ERTIGA dikuasakan oleh enjin K14B, 1373cc berkuasa 95ps pada 6000rpm dan tork 130Nm pada 4000rpm. Pendikitnya dikawal elektronik, Drive-By Wire (DBW). Saya akui teknologi atau talaan DBW Suzuki ini lebih responsif berbanding kereta buatan Proton.

K14B merupakan enjin generasi baru Suzuki yang diperbuat daripada aluminium. Kepala silindernya dipasangkan dengan durasi aci-sesondol talaan baru dengan pemasaan injap paling moden (Variable Valve Timing) yang pernah dibuat Suzuki untuk kereta mereka. Gabungan enjin dan VVT ini jugalah yang membolehkannya mencatat penggunaan bahanapi yang efisyen.

proton-ertiga-2016-07

Bagi varian manual, Ertiga didakwa menggunakan 5.7 liter petrol bagi 100 kilometer perjalanan sementara bagi varian automatik 6.0 liter bagi 100km. Catatan ini sekaligus membolehkan Ertiga mencapai status kenderaan cekap tenaga atau EEV.

Terdapat 3 varian yang diperkenalkan oleh Proton bagi model Ertiga

  • Executive VVT 1.4 5MT
  • Executive VVT 1.4 4AT
  • Executive + VVT 1.4 4AT

Spesifikasi

  • Enjin K14B, 1373cc
  • 95ps @ 6000rpm tork 130Nm @ 4000rpm
  • Tangki bahanapi 45 liter
  • 5.7 liter/100km (MT) 6.0 liter/100km (AT)
  • 2 beg udara
  • Blower air cond belakang
  • Rim 15 inci dengan tayar 185/65R15

Ciri tambahan pada varian Executive + VVT 1.4 4AT

  • Stereng dengan suis pelbagai fungsi
  • Tambahan sepasang tweeter
  • Lampu kabus pada bampar depan
  • Poket barang pada kerusi penumpang
  • Pelaras ketinggian kerusi pemandu
  • Door handle (dalam) bersalut krom.

Sesi pandu uji yang kami lalui ini bukanlah simulasi kepada situasi jalanraya sebenar kerana ia adalah pandu uji singkat di lapangan terhad, kawasan trek ujian Proton Shah Alam. Namun sebagai permulaan, ia memberi impresi pertama terhadap apa yang kami lalui dalam sesi tersebut.

Bagi saya semuanya sempurna untuk sasaran pembeli MPV kelas B. Cuma kemasan bahagian fabrik dalaman beige itu yang membuatkan saya sedikit kecewa. Kami difahamkan Proton juga menyedari keperluan warna gelap yang lebih praktikal dan mereka sedang berusaha ke arah itu.

proton-ertiga-2016-03

Adakah Proton Ertiga berbaloi dibeli?

Tunggu. Lihat dan pandu uji sendiri model ini yang akan berada di pusat pameran Proton bermula minggu hadapan tanggal 24 NOV 2016. Ia akan dilancarkan secara rasmi dan harga jualannya juga akan diumumkan pada tarikh tersebut.

Segalanya berkenaan harga. Jika harga jualannya mengena, Proton akan meraih pembeli baru dalam segmen MPV-B ini. Ia sebuah MPV ideal untuk keluarga yang sedang membesar. Ia adalah Suzuki dengan kualiti jenama Jepun yang terbukti. Kalau tidak, takkan lah Mazda ambil model yang sama jadi VX-1. Kan?

Akhirnya Proton dengan tuil signal sebelah kanan!

Kredit: Artikel ini disalin dari mekanika.com.my

Baca ulasan penuh pandu uji Proton Ertiga yang telah diterbitkan:

Pandu uji Proton Ertiga – MPV kompak sepadan harga

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.