Pandu Uji Proton Perdana 2.0L – Ringkas itu anggun

Proton Perdana adalah model kemegahan (flagship) Proton. Ia mula diperkenalkan kepada umum pada tahun 1995 di mana model yang berasaskan Mitsubishi Eterna itu bersaing dalam segmen kereta eksekutif seperti Toyota Camry, Nissan Cefiro dan Honda Accord. Pada tahun 1998, model itu diberi rupa, enjin dan karakter pengendalian baharu dengan tambahan nama iaitu Perdana V6.

Sejarah ringkas

Seperti nama baharunya, model itu dikuasakan oleh enjin 2.0L V6 menggantikan enjin 4G63. Perdana V6 tampil dengan perubahan estetik, kadar bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) rendah serta pengendalian lebih jitu hasil input dari subsidiari Proton iaitu Lotus.

Pada waktu itu, Perdana V6 begitu popular dan merupakan pilihan rasmi eksekutif, konglomerat serta refleksi kejayaan ekonomi seseorang.

Perdana terus dijual hingga tahun 2010 dan tempoh selepas itu telah mewujudkan ruang kosong yang besar dalam pasaran kenderaan eksekutif nasional. Dalam tempoh itu beberapa kerajaan negeri dan agensi kerajaan telah beralih kepada pesaing lain dan ia cuba dikendurkan melalui pengenalan Proton Inspira.

Pada masa yang sama, Proton tidak duduk diam dan cahaya semakin terang apabila Proton memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Honda Motor Company untuk perkongsian teknologi, pelantar dan fasiliti.

Tidak berapa lama kemudian iaitu pada awal 2013, telah terdedah bahawa Proton akan menggunakan Honda Accord generasi kelapan sebagai gantian Proton Perdana.

Proton Perdana generasi kedua

Pendedahan itu menarik perhatian ramai kerana Honda bukanlah calang-calang pengeluar dan tidak mudah untuk mereka bekerjasama dengan syarikat lain. Mengikut perjanjian dan perancangan terdapat dua fasa di mana yang pertama dengan perubahan estetik ringan dan terhad untuk kegunaan kerajaan sahaja.

Model fasa pertama dilancarkan pada penghujung 2013 dengan anggaran pembekalan sebanyak 3,000 unit sebagai pengangkutan rasmi kerajaan.

Selepas beberapa gambar intipan yang terdedah di alam maya termasuk tampilan khas dalam filem tempatan akhirnya Proton Perdana fasa kedua untuk kegunaan umum dilancarkan secara rasmi pada 14 Jun 2016. Mengejutkan dan mengujakan apabila model itu secara luarannya tampak berbeza sama sekali dengan Honda Accord generasi kelapan yang diasaskan darinya.

Terdapat dua versi Proton Perdana yang dilancarkan iaitu 2.0L yang berharga RM113,888 manakala 2.4L pula berharga RM138,888.00.

Pandu uji

Proton Perdana 2.0L 2017

Baru-baru ini saya telah diberi peluang untuk memandu uji Proton Perdana 2.0L. Sebenarnya ini kali yang kedua selepas pandu uji singkat di litar ujian Proton Shah Alam sebelum majlis pelancaran rasmi. Sesi kali kedua lebih fleksibel dengan jarak yang lebih jauh dan tempoh lebih lama.

Proton Perdana 2.0L ini dipandu sehingga ke Kota Bharu, Kelantan dengan jarak pergi dan pulang melebihi 800km.

Nadi kuasa

Proton Perdana 2.0L dikuasakan oleh enjin SOHC i-VTEC Honda berkuasa 154hp pada 6,300 rpm dengan tujahan 189 Nm pada 4,300 rpm. Transmisi ialah lima kelajuan automatik. Khabarnya enjin yang digunakan ini bakal digantikan dengan milik Proton sendiri pada tahun mendatang memandangkan produksinya hanya setakat tahun 2017 sahaja.

Luaran

Jika diperhatikan di laman web automotif terkenal mahu pun laman sosial, sejumlah komentar tidak bersetuju dengan model perkongsian Proton dengan produk sedia ada pengeluar lain. Perhatikan sahaja kecaman pada Proton Tiara, Juara, Inspira atau Perdana-Accord fasa pertama.

Ironinya, hampir separuh produk Proton berkongsi model dengan pengeluar lain bermula dari era Saga lagi dan terkini Proton Ertiga. Menariknya kecaman itu bersifat selektif yang terhad kepada sesetengah model sahaja dan ia sangat menarik untuk dikaji secara ilmiah.

Memandangkan Perdana adalah model kemegahan Proton maka adalah penting untuk model ini terlepas dari kritikan massa tambahan pula ia bakal digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Proton Perdana 2.0L 2017

Mengadili dari luar, kemungkinan besar seseorang akan membandingkannya dengan Accord generasi kelapan dan tercari-cari mana bahagian yang sama. Walaupun masih terdapat pengaruh Accord namun tidak boleh dinafikan malah mengujakan apabila kereta ini sebenarnya tampil tersendiri sebagai sebuah Proton Perdana. (Paling jelas bahagian belakang tidak mengembang seperti Accord yang diasaskannya).

Letakkannya sebelah menyebelah dengan pesaing seperti Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Teana, Hyundai Sonata atau Kia Optima K5 dan jelas kelihatan gayaan tersendiri Perdana.

Secara peribadi, Perdana tampak kemas seperti lelaki budiman Inggeris. Tidak hairanlah terdapat bayangan Jaguar XJ pada bahagian belakangnya. Menurut Proton, bahagian belakang yang direka semula ini lebih mesra rintangan angin berdasarkan simulasi komputer.

Wajah sang Belang

Bahagian depan Perdana menggunakan gaya bahasa warisan Proton, masih mengekalkan wajah sang Belang tetapi tampak lembut seperti Proton Iriz. Jelas kelihatan ialah jeriji sayap Proton yang menyambung hingga ke dalam kelongsong lampu utama dengan nyalaan projektor dan DRL.

Bampar juga kemas dan syukurlah Proton tidak terikut dengan gayaan masa kini ibarat ikan laut dalam yang terbuka luas mengaut plankton atau mulut beruang ternganga sebelum membaham mangsa.

Di bahagian bawah bampar terlekat sepasang lampu kabus yang walaupun kecil comel tapi sangat membantu menambah pencahayaan lampu utama yang tidak puas menyuluh sewaktu pemanduan malam kelam ke Kota Bharu.

Pada bahagian sisi pula, terserlah badan yang panjang dari depan hingga bucu bampar belakang Perdana ini.

Peresap bampar belakang yang sama tona dengan warna badan pula membuatkan bahagian sisi belakang nampak terlebih ruang. Bukan setakat peresap tetapi muncung eksoz pada asalnya direka untuk berbeza warna namun ditukar semula untuk produksi massa. Katanya keputusan itu dibuat lebih cenderung kepada faktor selain pertimbangan estetik.

Permukaan sisi badan diinfusi oleh garis bahu atas dan bawah yang diapit oleh lampu belakang comel yang tertera tulisan Proton di dalamnya dan ingsang krom pada fender ala kereta mewah. Turut ditukar dari Accord asal ialah pembuka pintu yang kini senada dengan gayaan Perdana.

Rekaan roda aluminium 17 inci sama sahaja dengan varian 2.4L cuma ia tidak didatangkan dengan dua tona warna. Juga berbeza dengan varian paling mahal ialah model 2.0L tidak didatangkan dengan kit badan yang pada mulanya nampak janggal tapi lama kelamaan tampak ringkas dan selesa di mata.

Secara keseluruhannya, rekabentuk luaran Proton Perdana tidak kalah dengan pesaing lain dan bersesuaian dengan imejnya sebagai sedan eksekutif.

Interior

Proton Perdana 2.0L menggunakan tema warna gelap sepenuhnya, bermula dari kulit pintu, konsol tengah, papan pemuka hinggalah ke balutan kerusi yang menggunakan gabungan fabrik dan kulit. Riasannya ringkas begitu juga dengan sistem multimedia. Berbanding dengan Perdana 2.4L, sistem multimedia Perdana 2.0L tidak didatangkan dengan kemudahan navigasi dan skrin berwarna.

Walaupun begitu, jenis tulisan kemas ibarat tulisan yang digunakan pada telefon pintar Iphone. Fungsi kawalan kenderaan tidak banyak kecuali paparan kamera undur manakala skrin kedua di papan pemuka hanya mengulang siar paparan skrin induk.

Mujurlah sistem ini dilengkapi sambungan bluetooth dan sepanjang pemanduan saya hanya mendengar muzik dari aplikasi telefon pintar sahaja.

Kerusi pemandu boleh dilaras menggunakan fungsi elektrik dan kawalan manual untuk sebelah penumpang. Tipikal rekaan Honda, saiz kerusi agak besar untuk menyokong belakang badan dan peha untuk pemanduan selesa.

Kemas di sisi kerusi pemandu dan penumpang sebelah ialah tag SRS menandakan Perdana 2.0L dilengkapi empat unit beg udara termasuk di stereng dan papan pemuka.

Ruang di bahagian belakang pula sememangnya luas di mana penumpang bebas untuk menggerakkan kaki. Cuma bahagian bawah peha terasa terlalu lembut dan penumpang perlu membetulkan kedudukan kerana tenggelam di dalamnya.

Saiz but pula tidak perlu dinafikan memang luas dan tidak menjadi masalah untuk memuatkan beberapa bagasi besar.

Pengalaman pemanduan

Sewaktu enjin mula dihidupkan, suasana kabin agak tenteram dan tidak ternganggu dengan bunyi enjin. Laras kerusi juga selesa dan Honda memang pandai bermain dengan ruang. Saiz papan pemuka berjaya dikurangkan dengan dua laras curam ke bahagian penumpang.

Material yang digunakan sepadan harga manakala stereng dengan logo Proton sebagai wakil dalam interior Honda pula sedap dipegang. Cuma saiz ruang bacaan meter agak luas dan banyak ruang yang tidak terpakai. Di gugusan meter tersebut terasa era Accord generasi kelapan dibina dan pada masa akan datang mungkin Proton boleh menambah sedikit grafik supaya selari dengan peredaran masa.

Perdana dibekalkan sensor pengesan pada bampar depan yang sangat membantu untuk pergerakan kereta sebesar ini. Cuma kurang selesa apabila bunyinya agak kuat dengan amaran hampir setiap masa pada keadaan statik atau menghampiri objek (kecuali anda parkir di kawasan yang benar-benar lapang). Ini juga boleh ditambah baik pada masa akan datang dan untuk pemandu yang tidak gemarkannya dan mempunyai keyakinan tinggi boleh saja padamkan fungsi sensor tersebut yang terletak di sebelah stereng.

Memandu keluar Perdana 2.0L dari CoSE Proton, Shah Alam tidak sukar dengan stereng berkuasa hidraulik yang masa kini sudah banyak digantikan dengan kuasa elektronik (EPS). Malah dirasakan stereng dengan talaan seperti ini antara yang terbaik, ringannya terasa natural dan memberat apabila diperlukan. Mungkin juga saya sudah memasuki kategori pemandu veteran.

Kadar NVH sederhana sahaja jika dibandingkan dengan kereta eksekutif masa kini, masih terasa aman tetapi lebih molek jika lebih senyap memandangkan ia merupakan faktor penting untuk kenderaan dalam segmen ini. Honda sendiri menggunakan sistem pemadam elektronik dalam kabin untuk menyahbunyi yang tidak patut pada Accord terbaru. Nissan juga berjaya menjadikan kabin Teana senyap sesuai dengan kegunaan sebagai kereta eksekutif.

Satu ciri terpuji, terpintar malah terbaik ialah penggunaan tayar baharu Goodyear EfficientGrip yang serasi dengan Perdana ini. Lembut menyerap kualiti jalan raya yang teruk dan juga senyap membelah lebuh raya. Bahkan ciri ini yang paling cepat dikesan semasa pandu uji pertama di litar ujian Proton dahulu.

Pemanduan dan pengendalian

Respon nadi kuasa enjin ini sememangnya terasa seperti memandu Honda kerana tiada langsung perubahan mekanikal yang dibuat. Walaupun hanya bersesaran 2.0L tetapi karakter enjinnya lancar dan sedap ditekan, terasa juga berat badan kereta namun kuasa yang ada diserak elok transmisi automatik lima kelajuan.

Memotong kenderaan juga tidak menjadi masalah walaupun dengan penumpang penuh. Jika anda biasa dengan karakter enjin Honda maka inilah dia, tidak kurang dan tidak lebih.

Maklumbalas stereng juga seimbang dan menyenangkan untuk kereta sebesar ini dan mengikut darjah pulasan cuma jika dibandingkan dengan Proton ini bukanlah falsafahnya. Tambahan pula Proton Perdana V6 mempunyai tahap pengendalian tersendiri hasil talaan jurutera Proton dan Lotus.

Gabungan suspensi double wishbone di depan dan multilink di belakang yang digunakan juga bagus. Ia berfungsi baik melalui selekoh, tidak terasa membuai sangat dan inilah Honda, memberi sekadar perlu dan secukupnya. Satu perkara yang penting ialah lebih elok sekiranya Perdana 2.0L turut dilengkapi kawalan penstabilan elektronik (ESC) seperti varian 2.4L yang tentunya diperlukan di waktu gelinciran atau kecemasan.

Suspensi dan tayar (saya jatuh cinta dengan tayar ini) menyerap hentakan dan bunyi dengan baik dan saya kira dengan permukaan jalan yang teruk menuju ke KB, ia menjalankan tugasnya dengan sempurna.

Tidak dilupakan ialah sistem brek yang berkesan dalam menghentikan kenderaan.

Kesimpulan

Secara peribadi, jujur saya sukakan idea dan konsep kereta ini. Proton Perdana 2.0L yang tampil seadanya. Walaupun Perdana 2.4L lebih meriah dengan pelbagai kelengkapan mewah namun pada saya ini sudah memadai. Okay, mungkin lebih elok jika dibekalkan dengan kerusi balutan kulit atau beberapa peralatan supaya setanding dengan pesaing moden lain dan saya yakin Proton lebih arif mengenainya.

Atau baik juga jika terdapat lagi satu varian pertengahan seperti yang dibuat oleh Honda melalui varian Accord VTI-L. Mempunyai kelengkapan yang sama dengan varian 2.4L kecuali enjinnya sahaja.

Tetapi apa yang tiada pada pesaing lain ialah ia begitu ringkas. Tidak komplikated (kecuali sensor depan) dan dibekalkan dengan pemanduan yang selesa.

Pengendalian ala Proton dialu-alukan tetapi ia tidak semestinya menjadi kewajipan. Jika ada mungkin saya lebih jatuh cinta tetapi memikirkan demografi pembeli Perdana ini ia sudah pun memadai. Lagi pula di sebalik Proton Perdana ini ialah Honda Accord yang telah terbukti teknologi dan kemampuannya.

Proton Perdana 2.0L 2017

Memandu Proton Perdana tidak terasa kurang jika dibandingkan dengan pesaing lain seperti Honda Accord atau Nissan Teana. Kelebihan kedua-dua model itu ialah ia versi baharu dengan perincian dan kelengkapan sepadan dengan generasinya. Beberapa aspek seperti riasan interior dan kelengkapan Perdana 2.0L mungkin terasa satu model kebelakang namun itu boleh diatasi dengan pakejing baharu.

Proton Perdana 2.0L mempunyai rupa tersendiri, nadi kuasa mencukupi, pemanduan dan pengendalian yang berpadanan, selesa dan apa yang diperlukan oleh eksekutif secara ringkas. Untuk kegunaan kerajaan atau GLC, ia sudah memadai dan juga sesuai untuk usahawan atau kontraktor, seperti mana saya mula-mula merasai Proton Perdana V6 milik bos 13 tahun lepas.

Ringkas dan anggun.

Selamat kembali Proton Perdana.

Berikut ialah 20 gambar Proton Perdana 2.0L:

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.