Pandu Uji: Nissan Teana 2.5 V6

Untuk sesi pandu uji, saya lebih gemar memilih kereta sporty atau berprestasi. Bukan apa, kemahiran saya lebih terasah di dalam bidang modifikasi yang sinonim dengan prestasi. Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan sesebuah kereta berprestasi lebih senang untuk saya berbanding kereta keluarga apatah lagi sedan mewah. Apa pun, untuk menjadi penulis yang versatil pengalaman memandu uji kenderaan perlu luas apatah lagi dengan suasana pasaran yang meminggirkan kereta-kereta sporty mampu milik. Mahu tidak mahu, saya perlu mencecah kaki ke dalam pasaran arus perdana.

Beberapa minggu lepas saya diberi peluang oleh Edaran Tan Chong Motors (ETCM) untuk memandu uji Nissan Teana 2.5 V6. Sewaktu mengambil Teana di bilik pameran, saya agak clueless, tidak tahu apa yang hendak dijangka dengan kereta sebegitu. Dengan topi bola lisut, baju t-shirt, seluar jeans dan kasut slip on – imej orang muda, stail saya agak kontra dengan imej eksekutif Teana. Cuba bayangkan seseorang yang memakai t-shirt dan menghadiri majlis besar di hotel mewah, begitulah lagak saya yang seperti tidak kena tema. Walau bagaimanapun, pengalaman bersama Teana selama empat hari tiga malam dan perjalanan melebihi 800km berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru memberi perspektif baharu di dalam melihat fungsi sesebuah kereta.

Nissan mengambil pendekatan yang berbeza dengan Teana. Jika dilihat dari segi rekabentuknya, kereta itu hadir dengan prinsip yang berlawanan dengan pesaing lain seperti Honda Accord atau Toyota Camry. Kedua-dua model itu mempunyai suntikan imej sporty manakala Teana langsung tidak ada sifat tersebut. Teana adalah sedan yang benar-benar menghayati makna eksekutif. Kereta itu tidak janggal untuk tuannya duduk di belakang dan dikemudi oleh pemandu. Duduk di hadapan, pemandu dan penumpang sebelah boleh melaras secara automatik kedudukan kerusi sama ada ke atas atau bawah dan ke depan atau belakang. Sebagai sebuah sedan mewah, adalah wajib untuk mempunyai kerusi yang selesa dan Teana lulus di dalam aspek itu. Penumpang di belakang kelihatan selesa dengan kaki yang boleh bergerak bebas. Sebagai pemandu, amat penting untuk mendapatkan pelarasan yang harmoni antara stereng dan badan. Dengan ciri kerusi yang boleh dilaras melalui pelbagai arah saya tidak mempunyai masalah untuk duduk dengan stail kereta sporty, perehat pada konsol tengah pula menyokong lengan semasa lenguh memandu jauh.

Binaan dalaman Teana 2.5 V6 berwarna cerah, sesuai dengan format mewah sedan itu. Kerusi dibalut kulit manakala pada papan pemuka ada efek kemasan kayu. Pada meter dipaparkan visual digital seperti penggunaan minyak, jarak perjalanan dan informasi penting lain untuk pemandu. Sistem multimedianya pula lengkap dengan GPS, pemain cakera, kamera undur dan sistem sambungan telefon secara bluetooth. Selain daripada itu, Teana dilengkapkan dengan sensor hadapan yang akan membunyikan amaran jika kereta menghampiri objek hadapan atau sisi. Sebagai sebuah sedan yang besar, peralatan itu amatlah penting kerana bukan senang untuk menggagak apa yang ada di depan dengan bonet yang panjang.

Kamera undur pula banyak membantu untuk keluar dan masuk parkir. Selain daripada itu dengan saiz interior yang luas, angin sejuk agak lambat untuk dirasai oleh penumpang belakang dan tiada masalah dengan Teana apabila dua slot penyaman udara tersedia khusus untuk mereka di belakang konsol tengah pemandu. Ada beberapa perkara yang ralat untuk saya pada bahagian interior. Pertama ialah kurangnya tempat meletak bekas minuman baik untuk pemandu dan penumpang dan kedua ialah punat-punat kawalan untuk bidai belakang, sensor depan dan gugusan lain yang berada di bawah stereng yang nampak seperti kurang kelas untuk sebuah sedan mewah. Teana juga tidak mempunyai slot kad untuk tol dan seumpamanya. Namun itu bukanlah isu besar kerana lain orang lain pula citarasanya.

Apa yang buat saya tangkap syok dengan Teana ialah enjin 2.5 liter V6 nya. Mereka yang biasa dengan enjin bersesaran besar serta konfigurasi V pasti seronok dengan ngauman enjinnya. Sekali pedal minyak ditekan bunyinya yang mengaum (growling) menangkap telinga. Dengan badan Teana yang besar dan berat tiada masalah untuk enjin tersebut yang dipadankan dengan transmisi CVT untuk menggerakkan kereta itu. Di lebuh raya pula, untuk lebih selesa gunakan sahaja auto cruise yang mudah dicapai pada stereng tanpa bersusah-payah menggerakkan kaki untuk menekan minyak. Tentang penggunaan minyak, paling ekonomikal yang dapat saya capai ialah 8.9 kilometer per liter yang saya kira padanlah dengan saiz enjin dan badannya yang besar.

Bab pemanduan dan pengendalian pula, sinonim dengan kereta Jepun, memandu laju bukanlah suatu yang menyeronokkan kerana kereta terasa ringan, tetapi apa yang saya tidak jangka ialah tindak balas sterengnya. Pengemudian Teana agak mudah kerana badan kereta patuh kepada input putaran stereng pemandu. Suspensinya pula sedap dan selesa, setakat melalui lopak dan lubang jalan raya itu kacang goreng sahaja untuk Teana.

Sepanjang empat hari bersama Teana, apa yang boleh saya simpulkan ialah kereta ini selesa, bernadikan enjin V6 yang memuaskan hati serta mampu memenuhi citarasa mereka yang mahukan sebuah sedan yang benar-benar eksekutif, tanpa suntikan sporty atau seperti hendak berlumba. Faktor penarik lain ialah ialah rekabentuknya yang konvensional daripada pesaing sekelasnya. Rekaannya yang besar lebih menjurus kepada kereta ala-ala pasaran Amerika Syarikat walaupun di pasaran sana, model itu dinamakan sebagai Altima dengan rekaan yang berbeza. Teana menawarkan sebuah mobiliti untuk ahli bisnes atau pun ketua keluarga yang mahukan keselesaan buat ahli keluarga dan juga tiada masalah untuk digunakan oleh ahli politik atau pun menteri-menteri kerajaan!

@muhd_gt

Muhammad

7 Comments

  1. honda accord

    toyota camry

    nissan teana

    ketiga tiga nya terbaik… i like..

    proton….?

  2. Teana ni teman nampak macam sembab sikit. Nampak macam beghat. Teman nengok kheta Nissan ni selalunya steering handling korang sedap, selalu senget, macam Toyota

  3. Nissan Teana memang bagus.Tapi saya hanya mampu pakai nissan sylphy saja yang pada saya tidak kurang hebat kualitinya.

Kata Anda//