Pandu Uji Nissan Elgrand 3.5 V6: MPV Premium Untuk Kapten Industri

Nissan Elgrand 2013.08

Di dalam negara, Nissan lebih dikenali sebagai pengeluar kereta keluarga. Produk yang dipasarkan lebih berorientasikan pelanggan kategori itu dan menjadi tradisi sejak berpuluh tahun dahulu. Ini boleh dibuktikan melalui produk seperti March, Sunny, Sentra, AD Resort dan paling malar segar ialah Vannette. Model-model tersebut kemudiannya digantikan dengan yang baharu seperti Almera, Sylphy dan Grand Livina. Jika disemak model yang dipasarkan sebenarnya Nissan mempunyai produk di dalam kesemua segmen termasuklah di dalam kategori kereta sport. Tidak mengapa kita tidak mendapat Nissan GTR kerana Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) ada memasarkan model sport 370Z Coupe dan Roadster.

Nissan Elgrand 2013.12

Harus tahu, jabatan yang bertanggung jawab untuk membawa sesebuah model ke pasaran ialah perancang produk atau lebih dikenali sebagai product planning. Mereka yang bekerja di bawah jabatan itu di ETCM harus dipuji dan di angkat lebih tinggi di kalangan pengkritik kereta tempatan. Produk yang dibawa unik belaka antaranya seperti Navara King Cab, Nissan Leaf dan paling mengejutkan ialah Elgrand 3.5 V6 di kala penjual kereta import terpakai (recond) galak menjual Toyata Vellfire, Toyota Alphard dan Honda Elysion. Sebelum saya menulis jauh mengenai pandu uji Elgrand, suka juga untuk saya kongsi golongan kolar putih di ETCM juga bertanggung jawab dalam membawa masuk kit aksesori seperti Nismo, Autech dan Impul. Senario tersebut berbeza dengan pesaing lain sama ada pengeluar kereta import atau nasional yang lebih konservatif. Selain daripada itu, kumpulan Tan Chong juga bertanggung jawab di dalam membawa masuk dan membangunkan jenama rare seperti Renault dan Subaru. Jangan lupa, merekalah yang mengimport Renault Megane RS, Renault Clio Sport, Subaru Impreza WRX, Subaru Legacy Outback, Subaru Forester dan terkini Subaru XV. Tidak salah jika saya katakan bahawa mereka ini lah petrol head (penggemar kereta) yang berselindung di sebalik imej korporat. Saya meminta maaf jika sebelum ini saya memandang rendah kumpulan Tan Chong.

SONY DSC

Berdasarkan rasional tersebut tidak hairanlah ETCM mengimport masuk dan menjual secara rasmi Nissan Elgrand 3.5 V6. Di kala pengeluar lain mengalah dengan tawaran produk rekondisi yang jauh lebih murah, ETCM pula melawan arus dengan menawarkan Elgrand. Rasionalnya akan saya terangkan pada penghujung artikel nanti. Memandu uji sebuah MPV premium memerlukan jangka masa dan jarak perjalanan yang jauh. Oleh itu, saya dan keluarga seramai lima orang dewasa dan dua kanak-kanak mengembara ke Kelantan melalui Gua Musang dan pulang melalui Terengganu mengikut jalan pantai. Mengamati dari luar, Elgrand nampak besar dan mewah. Namun saiz yang besar itu sebenarnya lebih kecil jika dibandingkan dengan MPV mewah lain. Dengan Elgrand generasi keempat ini Nissan menyemak semula sifir rekabentuknya. Ruang yang berlebihan seperti ruang kepala dikurangkan menjadikannya lebih rendah berbanding generasi lama. Hasilnya ialah sebuah MPV yang nampak lebih aerodinamik dan kompak berbeza dengan pesaing lain yang nampak seperti bas mini atau kotak beroda. Namun begitu, Elgrand tidak pula menjadi lebih sempit kerana apa yang dikurangkan ialah saiz ruang kepala yang berlebihan.

Nissan Elgrand 2013.15

Memasuki ruang interior, terserlah suasana mewah Elgrand. Kerusi pemandu dan penumpang sebelah yang dibalut kulit selesa, di tambah pula dengan perehat lengan yang merupakan aksesori wajib untuk sebuah MPV. Kedua-dua kerusi tersebut boleh dilaras secara automatik dan bonus untuk penumpang sebelah apabila ianya didatangkan dengan perehat kaki persis kelas bisnes penerbangan. Visual bantuan pemandu pula moden dengan kamera yang memberi imej sekeliling kereta (Around View Monitor) dengan sensor sonar yang sangat membantu dalam memarkir Elgrand. Ciri tersebut merupakan suatu yang saya sangat gemari dan yakin bahawa pemandu wanita tidak perlu pun mengangkat wajah mereka dan hanya perlu fokus pada paparan skrin sahaja. Selain daripada itu, pemandu boleh melaras sistem audio, kamera, penggera, penggunaan minyak dan jadual servis melalui skrin monitor yang sama. Cuma apa yang kurang ialah Elgrand tidak didatangkan dengan telefon sambungan bluetooth, kawalan audio pada stereng dan auto cruise. Agak ralat juga untuk MPV mewah seperti ini.

Nissan Elgrand 2013.06

Bahagian penumpang belakang juga tidak kurang hebat dan mewah dengan konfigurasi kerusi kapten. Walaupun kerusi tersebut dilaras secara manual namun ianya didatangkan dengan perehat kaki di tambah pula dengan kerusi yang empuk menjadikan pemanduan jauh terasa selesa. Penumpang belakang pula tidak perlu bersusah-susah untuk membuka pintu pada kedua-dua belah sisi kerana ianya dikawal secara elektronik, jika malas lagi hendak membuka pintu, beritahu saja pada pemandu untuk membukanya melalui satu sentuhan pada suis di tempat pemandu. Selain daripada itu, penumpang juga berasa nyaman kerana terdapat empat corong penyaman udara di sisi Elgrand yang boleh dikawal secara berpusat atau tunggal. Jika hendak merasa angin semula jadi buka sahaja cermin suria pada barisan kedua tempat duduk atau pun di atas pemandu depan. Cermin penumpang belakang pula tidak memerlukan filem penapis haba yang tebal kerana setiap tingkap didatangkan standard dengan langsir. Suatu perkara yang agak kritikal untuk sebuah MPV ialah kerusi barisan ketiga dan ruang bagasi yang dianaktirikan. Kedua-dua ciri tersebut pada Elgrand saya fikir lulus ujian terutama kerusi barisan ketiga yang boleh diduduki dengan memuaskan oleh orang dewasa. Untuk penyimpanan pula, bonetnya dalam dan muat untuk diisi empat bagasi bersaiz sederhana dengan beberapa beg kecil di atasnya. Jika tidak memerlukan kerusi barisan ketiga, baringkan sahaja dengan menekan butang elektronik. Bonet belakang pula turut boleh dioperasikan secara elektronik.

SONY DSC

Memandu Elgrand dengan jarak 1200km selama empat hari tidak berasa penat dan biasa-biasa sahaja. Kurang lenguh walaupun memandu di dalam kesesakan. Di waktu malam pula tidak menjadi masalah dengan bantuan lampu utama AFS (Adaptive Front Lighting System) yang bergerak mengikut arah stereng. Dari segi pemanduan dan pengendalian, Elgrand tidak terasa bergoyang atau berkocak yang sinonim dengan MPV besar bahkan saya fikir jurutera Nissan telah berjaya mengimbangi antara kehendak pemandu dan keselesaan penumpang. Cuma yang menjadi masalah ialah suspensinya yang terasa sikit keras namun saya fikir itu bukanlah masalah besar. Kuasa yang dibekalkan oleh enjin 3.5 liter V6 CVTC pula walaupun besar tetapi tidak terasa buas seperti angkanya. Dipadankan dengan transmisi XTRONIC CVT enam kelajuan, Elgrand mampu mendaki bukit Karak dengan selesa. Untuk mereka yang tidak kisah dengan karakter enjin linear dan mahu mendapatkan penjimatan, tekan sahaja butang Eco dan jika ingin merasa prestasi, alihkan gear ke seleksi manual yang merubah karakter enjin. Penggunaan minyak yang saya perolehi sepanjang pandu uji ialah 12 liter untuk setiap 100km iaitu jumlah yang boleh dikatakan jimat untuk enjin 3.5 liter dengan badan yang besar. Untuk ciri-ciri keselamatan pula, Elgrand mempunyai enam SRS (beg udara) untuk pemandu depan hinggalah pemandu belakang. Kuasa membrek pula dibantu oleh sistem ABS dengan EBD dan BA.

Nissan Elgrand 2013.01

Mengenai harga pula, Nissan Elgrand Highway Star ini ditawarkan pada harga RM 398,361.40. Mungkin ada yang merasakannya tinggi namun harus diingat bahawa MPV premium ini diimport baru sepenuhnya dari Jepun serta didatangkan dengan waranti selama 3 tahun atau 100,000 km. MPV premium ini sangat sesuai untuk firma yang menyediakan pengangkutan untuk pihak pengurusan tertinggi dengan keselesaan, muatan yang lebih berbanding kereta sedan premium buatan Eropah dengan harga yang lebih kurang sama. Tambahan pula, susut nilai kenderaan Jepun tidak seteruk buatan Eropah dan di atas kertas dan jika dibuat pembentangan pembelian, saya yakin Elgrand lebih bernilai untuk wang syarikat.

Lokasi: Captain T Restaurant, Kota Bharu.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

13 comments

Skip to comment form

    • beejan on 31/05/2013 at 6:02 PM
    • Reply

    huyooooooooo

    mahalnya… bleh beli 5 biji rumah flat ooo

    • maxmanx on 02/06/2013 at 9:12 PM
    • Reply

    harga sebuah kemewahan..

    • sepat on 03/06/2013 at 9:04 AM
    • Reply

    kedai makan Kapten T mmg bestlah… hari itu gua makan sini .. sekali dia nak hantar makan lift .. tiba2 tali lift tu putus maka lift tu menurun laju hentam tiang kat pontoon kat bawha tu .. habis makanan semua masuk sungai.. wasted

    ps- gua rasa MPV ni over price. for this price tag buyer surely from corporate and freaking rich sector.. wonder how many it would sell for a year

    • Alteja on 04/06/2013 at 11:45 AM
    • Reply

    Mat, aku rasa Vellfire & Alphard macam lagi best je walaupun recond. Cuma, yg ada atas jalan sekenhen (recond).
    Harga recond sekitar RM180k to RM300k (setakat manufacturing tahun 2011). mungkin yg 2012 & 2013 lagi mahal la kot.

    Apapun, kalo nak beli ansuran, interest recond tak beza mana dgn kereta baru. Kira OK lah tu bagi yg berkemampuan.

    Apapun… jgn diturut nafsu. Kalo berhutang, belilah atas dasar keperluan. Kalo fail, kita yg susah.

    Kalo tgk statistik kebankrapan Malaysia, paling ramai bankrap adalah disebabkan hutang kenderaan (hire purchase) dan didominasi oleh anak2 muda. Memula aku tak tau camne benda ni boleh berlaku. Antara sebab aku nampak… nafsu lah.

    Bebaru ni, aku pergi kenduri sedara aku. Ramai kengkawan dia dtg & kereta rata-rata Toyota Vios, Honda Civic EK/EJ & Myvi.

    Keja memasing, technichian, operator pengeluaran etc. Bukan nak ngutuk mereka, tapi, inilah yg menakutkan kita. Mereka mampu utk beli kereta tu adalah disebabkan oleh income mereka yg disokong oleh Overtime… sikit je yg ada bisness part time. Overtime, bagi aku bukanlah satu yang tetap & tak sepatutnya dijadikan ukuran untuk membeli harta. sepatutnya gaji pokok tu yg perlu dijadikan ukuran. Mcm company aku keja ni, waktu rasmi kilang abis pukul 6 & bila aku balik pukul 8, punyalah ramai bahagian production yg baru balik sebab buat overtime. Dulu, ada 2 shift, tapi sebabkan kekangan permintaan, hanya dijadikan 1 shift aje. Berdasarkan peningkatan teknologi, bila beberapa mesin kilang utama dinaik taraf, kilang ni mampu menghasilkan pengeluaran yg besar dlm hanya 1 shift & memerlukan 1/4 sahaja tenaga kerja dari yang sekarang.

    So.. bayangkan, 3/4 dlm tempoh setahun akan hilang kerja. Jadi, dgn pasaran kerja yg kompetitif especially dr pekerka Bangla, Nepal, Myanmar, Vietnam etc, maknanya, risiko anak tempatan agak membahayakan. Kalo nak kerja, terpaksa akur kerja tanpa OT (kalo adapun sikit sangat) dengan gaji mimima RM900 to RM1,200.

    Jadi, ini antara penyumbang kebangkrapan.

    Bagi yg berjawatan tinggi sikit, beli kereta yg lagi besar. Aku tgk eksekutif bujang yang gaji sekitar RM2k to RM3k, rata-rata pakai Honda City & Vios baru. Ni pun sama, hanya memikirkan keupayaan utk satu tujuan… kahwin nanti, ada anak, ada bini, nak beli rumah bagai.. kan susah.

    Aku cakap, sebab aku penah ada pengalaman semua tuh… cuma, susah camne pun, instalmen masih boleh bayar mcm biasa. Bercuti atau makan luar, jarang sekali. Bercuti kalo company aku atau wife aku buat family day. So, kami bersempit la dlm satu bilik hotel utk sehari 2.

    Nak berkereta mewah, boleh… pastikan mampu.

    Cuma sekarang aku dgr, kalo nak beli cash pun susah especially apa-apa barangan melebihi RM20k. Ni semua tempias Anti Money Laundring Act. hahahaha..

    Amenda la aku komen nih…

    • Smut_liar on 04/06/2013 at 3:32 PM
    • Reply

    terbaik komen lu bro Alteza yezaaa….

    • sepat on 06/06/2013 at 12:52 PM
    • Reply

    betul Alteja cakap

    membeli la ikut kemampuan.. kadang2 turut nafasu semua nak sapu bila dah beli takleh nak gostan balik maka nanggung laa huang piutang.. apa pun boleh juga berhutang tapi syaratkan diri anda juga menabung.. sekurang 20% dari gaji bersih masukkan ke dalam bank.. kalau nak cun buatlah investment kat insuran nyawa ke mutual fund.. diversify kan saving dan investment anda utk persediaan masa depan..

    • Alteja on 11/06/2013 at 5:50 PM
    • Reply

    Menabung memang penting, bukan setakat untuk masa depan, tapi untuk tujuan2 kecemasan. Bagi mereka yg keja kat company yg bagi kemudahan medical yg banyak macam Bank Negara, Petronas, BERNAS etc, hal perubatan mungkin tak menyusahkan sangat sebb company bayar. Bagi yg keja company yg benefit dia ala-kadar, tabung lah membantu banyak perkara kecemasan termasuk kenderaan yg ada rosak, mak bapak sakit etc.

    Menabung pun penting utk beli rumah (bagi yg belum ada) dengan harga yang merepek sekarang. Aku tengok harga rumah teres kat area Pajam & Mantin di NS dah RM500k, semi-D baru yg belum terjual dah cecah RM1.2 juta. So… tak guna berkereta mewah kalau benda basic lain kita fail.

    Hahahaha
    Dr crita MPV mewah masuk saving…
    Puncanya… duit…

    • somokomo on 12/06/2013 at 8:37 AM
    • Reply

    so brader alteza, mcm hamba ni yang keje cikgu, gaji bersih lepas tolak semua personal loan n kwsp, gaji hamba sekitar 2.2k… gaji pas tolak bajet makan, minyak, sewa n bnde2 lain dlm 900 lebih cmtu… so kereta apa yang sesuai dengan kemampuan hamba ni?

    xkisah la second hand or baru, bleh bg cadangan x bro?

    • Alteja on 12/06/2013 at 2:35 PM
    • Reply

    Bro Somokomo
    Bro… bujang lagi ke?
    Kalo Bujang & nak pakai keta gak, bank akan tengok dr bagi sebelum tgolak belanja makan, minyak bagai yang RM2.2k tu..

    Kalo bujang & carik keta yang boleh pakai sampai beranak pinak, Saga BLM la jawabnya…

    Apapun… rancang sendiri la Bro sebab Lu lagi tahu siapa diri Lu (tetiba plak aku cakp mcm mat Rock ni). Beli kereta bukan takat tengok instalment bulanan je, tengok jugak maintenance dia & komitment lain. Ada kawan aku, gaji pokok dlm 3k lebih, tolak EPF, Socso bagai, adala RM2.5k tinggal.. Berani angkut sebijik Honda Accord sekenhen bayar RM800 sebulan. Bila kereta rosak, berbulan baru dapat kumpul duit nak baiki… kan susah…

    • somokomo on 12/06/2013 at 10:47 PM
    • Reply

    haah bro…bujang lagi,,,umur baru 25, baru masuk tahun ke 2 keje…. ok, thanks for the advice bro…hr tu nak angkat satria gti second tp kensel sbb pikir bukan jiwa kelajuan…
    hahaha…nak tunggu kerajaan turunkan harga, mcm lama lagi so thanks again bro…
    suke cara ko beri pendapat…. bernas dan logik akal…
    kipidap bro!

    • best on 22/06/2013 at 4:26 PM
    • Reply

    thniah kpd ETCM….bravo

    • Ahmad said on 27/04/2016 at 1:27 AM
    • Reply

    Mana nak cari spart part elgrand ni?

    1. Kalau di KL, cuba cari Jalan Ipoh bro.

Leave a Reply to beejanCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.