Pandu Uji Nissan Almera Grade E Automatic

Nissan Almera 2013.10

Saya pernah bertanya kepada bekas Pengarah Urusan sebuah syarikat automotif mengenai pengeluar manakah yang bakal menjadi ancaman kepada syarikatnya. Jawapannya di luar jangkaan apabila beliau tidak memetik jenama Korea Selatan seperti yang saya anggarkan. Jawapan yang diberikan ialah Nissan dengan alasan pengeluar tersebut boleh ‘mencampak’ harga kereta dengan murah. Benar kata beliau, selang beberapa bulan Nissan melancarkan Almera pada harga RM66 ribu yang berada pada laras harga kereta nasional. Serta-merta Almera menjadi popular dan mencatat rekod tempahan melebihi 15 ribu unit dalam masa tiga bulan selepas dilancarkan pada penghujung Oktober 2012. Almera juga terbukti popular apabila mencatat carian tertinggi di dalam senarai automotif Google untuk tahun 2012.

Nissan Almera 2013.01

Selepas enam bulan dilancarkan, saya mendapat peluang untuk memandu uji Nissan Almera Grade E. Sebelum itu sudah lama saya memerhatikan Almera, daripada luar memang diakui saiznya besar dan saya fikir itulah antara faktor jualan terbesar model itu. Nampaknya pasukan pembina model itu berjaya menekan butang yang betul di mana sekarang ini banyak sungguh Almera di atas jalan. Demografi pembelinya juga berbeza, lelaki, wanita serta muda dan berusia. Selain daripada itu, Almera merupakan alternatif yang segar di antara pesaingnya yang lain seperti Toyota Vios dan Honda City yang kini sudah memasuki kitaran akhir produk. Nissan dilihat mempunyai jalan mudah untuk membuat penanda aras memandangkan kedua-dua model itu sudah lama berada di pasaran. Senang kata, Nissan dapat mengagak selera pembeli berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pesaingnya. Hasilnya ialah Almera tampil dengan pakej yang kena selera jadi tidak hairanlah kenapa model ini merupakan sedan global terlaris Nissan.

SONY DSC

Saiz interior Almera memang besar walaupun dari luar nampak kompak. Ini berjaya dilakukan melalui teknik memaksimumkan ruang. Ruang kaki penumpang belakang luas dan begitu juga dengan bonet. Dua ciri tersebut sangat penting berdasarkan budaya pembeli terutama sekali di negara membangun yang mempunyai keluarga dan suka berjalan jauh seperti pulang ke kampung dan bercuti. Kerusi pemandu dan penumpang juga selesa dan saya yakin penumpang pasti lena tidur semasa dalam perjalanan. Daripada tempat duduk pemandu, kerusinya boleh dilaras ke atas dan ke bawah namun disebabkan fizikal saya yang tinggi perbezaannya tidak ketara. Melihat keluar, kereta ini terasa tinggi namun itu merupakan poin bonus untuk pemandu wanita dengan fizikal yang rendah. Daripada luar tidaklah nampak kepala pemandu sahaja dengan badan yang tenggelam seperti kereta lain. Almera Grade E adalah varian kedua termurah pada harga RM69 ribu jadi peralatannya tidak semewah varian lain. Terdapat beberapa ciri-ciri penjimatan kos seperti stereng yang kurang selesa dipegang dan perkakasan plastik yang nampak kasar permukaannya. Paparan grafik meter juga berbeza daripada varian lain dan nampak biasa-biasa sahaja. Selain daripada itu Grade E didatangkan dengan hanya beg udara tunggal di sebelah pemandu namun sistem keselamatan lain seperti EBD, BA dan ABS dikekalkan.

SONY DSC

Daripada segi pemanduan pula, sememangnya Almera ditala untuk negara membangun dengan keadaan jalan yang tidak sempurna. Almera menyerap hentak lopak jalan dengan baik, begitu juga pada kelajuan sederhana di atas lebuh raya, kereta terasa stabil walaupun dengan saiz tayar yang langsing. Kiranya dua ciri tersebut boleh saya kelaskan sebagai terpuji. Selain daripada itu suasana di dalam kabin juga agak senyap. Namun Almera tidak boleh lari daripada sifat kereta sedan biasa, olengannya sederhana sewaktu mengambil selekoh manakala stereng tidaklah ‘setajam’ mana. Untuk kuasa pula, Almera dijana oleh enjin bersesaran 1.5 liter CVTC yang dipadankan dengan transmisi automatik 4 kelajuan. Pecutan Almera terasa linear dan saya fikir mungkin itulah karakter enjin moden yang mungkin dipengaruhi oleh teknologi penjimatan minyak. Sewaktu memandu di dalam keadaan normal, enjin Almera sememangnya senyap dan lancar namun karakternya berubah kepada lebih ‘garau’ apabila gear dianjak dari seleksi D ke gear 2 semasa mendaki bukit atau memotong kenderaan.

SONY DSC

Harus diakui Nissan memang pandai memasarkan kereta mereka dengan memenuhi pelbagai kehendak pasaran. Ini boleh dilihat melalui aksesori rasmi dengan jaminan kilang seperti Nismo, Autech dan paling popular ialah Impul. Untuk mereka yang mahukan penampilan dan karakter yang sporty Nissan ada menyediakan pakej Impul yang terdiri daripada kit badan, sistem suspensi dan ekzos dengan tambahan RM10 ribu untuk pakej penuh. Selain daripada itu, pembeli juga boleh menaiktaraf daripada aksesori standard seperti pemain cakera padat kepada DVD dan sistem navigasi, kerusi kulit dan roda aluminium. Jika terasa banyak sangat yang hendak ditambah, pembeli boleh sahaja memilih model spesifikasi penuh iaitu Grade VL yang pastinya lebih menarik dan mewah.

SONY DSC

Setakat ini saya sudah memandu uji tiga buah model Nissan dan harus diakui produknya mempunyai ciri tersendiri seperti pemanduan yang selesa dan semestinya penggunaan minyak yang ekonomikal. Berdasarkan pengalaman pandu uji, saya dapat rasakan Almera dibina dan dibangunkan oleh pasukan jurutera dan pereka yang berpengalaman dan mereka berjaya menanda kesemua ciri-ciri yang diperlukan oleh pasaran membangun. Almera juga popular kerana ianya menawarkan alternatif yang sesuai untuk mereka yang baru berkeluarga dan pilihan yang segar untuk menaiktaraf daripada kereta bandar. Nissan memasarkan Almera pada masa yang sangat sesuai sementara pengeluar lain menyiapkan model saingan masing-masing. Almera juga dilihat sebagai pilihan yang sesuai untuk mereka yang Asal Bukan Proton (ABP)!

@muhd_gt

Silakan kongsi:

11 comments

Skip to comment form

    • encikpadil on 15/05/2013 at 9:37 PM
    • Reply

    kat area tempat gua keja ni je ada berbijik bijik dah almari ni tp seperti yg gua jangkakan waktu ianya launching dulu, semua buyernya adalah warga emas hu hu hu…

    • beejan on 16/05/2013 at 5:30 PM
    • Reply

    Asal bukan Proton!!! hahaha… wa suka

    • hasang on 17/05/2013 at 11:51 PM
    • Reply

    Kini si Dugong Vios tidak bersendirian…. Steady.

    • speed on 21/05/2013 at 3:40 PM
    • Reply

    dugong jgak dapat nama..

    • Alteja on 21/05/2013 at 5:55 PM
    • Reply

    Pengganti terbaik Nissan Sunny… hahaha..
    Ok la.. tapi, bila atas jalan, aku kurang menggemari design je… nampak, belakang dia macam “terlondeh” sikit
    Tapi, apekedehal… kalo yang lain-lain OK termasuk harganya.. rupa kurang sikit tu, boleh cover je..

    • JAMAL 96 on 06/06/2013 at 8:57 PM
    • Reply

    review uji pandu paling terbaik…
    Nissan Almera mmg berbaloi dan sangat luas…
    beli Impul version lagi mengancam..

    • abdul rezal on 07/06/2013 at 5:34 AM
    • Reply

    boot almera mmg luas dan jimat… kalah Preve…….

    • Almera Owner on 15/06/2013 at 2:29 AM
    • Reply

    almera best.. berbaloi-baloi

    • gagak on 23/07/2013 at 10:38 PM
    • Reply

    hahaha…kenkadang kelakar komen org cornering almera x bagus…nk amek kete 60-70k citer pasal cornering..nk cornering bagus amik sport car la

    • proton owner on 27/08/2013 at 2:27 PM
    • Reply

    gagak, ape pulak sport car je yg conering bgus, ni sah asyik tgk kete luar je ni..proton punya latest start gen-2 semua conering n hndling bgus..tp ye lah nk buat mcmna kn mind set kalau dh ‘asal bukn proton’..hndling lotus mmg trbaikk der..kurang body roll n conering stedy

    • L6 on 18/01/2014 at 7:28 PM
    • Reply

    faktor harga mampu milik n keluasan..itu yg mampu melonjakkan prmintaan trhdp almiera ni..design pun so-so je la.

Leave a Reply to JAMAL 96Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.