Pandu Uji Honda Civic 2.0S: Imej Sporty, Karakter Famili!

Honda Civic mempunyai legasi yang sangat besar, model itu mula diperkenalkan pada tahun 1972 dan telah terjual jutaan unit seluruh dunia. Sewaktu mula dipasarkan di Amerika Syarikat pada tahun 70an, Civic mendapat sambutan hangat kerana pada masa itu negara tersebut mengalami krisis minyak. Di Amerika Syarikat Honda Civic lebih kepada kereta rakyat, untuk kegunaan orang ramai sebagai kenderaan harian mereka. Berbeza di tempat kita, Civic diposisikan sebagai jenama pertengahan sesuai dengan harganya. Dek kerana posisi tersebut, Civic telah mencapai status kereta idaman di mana mereka yang memilikinya sudah mencapai sesuatu dalam hidup.

Juga kerana legasi dan rekod kualiti yang baik Civic mempunyai nilai jualan semula yang stabil. Lihat sahaja di ruang iklan kereta terpakai di mana harga Civic masih lagi melekat pada aras puluhan ribu ringgit. Bukan setakat itu, Civic dipuja oleh pelbagai selera pasaran, ada yang membelinya kerana imejnya yang sporty, eksekutif dan keluarga. Ini boleh dilihat di atas jalan raya, ada pemandu berkolar putih, ada yang bawa famili dan tidak kurang yang jenis meriah dengan pelbagai aksesori. Harus tahu, Civic melalui beberapa generasi mempunyai model prestasi yang dikenali sebagai Type R. Model tersebut diubahsuai secara rasmi oleh Honda kerana perlumbaan adalah antara jiwa syarikat. Pengasasnya iaitu Soichiro Honda sendiri adalah seorang pelumba. Lebih menarik Honda Malaysia secara rasminya telah membawa masuk Civic Type R dan manisnya Malaysia adalah negara jualan rasmi kedua selepas Jepun. Tidak cukup dengan model prestasi, Honda turut memberi perhatian kepada alam sekitar apabila memasarkan Civic Hybrid. Lengkap kesemuanya varian Civic, untuk pelbagai jenis kehendak pasaran jadi tidak hairanlah kenapa model itu berjaya, kerana dengan satu model pelbagai jenis pelanggan boleh dipuaskan.

Honda Civic generasi kesembilan telah dilancarkan di dalam negara pada bulan Julai tahun lepas. Model baharu itu mempunyai sejarah kontroversi yang bertimpa-timpa. Mula sekali dilancarkan di Amerika Syarikat ramai yang mengutuk rekabentuknya tidak seradikal model sebelum ini, reviu daripada jurnalis pula tidak banyak yang menyebelahi. Kemudian program CKD terganggu dek kerana banjir besar di Thailand. Honda sendiri terputus bekalan untuk beberapa model penting sementara menunggu operasi pulih sepenuhnya. Akhirnya Civic berjaya dilancarkan di negara kita namun ramai pula yang mengkritik rekabentuknya. Ini berlaku kerana rekabentuk Civic baharu lebih konservatif berbanding model generasi kelapan. Tambahan pula, Civic baharu ini dibangunkan ketika ekonomi dunia meleset dan jangkaan pada waktu itu ialah pasaran mahukan kereta yang ekonomikal. Hakikatnya, jika dibuat kajian mengenai rekabentuk kereta-kereta Honda, syarikat itu banyak menggunakan falsafah evolusi berbanding revolusi. Ramai yang sukakan Civic generasi kelapan kerana model itu menampilkan rekabentuk yang radikal, berbeza sepenuhnya berbanding model sebelum itu. Dengan generasi kesembilan ini, Honda dilihat kembali kepada falsafah utamanya iaitu menggunakan konsep evolusi. Model generasi kelapan telah ditambah baik, permukaan yang kasar dilembutkan, yang tidak seimbang dilaraskan dan hasilnya lahirlah sebuah Civic baharu dengan rekaan yang segar, lembut dan beremosi.

Saya tahu ramai yang berpendapat model ini tidak jauh bezanya dengan City. Benar, kerana rekabentuk City adalah bahasa rekaan Honda yang terkini. Hakikatnya bahasa rekaan adalah identiti sesebuah jenama, anda boleh saksikan melalui model-model BMW misalnya, sama ada 3 series, 5 series masing-masing ada persamaan dan ini dikenali sebagai DNA. Cuma mungkin, Honda memperkenalkan bahasa rekaan baharu melalui model City, model termurah Honda dan kemudian diperkenalkan pula pada Civic. Situasi pasti berubah jika Honda memperkenalkan gaya bahasa baharu daripada model paling premium dan kemudian diturunkan ke model bawahnya. Secara peribadi saya tidak mempunyai masalah dengan rekabentuk Civic baharu malah lebih menyukainya berbanding model lama. Civic baharu lebih seksi, beremosi dan sporty – satu ciri DNA Honda.

Sesetengah reviu di Amerika Syarikat mengatakan Civic baharu ini kurang menyengat dan saya faham kenapa. Sebenarnya Honda telah menala kereta ini mengikut selera orang kebanyakan dan supaya lebih menjimatkan. Karakter pemanduannya lebih sopan ibarat seorang budiman (gentleman). Ianya sesuai untuk orang berkeluarga dan mesra wanita. Pautan sterengnya ringan semasa keluar-masuk parkir dan memberat pada kelajuan tinggi atau semasa mengambil selekoh. Suspensinya pula lembut tetapi tidak beralun-alun, cuma mungkin terasa keras dan sedikit kasar kerana kombinasi tayar 215/45 dengan rim bersaiz 17 inci. Kuasa enjin pula tidak agresif dan sangat bersahaja ditambah pula butang Econ yang menala semula respon pedal minyak, penyaman udara dan sistem lain untuk lebih ekonomikal Pecutan enjinnya dirasakan mendatar dan saya fikir itulah pengorbanan yang harus diterima untuk penggunaan minyak yang ekonomikal. Apa pun karakter enjin i-VTEC tetap menyerlah dan untuk mereka yang mahukan prestasi, alihkan sahaja seleksi gear D ke S untuk merasai karakter enjin yang berbeza dan bertenaga. Untuk penggunaan minyak, secara purata saya memperolehi bacaan 10.4km untuk setiap liter petrol. Teknologi hijau diserlahkan lagi dengan meter bantuan Eco Assist untuk memberitahu corak pemanduan si pemandu. Jika minyak ditekan secara semborono, nyalaan meter berwarna merah dipaparkan dan warna biru pula keluar bila pemanduan sederhana. Untuk mendapatkan nyalaan meter berwarna hijau iaitu tahap paling menjimatkan, pemandu perlu menekan minyak dengan sangat cermat dan lembut. Menariknya, pemanduan tidak semestinya perlahan bahkan saya mendapat warna hijau walaupun pada kelajuan menghampiri 120 km/j. Apa yang penting ialah disiplin pada kaki supaya tidak memerah minyak tak ingat dunia!

Dari segi dalaman pula, Honda memang pandai memaksimumkan ruang. Nampak dari luar seperti padat tetapi saiz dalamannya sebenarnya selesa untuk pemandu dan penumpang. Kerusi pemandu dan penumpang yang dibalut kulit terasa empuk dan sesuai untuk perjalanan jauh. Cuma yang saya tidak gemar ialah saiz papan pemukanya yang besar. Berada di kerusi pemandu anda merasakan seperti juruterbang dengan pelbagai butang dan meter namun tempiasnya terkena penumpang sebelah kerana saiz permukaan atas papan pemuka yang begitu luas hingga muat untuk diletakkan pinggan nasi atau lauk. Ukuran yang jauh dari dinding enjin hingga ke penghujung papan pemuka rasa seperti membazir ruang pun ada. Selain daripada itu, rekabentuk set pemain cakera padat juga kurang menarik dan seperti tidak sepadan dengan rekaan futuristik papan pemuka. Mungkin itu adalah strategi supaya pelanggan membeli varian Navi dengan pelbagai kemudahan seperti sambungan bluetooth, kamera undur dan sebagainya. Tetapi kesemua peralatan itu boleh dikatakan sebagai standard kilang pada masa sekarang terutama sekali pada kereta Korea dan wajar jika Honda dapat menjadikannya sebagai aksesori standard. Daripada segi keselamatan pula, Honda Civic 2.0S didatangkan dengan empat beg udara iaitu dua di depan manakala bakinya di sisi selain daripada ABS dan VSA.

Secara kesimpulannya, saya sukakan Honda Civic kerana rekabentuknya yang sporty dan jika ditambah pula dengan kit Modulo lebih menyerlah DNA Honda itu. Ada yang masih ragu-ragu? Jika ya, perhatikan model ini di atas jalan, lihat saiznya yang lebar dengan garisan bumbungnya yang rendah dan saiz cermin tingkap yang mengecil di bahagian belakang. Perhatikan juga garis bahunya yang lembut dan ringkas dan saya yakin anda akan nampak apa yang saya cuba katakan. Walaupun sarat dengan identiti sporty namun janganlah risau kerana ini bukan kereta lumba bahkan mesra keluarga dan wanita. Teknologi penjimatan minyaknya juga canggih dan segala kekurangan yang ada pasti dimaafkan kerana pada penghujung hari apa yang penting ialah poket yang tidak menipis. Honda Civic 2.0S ini dipasarkan pada harga hampir RM132 ribu, mungkin ada yang merasakannya agak tinggi dengan kemasan dan pakej yang ditawarkan. Mungkin Honda boleh membesarkan lagi pakej spesifikasi standard supaya dilihat lebih nilai untuk wang dan berbaloi berbanding pesaingnya yang lain. Apa pun, Civic tetap mempunyai kelebihan kerana jenama Honda yang kuat dan juga rekod nilai jualan semula Civic yang stabil.

@muhd_gt

Muhammad

10 Comments

  1. xde dabel wishbone, enjin single cam, kata nak jimat kos tp harga sama camtu jgk, x bleh blah…

  2. ok.. cuba test drive mazda 3 lps tu drive civic ni… anda akan faham kenapa honda ni makin slow ke belakang..

  3. gua sokong en.padil…singapore nyer dpt twincam…msia dpt singlecam…bangang sebengong bengongnye…org ats tau rembat cukai….woi.bile lg msia nk maju ni…pameran automotif pun kroni je dpt…naza buat autoshow la plak utk kroni2nyer…woi bangunlah woi…pameran katak thailand pon lebih meriah dari KLIMS

Kata Anda//