Pandu Uji Honda Civic 1.5L VTEC Turbo – Kereta keluarga rekabentuk futurustik dan berprestasi!

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

Honda Civic adalah model yang sangat penting untuk Honda. Ia mula diperkenalkan pada tahun 1972 dalam bentuk badan hatchback dua pintu. Jika ada anugerah model kereta paling ‘berdrama’ sekali dalam dunia, Honda Civic boleh disenarai pendek untuk anugerah tersebut. Civic dipasarkan mengikut apa yang Honda fikir rasa sesuai atau menerajui kehendak peminatnya.

Senang cerita, jika Honda rasa hendak keluarkan model dua pintu, mereka akan keluarkan, jika rasa hendak keluarkan model Type-R mereka akan keluarkan, jika keadaan ekonomi global tidak menentu, Honda akan keluarkan model ekonomikal yang kemudiannya tidak dipersetujui oleh sekumpulan peminat dan pelanggan.

Sekarang ini, drama diteruskan lagi melalui Honda Civic dengan rekabentuk luaran futurustik, laras duduk dan interior ala kereta super dan dibekalkan enjin berkuasa turbo. Berdasarkan garis masa sejak ia mula diperkenalkan berpuluh tahun dulu tidak pasti sama ada jenama Civic masih sesuai untuk kereta penumpang ini.

Paling ironi ialah bagaimana terma Type-R boleh diletakkan selepas perkataan Civic. Ia seolah menjenamakan rumah banglo di kawasan premium tetapi pada harga rumah bajet. Atau kempen basikal laju macam superbike atau skim pelaburan mudah dengan pulangan 1000 kali ganda (dan ramai pula yang percaya).

Tetapi itulah Honda, ia membuktikan apa yang tidak boleh dilakukan, malah berkali-kali selain menjelaskan apakah makna The Power of Dreams. Jadi tidak hairanlah apabila Honda mempunyai pengikutnya tersendiri sejak sekian lama dan sentiasa menantikan apa yang baharu dari syarikat itu.

Pandu uji

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo 2017

Baru-baru ini saya diberi peluang untuk memandu uji Honda Civic 1.5L VTEC Turbo varian (TC-P) dengan kit lengkap Modulo. Harga varian TC-P ialah RM 135,800.00 dan tambahan RM 4,650 untuk kit badan Modulo.

Sesi pandu uji Civic baharu ini adalah peluang yang sangat dinantikan memandangkan Honda mendakwa model generasi kesepuluh adalah yang terbaik pernah dihasilkan dalam siri Civic sejak 45 tahun yang lalu.

Jika diperhatikan sekarang ini sudah banyak kelihatan Honda Civic baharu berada di atas jalan raya. Paling jelas ialah varian 1.5L VTEC Turbo dan daripada pemerhatian nampaknya demografi pemandu adalah pelbagai. Ada wanita, lelaki dan pastinya golongan muda yang nampak cenderung kepada prestasi.

Tidak kurang juga yang sudah siap-siap melakukan modikasi dan berdasarkan senario di atas, sifat ingin tahu tentang Civic baharu ini semakin membersar.

Saya bersama Honda Civic 1.5L VTEC Turbo selama tiga hari dua malam dan memandunya di sekitar Lembah Klang.

Rekabentuk luaran

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

Penampilan luaran kereta ini tidak memerlukan sebarang usaha yang kuat untuk menarik perhatian ramai. Reka bentuknya sudah memasarkan kereta itu secara sendiri. Tidak perlu bersusah payah untuk merakamkan gambar menarik dari pelbagai sudut kerana ia begitu berbeza dengan generasi sebelumnya.

Ia seolah-olah anda meletak pisang goreng panas di atas meja dan pelanggan terus membelinya.

Salah satu faktor kenapa Civic ini begitu berbeza ialah saiznya. Sebagai contoh, ia 105 mm lebih panjang dan 44 mm lebih lebar berbanding Civic sebelumnya. Ketinggian bumbung Civic yang sedia rendah itu dikurangkan lagi kepada 19 mm.

Saiz penuh Civic ialah 4,630 mm (P) x 1,799 mm (L) x 1,416 mm (T) dengan jarak titik roda 2,700 mm.

Hasil ukuran baharu ini dan jenis badan ala fastback menjadikan Civic baharu sebagai sebuah kereta penumpang yang lebar, rendah dan lari dari konvensional.

Ia ibarat skuptur yang bergerak. Permukaannya nampak sibuk dengan garis-garis badan manakala di pandang dari depan, lampu utama, gril dan garis melintang pada bampar menambah lagi efek kelebaran Civic baharu ini.

Bagaimana pasukan pereka dapat meyakinkan pihak pengurusan bahawa ini adalah rekabentuk baharu untuk model konvensional mereka adalah satu keajaiban. Ia adalah bijak kerana mengharapkan keputusan yang berbeza dari falsafah pemikiran atau cara kerja sama atau yang dah lapuk itu adalah ideologi karut sebenarnya.

Reka bentuk dalaman

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

Saya harus jujur, papan pemuka Honda Civic generasi kelapan (FD) dan kesembilan (FB) bukan kegemaran saya secara peribadi. Begitu juga dengan Honda Jazz generasi kedua (GE). Ia sangat besar hingga nampak membazir ruang serta mendominasi bahagian dalaman kereta.

Ia terjadi kerana dinding penahan (firewall – panel yang membahagikan kabin dan ruang enjin) berada di dalam papan pemuka dek kerana gayaan rekabentuk membujur di mana hud enjin tampak singkat. Gayaan itu lari daripada sifir konvensional kereta di mana hud enjin perlu kelihatan panjang seperti mana yang digunakan oleh BMW, Mercedes-Benz dan Audi misalnya.

Honda Civic baharu ini telah melupakan terus gayaan papan pemuka yang besar seperti dua generasi sebelumnya. Kali ini ia tampil dengan bagaimana pereka lain merekabentuk papan pemuka kereta penumpang mereka. Ia tampak ringkas tetapi mewah dengan penggunaan material bermutu.

Paling menyerlah semestinya meter pemanduan digital berwarna yang memaparkan pelbagai maklumat pemanduan dan informasi tetapan. Akan tetapi meter suhu enjin pada sebelah kiri panel meter nampak seperti terlampau besar untuk memaparkan informasi tunggal sahaja.

Sistem multimedia yang dipanggil Advanced Display Audio juga canggih dengan pelbagai maklumat dan gabungan meter pemanduan digital serta multimedia ini kena pada era telefon pintar masa sekarang. Ia meriah dengan pelbagai fungsi di mana pemandu boleh bermain-main dengan seleksi tetapan atau meneroka menu yang ditawarkan.

Papan pemuka juga tidak berserabut dengan pelbagai butang di mana kebanyakannya telah diganti dan disorokkan pada sistem multimedia itu.

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

Lebih minimalis apabila tiada brek tangan pada konsol tengah yang digantikan dengan brek parkir elektronik. Hanya tekan dan tarik butang untuk aktif atau nyahaktif brek parkir tersebut. Ruang letak dan simpanan barang juga kemas dan tersusun di konsol tengah dan menariknya terdapat ruang rahsia di bawah tombol gear ala Volvo generasi sebelum ini.

Walaupun Honda Civic baharu ini bentuknya ala coupé namun bahagian atas kepala tidaklah terhad malah dibekalkan ruang yang agak selesa. Pemandu dan penumpang tenggelam di dalam badan kereta dan ruang kaki turut selesa untuk bergerak.

Tempat duduk juga tipikal sebuah Honda yang selesa menyokong punggung dan peha cuma perehat badan kerusi depan mengecil ke bahagian bahu dan ia terasa tidak cukup besar seperti Civic sebelum ini.

Saiz but belakang 519 liter juga luas untuk mengisi barangan walaupun secara fizikal dari luar nampak seperti kecil dan singkat sahaja.

Nadi kuasa

Honda cukup berbangga dengan Enjin 1.5L VTEC Turbo baharu ini dengan transmisi CVT yang dibangunkan di bawah Earth Dreams Technology. Kata mereka, enjin bersesaran 1,498 cc itu mempunyai kuasa seperti enjin 2.4 liter dengan penggunaan minyak ibarat enjin 1.8 liter.

Output enjin itu ialah 173 ps pada 5,500 rpm dengan tork 220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm. Sebagai perbandingan, Honda Accord 2.0 berkuasa 175 ps pada 6,200 rpm dengan tork 225 Nm pada 4,000 rpm

Kelajuan maksimum Honda Civic 1.5 VTEC Turbo ialah 200 km/j dan capaian dari pegun hingga 100 km/j mengambil masa 8.2 saat.

Pengalaman pemanduan

Pertama kali memasuki kereta ini ialah anda dihidangkan dengan ambien segar kontemporari yang ingin dibawa Honda. Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang baru kerana Honda telah menggunapakai imej seperti ini pada Honda CR-Z.

Bentuk papan pemuka tampak ringkas dan lebih kepada gayaan malar segar (evergreen). Menaikkan seri papan pemuka itu ialah skrin multimedia tujuh inci dan meter instrumen digital.

Informasi pada meter instrumen adalah sama sahaja dengan meter analog seperti kelajuan, rpm, penggunaan minyak, perjalanan dan tekanan turbo tetapi ia dipersembahkan dalam bentuk digital.

Konsep yang digunakan ini sebenarnya penting untuk Civic kerana ia adalah lambang ke mana Honda mahu pergi. Tambahan pula dalam era masa kini di mana kehidupan bersambung dengan dunia digital melalui pelbagai gajet dan aplikasi.

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

Begitu juga dengan sistem multimedia Advanced Display Audio bersaiz tujuh inci yang mengandungi fungsi navigasi, tetapan kereta dan penyaman udara. Hampir kesemuanya telah menjadi digital dan dilaras menggunakan sentuhan jari. Ia turut menarik kerana pemandu boleh bermain dengan antara muka yang disediakan seperti mana anda ‘swipe’ telefon bimbit atau tablet.

Konsol tengah juga suatu yang berbeza dengan Honda sebelum ini. Ia agak tinggi dan lebar seolah-olah melambangkan sempadan jelas di antara pemandu dan penumpang sebelah. Laras duduk juga tegap dan terasa seperti sebuah kokpit yang dikelilingi oleh perkakasan kiri dan kanan ala kereta super – secara literal.

Dengan laras duduk yang tegap bagaimana rasanya kereta ini dipandu?

Pertama kali menekan pedal minyak ia terasa seperti tipikal sebuah kereta yang dijanakan kuasa turbo, terma yang biasa digunakan ialah ‘boosted’. Melalui suai kenal tersebut, rasa ingin tahu semakin kuat untuk mencubanya di jalan terbuka.

Sampai sahaja di jalan yang lengang, pedal ditekan kuat untuk merasa bagaimana respon 1.5 VTEC Turbo dan hasilnya ialah ia bertindak balas seperti yang dijangka. Kereta meluru laju ke depan tetapi itu bukanlah faktor utama, ia adalah mengenai bagaimana casis Honda Civic ini menampung kuasa tersebut.

Dalam kelajuan melebihi 100 km/j dan seterusnya boleh dirasakan kereta tegap membelah laluan manakala suasana kabin senyap kecuali respon desakan enjin yang diarahkan bekerja kuat namun masih terkawal. Tiba di jalan berliku pula, sifat ingin tahu semakin kuat bagaimana koordinasi dinamik kereta ini berfungsi.

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo 2017

Pedal ditekan lebih kuat sebelum selekoh serta dikurangkan dan dikekalkan semasa hendak melaluinya, olengan badan sedikit terasa tetapi kereta tetap berada pada laluannya. Dengan tindak balas suspensi dan stereng yang meyakinkan, pedal ditekan lagi dan ia adalah momen manis bagaimana casis dan suspensi menguruskan desakan dari input pemandu supaya kereta tidak terkeluar dari laluan mengikut darjah stereng dan selekoh.

Walau bagaimanapun, Honda Civic 1.5 VTEC Turbo bukanlah sebuah kereta lumba yang dihomologasi untuk jalanan, ia juga bukan seperti kereta premium dari Jerman bertindak balas, bagaimana jurutera Honda menala pengendalian adalah supaya ia bersesuaian dengan output kuasa berprestasi, tidak kurang dan tidak lebih. Ia bertindak balas seadanya seperti sebuah sedan yang lebih sedikit berbanding sedan lain.

Ia seolah-olah 1+1 = 2 atau kereta ini berprestasi jadi pengendaliannya perlu setara. Casisnya tidak terasa seperti ‘over engineered’ yang dimiliki oleh BMW misalnya atau Proton Satria Neo.

Seperkara yang harus dipuji ialah tahap bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) yang jauh berbeza dari Civic generasi kesembilan. Tayar bersaiz 215/50 R17 dan suspensi menyerap hentak lopak dan lubang jalan raya dengan baik sekali. Prestasi membrek juga boleh tahan dan cekap memberhentikan kereta.

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

Kesimpulan

Jika ada yang bertanya, adakah Honda Civic 1.5 VTEC Turbo ini bagus, saya akan mengangguk dan jawab iya. Teknologi yang digunakan seperti enjin turbo atau meter digital sebenarnya sudah dilengkapi pada kereta lain terutama sekali model-model Eropah mahu pun Proton sendiri. Tetapi apabila Honda menggunakannya ia menjadi tarikan dek kerana rekod kualiti dan jenamanya yang kuat.

Bukan mudah untuk sebuah pengeluar terutama sekali dari Jepun menggunakan teknologi atau inovasi baharu. Ia adalah mengenai reputasi dan andai kata percubaan itu gagal maka rosaklah nama baik jenama yang telah dibina sejak sekian lama.

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo mempunyai segala ciri untuk menjadikannya sebagai pilihan utama dalam segmen C. Ia mempunyai reka bentuk yang unik walaupun terdapat pengaruh kereta Eropah, interiornya lega dan selesa, kuasanya pula menawarkan dua nikmat, satu dalam bentuk prestasi dan satu lagi penjimatan bahan api.

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo

Tidak dilupakan senarai kelengkapan keselamatan seperti enam beg udara, Bantuan Penstabilan Kenderaan (VSA), Sistem Anti Brek Kekunci (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Auto Brake Hold (ABH), Brake Assist (BA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS) menjadikan kereta ini lebih meyakinkan untuk dipandu.

Honda Civic 1.5 VTEC Turbo merupakan lambang kebangkitan dan sifat tidak mengalah Honda selepas Civic generasi sebelum ini dikritik kuat. Ia dibangunkan untuk menang dan tidak hairanlah Honda sendiri yakin serta terang-terang mengakui bahawa Civic generasi kesepuluh adalah yang terbaik setakat ini.

Selesai sesi pandu uji, saya faham kenapa Honda begitu yakin Civic generasi kesepuluh adalah yang terbaik dan saya bersetuju dengan keyakinan yang dipegang itu. Andaikata Honda mahu pergi lebih hebat, saya mahu cadangkan supaya Civic ini disamakan terus dengan pemanduan dan pengendalian menawan seperti kereta Eropah, tidak perlu BMW atau Audi, Volkswagen sudah memadai.

(20 foto) Galeri gambar Honda Civic 1.5 VTEC Turbo (TC-P) dengan kit badan Modulo:

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.