Pandu Uji Honda Accord 2.4 Generasi Ke-9

SONY DSC

Honda Accord generasi kesembilan telah dilancarkan di pasaran tempatan pada awal September 2013. Kereta segmen D ini mempunyai pengikut tersendiri malah menjadi impian atau simbol status sesetengah orang. Honda Accord disasarkan untuk mereka yang senior dengan anak-anak yang sudah membesar dan tidak memerlukan kereta yang terlampau besar untuk ke sana ke mari. Jika diamati atau sekali pandang, memang jelas Accord baharu ini tampak lebih kecil dari model generasi kelapan yang nampak seperti kembang di bahagian belakang. Honda mengecilkan saiz luaran Accord baharu hasil dari input pelanggan dan berjaya melakukan magisnya pada interior kereta yang kini lebih besar berbanding model sebelumnya.

Bias atau tidak, saya seorang penggemar Honda tetapi bukan kerana posisi di pasaran tempatan sebagai jenama eksekutif tetapi lebih kepada sejarah dan survival jenama dari Jepun itu. Garis masa Soichiro Honda yang ‘gedebe’ semasa mengasaskan dan mengemudi syarikat ini begitu memikat hati. Iya, Honda suka bermain dengan garis sempadan kesempurnaan, di sebalik model-model popular terdapat beberapa model yang dipasarkan dengan talaan atau kejuruteraan yang tidak menepati selera jika jumlah jualan tidak didefinisikan sebagai kejayaan. Mungkin kerana menerima bulat-bulat dapatan kajian pasaran atau terikut-ikut DNA pengeluar lain tetapi sebagai organisasi yang sentiasa belajar (learning organization) anda dapat lihat bagaimana Honda berusaha untuk menepati selera pelbagai pasaran di dunia.

SONY DSC

Di hadapan saya adalah Honda Accord generasi kesembilan, model ini adalah simbolik evolusi dan pengalaman yang Honda perolehi selama berpuluh tahun. Sedia maklum, pesaing utama Accord ialah Toyota Camry dan setahu saya model Honda itu belum pernah mengalahkan pesaingnya dari segi jualan. Mungkin faktor luaran Accord yang tidak jelas gaya eksekutifnya atau mungkin juga kerana jenama Camry yang sudah sebati di dalam segmen D. Accord generasi kesembilan (dan Honda City generasi ketiga – pesaing Toyota Vios) cuba untuk mengubah status quo itu dan melalui pengamatan peribadi sudah ada sikit imbangan daripada golongan sasar untuk cenderung memilih Accord.

Dari luar, gayaan keras dan ikonik model terdahulu telah dilembutkan serta diperincikan menghasilkan imej yang lebih sofistikated dan bersahaja supaya nampak sentiasa segar (timeless) untuk masa-masa akan datang. Dari bahagian depan, Accord nampak matang, lebar dan berdiri dengan segak, lampu DRL yang menyala pula memberi efek kehadiran kereta ini di hadapan orang ramai. Pada bahagian sisi pula terima kasih kepada pereka yang telah melembutkan garisan dinamik keras yang ketara pada model sebelumnya. Pintu dan cermin sisi penumpang belakang nampak panjang dan tertarik ke belakang ala sebuah model dari Jerman ditambah pula dengan “kink” pintu belakang seolah mengiyakan pengaruh negara Eropah itu. Beralih ke bahagian belakang pula tidak banyak yang boleh diulas kerana ianya sudah memadai dan menariknya terdapat pengaruh gayaan jenama Jerman seperti bahagian sisi tadi.

SONY DSC

Pada bahagian dalaman, susun letak suis dan beberapa peralatan lain adalah tipikal sebuah produk Honda. Ambiennya membawa DNA Honda, gelap, permukaan yang bercorak dan beralun tetapi tidak boleh lari dari penjimatan kos. Terdapat beberapa bahagian seperti papan pemuka dan pelapik pintu yang diliputi dengan material lembut (soft touch) namun secara majoritinya masih menggunakan plastik keras dan itulah hakikat standard pembuatan kereta hari ini. Pasaran mahukan produk dengan harga yang berpatutan tetapi dengan segala peralatan yang canggih pada masa kini beberapa perkara terpaksa dikompromi dan yang mudah menjadi sasaran ialah plastik dalaman. Sementara pakar industri menemui formula bagaimana untuk menjadikan permukaan plastik nampak lebih mahal dan alah kusam, pengguna terpaksa menerima apa yang ada asalkan kereta cekap tenaga dan selamat melalui penggunaan teknologi aktif dan pasif. Kompromi pada permukaan dalaman ditebus kembali antaranya melalui peralatan canggih seperti kamera membelok yang dipanggil Honda LaneWatch System (HLWS).

Konsep yang diaplikasikan mudah iaitu pasangkan sahaja lensa kamera pada cermin sisi belah kiri dan paparkan imej yang dirakam secara langsung pada skrin di tengah papan pemuka. Imej sisi kenderaan akan diaktifkan apabila pemandu menolak tuil isyarat membelok dan objek yang biasanya terlindung (blind spot) jelas boleh dilihat dan radius capaiannya agak luas berbanding cermin sisi yang terhad. Teknologi tersebut sangat praktikal dan membantu seterusnya membuatkan saya terfikir kenapa tiada pengeluar yang menggunakannya sebelum ini. Dan sebelum itu kenapa Honda tidak menggunakannya pada cermin sisi sebelah kanan? Jawapannya ialah dek kerana teknologi ini masih baharu di mana pemandu mungkin akan terkeliru kerana bukan mudah untuk otak kiri dan kanan menukar fungsi memandangkan imej sisi kanan dan kiri kenderaan akan dipaparkan pada skrin tunggal.Walaupun itu adalah alasan yang boleh didebatkan di mana tidak semua pemandu akan mudah terkeliru namun risiko adalah lebih mudah untuk dialihkan daripada menanggungnya setiap masa. Daripada membiarkan sisi kanan kereta kosong tanpa bantuan rasanya lebih elok jika dibekalkan sistem amaran titik buta yang menggunakan sensor seumpama Volvo dan Nissan.

SONY DSC

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Honda telah mengecilkan saiz luaran tetapi pada masa yang sama berjaya menambah saiz ruang dalaman. Bagaimana mereka melakukannya ialah dengan mengecilkan peralatan dalaman seperti kerusi, pelapik pintu dan papan pemuka yang nampak lebih kecil. Accord yang sedia luas kini bertambah luas dan penumpang belakang semestinya berasa lega dengan ruang kaki yang lapang ala kereta LWB (long wheel base). Kerusi pemandu yang disediakan selesa dan kemas menyokong badan manakala perasaan duduk di belakang juga tidak memenatkan di tambah pula bidai pada kedua-dua sisi cermin yang memberi privasi dari dunia luar. Untuk berjalan jauh pula tidak menjadi masalah untuk menyimpang beg-beg dan bagasi kerana bonet belakang cukup luas untuk diisi.

Sudah menjadi kebiasaan kebanyakan kereta hari ini di mana kamera undur menjadi peralatan standard apatah lagi untuk kereta eksekutif sebegini cuma yang menjadi masalah ialah kualiti paparan yang boleh dipertingkatkan lagi. Paparan HLWS juga boleh diterangkan lagi dan saya ternanti-nanti teknologi paparan HD untuk skrin multimedia kereta. Isu yang kritikal mengenai kadar kejelasan skrin LCD hari ini apabila ianya ditala mengikut nyalaan lampu DRL. Memandangkan DRL terbuka pada waktu siang maka skrin LCD akan dimalapkan menjadikan paparan tidak selesa untuk diteliti dan agak menggangu konsentrasi pemanduan apatah lagi apabila posisinya betul-betul terkena cahaya matahari. Turut menggangu apabila kemasan perak pada papan pemuka memantulkan cahaya ke muka menjadikan penglihatan agak silau apabila memandang ke arah skrin multimedia. Sistem hiburan kereta ini turut dibekalkan dengan pemain DVD, sambungan bluetooth dan cakera keras dan semestinya kemudahan navigasi jika pemandu tidak mahu menggunakan aplikasi perjalanan pada telefon pintar.

SONY DSC

Memandu Accord 2.4 ini adalah suatu yang menyeronokkan. Pertama kali melabuhkan badan ke kerusi pemandu terasa tipikal sebuah kereta Honda, anda tidak boleh silap walaupun menutup mata. Bagaimana peha dilaras, suis-suis dan stereng dengan suntikan ala kereta lumba tetapi dengan pengaruh kemewahan. Enjin 2.4 i-VTEC yang dibekalkan untuk model ini ialah versi baharu teknologi Honda yang digelar Earth Dreams (EDT) di mana penggunaan minyak lebih ekonomikal di samping emisi CO2 yang lebih rendah.  Isu yang menjadi perdebatan jurutera kereta hari ini ialah bagaimana untuk menala stereng menggunakan teknologi EPS (Electronic Power Steering). Honda menggunakan teknologi MA-EPS (Motion Active) yang apabila digabungkan dengan sistem VSA (Vehicle Stability Assist) akan memberikan sedikit input kepada stereng untuk pemandu melakukan tindak balas sewaktu gelinciran over-steer atau under-steer. Sewaktu memandu kereta ini saya tidak pula mengalami keadaan itu cuma apa yang diperhatikan ialah sifat standard EPS iaitu ringan semasa dalam keadaan statik yang mana sangat membantu untuk memarkir atau menukar lorong semasa trafik sesak.

Perkara yang saya agak cerewet di dalam menilai ialah bagaimana sesebuah kereta berkelakuan pada selekoh dan semasa kelajuan tinggi. Saya fikir jurutera Honda telah melakukan dengan betul pada Accord 2.4. Kereta ini patuh pada input tangan pada stereng semasa mengambil selekoh dan semakin memberat sekadarnya pada kelajuan tinggi. Semasa di dalam trafik bandar pula, kereta terasa ringan dan lincah untuk mencelah atau membuat keputusan pantas. Anda tidak boleh bandingkan dengan kereta sport tetapi saya sukakan bagaimana pemanduan dan pengendalian (R&H) Accord 2.4 ditala, ada sedikit bias terhadap unsur sporty yang melahirkan rasa seronok pada pemandu. Kereta tidak terasa ringan atau terapung-apung di dalam kelajuan tinggi tetapi tidak pula menyamai rasa ‘berat’ sesetengah kereta Eropah. Iya mungkin pakej sistem bantuan elektronik banyak membantu tetapi bagaimana jurutera menala supaya rasa seperti ‘natural’ itu yang penting. Walau bagaimapun tidak boleh lari dengan Honda masa kini apabila suspensi terasa sedikit keras tambahan pula dengan kombinasi tayar profail rendah bersaiz 18 inci.

Honda Accord 2.4 2014.14

Suasana di dalam kereta pula terasa senyap dan bukanlah kerana penebat bunyi (yang berat) semata kerana Honda menggunakan teknologi Active Noise Cancellation (ANC) di mana mikrofon kecil di dalam kabin akan menyerap bunyi yang menceroboh masuk dan mengalihkannya ke unit ANC. Karakter enjin pula adalah tipikal i-VTEC yang ‘berehi’ (galak) untuk dilonjakkan melalui pedal minyak manakala transmisi lima kelajuan automatik pula seperti biasa terasa serasi dengan enjin ini. Accord 2.4 dibekalkan dengan tuil penginjak gear pada stereng dan untuk pemandu yang mahukan efek agresif, tolakkan sahaja gear ke mod S yang menaikkan kadar putaran enjin. Seperkara yang saya perasan mengenai karakter enjin EDT ialah walaupun kereta bergerak laju namun putaran enjin (rpm) masih rendah dan terasa seperti pertembungan di antara laju dan talaan yang mahu memperlahankan kelajuan melalui putaran enjin yang menarik ke bawah dan anda boleh membetulkannya dengan lebih perahan pedal minyak. Tetapi itu bukanlah masalah yang besar kerana keseronokan tetap wujud dan rasanya itulah imbangan talaan kereta moden untuk mendapatkan penggunaan minyak yang ekonomikal. Seperti biasa Honda membekalkan butang Eco Mode dan nyalaan meter Eco berwarna hijau sebagai bantuan untuk mencapai pemanduan ekonomikal. Tahap penggunaan minyak yang saya capai tanpa aplikasi Eco Mode untuk pemanduan urban dan lebuh raya ialah 11km/l iaitu angka yang berpadanan dan diboleh dibanggakan untuk sebuah kereta besar dengan sesaran enjin 2,400 cc.

SONY DSC

Ulasan yang boleh disimpulkan ialah saya seronok memandu kereta ini. Accord 2.4 bukanlah sebuah kereta eksekutif biasa-biasa kerana ianya turut hadir dengan unsur keseronokan pemanduan yang merupakan di antara DNA Honda. Pemanduan dan pengendaliannya seimbang mengikut standard peribadi dan walaupun saiz kereta ini besar saya berasa seperti memandu kereta kecil dan sebati sekali yang mendefinisikan maksud terma seronok itu. Penumpang belakang pula semestinya berasa lapang dengan keluasan yang dibekalkan dan tidak janggal jika kereta ini dijadikan kenderaan rasmi untuk membawa bos-bos dengan pemandu di depan. Isu yang boleh diberikan perhatian ialah lebih mendapan semasa kelajuan tinggi (downforce) ala kereta buatan Jerman dan kualiti dalaman seperti paparan visual boleh dijelaskan lagi manakala perkakasan plastik boleh dipertingkatkan (atau disorokkan dari pandangan mata) supaya sesuai dengan imej dan harga RM174 ribu yang dibayar pengguna.

Senang kata, saya sukakan bagaimana kereta ini ditala di mana unsur keseronokan turut dipakejkan sekali. Honda Accord 2.4 adalah sebuah kereta yang mempunyai karakter. Saya fikir beginilah sepatutnya Honda diwakili dan definisikan di mana pemandu akan sentiasa teringat-ingat untuk memandunya dan mereka yang lain selesa untuk menumpanginya. Pengalaman manis yang sentiasa diingati dan begitulah Honda Accord 2.4.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.