Pasukan Proton R3 Menjuarai Pusingan Akhir MSS 2014

Proton R3 MSS Final 2014.01

Pasukan Proton R3 telah menjuarai pusingan terakhir Super Series Malaysia 2014 yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 November lepas. Pasukan Proton R3 berusaha keras sepanjang perlumbaan hinggalah bendera penamat dilayangkan. Kereta Proton Suprima S R3 nombor 12 memenangi tempat pertama dan diikuti oleh Proton Prevé R3 nombor 11. Pasukan Proton R3 menggunakan segala keupayaan mereka termasuk berjaya melakukan dua hentian pit pantas dan semangat kerja berpasukan bagi meraih kemenangan terbaik pada musim ini.

Proton Suprima S R3 no. 12 dipandu oleh James Veerapen dan Tengku Ezan memenangi perlumbaan dengan masa 1 jam, 1 minit dan 35 saat dan lebih menarik apabila mencatatkan rekod sepusingan terbaik pasukan di dalam perlumbaan iaitu 2 minit 37 saat di dalam trek sepanjang 5.543km itu. Proton Prevé R3 no. 11 yang dipandu Syafiq Ali pula memenangi tempat kedua dengan masa 1 jam, 1 minit dan 57 saat.

Proton R3 MSS Final 2014.06

Turut membanggakan apabila beberapa Proton Satria Neo menyusuli bendera penamat iaitu tempat ketiga dari Pasukan Sakura-Tedco Racing, tempat keempat oleh Pasukan R Engineering dan tempat keenam oleh Pasukan Glocomp Racing. Tempat kelima diduduki oleh Pasukan Honda Malaysia Racing dengan kereta Honda City. Sebanyak 16 kereta bertanding di dalam Kategori Kereta Touring Malaysia (1600cc) yang terdiri daripada pelbagai jenama seperti Proton, Honda, Suzuki dan Toyota.

Juara keseluruhan dimenangi oleh Pasukan Sakura-Tedco Racing yang membawa jenama Proton dengan kereta Proton Satria Neo. Ini adalah kali keempat berturut-turut Proton Satria Neo memenangi keseluruhan kejuaraan iaitu pada tahun 2011, 2012 dan 2013 melalui Pasukan Proton R3 dengan kereta lumba Satria Neo R3.

Silakan kongsi:

Pandu Uji Nissan Teana 2.0XL 2014

SONY DSC

Berdasarkan rekod terbitan nampaknya GearTinggi.com kerap memaparkan pandu uji kereta buatan Nissan. Malah sejumlah artikel berkaitan Nissan juga banyak disiarkan di dalam blog ini. Trend tersebut bukan kerana hubungan istimewa dengan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melainkan bahan yang mesra media. Harus tahu, ETCM menyediakan siaran media di dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris dan Cina yang merupakan amalan terpuji dan harus dicontohi firma lain yang gemar benar dengan bahasa Inggeris. Saya tidak pasti sejak bila bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi negara kita. ETCM juga setakat ini proaktif dan reaktif di dalam menyediakan kereta pandu uji. Untuk model Teana misalnya, ini adalah kali ketiga saya memandu uji di mana dua darinya merupakan model generasi kedua (J32) dan yang terkini ialah model baharu Teana generasi ketiga (L33).

Setelah beberapa kali memandu uji produk Nissan, satu perkara sinonim yang dapat saya kaitkan dengan pengeluar dari Jepun ini ialah mereka meletakkan keselesaan pemandu dan penumpang di satu tahap yang tinggi kecuali reka bentuk konservatif pada sesetengah model keluaran mereka. Nissan suka benar bereksperimen dengan reka bentuk, lihat sahaja beberapa model seperti GT-R, Juke, Almera dan Cube. Masing-masing membawa arah sendiri.

Walaupun reka bentuk adalah satu perkara yang subjektif namun jika diletakkan sebaris dengan pesaing lain tidak salah jika dikatakan gayaan Teana nampak lebih berusia berbanding Honda Accord dan Toyota Camry. Jadi apabila Nissan mula-mula mempamerkan Teana baharu di peringkat antarabangsa saya begitu teruja untuk melihatnya di depan mata dan menunggu-nunggu tarikh pelancaran tempatan. Nissan Teana generasi ketiga begitu berbeza, reka bentuknya lain dari model sebelumnya dan nampaknya mampu berdiri megah sebaris pesaing segmen D lain. Bahkan Teana baharu bukan sahaja dipersiapkan untuk bersaing dengan Toyota atau Honda tetapi turut bersedia dalam mempertahankan reputasinya dengan pengeluar dari Korea seperti Hyundai dan Kia.

SONY DSC

Nissan Teana baharu masih mengekalkan DNA model terdahulu iaitu saiz badan yang besar. Cuba perhatikan atau berdiri di sebelah kereta ini rasanya susah untuk menafikan saiznya yang besar, kehadiran Teana jelas seolah-olah memberitahu orang ramai bahawa anda sudah pun tiba ke destinasi yang dituju. Berbanding dengan Teana generasi kedua, pereka model baharu telah mengolah semula reka bentuk daripada semata-mata besar kepada besar yang bergaya. Garisan-garisan keras telah dilembutkan dengan lengkukan dan sudut bujur, permukaan sisi pula lebih beralun manakala fender sisi dan bahagian depan kereta dibentuk mengikut aliran angin. Bahagian belakang yang dahulunya bersegi dan bersahaja diolah semula dan secara keseluruhannya menjadikan Teana sebagai sebuah sedan yang bergaya dan kontemporari.

Saya memilih untuk memandu uji Nissan Teana kerana dua pengalaman sebelum ini merupakan pemilihan yang tepat untuk membawa seisi keluarga dengan selesa. Memandangkan Teana adalah sebuah sedan dan bukannya SUV, kenyataan itu menunjukkan bahawa Teana bukanlah sekadar kereta eksekutif biasa tambahan pula destinasi kali ini ke Pulau Pinang selama tiga hari dua malam dengan jarak perjalanan melebihi 750 km.

SONY DSC

Setibanya saya di ibu pejabat ETCM di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Nissan Teana 2.0 XL berwarna Storm Blue sudah pun tersedia. ETCM menawarkan tiga varian Nissan Teana kepada pasaran iaitu 2.5XV, 2.0XL dan 2.0XE dengan perbezaan ketara pada kelengkapan elektronik, kemasan dalaman, sistem multimedia dan roda aluminium. Varian XL yang dipandu uji kali ini merupakan spesifikasi tertinggi untuk model bersesaran 2.0 liter yang dipasarkan pada harga RM149,800.

Sewaktu mula melabuhkan badan ke dalam Teana, perkara pertama yang saya perasan ialah suasana dalaman yang serba hitam dan sofistikated. Selain dari itu, reka bentuk dalaman Teana yang dahulunya luas kini secara visual dan fizikal terasa sedikit kecil. Mungkin juga faktor pengalaman memandu uji model lama dan Honda Accord generasi kesembilan yang terkenal dengan saiz dalaman yang mana perbezaan itu turut diakui oleh ahli keluarga saya. Menebus rasa itu ialah reka bentuk, susun atur dan material yang digunakan lebih kemas dan nampak mewah berbanding Teana lama. Seolah-olah berada di dalam kereta premium buatan Eropah dan tidak hairanlah kerana Nissan sendiri mempunyai jenama mewah iaitu Infiniti yang dipasarkan di pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.

Suatu yang menggembirakan apabila Nissan tidak terbawa-bawa dengan trend interior hari ini yang didominasi plastik keras yang nampak murah dan cepat kusam. Kebanyakan peralatan Teana seperti papan pemuka dan pelapik pintu menggunakan material lembut (soft touch) yang mewujudkan suasana dan rasa mewah selari dengan segmen dan harganya. Plastik keras masih digunakan tetapi disorokkan pada bahagian kurang sensitif iaitu lokasi yang jarang wujud interaksi di antara pengguna dan peralatan. Sistem multimedia pula dilengkapi dengan pemain cakera padat, sambungan bluetooth dan kamera undur. Grafik multimedia disusun kemas dengan bahasa komunikasi seperti kereta premium dan tidak nampak seperti talaan murah. Cuma agak menggangu apabila panel papan pemuka direka condong ke depan dan memantulkan cahaya matahari ke skrin. Paparan visual undur pula walaupun menjalankan fungsinya tetapi lebih bagus jika diterangkan lagi. Selari dengan trend semasa, Teana baharu turut dilengkapi Paparan ADAD (Advanced Drive Assist Display) bersaiz empat inci dengan warna grafik 3D pada gugusan meter enjin. Fungsi paparan itu tidak dibiarkan dengan bacaan asas sahaja malah boleh dikatakan agak meriah dengan pelbagai fungsi dan talaan.

SONY DSC

Mula memandu Nissan Teana saya mengimbas kembali pengalaman dua pandu uji model sebelum ini. Saya ingin merasa bagaimana set suspensi dan kerangka kereta ini menyerap hentakan yang berjaya dilakukan dengan baik oleh Teana generasi kedua. Nampaknya jurutera Nissan telah mengubah status tersebut menjadikan kereta ini lebih keras (firm). Hentakan dan getaran dirasai namun tidaklah setegar kereta sport, ianya tetap Teana yang saya kenali dengan unsur pengasingan di antara hentakan di luar dan keselesaan dalaman. Cuma reaksinya tidak sama seperti Teana generasi kedua yang ibarat sofa bergerak. Kerusi pemandu juga selesa tetapi kontur bahagian peha terasa kecil dan seperti perlukan lebih sokongan dan pautan. Teana baharu dilengkapi kerusi “Berinspirasikan kepada Sifar Graviti” yang membantu mengurangkan beban pada otot dan tulang belakang yang turut menambah baik aliran darah. Fungsi tersebut dikatakan dapat mengurangkan keletihan semasa memandu dalam tempoh yang lama.  Selain daripada isu peha, harus diakui saya kurang berasa penat memandu tambahan pula trafik pulang dari Pulau Pinang agak sesak selepas cuti Deepavali dan Awal Muharam. Berehat di belakang juga selesa dengan corong penyaman udara di antara kerusi pemandu dan penumpang sisi. Cuma mungkin penggunaan warna hitam menjadikan suasana terasa kelam dan ruang kaki pula tidak terasa luas seperti Honda Accord. Membawa barangan untuk empat orang dewasa dan satu kanak-kanak pula tidak menjadi masalah dengan ruang kargo sebesar 516 liter. Ciri yang saya gemari pada kereta segmen D.

Dari segi pengendalian pula, Nissan menggunakan teknologi EHPS  (Electro-Hydraulic Power Steering). Teknologi tersebut menjadikan stereng ringan untuk dipulas di dalam keadaan statik dan sangat menyenangkan untuk pergerakan masuk-keluar parkir. Stereng memberat semasa kelajuan tinggi dan agak patuh melalui laluan selekoh (corner line) yang di pilih. Cuma seperti model terdahulu, Teana masih terasa ringan semasa kelajuan tinggi dan perlukan lebih mendapan (down force) supaya lebih yakin meluncur laju. Olengan juga terasa agak banyak dan lebih harmoni jika disetarakan dengan ketegaran sistem suspensi yang ditala. Suatu perkara yang harus dipuji ialah peralatan standard merentasi varian bermula dari paling asas hingga tertinggi. Kesemua Teana dilengkapi Ciri AUC (Active Understeer Control) yang menggunakan logik kawalan pintar dan penggerak brek yang responsif untuk mengaktifkan brek pada bahagian dalam roda hadapan ketika mengambil selekoh tajam.

SONY DSC

Juga standard ialah VDC (Vehicle Dynamic Control) dan TCS (Traction Control System) untuk  membantu pemandu mengawal kereta serta belokan selamat dan lancar di atas jalan yang licin, basah atau berpasir. Selain dari itu kesemua varian Teana dilengkapi enam beg udara SRS selain daripada ABS (Anti-locking Braking System), EBD (Electronic Brakeforce Distribution) dan BA (Brake Assist System) yang membantu pemandu mengawal kenderaan dan di dalam situasi cemas supaya kereta kekal stabil terutama sekali di atas permukaan jalan licin. HSA (Hill Start Assist) turut dipasangkan yang sangat membantu supaya kereta tidak meluncur ke belakang selepas berhenti di atas permukaan curam. Juga harus dipuji ialah bagaimana jurutera akustik berjaya menjadikan kabin Teana begitu senyap. Di mana Honda menggunakan teknologi Active Noise Cancelling (ANC) untuk Accord, Nissan pula secara bersahaja menggunakan material yang menyerap bunyi. Pemandu tidak terasa terganggu manakala penumpang pula dapat berkomunikasi tanpa dipengaruhi bunyi asing dari luar.

Bagi menggerakkan Teana, Nissan masih mengekalkan enjin MR20DE pada varian 2.0XL dan 2.0XE. Enjin empat silinder, 16 injap bersesaran 1,997cc itu menawarkan kuasa maksimum 136hp dan tork 190Nm. Kesemua varian Teana dibekalkan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi baharu di mana 70% bahagian telah direka semula untuk mengurangkan tahap geseran dalaman dengan bentuk keseluruhan yang kini lebih kompak. Teana 2.0 tidak mempunyai masalah jika dipandu di dalam keadaan biasa dan budiman (gentleman) cuma apabila dikerah seperti memotong atau meningkatkan kelajuan terasa enjin MR20DE dan transmisi XCVT berkerja keras dalam mendapatkan kuasa. Pada masa ini saya merindui karakter enjin 2.5 V6 pada model terdahulu. Untuk pemanduan yang lebih ekonomikal, Nissan memasangkan butang Eco yang terus mengubah karakter enjin kepada lebih sedatif. Jika kedua-dua talaan normal dan Eco itu merencatkan keseronokan pemanduan, tekan sahaja butang Sport pada tuil gear yang meningkatkan putaran enjin dan menjadikannya lebih agresif. Dari Teana dengan enjin bersahaja kini bertukar sifat menjadi lebih galak di atas jalan raya.

SONY DSC

Dari segi pakej dan nilai keseluruhan ternyata Nissan Teana mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya. Perancang produk ETCM telah melakukan kerja yang baik melalui kelengkapan yang tersedia pada Teana. Maklumlah, persaingan di dalam segmen D sengit sekali. Jika ditanya secara peribadi, saya sendiri berada di dalam keadaan dilema di antara memilih ruang dan keseronokan pemanduan yang ada pada Honda Accord atau pakej keseluruhan Nissan Teana yang nampaknya memberi lebih nilai. Jika dibuat perbandingan dengan model generasi kedua pula, saya rindukan pakej talaan suspensi yang selesa serta ruang luas di mana kedua-dua ciri itu merupakan kelebihan kompetitif Teana berbanding pesaing di dalam segmen. Walau bagaimanapun, reka bentuk luar dan dalam yang cantik dan sofistikated serta penggunaan material yang berkualiti pada model baharu menebus kembali ciri-ciri positif Teana generasi kedua.

Jika anda seorang yang berkira-kira dengan nilai keseluruhan dan tidak mementingkan pemanduan yang jitu, Nissan Teana 2.0XE menawarkan apa yang anda mahu. Pakej keseluruhan menjadikan Teana sebagai pilihan baik tambahan pula dengan gayaan mengikut peredaran masa.

Lokasi: 1926 Heritage Hotel, Pulau Pinang.
@muhd_gt

Silakan kongsi:

Pandu Uji Proton Iriz 1.3 Manual dan Proton Iriz 1.6 CVT

SONY DSC

Baru-baru ini saya dan sekumpulan ahli media diberi peluang untuk memandu uji Proton Iriz ke Pulau Mutiara. Pemanduan selama dua hari satu malam turut disertai oleh pengurusan kanan dan teknikal Proton yang bertujuan untuk mendengar maklum balas pihak media. Iya, Proton kini lebih banyak mendengar dari banyak pihak melalui pelbagai medium. Saranan, ulasan dan aduan sama ada dari pihak berkepentingan atau orang awam diambil kira di dalam proses penambahbaikan mutu kerja dan produk. Proton Iriz ini sendiri adalah hasil dari input ramai, mengambil kira apa yang pasaran mahu (juga tidak mahu) dan seperti model-model sebelum ini, rencana kebolehpasaran peringkat global turut diberi perhatian secara serius.

Menghasilkan kereta bukanlah perkara yang mudah namun tidak mustahil kerana negara kita telah berjaya melakukannya sejak 30 tahun lalu. Menghasilkan kereta yang sempurna pula merupakan perkara yang sukar kerana banyak pertimbangan, pengalaman positif dan negatif harus dilalui terlebih dahulu. Berdasarkan pengalaman peribadi, tiada lagi kereta yang benar-benar sempurna walaupun harganya ratusan ribu ringgit kerana kehendak dan keperluan pelanggan itu pelbagai. Jenama kereta yang kedengaran dan nampak hebat pula tidak semestinya sifar masalah, selesa dan sedap dipandu di mana di situlah wujudnya ruang untuk mencapai kesempurnaan dan juga aspek yang sama mustahak iaitu konsistensi. Istilah yang galak disebut di dalam dunia perniagaan sekarang ini ialah organisasi yang belajar (learning organisation). Di dalam proses tersebut selari dengan konsep tiada perkara yang sempurna, organisasi sentiasa belajar untuk tidak mengulangi kesilapan dan menambah baik proses dan produk. Walau bagaimanapun, di dalam proses pembelajaran itu ada yang terpaksa menerima akibatnya dan paling menyakitkan apabila pelanggan yang terkesan dan begitulah lazimnya.

Proton Iriz Penang 2014.11

Di dalam bidang khidmat lepas jualan kenderaan, aduan dan rungutan adalah perkara biasa namun yang membezakan satu organisasi di antara satu yang lain ialah bagaimana perkara itu diuruskan oleh pihak bertanggung jawab. Ada yang lepas tangan, ada pula yang mengambil berat dan di dalam dunia langit terbuka sekarang ini syarikat yang bersikap sambil lewa ibarat mencari nahas. Perkara yang sensasi dan mewakili suara umum senang untuk dihebahkan (viral). Jika tidak dihebahkan pun sukar untuk pelanggan tersebut kembali mempercayai syarikat yang mengkhianatinya.

Di sinilah terletak tugas dan fungsi Proton Iriz. Kereta bandar ini dilahirkan dan dibangunkan untuk terus menambat hati pelanggan tempatan dan antarabangsa. Iriz adalah simbol apa yang pasaran mahukan dan ada kalanya melebihi jangkaan umum. Reka bentuk dalaman dan luaran yang menarik, ruang, saiz, keselamatan dan keselesaan dan faktor penting dan sensitif mestilah ekonomikal sama ada dari segi pemilikan dan penyelenggaraan. Ulasan dan aduan mengenai kereta Proton sebelum ini ialah tahap penggunaan bahan api yang lebih tinggi berbanding pesaing lain. Walaupun isu tersebut boleh dihujahkan dari pelbagai sudut seperti berat kereta, karakter enjin dan sebagainya namun apa yang pelanggan sentiasa tanyakan ialah berapakah kadar penggunaan minyaknya. Senario ini sudah biasa kedengaran hinggakan pengeluar kereta mewah turut mengikut arus dengan mengeluarkan enjin yang ekonomikal tetapi masih berkuasa kerana ada reputasi dan warisan yang harus dijaga dan dipelihara. Bagaimana mereka melakukannya ialah dengan mengeksploitasi teknologi dan Proton juga melalui jalan dan kaedah yang sama. Enjin CamPro dirombak semula dan diberi inovasi baharu seperti injap dan sesondol VVT, maniverter dan pelbagai peralatan lagi supaya penggunaan minyak lebih rendah berbanding mana-mana enjin CamPro sebelum ini.

SONY DSC

Tetapi apalah maknanya semua itu jika perubahan yang dilakukan tidak dirasai di dalam dunia pemanduan sebenar. Kami bertolak ke Pulau Pinang dari Ibu Pejabat Proton Holdings di Shah Alam pada waktu pagi. Saya dan seorang lagi rakan media memilih Proton Iriz 1.6 VVT CVT di dalam format pemanduan ekonomikal hingga ke Gopeng dengan had masa selama dua jam. Penyaman udara dibalut kemas supaya kami tidak mengusik tetapan untuk mengelat dalam memenangi cabaran tersebut. Tiba ke destinasi yang ditetapkan segala bacaan dari semua Iriz yang dipandu uji dicatatkan dan berdasarkan keputusan yang diumumkan kemudian di dalam majlis berasingan Proton Iriz 1.3 Manual mencatat 15.4km/l manakala Proton Iriz 1.6 CVT mencatat 15.6km/l. Selesai makan tengah hari, kami menyambung perjalanan dan kini lebih bebas untuk meneroka dan menilai kebolehan bayi baharu Proton ini.

Memandu Proton Iriz 1.6 CVT memberi reaksi yang bercampur, tetapi sebelum itu kerusi pemandu dan penumpang sebelah terasa selesa. Konturnya menyokong kemas bahagian atas badan dan peha dengan larasan yang agak menaik. Kedudukan stereng pula walaupun boleh dilaras terasa sedikit menegak, condong dari atas ke bawah. Secara peribadi saya tidak berasa selesa dengan pembujuran permukaan stereng yang menjadikan genggaman telapak tangan terasa membuka ke luar berbanding tertutup ke dalam manakala reka bentuk suis audio pada stereng pula cembung dan bukan melekuk ke dalam. Dengan peha yang sedikit terangkat, stereng yang agak menegak menjadikan siku terasa tergantung tanpa perehat lengan tambah pula di dalam pemanduan jarak jauh. Meletakkan kedua-dua telapak tangan pada stereng pula tidak sekemas pemanduan dan pengendalian (R&H) yang ditawarkan kereta ini dek kerana lenggokan stereng tadi. Pemandu memerlukan masa untuk membiasakan dengan struktur atau genggaman stereng. Namun suatu yang harus dipuji ialah visual pemandu yang jelas dan tidak terhalang oleh tiang A sewaktu membelok (atau mencari poin apex) dan sangat penting di dalam mengenalpasti kenderaan yang mendatang semasa selekoh.

SONY DSC

Terlanjur menyentuh mengenai r&h kereta, saya rasa seperti hendak menulis mengenai kualiti ini sahaja dan kemudian sudahkan artikel kerana aspek itu yang paling saya cenderungi. Saya tidak tahu bagaimana untuk menyatakan di dalam bentuk tulisan kerana karakter r&h begitu bagus sekali dan juruteranya berjaya menyihir pakej yang diberikan standard untuk kereta di dalam segmen ini. Menala Stereng Berkuasa Elektronik (EPS) adalah sesuatu yang sukar bagi mendapatkan rasa yang sebati dengan setiap input tangan dan gerakan badan kereta. Walaupun dengan sistem bantuan elektronik seperti sistem kawalan cengkaman (TCS) dan kawalan kestabilan elektronik (ESC), kereta terasa semula jadi dan tidak palsu (artificial), stereng dengan input kuasa elektronik yang memberat sekadarnya bertindak ke mana sahaja tangan memusing dan badan kereta pula berada di dalam kedudukan yang tegap dan berdisiplin (composure) mengikut garisan (line) yang dilalui dan dipilih. Di mana olengan Proton Savvy sedikit besar, Iriz pula berjaya mengawalnya supaya lebih bersahaja serta seimbang dan selain daripada itu kereta ini mempunyai mendapan dan lambungan (damping dan bounce) yang bagus sekali. Jika anda perhatikan bagaimana kereta rali mendarat dan menyerap selepas loncatan begitulah juga set suspensi Iriz berfungsi. Pada kelajuan tinggi iaitu sekitar 140km/j, Iriz masih tegap dan stabil membelah jalan dan tidak pula terasa terapung-apung di mana pemandu terpaksa memaut kemas stereng. Saiz badan Iriz yang tinggi dan tayar kegunaan harian tidak menjadi penghalang kepada kejuruteraan dan talaan kereta yang seolah-olah lebih mahal daripada harga kereta ini sendiri. Cuma sedikit kekasaran (harshness) dan bunyi bising masuk ke ruang penumpang belakang namun bukanlah faktor utama untuk kereta pada harga segmen bandar ini.

Proton Iriz 1280 Penang 2014.04

Karakter enjin CamPro 1.6 VVT pula tidak mempunyai masalah tetapi talaan dan transmisi CVT (buatan vendor luar) tidak menyerlahkan apa yang didefinisikan sebagai hubungan yang harmoni di antara enjin dan transmisi. Apabila ditekan keras, bunyi kerahan kuasa masuk kuat ke dalam kabin manakala transmisi pula mencari-cari kedudukan mana yang hendak disinggahi. Tidak hairanlah jika perkara itu diajukan secara serius oleh pihak media semasa sesi maklum balas dan menariknya pengurusan kanan dan teknikal Proton mengambil maklum aduan tersebut dan akan cuba memperbaikinya untuk jangka masa terdekat dan panjang. Mungkin di antara cara untuk mengatasinya ialah dengan memasang indikator ekonomi pada meter kelajuan yang dapat membantu pemandu supaya menekan pedal minyak dengan lebih sopan dan menghindarkan bunyi dan kerahan tenaga mengejut tersebut. Iya, bunyi yang kuat itu sebenarnya begitu ketara apabila pedal diterjah kuat untuk memotong dan meningkatkan kelajuan. Jadi anda perlu mengubah corak pemanduan di samping dapat menjimatkan penggunaan bahan api. Namun pengalaman transmisi CVT itu tidak pula dirasai semasa memandu Iriz 1.3 dan 1.6 manual, bunyi enjin terasa sopan sekali, masukan gear terasa kemas, klac berfungsi dengan cekap dan terasa seolah-olah Proton Iriz ini sebenarnya dilahirkan untuk transmisi manual. Saya sudah dapat bayangkan bagaimana karakter Iriz manual jika dipadankan dengan spring dan peredam bunyi R3, pasti asyik dan mengujakan sekali.

Berada di tempat duduk belakang, kerusinya menjalankan fungsi yang betul sebagai kerusi dan bukan setakat alas dan pelapik duduk sahaja. Perjalanan yang jauh tidaklah terasa penat sangat dan berpadanan dengan fungsi kereta bandar namun keluasan ruang kaki belakang boleh dioptimumkan lagi. Walaupun terasa labuh ke dalam namun kaki tidak terasa bebas untuk bergerak ke depan yang terhalang dek kerana rekaan struktur dan kerusi pemandu dan penumpang sebelah. Tambahan pula orang kita memang gemar meletakkan barang-barang seperti beg plastik air mineral dan snek sewaktu berjalan jauh dan anak-anak pula akan meletakkan beg sewaktu pulang dari sekolah. Bukaan tingkap pula seimbang, tidak terasa kelam dan lemas walaupun interior Iriz serba hitam kecuali lelangit bumbung. Kualiti plastik dalaman boleh diterima di mana riasan dalaman versi Premium paling bagus, zaman material lembut seperti Proton Wira sudah berlalu dan plastik keras adalah amalan industri sekarang ini. Proton memperbaikinya melalui material, tekstur dan reka susun perkakasan. Cuma grafik meter mungkin agak kurang menarik untuk pelanggan remaja yang rata-ratanya tergolong di dalam kategori visual dan susunan angka kelajuan pula rapat-rapat dan sukar untuk mengesan had laju 110 km/j.  Ruang bonet pula walaupun nampak kecil dari luar tetapi berpadanan untuk mengisi keperluan pasangan muda pulang ke kampung atau bercuti ke pusat peranginan.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, ahli media diberi peluang untuk menguji sistem cengkaman dan elektronik di litar buatan di Stadium Batu Kawan. Jika diikutkan, Iriz tidak memerlukan ujian ini pun untuk menunjukkan keupayaannya kerana kereta ini sememangnya boleh lulus dengan cemerlang. Rasionalnya jelas apabila Proton menyediakan pesaing terdekat di dalam segmennya dan sebuah lagi kereta di luar segmen yang baharu sahaja dilancarkan. Perbandingan yang dilakukan menunjukkan sememangnya Iriz lebih tegap dan stabil dari dua kereta sama jenama itu.

SONY DSC

Proton Iriz dilahirkan dan dibangunkan untuk menjadi pemenang keseluruhan. Lihat sahaja spesifikasi dan harga yang ditawarkan. Pada harga yang sangat kompetitif berbanding pesaing di dalam segmen dan segala ciri-ciri standard yang tersedia seperti beg udara, sistem hiburan, skor lima bintang ASEAN NCAP dan sebagainya sudah memadai untuk menjadikan Iriz sebagai tawaran terbaik dan mengaburi kelemahan yang ada itu pun jika anda seorang yang benar-benar cerewet. Apa yang menarik tentang Iriz secara peribadi ialah semestinya karakter pemanduan dan pengendalian, pakej keselamatan terutama sekali varian Premium dan reka bentuknya yang segar dan progresif. Jika saya berada di dalam kelompok sasaran segmen ini, kemungkinan besar saya akan menjadi pemilik Iriz dan telah saya buktikan pada tahun 2006 dahulu dengan memiliki Proton Savvy varian R3. Jika anda berada di dalam segmen ini, Proton Iriz wajar diberi pertimbangan serius.

Dengan Iriz, satu-satunya syarikat pengeluar kereta nasional ini telah sekali lagi berjaya membuktikan rakyat Malaysia mampu untuk menghasilkan kereta dan menuju ke arah kesempurnaan. Cuma kali ini, Proton perlu membuktikan khidmat lepas jualan dan tindakan proaktif dan reaktifnya setanding dan melebihi standard syarikat global lain. Tiga puluh tahun lalu kita sudah pun berjaya mengeluarkan kereta jenama sendiri dan sekarang ini adalah masa untuk kita mengurus kejayaan dan meneruskan kecemerlangan.

Syabas kepada kesemua individu yang terlibat di dalam projek Iriz ini dan secara peribadi saya tidak sabar untuk menunggu produk Proton seterusnya. Paling dinanti ialah Proton Saga, kereta rakyat dan model paling laris negara yang berjaya meraih pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa dan diharapkan dapat meletakkan semula Proton sebagai Abang Besar dan pengeluar nombor 1 di Malaysia.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

ETCM Memperkenalkan NISSAN NV350 URVAN

KUALA LUMPUR, 31 OKtober 2014 – Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) memperkenalkan Nissan NV350 Urvan (bumbung tinggi) serba baharu, sebuah bas mikro dengan kapasiti 14 tempat duduk.

Nissan NV350 Urvan serba baharu ialah model gantian Nissan Urvan sedia ada. Ia merupakan salah satu kenderaan komersial paling laris di Malaysia berikutan sifatnya yang versatil dan boleh dipercayai. Nissan NV350 Urvan serba baharu kini menawarkan prestasi lebih berkuasa dan menjimatkan bahan api, selain hadir dengan gayaan moden.

ETCM berbesar hati untuk memperkenalkan Nissan NV350 Urvan serba baharu di Malaysia. Kenderaan komersial pelbagai guna ini menawarkan pengangkutan untuk tujuan perniagaan atau bersiar-siar. Ia kini dilengkapi enjin diesel baharu yang lebih berkuasa dan penjimatan bahan api yang telah dipertingkatkan sebagai tambahan kepada gayaan moden, keselesaan serta ciri-ciri keselamatannya. Nissan NV350 Urvan serba baharu diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun,” kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan produk Edaran Tan Chong Motor, Tan Ken Meng.

Enjin 2.5L YD25DDTi dengan pengecas turbo yang baru dibangunkan itu memiliki teknologi diesel bersih. Ia dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan untuk menawarkan prestasi terbaik dalam kelasnya dan penjimatan bahan api luar biasa. Sebagai tambahan, tahap bunyi bising enjin, getaran dan kekasaran (NVH) Nissan NV350 Urvan serba baharu telah ditambah baik. Ini bagi memberikan ruang kabin yang lebih senyap dalam usaha mengurangkan kepenatan pemandu dan memastikan pengalaman pemanduan serta perjalanan yang selesa.

02_NV350 Urvan_2.5L Diesel Direct Injection with Variable Geometry System (VGS) Turbo Intercooler

Nissan NV350 Urvan serba baharu mengetengahkan gayaan luaran baharu yang dinamik. Rekaan itu diintegrasikan dengan gril hadapan krom tiga dimensi baharu yang dipadankan bersama lampu utama, sekali gus menghasilkan reka bentuk yang kontemporari dan menarik perhatian. Dari arah tepi, garis karekternya menyerlahkan panel sisi yang luas. Lakaran baharu ini membantu memastikan kestabilan dapat dipertingkatkan menerusi tapak roda yang telah ditambah.

Melihat ke bahagian dalaman pula, Nissan NV350 Urvan serba baharu hadir dengan bumbung tinggi, sekali gus memberikan ruang luas untuk proses keluar masuk yang lancar. Sistem pendingin hawa di hadapan dan belakang menawarkan kesan penyejukan yang pantas kepada pemandu dan para penumpang demi memberikan pemanduan yang selesa. Bar penstabil berdiameter besar di bahagian hadapan dan suspensi belakang dengan lejang lebih panjang pula memastikan prestasi pemanduan berprestasi dan perjalanan yang selesa.

Kabin Nissan NV350 Urvan serba baharu mempunyai panel instrumen yang moden dan ringkas dengan satu paparan pelbagai fungsi bersaiz 3.5 inci. Ia memaparkan maklumat penjimatan bahan api pada masa sebenar, indikator penukaran gear untuk memberitahu pemandu bilakah mereka perlu menukar gear bagi mengoptimumkan penjimatan bahan api, selain data odometer dan meter perjalanan.

03_NV350 Urvan_14-Seater

Keselamatan adalah aspek penting dalam reka bentuk Nissan NV350 Urvan serba baharu. Ia dilengkapi sistem brek ABS (sistem brek anti-kunci), BA (Brake Assist System), Lampu Berhenti yang dipasang pada kedudukan tinggi, Kunci Keselamatan Kanak-kanak dan Zon Binaan Badan (Zone Body Construction). Gabungan semua sistem ini menjadikan perjalanan bukan sahaja selamat, malah selesa.

Harga Nissan NV350 di atas jalan dengan insurans ditawarkan pada harga RM109,800 (Semenanjung Malaysia), serta jaminan selama tiga tahun atau perbatan sejauh 100,000km, mana-mana tiba dahulu. Tempahan kini sudah dibuka di semua bilik pameran Nissan di seluruh negara.

Silakan kongsi:

Volvo Car Malaysia Memperkenalkan Volvo XC60 T6 Baharu

Volvo XC60 T6 2014.18

Volvo Car Malaysia meneruskan kejayaan model XC60 T5 dengan mengumumkan ketibaan varian baharu dalam keluarga XC60, iaitu XC60 T6, beberapa bulan lebih awal berbanding tarikh asalnya.

“Objektif kami untuk menjadikan aspek kemewahan dan keselesaan lebih mudah diakses menerusi XC60 T5 telah diterima dengan begitu baik. Sebab itulah kami melancarkan varian baharu ini lebih awal daripada yang telah dijadualkan.

“XC60 T5 mempunyai objektifnya yang tersendiri, XC60 T6 baharu pula akan menampilkan kemewahan Scandinavian – gabungan hebat aspek keselesaan, prestasi dan keselamatan yang semememangnya menjadi tulang belakang kepada nilai-nilai utama kami,” kata Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Keith Schäfer.

Volvo Cars dilihat terus membangunkan teknologi-teknologi dan inovasi yang membuatkan kereta lebih selamat untuk dipandu. Visi jenama itu adalah, menjelang tahun 2020 tiada yang cedera atau terkorban di dalam kenderaan moden Volvo.

Ditawarkan pada harga pengenalan untuk tempoh terhad iaitu RM315,888 seunit (di atas jalan tidak termasuk insurans), XC60 T6 sarat dengan teknologi keselamatan aktif yang mendahului kelasnya. Ia dikuasakan oleh rangkaian kuasa modular Volvo serba baharu iaitu enjin Drive-E.

Enjin Drive-E empat silinder bersesaran dua liter itu berupaya menjana kuasa mencecah 306hp @ 5,700rpm dan tork maksimum 400Nm. Dipadankan dengan transmisi Geartronic lapan kelajuan, XC60 T6 pastinya dapat menawarkan pemanduan yang lancar dan penjimatan bahan api mengagumkan.

Sama seperti semua model Volvo yang baru, XC60 T6 hadir bersama jaminan selama lima tahun. Di samping servis percuma termasuk alat ganti untuk setiap penyelenggaraan berkala dan bantuan tepi jalan secara percuma (Volvo-on-Call), juga selama lima tahun.

XC60 T6 baharu sudah boleh didapati mulai hari ini di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara.

Volvo XC60 T6 2014.04

NILAI ESTETIK & KEMUDAHAN

XC60 T6 baharu didatangkan dengan penambahbaikan yang sama seperti model XC60 T5 pada bahagian luaran dan dalamannya. Penambahan baharu padanya termasuklah rim aloi Pan bersaiz 18 inci dengan tayar 235/60R18 serta Paparan Digital Adaptif bersaiz lapan inci yang hadir sebagai ciri standard. Para pemilik XC60 T6 juga pasti sukakan pintu belakang kuasa dan pemegang/cangkuk beg di bahagian kargo.

Warna & aksesori tambahan

Para pembeli boleh memilih daripada lima warna yang disediakan – Twilight Bronze, Ice White, Ember Black, Electric Silver dan Seashell. Mereka juga boleh membeli pelbagai aksesori tambahan seperti kit gayaan bahagian luar Iron Stone, pemijak kaki sisi kenderaan berwarna perak aluminium, acuan untuk bahagian hadapan dan belakang, serta rim aloi Diamond Cut atau Iron Stone bersaiz 20 inci.

Paparan Digital Adaptif (Adaptive Digital Display)

Paparan Digital Adaptif yang mula diperkenalkan pada model V40 T5 serba baharu menggunakan paparan kristal TFT (Thin Film Transistor) aktif untuk memaparkan maklumat yang dipilih oleh pemandu. Terdapat tiga tema untuk dipilih iaitu Elegance, Eco dan Performance.

Mod asal Elegance memilki penampilan dan rekaan klasik. Sementara mode Eco mempunyai tema berwarna hijau dan direka untuk menggalakkan dan memberi ‘ganjaran’ kepada gaya pemanduan yang menjimatkan. Mode Performance pula menampilkan iluminasi berwarna merah serta skala rev berbanding speedometer yang dipaparkan pada mode Elegance dan Eco.

Sistem infotainmen serba baharu – Sensus Connect

Warna-warna Paparan Digital adalah selari dengan sistem infotainmen yang baru. Ia menampilkan HMI yang ditambah baik dengan beberapa fungsi inovatif seperti:

Sistem berasaskan awan diintegrasikan ke dalam kereta. Ia membolehkan fungsi dinaik taraf pada masa depan
Navigasi lebih baik dengan peta-peta 3D, carian tempatan dan penetapan destinasi hantar ke-kereta (send-to-car) secara kawalan jauh Radio Internet TuneIn (dengan 80,000 saluran) dan penstriman muzik melalui Bluetooth
Kawalan suara untuk kebanyakan fungsi infotainmen dan navigasi.

Volvo XC60 T6 2014.16

RANGKAIAN KUASA

Enjin T6 Drive-E yang baru mampu menghasilkan kuasa sehingga 306hp dan tork 400Nm, selain mencatat kelajuan 0-100km/j dalam tempoh hanya 6.9 saat. Enjin inimenampilkan kombinasi sebuah pemampat dan pengecas turbo yang mendahului kelasnya. Penggunaan sistem pengecas lampau memberikan enjin rasa tujahan yang berkuasa dan semula jadi. Pemampat yang disambung secara mekanikal akan berfungsi secara serta-merta pada putaran enjin rendah. Sementara pengecas turbo pula menghamburkan kuasa apabila aliran udara kian meningkat. Dengan kotak gear automatik lapan kelajuan, penggunaan bahan api XC60 adalah sekitar 7.3 l/100 km (169 g/km).

ASPEK KESELAMATAN DAN SOKONGAN

Volvo menamakan semua sistem keselamatan aktifnya sebagai IntelliSafe. Ia merupakan satu bahagian penting untuk pendekatan XC60 yang berorientasikan kepada pemandu. Beberapa teknologi utama digunakan buat pertama kali pada XC60 T6:

Lampu Puncak Dengan Teknologi Termaju

Teknologi Kawalan Lampu Tinggi Aktif (Active High Beam Control) tidak lagi memerlukan pemandu menukar kedudukan lampu tinggi dan rendah. Bahkan, Active High Beam Control memastikan lampu tinggi dipasang sepanjang masa.

Apabila kenderaan lain menghampiri dari arah bertentangan, sistem ini akan menghalang cahaya lampu daripada menyilaukan mata mereka dengan menutup sebahagian cahaya lampu tersebut. Ia dapat dilakukan menerusi satu mekanisma modul projektor pintar yang diintegrasikan pada lampu utama. Perkara sama turut diaplikasikan kepada pemandu di dalam kenderaan di hadapan.

Volvo XC60 T6 2014.15

Teknologi Baharu Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal

Perisian baharu termaju yang melibatkan pemprosesan pandangan lebih pantas membolehkan teknologi pengesanan dan brek automatik sedia ada Volvo Cars kini dapat mengesan situasi melibatkan penunggang basikal.

Teknologi Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal dengan brek automatik sepenuhnya kini dilengkapi sistem pengesan tercanggih yang mengimbas kawasan di hadapan. Sekiranya ada seorang penunggang basikal menuju ke arah yang sama dengan kereta dan menukar haluan secara tiba-tiba dan pelanggaran mungkin boleh berlaku, amaran segera akan diberikan dan brek ditekan sepenuhnya. Teknologi ini juga mengesan jika ada pejalan kaki tiba-tiba melintas di hadapan kereta. Sekiranya pemandu tidak memberi maklum balas dengan pantas, kereta akan memberi amaran dan mengaktifkan brek secara automatik.

SISTEM KESELAMATAN BERKESAN

XC60 T6 akan menyaksikan penambahan beberapa teknologi keselamatan yang telah terbukti seperti Driver Alert Control (DAC) – inovasi pertama di dunia yang merekodkan perjalanan kereta di atas jalan dan memberi amaran kepada pemandu yang tidak memberi tumpuan ketika memandu; Lane Departure Warning (LDW) – berfungsi memberi amaran kepada pemandu dengan bunyi yang perlahan sekiranya kereta melepasi garisan jalan tanpa sebab yang jelas seperti tidak menggunakan lampu isyarat membelok; Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Queue Assist dan Distance Alert – satu sistem berasaskan kepada radar yang mengekalkan jurang masa dengan kenderaan di hadapan sehinggalah ia berhenti. Sistem yang meningkatkan keselesaan ini amat berguna sewaktu kenderaan bergerak dengan perlahan dan kerap berhenti.

Volvo XC60 T6 2014.17

 

Road Sign Information – “mata” tambahan terhadap persekitaran trafik

Road Sign Information membantu pemandu dengan cara memaparkan papan-papan tanda jalan pada paparan instrumen kenderaan. Sistem Road Sign Information boleh digabungkan dengan fungsi Speed Alert. Ia menyediakan pemandu dengan amaran visual pada speedometer sekitaranya kereta dipandu melebihi had laju.

Stereng Bantuan Kuasa Elektik

Stereng Bantuan Kuasa Elektik (Electrical Power Assist Steering – EPAS) didatangkan bersama enjin Drive-E serba baharu. EPAS menggunakan satu motor elektrik untuk menyokong rak stereng dan pemandu boleh memilih di antara tiga tahap bantuan kuasa.

Dalam mode rendah (Low), sistem ini menawarkan sokongan kuasa yang tinggi, sekali gus membuatkan proses menukar haluan menjadi lebih mudah. Mode sederhana (Medium) menyalurkan sokongan kuasa lebih rendah untuk memberikan lebih maklum balas ketika kereta dipandu pada kelajuan tinggi. Sementara model tinggi (High) pula adalah talaan terbaik untuk pemandu yang agresif, ia juga menyerlahkan dinamik kereta ini.

JAMINAN KESELAMATAN PADA SEMUA VARIAN

City Safety – aktif sehingga kelajuan mencecah 50 km/j 

Kedua-dua model XC60 T5 & T6 didatangkan dengan sistem City Safety yang telah dinaik taraf. Sistem ini aktif pada kelajuan sehingga 50km/j. Kereta akan membrek secara automatik jika pemandu gagal untuk bertindak tepat pada masanya apabila kenderaan di hadapan memperlahankan pergerakan atau berhenti – atau kereta menghampiri kenderaan yang tidak bergerak dengan terlalu laju.

Lampu Membelok untuk pandangan lebih baik  

Satu lagi pilihan inovatif ketika memandu dalam kelajuan rendah dan gelap ialah ciri Lampu Membelok (Cornering Light). Sebagai tambahan kepada sistem Active Bending Light sedia ada, ia menyuluh ke arah pusingan stereng untuk proses menukar haluan yang lebih selamat.

Blind Spot Information System yang telah dipertingkatkan – untuk pandangan lebih baik  

Kedua-dua model XC60 T5 & T6 menawarkan ciri Blind Sport Information System (BLIS) yang telah dipertingkatkan dan berdasarkan kepada teknologi radar. Teknologi ini kini boleh memantau dan memberi amaran kepada pemandu apabila terdapat kenderaan lain yang menghampiri dengan laju pada jarak 70 meter di belakang kereta. Ia juga memaklumkan pemandu mengenai kenderaan yang ada pada titik buta di kedua-dua belah sisi kereta.

Cross Traffic Alert – melindungi anda

Cross Traffic Alert menggunakan alat pengesan radar pada bahagian belakang kenderaan untuk memberi amaran kepada pemandu mengenai trafik yang melintas dari sisi apabila mengundur keluar dari ruang parkir. Fungsi ini sangat membantu terutama di kawasan yang sempit dan sibuk di mana pandangan bahagian sisi mungkin terhad akibat bangunan, pokok atau kereta-kereta lain.

Silakan kongsi:

JAGUAR MELANCARKAN F-TYPE COUPE ALUMINIUM SEPENUHNYA DAN MEMBUKA BILIK PAMERAN BAHARU

(L-R) SISMA Auto MD Syed Khalil Syed Ibrahim, Jaguar Land Rover Msia MD Syed Mudzhar Syed ALi and Aftersales Mgr Nicholas Fit

Kuala Lumpur, 29 Oktober 2014 – Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd, selaku pengimport eksklusif kenderaan Jaguar dan Land Rover di Malaysia, hari ini melancarkan Jaguar F-TYPE Coupe aluminium sepenuhnya serba baru, kereta sports paling dinamik dan berprestasi yang pernah dihasilkan Jaguar setakat ini.

Dilancarkan di bilik pameran baru dwi-jenama berkenaan di Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang, Jaguar Land Rover Malaysia turut mengumumkan pengenalan model terbaru Jaguar itu akan ditawarkan di dalam dua varian, F-TYPE R dan F-TYPE S.

Varian paling tinggi, F-TYPE R Coupe dilengkapi dengan enjin 5.0 liter V8 Supercharge Jaguar yang mampu menjana kuasa 550PS dan 680Nm tork, dengan capaian pecutan 100kmj dalam masa hanya 4.2 saat. Ia mampu untuk mencapai kelajuan maksimum 300kmj (dihadkan secara elektronik). Varian ini dijual pada harga RM1,158,888 di Semenanjung (tidak termasuk insurans).

Sementara itu, bagi F-TYPE S Coupe, ia dilengkapi dengan enjin 3.0 liter V6 Supercharge petrol dengan janaan kuasa maksimum 380PS dan 460Nm tork, dengan masa diperlukan untuk pecutan 0-100kmj hanya 4.9 saat. Kelajuan maksimumnya pula adalah pada 275kmj dan ia dijual pada harga RM899,888 di Semenanjung (tidak termasuk insurans).

03-GROUP-SHOTS_LR

Kedua-dua F-TYPE R dan F-TYPE S dipadankan dengan sistem  transmisi Quickshift 8-kelajuan dengan nisbah rapat untuk memberikan prestasi terbaik, dengan kawalan manual sequential sepenuhnya melalui pemilih SportShift bahagian ditengah atau pedal pada belakang stereng.

Dibangunkan berdasarkan model konsep sports coupe Jaguar C-X16 yang pertama kali dipamerkan di Pameran Permotoran Frankfurt pada 2011, bahagian sisi badan Jaguar F-Type Coupe diperbuat daripada kepingan aluminium tunggal, menjadikannya lebih ringan dan sekali gus kukuh. Ia mungkin merupakan penghasilan sisi badan kenderaan dengan kaedah pembentukan-dingin paling ekstrim pernah disaksikan oleh industri automotif, membolehkannya untuk tidak lagi bergantung kepada pelbagai lapisan panel dan sambungan seperti kaedah biasa.

The new Jaguar F-TYPE Coupe

Sementara itu, SISMA Auto Sdn Bhd, pengedar utama kenderaan dwi-jenama Jaguar dan Land Rover, kini telah membuka SISMA Auto Kuala Lumpur, sebuah bilik pameran terbaru bagi dua jenama ikonik British itu di Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang.

Dengan keluasan 6,200 kaki persegi, ia menjadi antara bilik pameran terawal di dunia yang menerapkan identiti korporat baru dwi-jenama berkenaan, dan disasarkan akan mampu untuk meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap kedua-dua jenama itu berikutan prestasi yang cukup cemerlang pada tahun 2013.

Jaguar dan Land Rover telah mencapai rekod jualan di peringkat global dan untuk pasaran Malaysia berikutan pengenalan beberapa model menarik yang meraih anugerah.

Terletak di lokasi strategik ditengah-tengah lingkungan kawasan perniagaan dan kediaman mewah Kuala Lumpur, bilik pameran Jaguar Land Rover ini berazam menawarkan pengalaman premium kepada pelanggan kedua-dua jenama berkenaan.

Selain daripada empat ruang meletak kenderaan yang disediakan untuk pelanggan di hadapan bilik pameran, khidmat ‘valet’ juga disediakan secara percuma kepada pengunjung. Dibuka tujuh hari seminggu, bilik pameran terbaru itu akan menempatkan barisan penuh model-model semasa Jaguar dan Land Rover. Semua model berkenaan juga akan disediakan untuk sesi pandu uji kepada pelanggan yang berminat.

Para pemilik kenderaan Jaguar dan Land Rover yang menetap atau bertugas di sekitar pusat pameran terbaru ini juga boleh menyerahkan kenderaan mereka untuk diservis di premis sama. Kenderaan mereka kemudiannya akan dihantar ke pusat servis 3S SISMA Auto di Glenmarie, Shah Alam.

Kemudahan Jaguar Land Rover Glenmarie juga akan diperluas dengan tambahan kawasan sehingga satu ekar, yang terletak bersebelahan dengan premis sedia ada. Ia akan menempatkan ruang pameran yang luas yang mampu mempamerkan sehingga 12 kenderaan. Ia juga akan dilengkapi dengan 16 ruang servis penuh yang lengkap dengan mesin diagnostik, peralatan khusus dan bengkel baik pulih badan aluminium yang mampu mengendalikan semua keperluan model Jaguar dan Land Rover. Turut akan disediakan ialah ruang serahan dan ruang pemeriksaan kenderaan.

“SISMA Auto kini sedang membuat pelaburan besar untuk tujuan memainkan peranan sebagai pengedar utama dwi-jenama Jaguar Land Rover. Kami akan bekerjasama secara dekat dengan Jaguar Land Rover (Malaysia), yang merupakan perkongsian strategik antara Sime Darby Motors dan SISMA Auto, dengan matlamat untuk menganjakkan kedudukan dua jenama ini ke tahap yang lebih tinggi,” jelas Syed Khalil.

Bilik pameran baru SISMA Auto Kuala Lumpur terletak di Aras Bawah, Menara Worldwide, 198 Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur dan boleh dihubungi menerusi talian 03-21665155. Waktu operasi adalah dari 9 pagi hingga 7 malam dari Isnin hingga Jumaat dan 10 pagi hingga 5 petang pada Sabtu dan Ahad.

Silakan kongsi:

Nissan Serena S-Hybrid Wajah Baharu CKD Kini Dibuka Untuk Tempahan

New Nissan Serena S_Hybrid CKD_FrontBerita baik untuk penggemar kereta hybrid atau mereka yang mencari-cari MPV yang ekonomikal apabila Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) kini membuka tempahan untuk Nissan Serena S-Hybrid wajah baharu (facelift). Lebih manis model itu akan dipasang di dalam negara sempena kempen pemotongan cukai kenderaan cekap tenaga (EEV) seperti yang diumumkan di dalam Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014.

Model yang selama ini diimport masuk (CBU) di datangkan dengan dua versi iaitu Highway Star dan Premium Highway Star yang mana masing-masing akan dijual di bawah harga RM140 ribu dan RM150 ribu. Model ini juga didatangkan dengan kelengkapan seperti fasia depan dan kit badan baharu.

New Nissan Serena S_Hybrid CKD_Rear

Varian Premium Highway Star dibezakan dengan Highway Star melalui skrin LCD bumbung bersaiz 10.1 inci, skrin navigator 6.5 inci dengan kamera undur, sambungan iPod, USB dan Bluetooth, spoiler bumbung, filem sekuriti V-Kool, visor pintu dan kerusi balutan kombinasi kulit.

Silakan kongsi:

Pandu Uji Honda Accord 2.4 Generasi Ke-9

SONY DSC

Honda Accord generasi kesembilan telah dilancarkan di pasaran tempatan pada awal September 2013. Kereta segmen D ini mempunyai pengikut tersendiri malah menjadi impian atau simbol status sesetengah orang. Honda Accord disasarkan untuk mereka yang senior dengan anak-anak yang sudah membesar dan tidak memerlukan kereta yang terlampau besar untuk ke sana ke mari. Jika diamati atau sekali pandang, memang jelas Accord baharu ini tampak lebih kecil dari model generasi kelapan yang nampak seperti kembang di bahagian belakang. Honda mengecilkan saiz luaran Accord baharu hasil dari input pelanggan dan berjaya melakukan magisnya pada interior kereta yang kini lebih besar berbanding model sebelumnya.

Bias atau tidak, saya seorang penggemar Honda tetapi bukan kerana posisi di pasaran tempatan sebagai jenama eksekutif tetapi lebih kepada sejarah dan survival jenama dari Jepun itu. Garis masa Soichiro Honda yang ‘gedebe’ semasa mengasaskan dan mengemudi syarikat ini begitu memikat hati. Iya, Honda suka bermain dengan garis sempadan kesempurnaan, di sebalik model-model popular terdapat beberapa model yang dipasarkan dengan talaan atau kejuruteraan yang tidak menepati selera jika jumlah jualan tidak didefinisikan sebagai kejayaan. Mungkin kerana menerima bulat-bulat dapatan kajian pasaran atau terikut-ikut DNA pengeluar lain tetapi sebagai organisasi yang sentiasa belajar (learning organization) anda dapat lihat bagaimana Honda berusaha untuk menepati selera pelbagai pasaran di dunia.

SONY DSC

Di hadapan saya adalah Honda Accord generasi kesembilan, model ini adalah simbolik evolusi dan pengalaman yang Honda perolehi selama berpuluh tahun. Sedia maklum, pesaing utama Accord ialah Toyota Camry dan setahu saya model Honda itu belum pernah mengalahkan pesaingnya dari segi jualan. Mungkin faktor luaran Accord yang tidak jelas gaya eksekutifnya atau mungkin juga kerana jenama Camry yang sudah sebati di dalam segmen D. Accord generasi kesembilan (dan Honda City generasi ketiga – pesaing Toyota Vios) cuba untuk mengubah status quo itu dan melalui pengamatan peribadi sudah ada sikit imbangan daripada golongan sasar untuk cenderung memilih Accord.

Dari luar, gayaan keras dan ikonik model terdahulu telah dilembutkan serta diperincikan menghasilkan imej yang lebih sofistikated dan bersahaja supaya nampak sentiasa segar (timeless) untuk masa-masa akan datang. Dari bahagian depan, Accord nampak matang, lebar dan berdiri dengan segak, lampu DRL yang menyala pula memberi efek kehadiran kereta ini di hadapan orang ramai. Pada bahagian sisi pula terima kasih kepada pereka yang telah melembutkan garisan dinamik keras yang ketara pada model sebelumnya. Pintu dan cermin sisi penumpang belakang nampak panjang dan tertarik ke belakang ala sebuah model dari Jerman ditambah pula dengan “kink” pintu belakang seolah mengiyakan pengaruh negara Eropah itu. Beralih ke bahagian belakang pula tidak banyak yang boleh diulas kerana ianya sudah memadai dan menariknya terdapat pengaruh gayaan jenama Jerman seperti bahagian sisi tadi.

SONY DSC

Pada bahagian dalaman, susun letak suis dan beberapa peralatan lain adalah tipikal sebuah produk Honda. Ambiennya membawa DNA Honda, gelap, permukaan yang bercorak dan beralun tetapi tidak boleh lari dari penjimatan kos. Terdapat beberapa bahagian seperti papan pemuka dan pelapik pintu yang diliputi dengan material lembut (soft touch) namun secara majoritinya masih menggunakan plastik keras dan itulah hakikat standard pembuatan kereta hari ini. Pasaran mahukan produk dengan harga yang berpatutan tetapi dengan segala peralatan yang canggih pada masa kini beberapa perkara terpaksa dikompromi dan yang mudah menjadi sasaran ialah plastik dalaman. Sementara pakar industri menemui formula bagaimana untuk menjadikan permukaan plastik nampak lebih mahal dan alah kusam, pengguna terpaksa menerima apa yang ada asalkan kereta cekap tenaga dan selamat melalui penggunaan teknologi aktif dan pasif. Kompromi pada permukaan dalaman ditebus kembali antaranya melalui peralatan canggih seperti kamera membelok yang dipanggil Honda LaneWatch System (HLWS).

Konsep yang diaplikasikan mudah iaitu pasangkan sahaja lensa kamera pada cermin sisi belah kiri dan paparkan imej yang dirakam secara langsung pada skrin di tengah papan pemuka. Imej sisi kenderaan akan diaktifkan apabila pemandu menolak tuil isyarat membelok dan objek yang biasanya terlindung (blind spot) jelas boleh dilihat dan radius capaiannya agak luas berbanding cermin sisi yang terhad. Teknologi tersebut sangat praktikal dan membantu seterusnya membuatkan saya terfikir kenapa tiada pengeluar yang menggunakannya sebelum ini. Dan sebelum itu kenapa Honda tidak menggunakannya pada cermin sisi sebelah kanan? Jawapannya ialah dek kerana teknologi ini masih baharu di mana pemandu mungkin akan terkeliru kerana bukan mudah untuk otak kiri dan kanan menukar fungsi memandangkan imej sisi kanan dan kiri kenderaan akan dipaparkan pada skrin tunggal.Walaupun itu adalah alasan yang boleh didebatkan di mana tidak semua pemandu akan mudah terkeliru namun risiko adalah lebih mudah untuk dialihkan daripada menanggungnya setiap masa. Daripada membiarkan sisi kanan kereta kosong tanpa bantuan rasanya lebih elok jika dibekalkan sistem amaran titik buta yang menggunakan sensor seumpama Volvo dan Nissan.

SONY DSC

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Honda telah mengecilkan saiz luaran tetapi pada masa yang sama berjaya menambah saiz ruang dalaman. Bagaimana mereka melakukannya ialah dengan mengecilkan peralatan dalaman seperti kerusi, pelapik pintu dan papan pemuka yang nampak lebih kecil. Accord yang sedia luas kini bertambah luas dan penumpang belakang semestinya berasa lega dengan ruang kaki yang lapang ala kereta LWB (long wheel base). Kerusi pemandu yang disediakan selesa dan kemas menyokong badan manakala perasaan duduk di belakang juga tidak memenatkan di tambah pula bidai pada kedua-dua sisi cermin yang memberi privasi dari dunia luar. Untuk berjalan jauh pula tidak menjadi masalah untuk menyimpang beg-beg dan bagasi kerana bonet belakang cukup luas untuk diisi.

Sudah menjadi kebiasaan kebanyakan kereta hari ini di mana kamera undur menjadi peralatan standard apatah lagi untuk kereta eksekutif sebegini cuma yang menjadi masalah ialah kualiti paparan yang boleh dipertingkatkan lagi. Paparan HLWS juga boleh diterangkan lagi dan saya ternanti-nanti teknologi paparan HD untuk skrin multimedia kereta. Isu yang kritikal mengenai kadar kejelasan skrin LCD hari ini apabila ianya ditala mengikut nyalaan lampu DRL. Memandangkan DRL terbuka pada waktu siang maka skrin LCD akan dimalapkan menjadikan paparan tidak selesa untuk diteliti dan agak menggangu konsentrasi pemanduan apatah lagi apabila posisinya betul-betul terkena cahaya matahari. Turut menggangu apabila kemasan perak pada papan pemuka memantulkan cahaya ke muka menjadikan penglihatan agak silau apabila memandang ke arah skrin multimedia. Sistem hiburan kereta ini turut dibekalkan dengan pemain DVD, sambungan bluetooth dan cakera keras dan semestinya kemudahan navigasi jika pemandu tidak mahu menggunakan aplikasi perjalanan pada telefon pintar.

SONY DSC

Memandu Accord 2.4 ini adalah suatu yang menyeronokkan. Pertama kali melabuhkan badan ke kerusi pemandu terasa tipikal sebuah kereta Honda, anda tidak boleh silap walaupun menutup mata. Bagaimana peha dilaras, suis-suis dan stereng dengan suntikan ala kereta lumba tetapi dengan pengaruh kemewahan. Enjin 2.4 i-VTEC yang dibekalkan untuk model ini ialah versi baharu teknologi Honda yang digelar Earth Dreams (EDT) di mana penggunaan minyak lebih ekonomikal di samping emisi CO2 yang lebih rendah.  Isu yang menjadi perdebatan jurutera kereta hari ini ialah bagaimana untuk menala stereng menggunakan teknologi EPS (Electronic Power Steering). Honda menggunakan teknologi MA-EPS (Motion Active) yang apabila digabungkan dengan sistem VSA (Vehicle Stability Assist) akan memberikan sedikit input kepada stereng untuk pemandu melakukan tindak balas sewaktu gelinciran over-steer atau under-steer. Sewaktu memandu kereta ini saya tidak pula mengalami keadaan itu cuma apa yang diperhatikan ialah sifat standard EPS iaitu ringan semasa dalam keadaan statik yang mana sangat membantu untuk memarkir atau menukar lorong semasa trafik sesak.

Perkara yang saya agak cerewet di dalam menilai ialah bagaimana sesebuah kereta berkelakuan pada selekoh dan semasa kelajuan tinggi. Saya fikir jurutera Honda telah melakukan dengan betul pada Accord 2.4. Kereta ini patuh pada input tangan pada stereng semasa mengambil selekoh dan semakin memberat sekadarnya pada kelajuan tinggi. Semasa di dalam trafik bandar pula, kereta terasa ringan dan lincah untuk mencelah atau membuat keputusan pantas. Anda tidak boleh bandingkan dengan kereta sport tetapi saya sukakan bagaimana pemanduan dan pengendalian (R&H) Accord 2.4 ditala, ada sedikit bias terhadap unsur sporty yang melahirkan rasa seronok pada pemandu. Kereta tidak terasa ringan atau terapung-apung di dalam kelajuan tinggi tetapi tidak pula menyamai rasa ‘berat’ sesetengah kereta Eropah. Iya mungkin pakej sistem bantuan elektronik banyak membantu tetapi bagaimana jurutera menala supaya rasa seperti ‘natural’ itu yang penting. Walau bagaimapun tidak boleh lari dengan Honda masa kini apabila suspensi terasa sedikit keras tambahan pula dengan kombinasi tayar profail rendah bersaiz 18 inci.

Honda Accord 2.4 2014.14

Suasana di dalam kereta pula terasa senyap dan bukanlah kerana penebat bunyi (yang berat) semata kerana Honda menggunakan teknologi Active Noise Cancellation (ANC) di mana mikrofon kecil di dalam kabin akan menyerap bunyi yang menceroboh masuk dan mengalihkannya ke unit ANC. Karakter enjin pula adalah tipikal i-VTEC yang ‘berehi’ (galak) untuk dilonjakkan melalui pedal minyak manakala transmisi lima kelajuan automatik pula seperti biasa terasa serasi dengan enjin ini. Accord 2.4 dibekalkan dengan tuil penginjak gear pada stereng dan untuk pemandu yang mahukan efek agresif, tolakkan sahaja gear ke mod S yang menaikkan kadar putaran enjin. Seperkara yang saya perasan mengenai karakter enjin EDT ialah walaupun kereta bergerak laju namun putaran enjin (rpm) masih rendah dan terasa seperti pertembungan di antara laju dan talaan yang mahu memperlahankan kelajuan melalui putaran enjin yang menarik ke bawah dan anda boleh membetulkannya dengan lebih perahan pedal minyak. Tetapi itu bukanlah masalah yang besar kerana keseronokan tetap wujud dan rasanya itulah imbangan talaan kereta moden untuk mendapatkan penggunaan minyak yang ekonomikal. Seperti biasa Honda membekalkan butang Eco Mode dan nyalaan meter Eco berwarna hijau sebagai bantuan untuk mencapai pemanduan ekonomikal. Tahap penggunaan minyak yang saya capai tanpa aplikasi Eco Mode untuk pemanduan urban dan lebuh raya ialah 11km/l iaitu angka yang berpadanan dan diboleh dibanggakan untuk sebuah kereta besar dengan sesaran enjin 2,400 cc.

SONY DSC

Ulasan yang boleh disimpulkan ialah saya seronok memandu kereta ini. Accord 2.4 bukanlah sebuah kereta eksekutif biasa-biasa kerana ianya turut hadir dengan unsur keseronokan pemanduan yang merupakan di antara DNA Honda. Pemanduan dan pengendaliannya seimbang mengikut standard peribadi dan walaupun saiz kereta ini besar saya berasa seperti memandu kereta kecil dan sebati sekali yang mendefinisikan maksud terma seronok itu. Penumpang belakang pula semestinya berasa lapang dengan keluasan yang dibekalkan dan tidak janggal jika kereta ini dijadikan kenderaan rasmi untuk membawa bos-bos dengan pemandu di depan. Isu yang boleh diberikan perhatian ialah lebih mendapan semasa kelajuan tinggi (downforce) ala kereta buatan Jerman dan kualiti dalaman seperti paparan visual boleh dijelaskan lagi manakala perkakasan plastik boleh dipertingkatkan (atau disorokkan dari pandangan mata) supaya sesuai dengan imej dan harga RM174 ribu yang dibayar pengguna.

Senang kata, saya sukakan bagaimana kereta ini ditala di mana unsur keseronokan turut dipakejkan sekali. Honda Accord 2.4 adalah sebuah kereta yang mempunyai karakter. Saya fikir beginilah sepatutnya Honda diwakili dan definisikan di mana pemandu akan sentiasa teringat-ingat untuk memandunya dan mereka yang lain selesa untuk menumpanginya. Pengalaman manis yang sentiasa diingati dan begitulah Honda Accord 2.4.

@muhd_gt

Silakan kongsi: