PROTON MULAKAN TAHUN BARU DENGAN MISI BANTUAN MANGSA BANJIR DI PANTAI TIMUR

Proton Banjir 2015.01

SUBANG JAYA, 6 Januari 2015 – Dalam usaha meringankan beban mereka yang terjejas teruk akibat banjir, PROTON Holdings Berhad (PROTON) telah memulakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) untuk membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Pantai Timur. Bersama-sama dengan anak syarikat milik penuhnya, iaitu PROTON Edar Sdn Bhd (PROTON Edar), PROTON telah menggerakkan Misi Bantuan Banjir PROTON ke Pantai Timur. Misi ini terdiri daripada 45 sukarelawan dari kalangan kakitangan PROTON yang berpangkalan di ibu pejabatnya di Subang Jaya, Selangor serta cawangannya di Kota Bharu, Kelantan dan dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Misi bantuan banjir yang bermula 1 Januari 2015 dan dilaksanakan selama dua hari itu membabitkan khidmat kerja-kerja pembersihan tempat awam dan rumah mangsa yang terjejas teruk akibat banjir, termasuk golongan mereka yang amat memerlukan bantuan kemanusian dengan kadar segera, khususnya golongan miskin serta warga tua.

“Kami turut berdukacita dengan kesusahan yang menimpa mangsa banjir di kawasan Pantai Timur yang majoritinya terpaksa menyelamatkan diri serta ahli keluarga dengan hanya sehelai sepinggang apabila banjir mula melanda pada bulan lalu. Kami turun ke padang sejurus air surut dan menjadikan sebuah perkampungan kecil yang dikenali sebagai Kampung Sakar Sungai di kawasan Pasir Mas, Kelantan sebagai permulaan kepada misi ini pada 1 Januari. Kampung ini dipilih kerana kedudukannya yang terletak jauh dari jalan utama selain tidak dikunjungi oleh mana-mana NGO dalam misi bantuan selepas banjir. Pemilihan kampung ini juga dilihat kena pada masanya kerana kami berupaya membantu 61 keluarga yang terkandas di rumah mereka sejak banjir melanda,” kata Dato’ Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Proton Banjir 2015.02

Sambil menyatakan kebimbangan beliau mengenai nasib mangsa banjir, Dato’ Harith berkata: “Bantuan turut dihulurkan kepada 205 keluarga mangsa banjir lain di Terengganu pada hari kedua misi kami ini, khususnya di Daerah Kemaman. Kami berharap bantuan ini serba sedikit boleh meringankan beban keluarga mangsa terutamanya mereka yang memerlukan bantuan kewangan bagi membolehkan anak-
anak memulakan sesi penggal persekolahan baru tidak lama lagi. Kami juga berharap sumbangan kami ini dapat membantu mengurangkan tekanan keluarga dan komuniti setempat mangsa banjir untuk pulih kesan daripada banjir terburuk yang melanda negara. PROTON juga ingin memberi jaminan kepada mereka bahawa syarikat akan terus membantu mangsa banjir dengan sedaya upaya kami, dan ini semua adalah sebagai tambahan kepada pengumuman 30 peratus diskaun alat ganti serta caj perkhidmatan percuma bagi kerja membaikpulih kereta pemilik Proton yang terjejas akibat banjir.”

Pada 1 Januari, Misi Bantuan Banjir PROTON ke Pantai Timur menghulurkan bantuan dengan membersihkan beberapa tempat awam dan rumah orang tua di Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas dan beberapa buah rumah kakitangan PROTON yang terjejas akibat banjir di Pasir Hor. Selain membersihkan rumah, misi bantuan itu juga telah membersihkan beberapa surau dan dewan komuniti yang ditenggelami banjir. PROTON juga turut menyumbangkan beberapa barangan keperluan termasuk bekalan makanan dalam tin, biskut, kelengkapan peribadi, air mineral, selimut, lampin bayi pakai buang, tuala wanita dan seluar dalam pakai buang. Semua barangan keperluan ini diserahkan oleh Dato’ Harith bersama Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, En Norzahid Mohd Zahudi kepada wakil-wakil daripada 61 keluarga yang terjejas.

Pada hari yang sama, 41 kakitangan PROTON turut menerima bantuan serupa, ihsan daripada PROTON Cawangan Kota Bharu. Pada 2 Januari, misi bantuan ini telah dilanjutkan ke Kemaman, Terengganu di mana PROTON menyumbangkan barangan keperluan kepada 142 keluarga PDRM Terengganu yang terjejas akibat banjir. Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Normansah bin Din untuk diagihkan kepada wakil-wakil balai polis di Terengganu. Seramai 58 daripada keluarga PDRM Terengganu yang terjejas adalah dari Daerah Kemaman. Barangan keperluan juga turut diedarkan kepada 60 keluarga mangsa lain yang terjejas menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek. Misi bantuan PROTON ini kemudiannya melawat tiga keluarga kakitangan PROTON yang terjejas di Kemaman dan Dungun dengan membersihkan rumah-rumah mereka selain turut menyumbangkan barangan keperluan.

“Kami turut simpati apabila mendengar bahawa beberapa kakitangan kami adalah sebahagian daripada mangsa yang terjejas akibat banjir. Justeru, kami telah melancarkan kutipan derma di kalangan kakitangan kami untuk membantu rakan-rakan mereka yang berada dalam kesusahan. Sementara itu, saya juga turun ke padang untuk melihat dan menghulurkan sendiri bantuan kepada mangsa serta komuniti terdekat yang terjejas. Keperitan yang mereka lalui bukan sekadar melibatkan kehilangan harta benda semata-mata, malah, mereka terpaksa menghadapi kesukaran membersihkan rumah serta kawasan sekitar yang teruk disaluti lumpur dan sampah sarap. Jadi adalah penting untuk PROTON memulakan langkah yang tidak seberapa ini untuk meringankan bebanan mereka yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Dato’ Harith berkata, “Sememangnya ini merupakan satu tanggungjawab sosial bagi PROTON. Lebih penting lagi, ia memberi peluang kepada kakitangan PROTON untuk menyemai semangat perikemanusiaan dan mencapai kepuasan diri dengan cara membantu mereka yang memerlukan. Saya
berharap lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang akan bersama-sama membantu supaya mangsa-mangsa banjir ini dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.”

PROTON turut mengambil bahagian dalam misi bantuan yang diusahakan oleh syarikat induknya, DRB-HICOM Berhad untuk terus membantu mangsa-mangsa banjir yang terburuk dalam sejarah negara ini.

Silakan kongsi:

NISSAN X-TRAIL SERBA BAHARU: KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

Nissan X-Trail 2014.02

Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd (ETCM) akan mula menerima tempahan bermula dari 13 Disember untuk Nissan X-Trail serba baharu pemasangan tempatan yang akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia. Nissan X-Trail serba baharu generasi ketiga itu melakukan debut di peringkat dunia pada acara Frankfurt Motor Show 2013, sebelum dilancarkan ke pasaran Jepun pada Januari 2014.

Kini menjadi salah sebuah model SUV terlaris di Jepun, Nissan X-Trail serba baharu sudah pun ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Filipina, Indonesia serta Thailand dan mula mencatat kejayaan yang memberangsangkan. Dengan rekaan berani dan bertenaga yang digabungkan bersama teknologi inovatif serta prestasi luar biasa, Nissan X-Trail serba baharu sememangnya sebuah SUV yang serba boleh untuk apa jua jenis cuaca.

Ketika mengumumkan ketibaan Nissan X-Trail serba baharu, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk, Tan Keng Meng berkata, “Sejak pelancaran globalnya pada awal tahun ini, Nissan telah menjual lebih 250,000 unit Nissan X-Trail serba baharu di seluruh dunia. Ia juga memenangi pelbagai anugerah di beberapa buah negara seperti Indonesia, Mexico dan UK. Dengan semua pencapaian ini, kami sangat teruja kerana dapat memperkenalkan salah sebuah SUV paling popular di dunia ke pasaran Malaysia. Kami juga yakin bahawa X-Trail akan menerajui segmennya di sini.”

Nissan X-Trail serba baharu menampilkan teknologi kawalan chasis termaju yang pertama seumpamanya di dunia, demi menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar dan menyeronokkan. Sistem Active Ride Control berfungsi mengurangkan pergerakan atau olengan tubuh kenderaan yang dirasai oleh pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek untuk meningkatkan keselesaan. Manakala sistem Active Engine Brake pula mengubah suai kuasa brek enjin untuk membantu pemandu mengurangkan kelajuan apabila membelok atau hendak memberhentikan kenderaan. Sebagai tambahan, sistem Active Trace Control – ‘pertama pada Nissan’ – berfungsi mengenakan tekanan brek kepada roda tertentu secara automatik untuk mengurangkan masalah understeer dan membantu pemandu mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh.

Nissan X-Trail 2014.01

Nissan X-Trail serba baharu ditawarkan ke pasaran tempatan dalam dua varian, 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Varian tertinggi, 2.5L 4WD dikuasakan oleh unit enjin QR25DE-k2 dengan CVTC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 171PS @ 6,000rpm dan tork 233Nm @ 4,000rpm. Varian 2.0L 2WD pula dijana oleh enjin MR20DD bersama sistem pancitan terus bahan api dan Twin CVTC. Ia mampu menjana kuasa mencecah 144PS @ 6,000rpm dan tork 200Nm @ 4,400rpm. Kedua-dua varian ini dilengkapi kotak gear Xtronic CVT Generasi Seterusnya dengan mode manual 7 kelajuan serta sistem ECO mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, selain prestasi pemanduan lebih lancar dan berkuasa.

Varian 2.5L juga dilengkapi dengan sistem ALL MODE INTELLIGENT 4×4 (4×4-i) yang menawarkan pilihan di antara pacuan dua roda, Auto Mode atau Lock Mode untuk pacuan empat roda sepanjang masa.
Ciri-ciri lain yang memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada pelanggan ialah tempat duduk ‘Sifar Graviti’ yang membantu mengurangkan kepenatan serta sistem yang memudahkan urusan memarkir kenderaan iaitu 360° Around View Monitor, pertama dalam kelasnya.

Lima warna ditawarkan iaitu perak (Tungsten Silver), hijau zaitun (Titanium Olive), hitam (Diamond Black), biru (Graphite Blue) dan putih (Brilliant White). Nissan X-Trail serba baharu dijangka dijual pada harga bawah RM170,000 untuk varian 2.5L 4WD dan bawah RM150,000 untuk varian 2.0L 2WD.

Silakan kongsi:

Honda Melancarkan Civic 2014 Berwajah Baharu Dengan Pengurangan Harga dan Penambahan Kelengkapan

Honda Civic FL 2014.01

Honda Malaysia baru-baru ini melancarkan Civic berwajah baharu dengan penampilan yang lebih berani melalui rekaan gril baharu dan gril bawah yang lebih agresif. Model baharu itu bertambah menarik apabila didatangkan pada harga baharu yang dikurangkan tetapi dengan penambahan kelengkapan. Harga di atas jalan untuk Honda Civic 1.8L S ialah RM113,800, Civic 2.oL pada RM125,800 manakala 2.0L Navi pada RM132,800.

 

Civic 1.8L S

Civic 2.0L S

Civic 2.0L Navi

  • Smart Entry with Push Start Button

  • Auto Headlamp

  • Cruise Control

  • Chrome Handle

  • Side Curtain Airbags (6 Airbags)

  • Auto Headlamp

  • Side Curtain Airbags
    (6 Airbags)

  • Auto Headlamp

  • New Enhanced 7” Display Audio + HDMI / Navigation / MirrorLink

Selain dari luaran, Civic 1.8L dan 2.0L S menerima beberapa kemasan dalaman seperti pembuka pintu yang kini lebih tebal dengan kualiti material yang ditambah baik manakala varian 2.0L Navi pula didatangkan dengan kemasan Piano Black. Varian 2.0L Navi turut menerima beberapa pembaikan lain seperti sistem paparan multimedia bersaiz 7 inci dengan sistem navigasi, HDMI dan MirrorLink untuk mengimbas fungsi telefon pintar. Kesemua tiga varian Civic kini dilengkapi sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup yang memberi lebih kemudahan kepada pelanggan.

Dengan keselamatan sebagai komitmen dan keutamaan buat Honda, Civic 2014 dibekalkan pakej spesifikasi keselamatan yang tinggi seperti Vehicle Stability Assist dengan sistem Motion Adaptive EPS yang mampu untuk menstabilkan kenderaan sewaktu berlaku gelinciran pembelokan kurang (US) atau belok lebih (OS). Civic 2.0L S dan 2.0L Navi turut dilengkapi enam beg udara berbanding empat untuk model sedia ada. Pemandu Honda Civic pastinya berasa aman apabila mengetahui kereta mereka mempunyai skor 5 bintang ASEAN NCAP.

Honda Civic FL 2014.02

Sasaran jualan Civic 2014 ini adalah sebanyak 7,500 unit setahun iaitu 44% peningkatan berbanding semasa dilancarkan pada tahun 2012. Honda Civic generasi kesembilan ini telah mencatat jualan sebanyak 16,900 unit setakat Oktober 2014. Dari segi jualan keseluruhan, Honda Civic telah terjual melebihi 75 ribu unit sejak pengenalan generasi ketujuh pada tahun 2003.

Civic 2014 akan didatangkan dengan warna baharu iaitu Twilight Blue sebagai penambahan warna sedia ada. Lebih menarik apabila pelanggan bakal menikmati tempoh waranti selama 5 tahun tanpa had batuan dengan jarak servis sebanyak 10 ribu km dan upah servis percuma sehingga enam kali dengan selang servis berbayar sehingga 100,000 km.

Silakan kongsi:

VW Malaysia Memperkenalkan Program Jaminan Mobiliti

VW Polo Sedan CKD 2013.08

VW Malaysia telah melancarkan program jaminan mobiliti sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan. Selari dengan tindakan transformasi yang diumumkan sebelum ini, lebih dari 200 kenderaan VW tersedia untuk kemudahan pelanggan.

Encik Armin Keller, Pengarah Urusan VW Malaysia berkata, “VW adalah OEM pertama di Malaysia yang memulakan program penajaan penuh seperti ini. Kami sekarang mempunyai khidmat mobiliti penuh di dalam melengkapi rangkaian pengedar secara komprehensif.”

Fasiliti ini ditawarkan kepada pemilik kenderaan VW yang mengalami kerosakan dan memerlukan tempoh baik pulih melebihi 24 jam.

“Kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami, dan kami akan terus berusaha dalam memberi pengalaman yang terbaik kepada mereka, tambah Keller.

Program mobiliti ini tidak termasuk kenderaan yang memerlukan servis biasa dan pembaikan kemalangan.

Silakan kongsi:

CAM Plutus Motorhome / D-Max Motorhome

gt2-horz

Pembaca GT sebelum ini tentu pernah terbaca tentang artikel yang gua karang mengenai sebuah Chana Era yang telah disumpah untuk menjadi sebuah Campervan. Malangnya idea tersebut untuk dijadikan sebagai produksi massa gagal dek kerana kekangan undang-undang yang tidak membenarkan kenderaan komersial didaftarkan sebagai kenderaan penumpang. Nah, kini gua bawakan kepada pembaca GT secara ekslusif dua buah kenderaan jenis pikap yang telah dipasangkan kabin di bahagian belakang untuk menjelma sebagai sebuah Motorhome yang lengkap serta boleh dipandu terus untuk menuju ke Cherating pada musim cuti sekolah ini tanpa perlu bimbang tempat penginapan habis ditempah.

Barangkali Isuzu D-Max 4×2 tidak perlu diperkenalkan secara mendalam kepada pengguna kenderaan jenis pikap di Malaysia ini. Cuma, jenama CAM Plutus yang berasal dari Tanah Besar China ini barangkali kelihatan sedikit asing pada pandangan mata kita semua.

Jadi marilah gua terangkan serba ringkas tentang pikap yang telah digunakan sebagai Motorhome ini. Model CAM Plutus 4×2 ini  telah dibekalkan dengan enjin 2.8L TDi bagi membawa sebuah keluarga kecil untuk menyusuri persisiran pantai menghala ke Kuala Terengganu dengan mudah dan pantas. Enjin 4JB1TI yang berasal dari Isuzu ini mampu menghasilkan kuasa Tork pada 230Nm yang dirasakan memadai untuk mengheret kabin besar di belakangnya sewaktu mendaki Genting Sempah. Ok, nak cerita lebih-lebih bab kenderaan / pikap ini, rasanya gua tak perlu ulang panjang lebar.

Kalau lu orang skeptikal tentang produk dari China ini, maka pilihan lain yang ada adalah Isuzu D-Max 4×2. Sebelum ada yang bertanya mengapa 4×2 sahaja yang menjadi pilihan dan bukannya 4×4, marilah gua terangkan. Secara mata kasarnya, lu orang boleh lihat mana-mana kenderaan 4×4 ini secara lahiriahnya lebih tinggi sedikit. Bila dah tinggi, maka urusan keluar masuk ke kabin barangkali menjadi sedikit masalah. Melainkan lu orang sanggup nak pasang escalator. Ok, yang sebenarnya ada peraturan had tinggi keseluruhan kenderaan yang perlu dipatuhi. Karang JPJ tak endorse, macam mana nak jual? Nak jual mungkin boleh, tapi macam tak manis pula dipandang masyarkat sebab hujung-hujung yang kena saman adalah pembeli juga sudahnya.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Kerajaan Hapus Subsidi Petrol RON95 dan Diesel Bermula 1 Disember 2014

1486093_719567894817016_6815900996243078340_o

Setelah pergerakan harga petrol pasaran dunia semakin menurun, kerajaan memutuskan untuk menghapuskan subsidi petrol RON95 dan diesel bermula 1 Disember depan dan menggantikannya dengan kaedah pengapungan terkawal (PT). Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata langkah itu akan dilaksanakan sama dengan kaedah harga RON97 yang diamalkan sejak 2010.

Ini bermakna, harga petrol RON95 dan diesel terdedah kepada pergerakan harga pasaran semasa yang sensitif untuk sesuatu tempoh masa. Berbeza dengan kaedah mekanisma harga automatik (APM) yang terpakai sejak tahun 1983, kerajaan akan menampung segala kenaikan atau di dalam bahasa mudah, sebarang kenaikan harga pasaran dunia akan diberi subsidi membolehkan rakyat menikmati harga yang stabil untuk suatu tempoh panjang. Walau bagaimanapun melalui kaedah PT ini sebarang kenaikan dan penurunan harga pasaran dunia tidak akan memberi kesan secara serta merta kerana kerajaan akan membuat kiraan purata dan kadar pertukaran matawang sebelum harga baharu diperkenalkan. Cuma berbanding kaedah APM, sebarang perubahan harga sama ada naik atau turun akan lebih kerap kedengaran berdasarkan trend pengumuman harga petrol RON97.

Diharapkan agar segala hasil pendapatan dari cukai kenderaan dan penghapusan subsidi akan ditebus kembali melalui program kesejahteraan rakyat.

Berikut ialah kenyataan rasmi Datuk Seri Hasan Malek

KENYATAAN AKHBAR
PELAKSANAAN PENGAPUNGAN TERKAWAL (MANAGE FLOAT)
BAGI PETROL RON95 DAN DIESEL

 

Dimaklumkan bahawa Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bermula dari 1 Disember 2014, penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal (managed float). Kaedah ini adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sedia ada sejak Julai 2010.

 

Harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Automatic Price Mechanism (APM) sejak tahun 1983. Melalui APM, Kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu dimana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit. Walau bagaimanapun, melalui pengapungan terkawal (managed float) ini, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya. Ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya.

 

Sebagai contoh daripada 1 hingga 19 November 2014, purata harga RON95 di bawah APM menurun kepada RM2.27 seliter yang mana lebih rendah daripada harga runcit RM2.30 seliter. Dalam hal ini, Kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 30 November 2014 dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember. Jika trend ini berlarutan, adalah dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM.

 

Pada masa ini harga runcit RON95 di stesen minyak adalah pada harga RM2.30 seliter dan diesel pada harga RM2.20 seliter. Mulai pada 1 Disember 2014, penetapan harga di stesen minyak akan bergantung kepada kaedah yang disebut di atas. Kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk kos setiap masa dan kadar pertukaran matawang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.

 

Keputusan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel dibuat berikutan kejayaan pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON97. Langkah ini membuktikan hasrat Kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia.
Kajian bagi pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaan kaedah ini.

 

YB DATO’ SRI HASAN BIN MALEK
21 NOVEMBER 2014

Sumber: Facebook KPDNKK (21/11/14)

Silakan kongsi:

PROTON MEMBAWA KECERIAAN KEPADA WARGA ASRAMA KEBAJIKAN AR-RAYYAN

image

PROTON Holdings Berhad baru-baru ini menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama warga Asrama Kebajikan Ar-Rayyan bertempat di Pasaraya Besar Tampoi, Johor Bharu. Aktiviti kemasyarakatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat PROTON untuk mendampingi dan mengukuhkan hubungan bersama masyarakat umum di samping bersama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Seramai 40 orang anak-anak daripada Asrama Kebajikan Ar-Rayyan telah bersama-sama warga PROTON yang diketuai oleh Encik Norzahid Mohd Zahudi, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd bertanding dalam acara ‘Membeli Belah Bersama PROTON’ di Pasaraya Besar di Tampoi ini. Setiap peserta telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan dikehendaki untuk membeli barangan keperluan harian seperti makanan, kelengkapan peribadi, alatan pembelajaran dan juga barangan kelengkapan asrama seperti alatan pencuci dan sebagainya mengikut jumlah wang dan masa yang telah diberikan. Kumpulan yang membeli barangan keperluan harian yang betul, tidak melebihi masa dan jumlah wang yang ditetapkan muncul sebagai juara pertandingan ini.

“Melalui program seumpama ini, ianya dapat memupuk budaya berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah kepada anak-anak dan generasi muda seperti warga Asrama Kebajikan Ar-Rayyan ini terutamanya dalam perbelanjaan seharian. Budaya berjimat cermat ini amat perlu diterapkan dalam jiwa mereka agar dapat mengerti dan menghargai nilai wang itu sediri,” ujar Encik Norzahid Mohd Zahudi, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar Sdn Bhd yang turut hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan ‘Membeli Belah Bersama PROTON’.

“Selain itu, bagi kami di PROTON, kejayaan yang diperolehi selama ini juga merupakan hasil sokongan daripada masyarakat, khasnya rakyat Malaysia. Maka sudah menjadi tanggungjawab PROTON untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik dan aktiviti ini merupakan salah satu daripada usaha kami dalam mencapai tujuan tersebut”.

Di samping aktiviti tersebut, PROTON juga turut menyumbangkan sumbangan wang tunai kepada Asrama Kebajikan Ar-Rayyan untuk membantu membiayai perbelanjaan mereka seharian. Asrama Kebajikan Ar-Rayyan telah diilhamkan pada 1 Januari 2011bersamaan 12hb Rabiul Awwal 1432H dan dikelolakan oleh Uztaz Mohamad Halimi bin Hj Kolan yang juga Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Negeri Johor. Kini Asrama Kebajikan Ar-Rayyan telah dikelolakan bersama dengan Persatuan Insani Darul Takzim. Asrama Kebajikan Ar-Rayyan mempunyai seramai 82 orang pelajar yang terdiri daripada anak yatim/piatu, fakir, miskin dan pelajar tahfiz dari umur 6 tahun hingga 17 tahun.

Silakan kongsi:

Pasukan Honda Malaysia Racing Menggunakan Jazz dan City Baharu Untuk Perlumbaan Sepang 1000KM 2014

Honda City Jazz S1K 2014.09

Juara bertahan Perlumbaan Sepang 1000KM (S1K), Pasukan Honda Malaysia Racing (HMRT) bakal menggunakan dua kereta baharu iaitu Honda Jazz dan City buat pertama kali pada perlumbaan S1K pada bulan Disember depan. Kedua-dua model itu baru diperkenalkan di Malaysia pada tahun ini.

HMRT melangkah setapak lagi di dalam menguji mantra “Semangat Mencabar” dengan pengenalan dua kereta lumba ini selepas berada di tempat pertama dan tempat kesembilan pada perlumbaan tahun lepas menggunakan dua buah Honda Jazz generasi kedua. Honda Jazz baharu akan dikenali sebagai kereta 26 manakala City dikenali sebagai kereta 27.

Honda City Jazz S1K 2014.01

Mengulas mengenai dua buah kereta lumba tersebut, Pengarah HMRT, Encik Akkbar Danial berkata, “Pasukan telah bekerja keras membangunkan kedua-dua buah kereta sejak bulan Mac lagi. Kami membuat keputusan untuk menggunakan City buat kali pertama tahun ini kerana ianya mematuhi syarat-syarat kelas 1600cc. City juga menggunakan platform yang sama dengan Jazz baharu yang sesuai untuk dijadikan kereta lumba dengan beberapa modifikasi terutama sekali pada suspensi.”

Jazz dan City baharu mempunyai platform yang direka dengan baik dan chasis yang seimbang seterusnya membolehkan pasukan untuk mengubahsuai kereta supaya lebih sesuai dan untuk pembelokan yang lebih baik. Pasukan telah mereka bentuk ball joint khas untuk melaras roll center dan bump steer supaya kereta lebih senang dikendalikan. Selain dari itu, pasukan juga telah menanggalkan beberapa peralatan dalaman untuk meringankan berat kereta yang kini hanya 1030kg.

Honda City Jazz S1K 2014.03

“Pasukan telah banyak menimba pengalaman dan pengetahuan di dalam dua perlumbaan sebelum ini di dalam membina Jazz untuk S1K. Saya yakin dengan azam yang tinggi untuk mencabar had kemampuan kami, pasukan mampu untuk menjadikan Jazz dan City sebagai jentera perlumbaan unggul pada perlumbaan bulan depan.” tambah Encik Akkbar.

HMRT terdiri dari 42 rakan kerja Honda tempatan yang bekerja sepenuh masa dengan Honda Malaysia. Setiap ahli pasukan komited dalam mencapai kejayaan di dalam sukan permotoran dan berusaha keras untuk mengatasi halangan yang timbul berdasarkan mantra Semangat Mencabar.

Honda City Jazz S1K 2014.07

Cabaran HMRT akan diteruskan dengan pemandu setia iaitu Eddie Lew, Aaron Lim dan Farriz Fauzy. Ketiga-tiga pemandu mempunyai pengalaman terkumpul melebihi sepuluh tahun di dalam perlumbaan dan telah dua tahun bersama untuk perlumbaan S1K. Seorang lagi pemandu HMRT akan diumumkan kemudian.

“Objektif HMRT ialah untuk menambah baik pengetahuan teknikal dan kemahiran rakan kerja Honda melalui penglibatan di dalam dunia perlumbaan. Honda Malaysia akan meneruskan komitmen di dalam aktiviti perlumbaan dan menyumbang sumber dan sokongan penuh kepada HMRT untuk mengukuhkan kedudukan jenama di dalam litar lumba tempatan dan berkongsi keterujaannya dengan rakyat Malaysia,” tambah Encik Akkbar.

Silakan kongsi: