Honda Malaysia Melancarkan HR-V Dengan Harga Permulaan Di bawah RM100 ribu

Honda HR-V 2015.09

Kuala Lumpur, 5 Februari 2015 – Honda Malaysia dijangka bakal menetapkan penanda aras baru dalam segmen SUV Kompak menerusi pelancaran HR-V serba baharu. HR-V yang bermaksud “Hip & Smart Runabout Vehicle” akan mengubah landskap SUV dengan membuka satu segmen baru – SUV Kompak.

Konsep keseluruhan HR-V serba baharu hadir selepas menerima maklum balas daripada para pelanggan yang mahukan sebuah SUV mampu milik yang menawarkan aspek keselamatan dan status serta pada masa yang sama memiliki tahap kegunaan yang tinggi. Model ini mampu menyediakan kesemua elemen ini dengan menggabungkan aspek kelasakan seperti sebuah SUV, membawa citarasa seperti sebuah Coupe dan mempunyai utiliti seperti sebuah Minivan.

Honda HR-V 2015.05

HR-V serba baharu nyata telah mencipta gelombang populariti di setiap negara ia dilancarkan dan kini menjadi SUV Kompak paling laris di Jepun. Di Thailand dan Indonesia, HR-V serba baharu turut menerima maklum balas serta tempahan yang begitu memberangsangkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Encik Roslan Abdullah berkata, “Di Malaysia, segmen SUV menunjukkan pertumbuhan yang ketara sejak beberapa tahun ini. Pada tahun 2010, segmen SUV hanya mencatatkan jualan sekitar 18,000 unit. Dalam tempoh lima tahun, segmen ini telah berkembang sebanyak 74% kepada 31,000 unit dengan perkongsian pasaran sebanyak 4.7%. Di sebalik pertumbuhan yang pesat ini, segmen SUV masih didominasi oleh SUV yang lebih besar. Ini bermakna, tiada SUV yang sesuai atau mampu milik untuk mereka yang ingin menaik taraf daripada kenderaan segmen asas. Segmen SUV tidak mempunyai model kompak yang mampu merapatkan jurang di antara SUV lebih besar dengan sedan asas.”

Honda HR-V 2015.23

Menyedari peluang yang besar ini, Honda Malaysia terus komited untuk mengujakan pasaran dengan produk-produk bernilai dan menarik yang ditawarkan pada harga berpatutan. Demi memenuhi keperluan pasaran, HR-V didatangkan dalam tiga varian iaitu S, E dan V yang ditawarkan pada harga RM99,800, RM108,800 dan RM118,800 seunit.

SUV Kompak Dinamik ini adalah sebuah kenderaan yang sesuai buat golongan Gen-Y yang masih bujang, berpasangan serta keluarga muda yang menghargai gaya hidup masing-masing. Mereka ini adalah kelompok yang bekerja keras, meluangkan lebih banyak masa untuk bersosial dan menggemari aktiviti sukan atau riadah pada hujung minggu.

Rekaan luarannya adalah berdasarkan kepada konsep ‘Dynamic Cross Solid’ yang menyerlahkan kabin-aero seperti sebuah coupe, bahagian bawah kenderaan yang kukuh serta penampilan penuh kuasa. Pembuka pintu belakang diintegrasikan dengan cermin tingkap demi meningkatkan lagi penampilannya yang kelihatan seperti sebuah coupe. HR-V serba baharu juga menampilkan Konsep Exciting H Design!!! di mana “H” bermaksud “Human Center” (tumpuan terhadap manusia) yang memberi fokus kepada pemandu dan para penumpangnya manakala rekaan muka sayap yang mantap serta gril dan lampu yang disatukan nyata menghasilkan penampilan luaran yang bergaya dan lasak.

Honda HR-V 2015.22

Menyentuh tentang prestasi pula, HR-V serba baharu dijana oleh enjin 1.8L i-VTEC SOHC dipadankan dengan transmisi Continuous Variable Transmission (CVT) terkini yang dibangunkan di bawah ‘Earth Dreams Technology’ Honda. Kombinasi ini nyata  meningkatkan keseronokan dan prestasi untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar sama ada sewaktu memandu di lebuh raya atau berada dalam kesesakan lalu lintas.

Menjengah ke bahagian kabin, HR-V serba baharu menggunakan rekaan tangki Honda yang diletakkan di bahagian tengah kenderaan demi menawarkan ruang kargo yang mendahului kelasnya serta keluasan yang hampir sama seperti SUV yang lebih besar daripadanya. Konsol tengah yang tinggi dengan perehat tangan direka untuk memberikan satu ruang tersendiri dan tahap kegunaan yang terbaik. Dengan Ruang Kargo Pelbagai-Kegunaan (Multi-Utility Cargo Space), pelbagai konfigurasi tempat duduk belakang yang versatil seperti Mode Utiliti (Utility Mode), Mode Tinggi (Tall Mode) dan Mode Memanjang (Long Mode) boleh diubah suai untuk memenuhi apa jua keperluan gaya hidup serta kegunaan.

Honda HR-V 2015.03

Ciri-ciri pintar termasuk Paparan Audio bersaiz 7 inci, isyarat membelok dengan satu sentuhan (One Touch Turn Signal), Sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin, Kawalan Jelajah dan Mode ECON sememangnya menawarkan operasi yang lancar di hujung jari anda. Sementara speedometer pula menampilkan satu gegelung iluminasi yang boleh bertukar warna berdasarkan kepada mode pemanduan untuk menunjukkan gaya memandu yang ekonomikal. Material-material berkualiti seperti pad fabrik yang lembut pula digunakan pada kebanyakan titik sentuhan penumpang.

HR-V serba baharu menawarkan rangkaian ciri keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif seperti 6 beg udara (Varian V; dua beg udara SRS pada bahagian hadapan, beg udara langsir dan beg udara sisi), kamera pandang belakang pelbagai sudut (Varian V), Emergency Stop Signal (ESS), LED Daytime Running Light (DRL) (Varian V), Hill Start Assist (HSA), Vehicle Stability Assist (VSA) dan ISOFIX. Teknologi-teknologi maju seperti ‘Automatic Brake Hold’ dan ‘Electric Parking Brake’ yang baru ditawarkan pada semua varian. Ciri-ciri ini boleh diaktifkan dengan mudah melalui satu suis dan tuil sahaja. Bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan ketika berlaku kemalangan, kerangka yang diperbuat daripada besi regangan tinggi telah ditambah pada bahagian tengah badan kenderaan untuk menambahbaik tahap penyerapan daya pelanggaran.

Honda HR-V 2015.16

HR-V serba baharu ditawarkan dalam lima warna iaitu Kelabu Metalik (Modern Steel Metallic), Putih (Taffeta White), Perak Metalik (Alabaster Silver Metallic), Hitam Mutiara (Crystal Black Pearl) dan Hitam Metalik (Ruse Black Metallic).

Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had serta selang servis 10,000km untuk HR-V serba baharu di semua 78 pengedar Honda di seluruh negara. Bagi pemilik yang mahukan penampilan lebih sporty dan individualistik untuk HR-V serba baharu masing-masing, Honda Malaysia menawarkan dua pakej Utiliti dan Modulo pada harga bermula RM1,550.

Silakan kongsi:

Harga Petrol dan Diesel Turun Untuk Februari 2015

Rasionalisasi SubsidiSetelah menurunkan harga petrol dan diesel pada bulan Disember 2014 dan Januari 2015, kerajaan sekali lagi mengumumkan penurunan harga bagi bulan Februari 2015. Harga petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing turun 21 sen seliter, 11 sen seliter dan 23 sen seliter kepada RM1.70, RM2 dan RM1.70 bermula 1 Februari 2015.

Kerajaan menggunakan kaedah pengapungan terkawal (managed float) di dalam penentuan harga dengan mengambil kira kos petrol dan diesel bulan terdahulu dan kadar pertukaran matawang. Sebelum ini kerajaan menggunakan mekanisma harga automatik (APM) sejak tahun 1983 dan bermula 1 Disember 2014 kaedah tersebut dihentikan yang bermakna tiada lagi subsidi diberikan.

Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan di dalam reaksi Twitter berkata penurunan tersebut membolehkan rakyat mempunyai wang yang lebih untuk berbelanja dan membuat pelaburan.

Silakan kongsi:

Pandu Uji Nissan Sylphy 1.8VL

SONY DSC

Persaingan secara amnya merupakan suatu yang positif untuk pengguna. Banyak perkara yang dianggap mustahil dan ajaib sudah berubah 360 darjah. Contoh terdekat ialah bagaimana tiket penerbangan pada satu-satu masa setara dengan tiket pengangkutan darat dan harga komputer riba dan peribadi yang lebih murah dari telefon pintar yang saiznya hanya sebesar tapak tangan. Di dalam konteks industri automotif pula, perebutan pasaran tidak meruntuhkan harga kenderaan kerana impak yang besar pada pengguna dan rantaian perniagaan. Walau bagaimanapun, pengeluar dan pengedar tetap menurunkan harga tetapi di dalam julat yang kecil atau pun menebus kembali dengan menambah nilai dengan meningkatkan kelengkapan dan aksesori standard. Contoh mudah ialah apabila model rupa baru (facelift) Perodua Myvi yang dilengkapi pelbagai aksesori standard berbanding pertama kali diperkenalkan.

Di dalam segmen kenderaan C dan D, persaingan begitu sengit kerana harga dan nilai yang ditawarkan pengeluar Korea Selatan. Pengedar jenama Jepun yang sebelum ini selesa dengan status quo mereka tersentap dan harus menari mengikut rentak. Walaupun jenama Jepun masih memegang takhta namun itu bukanlah jaminan selamanya kerana produk Korea Selatan semakin hari semakin mengujakan. Bayangkan harga sebuah kereta Korea Selatan dengan sejumlah beg udara jauh lebih rendah berbanding kereta Jepun dengan empat atau dua beg udara. Jika tidak kerana pembelian kereta perlu mengambil kira kesan jangka masa panjang ada kemungkinan jenama kenderaan Jepun menerima nasib yang sama seperti pengeluar produk elektronik dan komunikasi yang pernah gah dan kini terumbang-ambing.

SONY DSC

Jika diperhatikan kebelakangan ini, tawaran pengedar kereta Jepun semakin menarik. Edaran Tan Chong Motor (ETCM) misalnya sudah melengkapi model-model baharu mereka dengan kelengkapan keselamatan setara dengan pasaran global. Jika dibuat perbandingan dengan dua lagi jenama seperti Toyota dan Honda anda boleh menilai bagaimana landskap permainan sudah berubah. Syukurlah, perancang produk di ETCM sedar dan mengambil tindakan sewajarnya supaya produk mereka kekal relevan dan tidak menjadi modal maklum balas negatif di media dalam talian.

Baru-baru ini saya diberi peluang memandu uji Nissan Sylphy 1.8VL (B17). Berbeza dengan Sylphy model terdahulu yang mempunyai opsyen enjin 2.0l, model baharu ini hanya dibekalkan enjin 1.8l dengan dua varian sahaja. Model gred VL yang dipandu uji ini dipasarkan pada harga RM125 ribu manakala Sylphy 1.8E pula pada harga RM115 ribu. Perbezaan signifikan di antara kedua-dua model ialah pengurangan kelengkapan pada varian 1.8E seperti sistem kemasukan pintar dengan butang penghidup, kerusi balutan kulit, kamera undur, lampu utama bi-xenon dan kawalan penyaman udara dual-zone. Walaupun begitu, suatu yang menarik dan terpuji apabila kedua-dua varian didatangkan standard dengan sistem kawalan cengkaman dan enam beg udara.

SONY DSC

Dari segi reka bentuk luaran, Sylphy B17 mengulang semula tema pada Nissan Teana. Rekaannya saling tidak tumpah malah seolah-olah Teana bersaiz kecil. Reka bentuk model terdahulu yang agak konvensional dan selamat digantikan dengan permukaan yang lebih dinamik dengan alunan beremosi. Bahagian depannya membujur dan bulat yang kemudiannya diteruskan dengan garis bahu yang beralun dan ditemukan dengan bahagian belakang yang kontras dengan bentuk bersegi. Jelas pereka Sylphy menjelmakan eksperimen mereka di dalam bentuk yang harmoni supaya kekal relevan dan segar untuk jangka masa yang lama.

Jika bahagian luar ibarat Teana, interior Sylphy turut dibayangi oleh model segmen D tersebut. Cuma bezanya ialah saiz yang lebih kecil. Kelihatan pereka dalaman Sylphy berusaha keras untuk bermain dengan dimensi yang diberikan dan secara visualnya nampak sedikit kekangan tetapi masih berpadanan untuk keluarga dengan dua anak kecil. Juga kelihatan plastik keras pada sesetengah bahagian namun boleh dimaafkan kerana ianya sudah menjadi standard industri. Kerusi pemandu pula selesa tetapi lebih baik jika disertakan dengan fungsi larasan automatik. Segala butang-butang kawalan pula mudah dicapai dan mesra pengguna melambangkan pengalaman lama yang dimiliki perekanya. Varian Sylphy VL dilengkapkan dengan kamera undur yang ditayangkan pada skrin papan pemuka namun kualiti dan saiznya boleh dipertingkatkan lagi terutama sekali pada waktu malam dan hujan. Setakat ini hanya sistem visual Nissan Elgrand yang berjaya memikat hati. Saiz ruang untuk penumpang belakang pula sederhana dengan kerusi yang boleh dikatakan selesa untuk perjalanan jauh. Bonet belakang pula luas dan boleh memuatkan pelbagai barangan dengan saiz keseluruhan berjumlah 510 liter.

SONY DSC

Memandu kereta untuk pasaran global ini memberikan pengalaman yang bercampur-campur. Sylphy 1.8 bukan dibina untuk berlumba dengan spesifikasi prestasi. Kereta ini dibangunkan untuk kegunaan harian sama ada ke tempat kerja atau membawa famili ke destinasi luar bandar dan ianya menjalankan tugas dengan baik. Menguasakan Sylphy ialah enjin 1.8l MRA8DE berkuasa 129hp dengan tork 191Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT X-Tronic generasi baharu dengan beberapa penambah baikan dalaman. Pengalaman awal memandu Sylphy terasa benar sterengnya mudah dikawal, keluar masuk parkir dengan teknologi EPA begitu menyenangkan. Bunyi enjin pula tenang dan tidak menceroboh masuk ke dalam ruang kabin. Saya menguji prestasi Sylphy di sekitar Lembah Klang dan menuju ke Bagan Lalang, Sepang untuk mengetahui karakternya.

Semasa pedal ditekan kuat, bunyi enjin dan ngauman transmisi terasa benar yang berusaha untuk melontarkan kereta ke depan. Kuasa tambahan pula boleh diperoleh melalui punat butang Sport pada tuil transmisi di mana enjin akan lebih berputar ligat. Rasanya pemain utama di dalam menentukan karakter enjin Sylphy ini ialah transmisi CVT dan pemandu yang mahukan sedikit prestasi lebih gemar jika dipadankan dengan transmisi automatik konvensional seperti kereta segmen C lain. Transmisi CVT X-Tronic memerlukan enjin yang lebih berkuasa supaya dapat menutup sifat melahunya di mana Nissan pernah membuktikannya dengan memadankan dengan enjin 2.5l V6 pada model Teana sebelum ini. Dari segi pengendalian dan pemanduan pula, jurutera Nissan mengubah talaan yang lembut pada model sebelum ini dengan menjadikannya sedikit tegar supaya lebih bersahaja semasa selekoh. Dengan tayar bersaiz 205/50 R17 terasa sedikit hentakan tetapi jenama Continental mencengkam jalan dengan baik dan senyap.

SONY DSC

Nissan Sylphy B17 menepati fungsinya sebagai mode pengangkutan eksekutif muda atau keluarga. Kereta ini mempunyai stail dari luar hingga ke dalam, bonetnya besar dan tiada masalah mengisi bagasi ke luar kota untuk mengembara atau pulang ke kampung. Jenama Nissan pula mempunyai reputasi yang bagus dan penggunaan minyak juga ekonomikal. Pakej keselamatan yang menjadi kelengkapan standard juga menggagumkan untuk segmen ini. Cuma apa yang saya perlukan ialah sedikit keseronokan supaya selari dengan reka bentuknya yang dinamik. Tambahan pula saya memang gemarkan kereta berprestasi dan sporty. Tetapi jika saya berada di dalam pasaran segmen ini boleh jadi saya akan pening memikirkan jenama mana yang hendak dibeli dengan pesaing yang tidak kurang hebatnya.

Secara keseluruhannya, Nissan menawarkan sesuatu yang wajar dan boleh ditimbang secara serius di dalam pasaran segmen C yang kompetitif dan sibuk ini. Jika Nissan Teana terlalu besar untuk anda, Nissan Sylphy sudah memadai dengan harga yang lebih rendah dan merupakan pilihan selamat. Dengan pakej yang dibekalkan, sukar untuk dikatakan bahawa Nissan Sylphy adalah pilihan yang silap kerana ETCM telah memposisikannya dengan betul.

Silakan kongsi:

ETCM MELANCARKAN NISSAN X-TRAIL 2015 – DARI RM143K – RM166K!

Nissan X-Trail 2015.14

KUALA LUMPUR, 23 Januari 2015 – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini melancarkan crossover premium inovatif, Nissan X-Trail serba baharu.

Cukup berjaya di peringkat global, Nissan X-Trail serba baharu generasi ketiga telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah di seluruh dunia. Terbaharu, ia dipilih sebagai Kereta Terbaik 2014 Indonesia (Indonesia Car of the Year 2014) daripada majalah Mobil Motor dan Auto Bild Indonesia serta anugerah sama daripada Persatuan Media Automotif Utama di China.

Varian yang terdapat di pasaran Malaysia adalah varian tertinggi 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Sejak pendaftaran pra-tempahan dibuka di Malaysia pada Disember lalu, Nissan X-Trail serba baharu telah menerima lebih 1,300 tempahan sehingga kini.

Nissan X-Trail 2015.10

Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng dalam ucapannya ketika majlis pelancaran Nissan X-Trail serba baharu berkata, “Kami berasa sangat berbesar hati kerana dapat memperkenalkan Nissan X-Trail serba baharu kepada rakyat Malaysia. X-Trail generasi sebelum ini sememangnya menjadi ikon kepada para peminat SUV di sini apabila lebih 19,000 unit berjaya dijual sejak ETCM memperkenalkannya pada tahun 2003. Nissan X-Trail serba baharu yang direka semula sepenuhnya menggabungkan warisan 4×4 Nissan dengan idea-idea baharu, gayaan premium dan teknologi perintis – sekali gus menjadikannya antara crossover paling canggih yang dilengkapi kemampuan off-road. Crossover premium inovatif ini merupakan satu lagi bukti komitmen ETCM untuk membawakan tawaran terbaik Nissan kepada para pengguna.”

Nissan X-Trail serba baharu yang dipasang tempatan ini menampilkan teknologi perintis seperti Active Chassis Control. Ia disifatkan sebagai teknologi pertama seumpamanya di dunia yang memastikan pengalaman pemanduan adalah lancar dan bebas tekanan.

Sistem Active Ride Control berfungsi mengurangkan rasa bergegar yang dialami oleh para pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek demi meningkatkan keselesaan. Manakala sistem Active Engine Brake pula mengubah suai jumlah tekanan brek enjin bagi membantu pemandu mengurangkan kelajuan ketika hendak mengambil selekoh atau berhenti.

Nissan X-Trail 2015.13

Sebagai tambahan, sistem Active Trace Control – pertama pada kenderaan Nissan – akan mengenakan sedikit kuasa brek kepada tayar-tayar tertentu secara automatik untuk mengurangkan masalah understeer, selain membantu pemandu mengawal kenderaan ketika melalui selekoh.

Varian 2.5L dilengkapi dengan ALL MODE INTELLIGENT 4×4 System (4×4-i) untuk mode memandu yang berbeza berdasarkan keadaan jalan raya. Ia menawarkan tiga mode iaitu pacuan dua roda, Auto Mode yang menukar pengedaran tork antara roda depan dan belakang secara automotik semasa memandu di jalan yang berturap atau licin, dan Lock Mode untuk pemanduan pacuan empat roda sepanjang masa.

Ciri yang didatangkan pada kedua-dua varian, Hill Start Assist membolehkan para pemandu menukar brake kepada pemecut secara mudah untuk memulakan perjalanan yang lebih selamat di curam bukit.

Tambahan pula, Hill Descent Control – terdapat di varian 2.5L 4WD – mengawal kelajuan kenderaan (di antara 4km/j -15km/j) ketika menuruni laluan berbukit yang curam atau licin tanpa perlu menekan brek. Ini sekali gus membolehkan pemandu fokus untuk mengawal stereng kenderaan.

Varian tertinggi, 2.5L 4WD dikuasakan oleh enjin QR25DE-k2 dengan sistem Twin CVTC. Ia mampu menjana kuasa sehingga 171 PS @ 6,000rpm dan tork 233Nm @ 4,000 rpm. Varian 2.0L 2WD pula dibekalkan dengan unit enjin MR20DD dengan sistem pancitan bahan api dan Twin CVTC yang berupaya menghasilkan kuasa mencecah 144PS @ 6,000rpm dan tork maksimum 200Nm @ 4,400rpm.

Nissan X-Trail 2015.07

Kedua-dua varian enjin ini dipadankan bersama kotak gear Xtronic CVT generasi seterusnya bersama mode manual 7 kelajuan untuk pemanduan lancar dan prestasi yang penuh kuasa; serta Mode ECO bagi menawarkan penjimatan bahan api lebih baik.

Dengan reka bentuk kemas dan penuh gaya yang memastikan kehadirannya mampu menarik perhatian sesiapa sahaja, Nissan X-Trail serba baharu nyata mengambil sejumlah rekaan signatur Nissan. Misalnya, lampu nyalaan siang LED berbentuk Boomerang, gril Nissan berbentuk V yang tersendiri dan kombinasi lampu belakang yang standard pada kedua-dua varian. Keistimewaan varian 2.5L 4WD ialah lampu utama LED yang pertama dalam kelasnya dengan fungsi Auto serta lampu isyarat membelok LED. Roof Rails dan rim aloi bersaiz 17 inci pula memberikan Nissan X-Trail serba baharu penampilan yang menarik dan mengagumkan.

Ruang dalaman juga telah diperhalusi buatannya. Ia diserlahkan menerusi material berkualiti tinggi yang lembut apabila dipegang pada panel instrumen, pintu hadapan dan perehat tangan di konsol tengah. Sentuhan berwarna perak, kemasan krom, metalik geometrik serta premium piano black nyata mencetuskan ambien dalaman yang moden dan elegan.

Konfigurasi tempat duduk 5+2 sememangnya menawarkan keluasan kabin yang luar biasa, terutamanya apabila tempat duduk tambahan diperlukan untuk kanak-kanak. Kapasiti kargonya juga mengagumkan iaitu 1,520 liter (apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata) dan 550 liter (jika tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya).

Nissan X-Trail 2015.20

Ciri-ciri lain yang berfungsi menawarkan pelanggan lebih keselesaan dan keselamatan ialah tempat duduk berinspirasikan sifar graviti (Zero-Gravity Inspired’ Seats) yang membantu mengurangkan keletihan dan Paparan Bantuan Pemanduan Termaju (Advanced Drive Assist Display, ADAD) bersaiz lima inci yang terbaik dalam kelasnya untuk memberi kemudahan ketika memandu. Sementara ciri 360° Around View Monitor yang pertama dalam kelasnya berfungsi memudahkan urusan memarkir kenderaan.

Nissan X-Trail serba baharu hadir bersama satu rangkaian sistem keselamatan yang dipasang sebagai ciri standard untuk semua varian. Ini termasuklah dua beg udara SRS di bahagian hadapan, Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS) dengan Active Brake-Limited Slip (ABLS), Anti-Lock Braking System (ABS) dan Electronic Brake Force Distribution (EBD) dengan Brake Assist (BA).

Semasa majlis pelancaran, ETCM turut menyerahkan kunci kepada tiga pemilik pertama X-Trail serba baharu di Malaysia iaitu En. Chea Yaw Hwa, Ahmad Sulhi bin Ghazali dan K.B Moganarajan A/L K.T Balakrishnan.

Nissan X-Trail 2015.18

X-Trail serba baharu ditawarkan pada harga RM165,800 untuk varian 2.5L 4WD dan RM142,800 bagi varian 2.0L 2WD (harga di atas jalan termasuk insurans di Semenanjung Malaysia). Ia didatangkan dalam lima warna – perak (Tungsten Silver), hijau (Titanium Olive), hitam (Diamond Black), biru (Graphite Blue) dan putih (Brilliant White).

Sempena pelancaran Nissan X-Trail serba baharu, ETCM menawarkan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu). Ia turut hadir dengan servis penyelenggaraan percuma selama tiga tahun untuk setiap pembeliannya.

Silakan kongsi:

Galeri Perodua Myvi 2015

Perodua Myvi Studio 2015.02

Silakan kongsi:

Perodua Lancar Myvi Wajah Baharu – Kini Dengan Skor 4 Bintang ASEAN NCAP!

Perodua Myvi 2015.02

Kuala Lumpur, 15 Januari: Perodua pada hari ini melancarkan Myvi wajah baharu dengan pelbagai kelengkapan baharu dan lebih nilai untuk rakyat Malaysia. Di antara pembaharuan yang dilakukan ialah pada reka bentuk, ciri keselamatan dan menariknya pada laras harga baharu.

“Myvi telah menerima sambutan yang baik dari pasaran dan sehingga kini telah terjual melebihi 800 ribu unit yang menjadikannya model Perodua paling popular setakat ini,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

“Myvi memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia dan kami percaya model ini masih lagi relevan dan boleh diterima baik oleh masyarakat. Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia dengan sokongan berterusan yang diberikan,” kata Datuk Aminar.

Perodua Myvi 2015.01

Model baharu Myvi menerima skor baharu 4 bintang ASEAN NCAP hasil dari pembaikan pada struktur kereta untuk menahan lebih impak pada bahagian hadapan selari dengan standard global. Perubahan lain ialah gayaan depan dan belakang baharu serta bahagian interior dan sistem multimedia yang dikemas kini. Tidak dilupakan ialah cangkuk anti peragut sama seperti Perodua Axia dan perumah pemegang minuman baharu. Myvi 2015 juga didatangkan dua warna baharu iaitu Electric Blue untuk varian SE dan Advanced manakala varian Standard G dan Premium X pula menerima warna Cosmic Gold. Secara keseluruhannya nilai yang diperoleh ialah sekitar RM4,500 termasuk penurunan harga yang dipakejkan dengan perkakasan baharu.

Perodua Myvi 2015.03

Perodua mensasarkan untuk menjual sebanyak 6 ribu unit Myvi sebulan melalui dua segmen utama yang dipecahkan kepada empat varian. Segmen pertama ialah model 1.3 dengan varian Standard G (Manual dan Automatik) dan varian baharu iaitu Premium X (Automatik sahaja). Segmen kedua ialah model 1.5 dengan dua varian iaitu Myvi SE 1.5 (Manual dan Automatik) dan Myvi Advance Version (Automatik sahaja).

Harga Perodua Myvi 2015 bermula dari RM41,500 hingga RM58,900 untuk semenanjung Malaysia.

Silakan kongsi:

Honda Malaysia Bakal Melancarkan SUV Kompak HR-V

Honda HR-V 2015.01

Honda HR-V yang berjaya menimbulkan keterujaan di hampir setiap pasaran yang dilancarkan bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi. Honda HR-V adalah kenderaan generasi baharu yang menggabungkan ciri-ciri dinamik dan perlindungan SUV, keseronokan dan karakter peribadi Coupe dan praktikaliti Minivan. Secara mudah, HR-V adalah gabungan sifat individual dan praktikaliti.

HR-V dijangka bakal menerima sambutan baik daripada rakyat Malaysia melalui ciri-cirinya yang mesra pengguna, keluasan dan kebolehgunaannya. HR-V dikuasakan oleh enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang dipadankan dengan transmisi CVT dari Earth Dreams Technology yang berprestasi dan ekonomikal. Pusat graviti yang rendah pula memberikan pemanduan yang selesa dan penampilan SUV ini diserlahkan melalui roda aluminium 16 inci.

Rupa depan HR-V menampilkan rekaan Solid Wing Face seperti model-model Honda baharu manakala garisan sisi pula menonjolkan imej lasak dan rugged. Pembuka pintu dibelakang pula diletakkan pada bucu tingkap yang memberi ilusi seperti kereta coupe dua pintu. Pada bahagian interior pula, HR-V menggunakan teknologi E-brake seperti kereta mewah menggantikan brek kaki dan brek tangan seterusnya memberi lebih ruang pada papan pemuka dan kaki. Ruang kargo pula dimanipulasi sebaik mungkin melalui 3 mode ubahsuai iaitu Utility, Tall dan Long untuk disesuaikan dengan pelbagai jenis dan saiz muatan. Dari segi keselamatan pula, HR-V dilengkapi pelbagai teknologi seperti ABS, EBD, BA, VSA, HSA, Emergency Stop Signal (ESS), DRL, ISOFIX dan enam beg udara.

Kepada yang berminat, Honda HR-V bakal dilancarkan pada Februari 2015.

Silakan kongsi:

ETCM MELANCARKAN NISSAN ALMERA WAJAH BAHARU

Nissan Almera 2015.01

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini melancarkan Nissan Almera Baharu yang telah ditambah baik (Facelift) dengan gayaan berani dan penampilan yang lebih dinamik. Sejak pertama kali diperkenalkan oleh ETCM pada October 2012, Nissan Almera menawan hati rakyat Malaysia dengan menjadi model Nissan yang terlaris di negara ini. Setakat ini, terdapat lebih dari 56,000 unit (56,583) di atas jalan di Malaysia.

Nissan Almera Baharu memiliki bampar hadapan rekaan baharu, gril hadapan tiga dimensi, lampu utama multi-reflektor yang baru, perumah lampu kabus dengan kemasan krom, lampu isyarat membelok pada cermin sisi dan rim aloi berjejari-Y bersaiz 15 inci. Semua ciri baharu ini digabungkan bersama kemasan krom, garis-garis yang kemas serta bahagian sisi lebar yang menjadikan Almera sebuah sedan yang bergaya dan elegan.

Nissan Almera 2015.03

Bagi mereka yang ingin meningkatkan pengalaman memandu Almera boleh memilih Almera NISMO Performance Package – bintang pada rangkaian Almera baharu. Almera NISMO Performance Package terbaharu ini membuat global premier pertamanya di Malaysia serta mengubah penampilan Almera Baharu untuk menjadi lebih agresif dan aerodinamik. Pakej ini merangkumi bampar spoiler hadapan dan belakang, skirting sisi, trunk lid spoiler, rim aloi bersaiz 16 inci dengan tayar Continental, peredam ekzos sports serta sistem suspensi berprestasi tinggi.

NISMO ialah jenama sukan bermotor, prestasi dan personalisasi Nissan yang terkenal di seluruh dunia. Ia mewakili falsafah “Innovation that Excites” Nissan dan warisan perlumbaannya. Almera Baharu boleh didapati dalam varian E (Manual dan Automatik), V serta VL – dengan pilihan naik taraf kepada Almera NISMO Performance Package atau NISMO Aero Package.

Almera Baharu didatangkan bersama stereng baharu yang dilengkapi butang kawalan audio, Fine Vision Meter dengan Paparan Multi-Maklumat (MID) dan konsol tengah yang direka semula serta kemasan hitam piano yang premium. ETCM juga menawarkan sistem Navigasi Media berasaskan Android dengan skrin bersaiz 6.5 inci yang pertama dalam segmennya. Sistem itu menawarkan ketersambungan internet bersama Sistem Kedudukan Akustik Maya (Virtual Acoustic Positioning System (VAPS), Kamera Pandang Belakang, iPod, USB dan Bluetooth.

Nissan Almera 2015.04

Sedan ini dikuasakan oleh unit enjin 1.5 liter empat silinder HR15DE dengan sistem Continuously Variable-valve Timing Control (CVTC) yang menawarkan pecutan serta penjimatan bahan api mengagumkan, iaitu 14.9km\l untuk transmisi automatik, dan 15.9km/l bagi varian bertransmisi manual.

“Nissan Almera ini sangat diminati kerana ia bernilai untuk wang dan praktikal. Manakala Almera Baharu puIa kini hadir bersama ciri-ciri inovatif yang menggabungkan aspek elegan dan sporty dengan sempurna menerusi pakej-pakej NISMO yang baru. Dengan penambahbaikan tersebut, model Almera Baharu bukan sahaja ekonomikal, malah cukup bergaya. Sekali gus membuktikan komitmen berterusan kami untuk menawarkan kereta yang mampu milik dan menarik kepada rakyat Malaysia,” kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng.

CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v62), quality = 95

Sempena ulang tahun NISMO yang ke-30, ETCM menawarkan para pelanggan diskaun yang menarik ke atas pakej-pakej NISMO dengan setiap pembelian Almera Baharu. Para pelanggan juga boleh menikmati diskaun tambahan daripada Pakej Elegance, Pakej Navi dengan Pemain DVD, dan Pakej Navi dengan Ketersambungan Internet dengan Almera Baharu.

Nissan Almera Baharu hadir dalam lima warna; biru (Graphite Blue), hitam (Diamond Black), emas (Bronze Gold), putih (Brilliant White) dan perak (Tungsten Silver). Dengan penambahbaikan ini, Nissan Almera Baharu ditawarkan pada harga RM 66,900 (varian E Manual), RM69,900 (varian E Automatik), RM 76,900 (varian V) dan RM 79,900 (varian VL). Harga di atas jalan dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

Silakan kongsi: