Nissan SERENA S-HYBRID – MPV Hibrid Pertama di Malaysia!

Nissan Serena Hybrid 2013.13

Shah Alam, 23 Julai 2013 – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini memperkenalkan Nissan SERENA S-HYBRID (“S” untuk “Smart” atau pintar) serba baharu yang ditunggu-tunggu – MPV hibrid pertama di Malaysia di Setia City Convention Centre di Shah Alam, Selangor.

Nissan SERENA S-HYBRID serba baharu memiliki penjimatan bahan api yang terbaik dalam kelasnya iaitu 15.2km/L berdasarkan kepada ujian kitaran JC08 Jepun, bersama ruang dalaman luas yang menawarkan sehingga 14 konfigurasi tempat duduk. Ia nyata pilihan ideal untuk pengguna MPV yang menghargai kapasiti lapan tempat duduk, utiliti yang inovatif dan keselesaan terbaik.

Tema pelancarannya iaitu “Temui Si Hibrid – “Keluarga Zaman Baru, MPV Zaman Baru” (Meet The Hybrids – New Age Family, New Age MPV) menggambarkan Nissan SERENA S-HYBRID dengan sempurna. Ia menggambarkan imej hebat, versatil dan sofistikated yang dikaitkan dengan sebuah keluarga yang mempunyai gaya hidup penuh gaya.

Nissan Serena Hybrid 2013.08

Sewaktu pelancarannya, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk, Tan Keng Meng berkata, “Selari dengan polisi kerajaan sejak beberapa tahun lalu untuk mempromosikan kenderaan hibrid dan Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicles, EEV) di Malaysia, kami di ETCM sangat optimistik atas pelancaran Nissan SERENA S-HYBRID serba baharu ini. Kami percaya bahawa MPV hibrid ini akan diterima baik oleh keluarga-keluarga yang mahukan sebuah MPV luas dengan pelbagai ciri berteknologi tinggi dan turut menawarkan penjimatan bahan api mendahului kelasnya.

Timbalan Presiden Nissan Motor Asia Pasifik, Shinichi Koyama berkata, “Melalui hasil usaha kami membangunkan teknologi-teknologi baru seperti XTRONIC CVT, Hibrid, Diesel Bersih dan Idling Stop (sistem melahu), konsep Pure Drive kami telah berjaya menghasilkan kenderaan-kenderaan rendah emisi karbon  yang sangat cekap. Nissan SERENA S-HYBRID serba baharu adalah satu contoh mengenai apa yang boleh Nissan lakukan dalam teknologi hibrid. Saya yakin bahawa kenderaan ini mampu memenuhi keperluan para pelanggan Malaysia yang peka terhadap alam sekitar.”

Nissan Serena Hybrid 2013.01

Rangkaian kuasa Nissan SERENA S-HYBRID serba baharu terdiri daripada satu sistem hibrid kompak yang terdiri daripada enjin petrol MR20DD empat silinder DOHC dengan pancitan terus Twin CVTC (Continuously Variable Valve Timing) dan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini bersama ciri Adaptive Shift Control (ASC). Motor elektrik ECO menawarkan sumber kuasa yang cukup untuk membantu enjin dan proses janaan semula tenaga.  Sistem hibrid ini memiliki satu bateri tambahan untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan bagi menguasakan  ECO Motor.

Sistem S-Hybrid juga menampilkan sistem Idling Stop yang mematikan enjin secara automatik apabila kenderaan berhenti dalam kesesakan trafik. Ciri ini membantu SERENA S-HYBRID mencapai penjimatan bahan api yang mengagumkan ketika memandu di bandar. Enjin akan dihidupkan semula dalam tempoh 0.3 saat apabila pedal brek dilepaskan. Enjin MR20DD ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 147ps pada 5,600rpm dan tork 210Nm pada 4,400rpm. Berdasarkan kepada kitaran ujian JC08 Jepun, SERENA S-HYBRID berupaya mencapai jarak 15.2km/liter – terbaik dalam kelasnya.

Nissan Serena Hybrid 2013.04

Sebagai tambahan, ruang dalaman SERENA S-HYBRID juga adalah yang paling luas dan fleksibel dalam kelasnya. Ia mampu menempatkan sehingga lapan orang dan menawarkan 14 konfigurasi tempat duduk yang berbeza. Versatiliti kabin ini ditingkatkan menerusi tempat duduk pintar (Smart Multi Centre Seat) yang boleh ditolak di sepanjang laluan tengah kenderaan. Ia boleh berfungsi sebagai ruang storan tambahan pada baris pertama, sebagai tempat duduk ekstra di baris kedua atau berperanan sebagai meja untuk dikongsi oleh penumpang di tempat duduk baris ketiga.

Urusan masuk dan keluar dari Nissan SERENA S-HYBRID juga sangat mudah dengan pintu gelongsor berkuasa di kedua-dua belah sisi kenderaan. Hanya satu sentuhan pada hendal pintu diperlukan untuk mengoperasikan pintu gelongsor yang menawarkan bukaan terbesar dalam kelasnya (selebar 802mm dan tinggi 1,308mm) demi memudahkan urusan keluar masuk. Operasi satu sentuhan ini juga diteruskan kepada kunci i-Key dan butang-butang yang diletakkan pada papan pemuka di bahagian pemandu.

Nissan Serena Hybrid 2013.12

Tidak seperti MPV konvensional, tempat duduk ketiga SERENA S-HYBRID boleh diakses melalui arah berbeza. Sama ada melalui bahagian tengah atau sebelah kiri, ini boleh dilakukan dengan melipat atau menolak kerusi kapten barisan kedua (sebelah kiri) ke arah tempat duduk sebelah kanan. Tempat duduk baris ketiga juga direka supaya mudah dilipat ke atas dan disimpan, sekali gus memberikan ruang kargo yang luas. Ini adalah tambahan kepada ruang storan yang terletak di bawah tray bagasi yang boleh menempatkan kereta tolak bayi atau sebuah beg golf tanpa sebarang masalah.

Ciri-ciri luaran yang eksklusif dan tersendiri Nissan SERENA S-HYBRID terdiri daripada lensa dalaman lampu utama berwarna biru, lampu kombinasi LED berkeamatan tinggi dan lampu berhenti LED yang diletakkan pada kedudukan tinggi. Di ruang kabin, pemandu dialu-alukan oleh reka bentuk papan pemuka yang futuristik dan kemas. Ia menampilkan Eco Driver Navigator sofistikated yang memberi panduan kepada pemandu untuk memaksimumkan kecekapan penggunaan bahan api.

Nissan Serena Hybrid 2013.09

Nissan SERENA S-HYBRID diimport sepenuhnya dari Jepun dan ditawarkan pada harga cukup kompetitif iaitu RM149,500. Ia didatangkan dalam satu gred premium Highway Star sahaja bersama gril hadapan dan bampar yang unik. Selain rim aloi 16 inci yang dipadankan bersama suspensi sports dan kemasan dalaman berwarna gelap. Pilihan warna pula ialah ungu gelap (Dark Purple), hitam (Super Black), putih (Brilliant Pearl White) dan perak (Brilliant Silver). Ia hadir  bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

Sepanjang tempoh promosi yang bermula pada hari ini, para pelanggan juga akan menerima Multimedia Navigator bersaiz 6.5 inci secara percuma dengan kamera pandang belakang, pemain DVD, ketersambungan iPod, USB & Bluetooth bernilai RM3,300 (sah sehingga stok masih ada). Aksesori pilihan termasuklah panel LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bumbung, visor pintu, kombinasi kemasan dalaman kulit dan tinted cermin tingkap.

Muhammad

4 Comments

  1. hahaha.npknyer terpaksa gua riki2 blik.exora bold cfe ka serena ni…oh serena..ku telah jatuh cinta..agak2 le taruk te37 saiz 18 enak ke tdk ni..hmm..

  2. padan la dengan harga menjangkau 150k.. tetapi exora bold cfe tetap menjadi pujaan hatiku..

Kata Anda//