Nissan Juke: SUV Kompak Yang Unik

Nissan Juke 2011.05

Berdasarkan pemerhatian peribadi, kebanyakan citarasa pembeli kereta di Malaysia adalah sama. Contoh nyata ialah jualan Perodua Myvi, Perodua Viva dan Proton Saga yang laku keras. Setiap bulan berbelas ribu model-model itu terjual dan tidak hairanlah ianya banyak berada di atas jalan raya. Mujur setiap orang ada pilihan warna yang tersendiri jika tidak pasti jalan raya di Malaysia akan dipenuhi dengan kereta berwarna sedondon. Walau bagaimanapun tiada apa yang salah dengan senario itu, ini kerana pembelian kereta melibatkan wang yang banyak jadi adalah lebih selamat jika membeli kereta yang popular. Pengeluar kereta juga kini banyak menggunakan dapatan kajian untuk membina kereta, dan untuk mengurangkan kos dan memaksimumkan pulangan maka amat penting untuk sesebuah kereta sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti berulang-alik ke pejabat, bersiar-siar dan balik kampung. Citarasa rakyat Malaysia ialah harga yang murah tetapi bernilai tinggi. Mujur harga kereta adalah tetap, jika tidak pasti ramai daripada kita akan tawar-menawar. Walaupun begitu, ini tidak bermakna tiada langsung tawar-menawar, situasi itu masih berlaku tetapi dalam hal yang lain iaitu meminta ‘free gift’. Jurujual pula kini seperti wajib menyediakan barangan percuma dan tidak hairanlah berderet tawaran seperti filem penebat haba, kad tol, minyak setangki penuh dan sebagainya. Yang penting ialah dapatkan pembelian terbaik. Lucu bunyinya tetapi tawar-menawar adalah sifat standard rakyat Malaysia.

Nissan Juke 2011.04

Satu lagi sifat unik rakyat Malaysia ialah mereka bersetuju secara beramai-ramai mengenai rekabentuk sesebuah kereta. Jika cantik maka cantiklah. Jika hodoh maka ramai juga yang bersetuju. Saya yakin masih ramai lagi yang ingat tentang Proton Juara dan Perodua Kenari yang digelar mesin basuh dan akuarium bergerak. Bukan sedikit yang saya dengar dari rakan-rakan mengenai gelaran itu dan sehingga kini masih lagi menjadi bahan gurauan. Tidak kiralah digelar mesin basuh atau apa pun yang pasti kereta itu adalah unik, ianya bersifat praktikal dan tidak adil jika kita memanggil dengan pelbagai gelaran, pemiliknya juga mempunyai perasaan dan pasti terasa jika ayat-ayat tersebut sampai ke telinga mereka.

Nissan Juke 2011.02

Jika ramai yang menganggap rekaan Juara dan Kenari pelik saya tidak pasti apa pula respon kita terhadap Nissan Juke. Memang pelik habis. Rekaan Juke mengejutkan kebiasaan kereta yang konvensional dan adalah ekspresi kreatif perekanya. Yang pasti kehadirannya bakal membuatkan kita tertoleh-toleh dua tiga kali. Nissan menampilkan Juke sebagai SUV kompak dengan gen kereta sport. SUV ini ditawarkan dengan tiga opsyen enjin iaitu 1.6 liter berkuasa 117ps dan mereka yang mementingkan penjimatan pula boleh memilih enjin 1.5 liter dCi diesel berkuasa 110ps. Untuk mereka yang sukakan kuasa pula, Juke turut dipasangkan dengan enjin turbo pancitan terus 1.6 liter berkuasa 190ps sama ada dengan pacuan dua atau empat roda. Angka kuasa itu adalah mengujakan kerana Juke adalah SUV yang kompak. Model pacuan semua roda pula dipadankan dengan transmisi CVT XTRONIC Nissan dengan mode enam kelajuan manual serta lateral torque-vectoring, ciri yang pertama untuk segmen kereta kecil dan teknologi yang kebiasaannya terdapat pada kereta premium.

Nissan Juke 2011.06

Inovasi adalah kunci utama dalam rekabentuk peralatan Juke. Pada bahagian dalam, SUV itu dilengkapi dengan Nissan Dynamic Control System. Ianya adalah pusat kawalan dan modul paparan yang membolehkan pemandu mengubah talaan pemanduan dinamik serta kawalan suhu. Tambah menarik apabila ianya mempunyai beberapa paparan, warna dan fungsi berbeza mengikut seleksi pemandu.

Nissan Juke 2011.03

Untuk pasaran tempatan khabarnya Nissan Juke akan dibawa masuk oleh Edaran Tan Chong Motors dan harus saya akui itu adalah tindakan yang sangat berani. Secara fizikalnya saya sudah dua kali bertentang mata dengan Juke. SUV ini memang unik dengan interior yang menarik dan saiznya adalah kompak. Di atas jalan Juke mudah menarik perhatian dan daripada respon awal daripada artikel saya sebelum ini ada yang mentertawakannya. Tetapi suatu yang aneh tentang perasaan ialah benda yang kita tidak suka itu lama-lama akan kita suka. Seperti Perodua Kenari, pada penghujung hari ramai juga yang memilikinya. Apa pun Juke bukanlah suatu jenaka, cuma ianya adalah sebuah objek yang lari daripada kebiasaan. Unik.

Kredit: Newspress

-Mak/d Uia-

Muhammad

8 Comments

  1. enjin turbo pancitan terus 1.6 liter berkuasa 190ps
    (tnggu haftcut je ler)

  2. harga die agak2 brape mak?

    p/s:gua paling pantang orang kutuk juara..huhu

  3. rasa2nye… mcm pernah tengok…. ujung tahun lepas…. kt R&D Proton…

  4. Sya dah test drive kat sg, member punyer.Kete mmg nampak
    pelik ade kata “joke” tapi ikhlas cakap mmg puas hati giler. Kereta ni tinggi type mini suv, yg saya test pakai turbocharge mmg rase bawak jet pejuang pulak, pasal minyak ikut penggunaan msg2 la tp pakai turbocharge ade 3 pilihan mode economy,normal & sport bila driving.nak jimat pakai turbocharge select mode eco mase, nak lenjan pakai sport.Tp mmg betul kat sg pun ramai akan pandang 2-3 kali bile nampak.Tp kat sg kete2 semua high end specs so tak tau tan chong msia boleh bagi spec tinggi tak.harga kat sg nissan juke turbo lebih kurang Mitsubishi ASX dgn Hyundai Tucson baru (dua2 pun sya dah test) tp juke turbo plg responsif sbb bdn kecik lagik.Overall mmg tak rugi pakai kalu masuk msia sbb model ni dah pakai latest cvt

  5. dah ada di malaysiakah? asx dah test drive tp bukan kesukaan saya. tp alangkah baiknya jika ada pilihan utk warna dalamannya..tdk lah kaku dan legap sbb hitam hahhah

Kata Anda//