Nissan JUKE-R: Gua Mahu Jadi GT-R!

Jika anda tergolong di dalam kategori anak muda yang berasal dari pantai timur, terutama sekali Kelantan dan Terengganu kemungkinan tinggi anda akan merasa segan setiap kali balik ke kampung halaman. Manakan tidak, balik kampung dengan memandu kereta standard seperti Toyota Vios atau Proton Persona ‘standard kapak’ manakala kawan yang tinggal di kampung pula memandu kereta hebat seperti Evo (Mitsubishi), Impreza (Subaru), EK (Honda) atau paling ‘koman’ pun Proton Wira GSR. Senario seperti itu jelas boleh dilihat terutama sekali sewaktu malam raya, berderet kereta-kereta hebat parkir dibahu jalan seolah-olah ingin memberitahu kepada kawan mereka yang pulang dari bandar bahawa hidup di kampung tidak kurang hebatnya, silap haribulan lebih selesa dan kaya daripada mereka yang tinggal di bandar. Hidup di kampung, bebas tol dan kesesakan, kos sara hidup pula lebih murah. Di bandar pula, bunyi sahaja glamor tetapi ramai yang tergolong di dalam kategori miskin bandar tanpa disedari, itu adalah perkara yang patut kita renungkan bersama.

Modifikasi kenderaan adalah fenomena global, pasti ada golongan terutama sekali anak muda yang begitu asyik dengan kenderaan mereka, mengubahsuai kereta standard mengikut trend atau kepuasan diri. Ada yang sukakan prestasi, sistem audio dan aestetik. Hakikatnya bidang ini begitu luas dan merupakan industri yang besar terutama sekali di luar negara. Di dalam negara juga tidak kurang hebatnya, perhatikan kawasan komersil di kejiranan anda dan kira berapa banyak kedai aksesori kereta atau motosikal. Paling minimum mesti ada satu atau dua kedai aksesori. Walau bagaimanapun, minat modifikasi kereta ini bukan sahaja berlegar sekitar pengguna sahaja bahkan pengeluar kenderaan sendiri turut menyokong industri itu. Buktinya, rumah talaan seperti R3, AMG, Mugen, TRD disokong sendiri oleh pengeluar dan mereka tahu bahawa ada segelintir pelanggan yang mahukan varian yang berbeza dari model kebanyakan. Hari ini anda boleh membeli kereta yang lengkap dengan alatan prestasi atau kosmetik di bilik pameran tanpa perlu bersusah-payah ke kedai aksesori.

Nissan GT-R adalah kereta berprestasi yang paling ‘gempak’ sekali. Harganya jauh lebih murah berbanding pesaing lain di dalam kelasnya. Teknologi yang ada pada GT-R pula membuat ramai orang kagum dengan keupayaan kejuruteraan Nissan. GT-R adalah the living legend. Tetapi apa akan jadi jika enjin GT-R yang terkenal itu dimodifikasikan ke dalam Nissan Juke? Bunyinya seperti lawak (joke) di abad ini. Apa pun, jawapannya ialah terhasillah sebuah crossover kompak yang paling menyeronokkan, berani dan pantas di dalam dunia. Nampaknya Nissan masih tidak berpuas hati dengan rekod jualan tinggi model Qashqai dan Juke di Eropah lalu membina Juke-R, sebuah super crossover.

Masih lagi didalam proses pembangunan, kehebatan Juke sudah boleh dilihat. Dengan arca roda yang dilebarkan, bampar depan dan belakang yang direka semula serta rekaan sayap belakang berpisah dua yang unik, Nissan Juke itu boleh diibaratkan sebagai GT-R yang menyamar dalam baju Juke. Projek yang menyeronokkan ini walau bagaimanapun hanya sekali sahaja (one off), iaitu untuk suka-suka sahaja dan bukan untuk diproduksikan. Juke GT-R dibangunkan oleh Nissan dan dibina oleh penala permotoran RML berdasarkan input daripada Nissan Technology Centre for Europe (NTC-E).

Di sebalik bonet Juke ialah enjin V6 3.8 liter twin turbo yang dipasangkan terus daripada Nissan GT-R. Turut dipasangkan ialah transaxle enam kelajuan GT-R dengan bahagian depan dan belakang dipasangkan tali pacuan (driveline) dan aci pendorong (prop shaft) 4WD GT-R yang dimodifikasi. Pada keempat-empat sudut roda pula dipasangkan rim aloi RAYS yang bersaiz 20 inci. Pada bahagian interior, papan pemuka Juke diubahsuai bagi memuatkan meter-meter bacaan enjin dan paparan LCD 7 inci dari GT-R. Konsol tengah Juke yang diinspirasikan daripada tangki motosikal pula dikekalkan manakala bahagian-bahagian lain pula disamakan seperti jentera perlumbaan. Pemandu dan penumpang hadapan dibekalkan kerusi perlumbaan dengan tali pinggang keselamatan 5 poin dan dikukuhkan lagi dengan sangkar keselamatan (roll cage) yang turut berfungsi dalam menambah ketegaran kereta.

“Nissan Juke adalah salah satu daripada kereta yang menyeronokkan di dalam pasaran hari ini. Rekaannya yang berani berjaya menambat hati ramai pembeli di Eropah, hanya selepas setahun dipasarkan, Juke telah terjual melebihi 100,000 unit,” kata Paul Willcox, Naib Presiden Kanan, Jualan dan Pemasaran Nissan di Eropah.

“Juke adalah derivatif sporty dan Juke-R meneroka dengan lebih dalam kategori itu. Juke R adalah penampilan kepada dua kereta yang menyeronokkan di dalam barisan produk kami serta mempamerkan kebolehan inovasi teknikal yang memacu Nissan,” kata Paul.

Begitulah perjalanan hidup Juke, sebuah model yang dianggap ramai sebagai sebuah joke. Pada mulanya orang mentertawakannya dek kerana rekaannya yang pelik tetapi kini Juke pula yang mentertawakan orang ramai. Siapa sangka model itu bakal dimuatkan dengan enjin GT-R. Dan siapa sangka hidup di kampung kadang-kadang lebih berada daripada hidup di bandar.

Newspress

-Mak/d Uia-

Muhammad

12 Comments

  1. “….enjin V6 3.8 liter twin turbo yang dipasangkan terus daripada Nissan GT-R…”. Bila tahu yg keta ni pakai enjin 3.8, terpikir jugak aku tentang r/tax nya. Tapi, kalo dah minat, apakedehal…. nak jimat, pakai je Myvi macam En. Sepat… takpun, macam aku, pakai Wira 1.3… R/tax baru RM70 & insurans bawah RM500…

  2. giler…..giler……giler……..neleh air liur boh…mmg tahap gabang r juke ni….owoh la…lawo weh….sedap weh…

  3. ETCM tau korek duit je…dh berapa ramai org msia tertipu ttg kualiti…ape kejadahnyer x-gear…dh la x 4wd,pki slogan xtreme,pui….merepek…..grand livina potong pastu welding blik…tadaa….jd x-gear…….

Kata Anda//