Nissan Juke 2014: Kenapa Serius Sangat Brader?

Nissan Juke 2014.02

Mengikut pemerhatian peribadi, boleh disimpulkan bahawa Nissan adalah pengeluar kereta sejati. Jika diperhatikan barisan produk yang ditawarkan, Nissan mempunyai produk untuk hampir kesemua selera pengguna. Sukar untuk saya labelkan Nissan sebagai pengeluar kereta yang membosankan dengan menjual Nissan Almera tetapi pada masa yang sama syarikat itu menjual Nissan GT-R. Sukar juga untuk saya labelkannya sebagai pengeluar arus perdana dengan model-model biasa tetapi pada masa yang sama syarikat itu turut menjual Nissan Juke dengan rekabentuk aneh dan berada di dalam kategori tersendiri (niche). Dari segi teknologi, walaupun Nissan tidaklah yang pertama di dalam banyak hal namun mereka masih mempunyai teknologi yang bagus dan terkini seperti enjin pengecas turbo, transmisi CVT yang dipercayai dan paling canggih ialah Nissan Leaf yang dikuasakan oleh tenaga elektrik.

Nissan juga mempunyai reputasi jualan terpakai yang bernilai pada harga kerana keretanya jarang memberi masalah, saya sendiri tidak segan untuk memperkenankan kepada rakan. Sekadar berkongsi, seorang rakan memiliki Nissan Sentra terpakai tahun 2006 yang dipandu tanpa bunyi cengkerik dengan penggunaan minyak yang ekonomikal.

Nissan Juke 2014.07

Di Geneva, Switzerland baru-baru ini Nissan telah memperkenalkan kepada umum Nissan Juke wajah baharu selepas tiga tahun berada di pasaran. Seperti mana Nissan Qashqai yang telah membuka pasaran baharu untuk Nissan, begitu juga Juke yang memberi sempadan baharu kepada Nissan di dalam segmen crossover kompak. Nissan Juke adalah sesuatu yang segar di dalam segmennya dan telah menarik pesaing baharu seperti Ford EcoSport dan Honda Vezel. Juke dengan rekabentuknya yang terbuka kepada sindiran mampu mencatatkan prestasi yang membanggakan dengan jualan sebanyak 420 ribu unit dalam masa kurang dari 40 bulan. Pada tahun 2013, sebanyak 135 ribu unit terjual dan menariknya 85 peratus jualan Juke diperolehi dari pelanggan pertama Nissan dan katanya crossover kompak itu turut menjadi pilihan mereka yang menukar selera dari kereta besar.

Nissan Juke 2014.11

Juke dengan rekabentuknya yang sedia menyerlah diperkemaskan lagi dengan beberapa perubahan estetik dan paling ketara ialah penggunaan enjin baharu. Pada bahagian depan, lampu atas telah direka semula dan kini dilengkapi lampu siang hari LED bi-intensity manakala lampu utama pula mempunyai penutup kanta baharu dan mentol Xenon. Rekaan jeriji turut diberi perhatian dengan menggunakan signatur korporat baharu Nissan. Kelongsong cermin sisi dipasangkan lampu signal LED sesuai dengan trend sekarang dan lebih canggih apabila perkakasan itu dilengkapi kamera untuk sistem Around View Monitor. Bumper belakang pula mempunyai bentuk agresif sepadan dengan lampu berbentuk boomerang dengan teknologi LED light guide technology supaya Juke tampil lebih menyerlah pada waktu malam. Tidak lengkap sesebuah kereta unik tanpa rim yang menarik dan Juke diberi tiga pilihan iaitu roda besi bersaiz 16 inci untuk model asas, atau saiz 17 dan 18 inci untuk varian lebih premium.

Untuk lebih praktikal, bentuk bonet model pacuan dua roda telah diubah supaya lebih besar dan hasilnya ruang barang 40 peratus lebih besar menjadikan kapasiti keseluruhan meningkat kepada 354 liter. Kerusi belakang turut boleh dilipat rata dan ruang bagasi dibahagikan kepada dua aras untuk lebih fleksibiliti di dalam menyimpan barang.

Nissan Juke 2014.09

Terdapat tiga enjin yang boleh dipilih pembeli iaitu dua enjin petrol dan satu enjin diesel. Enjin petrol 1.2 liter DIG-T menggunakan teknologi pancitan terus dan pengecas turbo yang canggih berkuasa 115ps dengan tork 190Nm. Walaupun enjin 1.2 liter itu nampak seperti tidak berkuasa namun prestasinya menyamai output enjin aspirasi normal 1.6 liter berkuasa 117ps yang digantikannya. Enjin 1.2 liter DIG-T mempunyai berat yang lebih ringan dan lebih ekonomikal hasil penggunaan teknologi mesra alam seperti automatic Stop/Start. Prestasi penggunaan minyak yang direkodkan secara rasmi ialah 5.5l/100km. Enjin 1.6 DIG-T sedia ada pula telah ditambah baik untuk mempunyai lebih tork rendah di bawah 2,000 rpm. Antara ciri-ciri baharu ialah nisbah kebuk pembakaran yang lebih tinggi iaitu dari 9.5 kepada 10.5:1, teknologi kurang geseran dan cooled Exhaust Gas Recirculation. Untuk transmisi pula, selain daripada enam gear manual, Juke 1.6 DIG-T 4WD turut ditawarkan dengan transmisi baharu Xtronic yang lebih jimat bahan api dan lebih pecutan. Khusus untuk pemandu, terdapat kemudahan Nissan Dynamic Control yang memberi tiga mode pemanduan iaitu Normal, Sport dan Eco-.

Nissan Juke 2014.01

Nissan Juke sememangnya crossover yang menarik dan unik dan harus tahu model ini dijual di negara jiran seperti Indonesia. Jika ada yang berminat usah risau kerana terdapat peniaga kereta import terpakai yang membawa masuk model ini. Namun ianya lebih menarik jika Juke dibawa masuk secara rasmi untuk mereka yang ingin lari dari kebiasaan. Mungkin tagline yang sesuai untuk Juke ialah “Kenapa Serius Sangat Brader?”

Newspress

Garaj Kosmo

@muhd_gt

Muhammad

Kata Anda//