Nissan GT-R Nismo 2014 – Dari Litar Lumba Ke Jalan Raya!

Nissan GT-R Nismo 2014.04

Nismo adalah singkatan nama Nissan Motorsports yang merupakan penala prestasi untuk kenderaan Nissan. Secara amnya Nismo menawarkan produk aksesori dan talaan untuk kegunaan kereta jalanan dan turut terlibat di dalam perlumbaan skala besar. Nismo menyertai perlumbaan di serata dunia seperti Super GT Jepun dan World Endurance Championship (WEC). Nismo juga adalah pembekal enjin kepada pasukan perlumbaan yang bertanding di dalam 24 Hours of Le Mans dan European Le Mans Series (ELMS). Pada tahun 2012, kereta Nissan GT-R telah memenangi kejuaraan Super GT buat kali kedua berturut-turut.

Nissan GT-R Nismo 2014.16

Pada November 2013, Nissan telah memperkenalkan GT-R Nismo yang berorientasikan perlumbaan. Model itu telah mengalami perubahan pada aspek aerodinamik dan pengendalian yang lebih jitu. Nissan GT-R pada asasnya telah menjadi salah satu kereta yang terbaik dari segi prestasi dan melalui pengalaman Nismo dalam dunia perlumbaan telah meluaskan lagi had prestasi model itu. Nissan GT-R Nismo dilengkapi dengan penggayaan eksklusif yang mengambil konsep falsafah perlumbaan di mana setiap perubahan mesti mempunyai fungsi (form follow function). Model itu mempunyai pelbagai teknologi berasaskan perlumbaan dalam menambah baik prestasinya melalui peralatan aerodinamik, suspensi dan nadi kuasa yang akhirnya membentuk sebuah kereta yang seimbang di jalan mahupun di trek perlumbaan.

Nissan GT-R Nismo 2014.12

Menurut Carlos Ghosn, CEO Nissan “Model ini adalah yang paling pantas setakat ini, dengan masa pusingan 7:08.679 kami ingin memberitahu bahawa Nissan GT-R Nismo (track option) memegang rekod kereta produksi di Nüburgring Nordschliefe yang merupakan status tinggi bagi pencapaian kereta berprestasi.”

Tersimpan kemas di bawah bonet depan ialah enjin 3.8 liter V6 VR38DETT yang telah ditala semula mengikut input penglibatan Nismo di dalam perlumbaan seperti 24 jam Nürburgring. Kuasa enjin telah ditingkatkan kepada 600hp dan tork 652Nm. Di antara pengubahsuaian enjin ialah menggantikan pengecas turbo standard dengan jenis beraliran tinggi (high flow) dan berdiameter lebih besar seperti yang digunakan di dalam perlumbaan GT3. Proses keluar-masuk udara (breathing) juga telah ditambah baik dan kawalan pemasaan cucuhan (ignition) untuk setiap silinder dioptimumkan manakala pam minyak yang ditambah baik memperbaiki proses pembakaran (combustion).

Nissan GT-R Nismo 2014.15

Talaan suspensi Nissan GT-R Nismo telah disemak semula supaya kereta lebih tangkas dan ‘melekat’ di atas jalan raya. Gegelung dan penyerap hentak Bilstein DampTronic dibangunkan khusus dan ditala khas untuk lebih cengkaman serta tindak balas progresif semasa pengendalian tahap tinggi. Bagi mengurangkan olengan sewaktu mengambil selekoh dan penukaran laluan, bar anti oleng belakang berongga (hollow) bersaiz 17.3mm digunakan. Lebih menarik sistem suspensi GT-R Nismo mempunyai tiga mode untuk dipilih pemandu iaitu Comfort, Normal dan R untuk digunakan di litar lumba. Chasis GT-R Nismo diperkukuhkan lagi menggunakan perekat sebagai tambahan pada kimpalan titik (spot weld) yang menyumbang kepada respon suspensi yang lebih jitu di bawah pemanduan mencabar. Bukan setakat sistem suspensi malah tayar yang digunakan juga istimewa untuk Nismo dibangunkan oleh Dunlop yang mempunyai ekstra ciri-ciri cengkaman dan pengendalian. Saiz tayar adalah 255/40 ZRF20 untuk bahagian depan dan 285/35 ZRF20 untuk bahagian belakang yang dipadankan pada rim Nismo 6 rongga yang diinspirasikan daripada kereta lumba Nissan GT500.

Nissan GT-R Nismo 2014.01

Menggunakan simulasi Computational Fluid Dynamic (CFD) terbaru untuk menganalisa aliran angin, Nismo telah membangunkan pakej aerodinamik yang memperbaiki cengkaman kereta, mengurangkan impak negatif semasa seretan dan semestinya penampilan yang lebih garang dan maskular. Bampar depan, penutup bawah enjin dan spoiler belakang berfungsi untuk menambah mendapan, merendahkan titik tengah graviti di mana hasilnya ialah tambahan 100kg pada kelajuan 300km/j berbanding model GT-R 2014 standard. Ciri-ciri aerodinamik telah direka supaya sebaran mendapan (down force) dibahagi sama rata dari depan ke belakang pada kesemua tahap kelajuan.

Bahagian dalaman Nissan diserlahkan dengan rekaan stereng tiga rongga yang mempunyai input dari pelumba Nismo dan dibalut dengan Alcantara® dan sulaman merah. Turut dibalut dengan Alcantara® ialah perumah meter manakala pemandu dan penumpang direhatkan pada kerusi jenama RECARO yang selesa dan ‘memeluk’ dengan kemas.

Newspress

@muhd_gt

Muhammad

Kata Anda//