Nissan Grand Livina Wajah Baharu – 2013

Nissan Grand Livina 2013.04

Kuala Lumpur, 24 September 2013 – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dengan bangganya memperkenalkan Nissan GRAND LIVINA Baharu pada hari ini. Nissan GRAND LIVINA mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada Disember 2007. Ia kemudian telah menerima maklum balas memberangsangkan dan menjadi kenderaan pelbagai guna (MPV) bukan nasional terlaris di Malaysia. Sejak pelancaran pertamanya pada 2007, kini terdapat lebih 65,000 unit Nissan GRAND LIVINA di atas jalan di Malaysia pada hari ini.

Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Encik Tan Keng Meng berkata, “Kami amat berbesar hati untuk memperkenalkan versi terbaharu Nissan GRAND LIVINA kepada pengguna di Malaysia. Kami percaya bahawa pengekalan konsep asas iaitu “Pemanduan seperti sedan, kemampuan seperti MPV’, di samping gayaan dalaman dan luarannya yang diperbaharui serta lebih 50 penambahbaikan baharu, pasti mampu menarik minat lebih ramai keluarga muda yang menjalani gaya hidup urban serta gemar melakukan aktiviti rekreasi.”

Nissan Grand Livina 2013.01

Jika dilihat kepada aspek luarannya, Nissan GRAND LIVINA Baharu tampil dengan gayaan bahagian hadapan dan belakang yang lebih segar. Penampilan itu disempurnakan lagi dengan rim aloi reka bentuk jejari-V, acuan pintu dan cermin sisi bersama lampu isyarat membelok LED bersepadu yang baru.

Kombinasi gril hadapan krom baharu bersama panel horizontal, garis-garis bampar hadapan agresif dan lampu utama yang ekspresif mencipta tanggapan “dinamik yang elegan”. Pada bahagian belakang, lampu baharunya diletakkan secara mendatar, sekali gus menyerlahkan pemantul-pemantul belakang yang membuatkan model ini kelihatan lebih lebar dan sporty.

Sistem Kunci Pintar Nissan (i-Key) membolehkan pemandu dan penumpang masuk tanpa perlu mengguna kunci. Malah butang penghidup enjin juga ditawarkan pada Nissan GRAND LIVINA Baharu. Dengan i-Key, pemilik Nissan GRAND LIVINA Baharu boleh menikmati kemudahan dan keselamatan yang lebih baik kerana tidak perlu menggunakan kunci kawalan jauh ketika hendak masuk atau keluar daripada MPV bertempat duduk tujuh ini.

Nissan Grand Livina 2013.02

Skim warna dua tona untuk ruang dalaman serta fabrik baharu merupakan antara pembaharuan penting pada Nissan GRAND LIVINA Baharu. Imej premiumnya diserlahkan lagi menerusi kluster meter visi baharu bersama Paparan Pelbagai-Maklumat (MID) yang melaporkan maklumat penting kenderaan seperti penggunaan bahan api dan jarak yang masih berbaki. Sebagai tambahan, stereng tiga jejari yang baru kini dilengkapi dengan butang yang membolehkan pengawalan unit audio 2DIN yang besar dan MID. Butang-butang kawalan ini juga diiluminasi agar mudah dioperasi pada waktu malam.

Satu ciri utama yang belum berubah adalah keselesaan GRAND LIVINA yang terbaik dalam kelasnya. Aspek itu dicapai menerusi rekaan tempat duduk dan penggunaan ruang yang bijak. Sebagai contoh, hanya satu langkah sahaja diperlukan untuk melipat tempat duduk belakang tanpa perlu mengalihkan perehat kepala yang kini bersaiz lebih besar.

Nissan Grand Livina 2013.09

Nissan GRAND LIVINA Baharu dikuasakan oleh unit enjin yang sudah terbukti menjimatkan minyak iaitu HR16DE atau MR18DE. Enjin empat silinder aluminium sepenuhnya ini adalah kompak dan ringan. Ia dilengkapi teknologi kawalan injap pemasaan yang menawarkan prestasi responsif, lebih lancar dan tahap penjimatan bahan api mendahului kelasnya. Stereng Kuasa Elektrik (EPS) pula memudahkan aspek pengendalian serta mengurangkan penggunaan minyak.

Aspek keselamatan juga telah ditingkatkan menerusi penambahan ciri pra-regangan dan pengehad bebanan tali pinggang keledar untuk pemandu dan penumpang, serta memenuhi piawaian ujian pelanggaran terkini UNECE. Dua beg udara SRS kini menjadi ciri standard, di samping Binaan Zon Badan Nissan, Stereng Boleh Lipat, Electronic Brake-force Distribution (EBD), Brake Assist System (BA) dan Anti-Lock Braking System (ABS).

Encik Tan turut berkongsi bahawa Nissan GRAND LIVINA Baharu dicipta berasaskan tema Kegembiraan. “Hari ini, kita dikelilingi oleh terlalu banyak teknologi dan gajet dalam kehidupan seharian. Walaupun memudahkan kehidupan, kita sebenarnya menjadi terlalu fokus terhadap gaya hidup kita, sehinggakan kadang-kala mengabaikan keluarga tanpa disedari. Isu ini menjadi semakin serius kerana ia berlaku sejak usia muda lagi. Situasi ini telah memberi inspirasi kepada kami untuk mengetengahkan Nissan GRAND LIVINA Baharu sebagai satu platform bagi menghimpunkan semua ahli keluarga dalam satu ‘ruang’ dan membolehkan mereka berkomunikasi di antara satu sama lain. Kehidupan adalah satu perjalanan. Insan yang kita sayangi adalah sumber kebahagiaan terbaik dalam mengharungi perjalanan tersebut,” katanya.

Sewaktu pelancaran, Pengurus Besar Jabatan Asia dan Oceania, Nissan Motor Co., Ltd., Encik Stephanus Ardianto berkata, “Saya percaya bahawa GRAND LIVINA akan menjadi pilihan popular ramai rakyat Malaysia. Ia juga akan terus mengujakan pemandu serta penumpangnya dengan pengalaman pemanduan yang menyenangkan – sama ada pemanduan jarak jauh, untuk berseronok ataupun pemanduan harian.”

Nissan Grand Livina 2013.03

MPV ini hadir dalam tiga varian iaitu 1.6L Manual, 1.6L Auto, 1.8L Auto. Aksesori pilihan serta versi talaan IMPUL disediakan untuk semua varian tersebut. Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Biru (Graphite Blue) yang baharu, Hitam (Diamond Black), Emas (Bronze Gold), Putih (Brilliant White) dan Perak (Tungsten Silver).

Nissan GRAND LIVINA Baharu boleh didapati di kesemua pameran Nissan seluruh negara. Harga bermula daripada RM 86,880 pada jalan raya dengan jaminan selama 3 tahun ataupun 100,000km (yang mana yang terdahulu).

ETCM mensasarkan untuk menjual 2,500 unit Nissan GRAND LIVINA Baharu menjelang akhir tahun 2013.

Ciri-ciri utama Nissan GRAND LIVINA Baharu

  • Gril hadapan krom
  • Lampu utama yang menyerlah
  • Bampar hadapan dengan lampu kabus (1.8L Auto)
  • Bampar belakang dengan pemantul belakang bersepadu
  • Lampu belakang horizontal
  • Cermin sisi dengan lampu isyarat membelok LED (1.8L Auto)
  • Rim aloi 15” reka bentuk jejari-V
  • Acuan sisi kenderaan
  • Meter visi dengan MID
  • Fabrik baharu & skim warna dua tona untuk tempat duduk
  • Stereng dengan rekaan baharu bersama butang kawalan audio & MID
  • I-Key – Sistem kemasukan tanpa kunci & butang penghidup enjin tanpa kunci (1.8L Auto)
  • Audio 2-DIN yang besar
  • Tali pinggang pra-regangan dan pengehad bebanan untuk pemandu dan penumpang hadapan
  • Susunan tempat duduk yang fleksibel

Warna baharu

  • Graphite Blue
  • Diamond Black
  • Bronze Gold
Silakan kongsi:

5 comments

Skip to comment form

    • mamat on 30/09/2013 at 3:29 PM
    • Reply

    pulak… lampu depan sebijik macam exora..

    • langsewah on 01/10/2013 at 6:31 PM
    • Reply

    sorang je yang komen..perfect ke livina ni…

    • mawi on 05/10/2013 at 11:56 PM
    • Reply

    cantik..puashati..

    • jiha on 05/10/2013 at 11:57 PM
    • Reply

    in syaa Allah ada rezeki..kami beli.

    • syuk on 31/10/2013 at 10:07 PM
    • Reply

    best dan puas hati. Cuma aksesori kena bayar beb. ada pelbagai pilihan aksesori… impul tambah 10k.. aksesori sy tambah 6k lagi.

Leave a Reply to mawiCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.