MPV Mewah Kegemaran Rakyat – Toyota Vellfire dan Alphard Bakal Dijual Secara Rasmi

Toyota Vellfire Alphard.2016.04

UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. telah mengumumkan bahawa mereka akan mengimport Toyota Vellfire dan Alphard baharu untuk jualan domestik. Kedua model itu diimport secara siap (CBU) dari tanah kelahiran Toyota iaitu Jepun. Terdapat dua varian untuk Alphard iaitu 3.5 Executive Lounge dan Alphard 3.5 manakala satu varian Vellfire sahaja.

Memandangkan MPV mewah itu diimport secara rasmi, UMW Toyota turut memberi jaminan pengeluar penuh selama 5 tahun dan paling menarik dengan perbatuan tanpa had. Ini bermakna Vellfire dan Alphard itu boleh dipandu sejauh sejuta km asalkan tidak melebih usia 5 tahun.

Menjana kuasa Alphard ialah enjin 3.5 liter V6 manakala Vellfire pula bersesaran 2.5 liter 4 silinder di mana kedua-duanya dilengkapi teknologi Dual VVT-i untuk prestasi optimum, kecekapan bahan api dan emisi rendah. Ciri-ciri keselamatan pula terdiri dari 7 beg udara, ABS dengan EBD dan BA, VSC dan Kawalan Cengkaman.

Toyota Vellfire Alphard.2016.02

Varian Alphard 3.5 Executive Lounge dilengkapi VIP Power Seats dengan penyejukan dalaman dan sementara menaiki MPV ini, pemandu dan penumpang boleh menikmati bunyi premium melalui 17 pembesar suara JBL.

Kepada mereka yang tertanya-tanya apakah perbezaan di antara versi rasmi dan recond, Encik Akio Takeyama, Timbalan Pengerusi UMW Toyota berkata terdapat beberapa perubahan yang penting seperti penalaan semula ECU bagi memastikan suhu enjin dapat disesuaikan dengan cuaca Malaysia yang panas. Selain daripada itu MPV tersebut bebas isu sistem navigasi dan radio yang menggunakan bahasa Jepun seperti kenderaan recond lain. Pemetaan digital dan frekuensi radio di tala mengikut kegunaan pasaran Malaysia menggunakan bahasa Inggeris.

Buat masa ini, UMW Toyota belum mengumumkan tarikh pelancaran secara rasmi.

Muhammad

Kata Anda//