Modenas Karisma 125, Elegan 250 dan Kymco Downtown 250i Dilancarkan – Harga Dari RM5,300

modenas-2016-01

Edaran Modenas (EMOS) kini adalah pengedar eksklusif jenama motosikal dari Taiwan iaitu Kymco. Susulan itu, Modenas juga diberi hak untuk menjenamakan semula skuter Kymco dan syarikat motosikal nasional itu pada 25 November 2016 telah melancarkan dua model iaitu Modenas Karisma 125, Elegan 250 dan sebuah model Kymco iaitu Downtown 250i. Harga yang ditawarkan bermula dari RM5,278.80

Kymco ditubuhkan pada tahun 1964 yang kini merupakan pembuat skuter terbesar Taiwan dan kelima terbesar di dunia sebagai pengeluar skuter dan motosikal. Jenama Kymco berada di 97 buah negara dan kerjasama dengan Modenas dijangka akan memberi manfaat kepada kedua-dua jenama itu.

modenas-2016-02

Modenas Karisma 125

Model ini mula diperkenalkan pada tahun 2003 dan pada masa itu telah mencatat rekod sebagai antara yang paling laris dengan jualan melebihi 16,000 unit seterusnya menguasai 26% pasaran. Model baharu Modenas Karisma 125 dikuasakan oleh enjin 125cc dengan output kuasa 7.0kW @ 7,500 rpm dan tork 9.0 Nm @ 5,000 rpm. Ciri-ciri lain yang terdapat pada Modenas Karisma 125 ialah port USB tunggal untuk mengecas peralatan elektrik, sistem kawalan utama pelbagai guna dan ruang letak barangan yang luas. Terdapat dua opsyen warna iaitu Merah Terang dan Pearly White dengan rekaan grafik gaya hidup aktif, bebas dan muda remaja. Harga Modenas Karisma 125 termasuk CBP ialah RM5,278.80

modenas-elegan-2016-35

Modenas Elegan 250

Model ini mula diperkenalkan pada tahun 2004 dengan enjin 150cc dan disusuli model pengganti pada tahun 2010 melalui Elegan 200. Model ini sekali lagi ‘dibesarkan’ sesaran enjinnya dengan pengenalan terbaru iaitu Modenas Elegan 250. Ia dikuasakan oleh enjin suntikan bahan bakar 250cc Single Overhead Cam (SOHC) yang menjana 16.5kW @ 7,000 rpm dan 22.4Nm @ 6,500 rpm. Ciri-ciri lain pada Modenas Elegan 250 ialah suspensi depan sesepit teleskopik dan trailing swing arm di belakang untuk tunggangan yang selesa. Turut dilengkapi ialah brek cakera depan dan belakang serta paparan meter LCD yang bergaya. Terdapat dua opsyen warna iaitu Matt Black dan Matt White. Modenas Elegan disasarkan keapda pengguna yang mahukan skuter yang lebih sporti, selesa dan bergaya. Harga Modenas Elegan 250 termasuk CBP ialah RM13,599.80

kymco-downtown-250i-2016-05

KYMCO DownTown 250i

Model ini merupakan yang pertama dibawah edaran EMOS di mana ianya dipasang secara terurai (CKD) di kilang Modenas di Gurun, Kedah. Ia dikuasakan oleh enjin suntikan bahan bakar 250cc Double Overhead Cam (DOHC) yang menjana 17.1kW @ 7,500 rpm dan 23.1Nm @ 6,000 rpm. Ciri-ciri lain pada KYMCO DownTown 250i lampu utama H7 yang terang, lampu belakang dengan kombinasi LED, angkup brek depan 3 omboh, cakera brek belakang bersaiz 240mm, suspensi belakang dengan lima larasan dan ruang storan yang mampu memuatkan dua topi keledar penuh. KYMCO DownTown 250i ditawarkan melalui dua opsyen warna iaitu Putih dan Hitam. Harga model ini termasuk CBP ialah RM22,790.00

Bagi memberi khidmat selepas jualan yang cemerlang jenama KYMCO, EMOS merancang untuk memanfaatkan kesemua 200 pengedar dan pusat perkhidmatan EMOS yang berada di Gurun, Ipoh, Subang, Johor Bharu dan Kuantan. EMOS juga telah melantik seramai 30 pengedar sebagai sebahagian daripada rakan kongsi perniagaannya dalam memperkenalkan skuter KYMCO kepada pasaran tempatan.

Melalui pengenalan tiga model Modenas Karisma 125, Elegan 250 dan KYMCO DownTown 250i, EMOS mensasarkan untuk menguasai lebih daripda 10% pasaran untuk skuter 125cc dan 50% dalam kategori skuter 200 – 250cc pada 2017.

Galeri:

Modenas Karisma 125

Modenas Elegan 250

KYMCO DownTown 250i

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.