Model Lagenda Honda Gold Wing 2012 Meningkatkan Penanda Arasa Untuk Motosikal Touring

Kuala Lumpur, 29 Mei 2012 – Lagenda siri motosikal pengembaraan-touring Honda Gold Wing kini kembali dengan lebih bergaya dan berkuasa berbanding model sebelumnya. Boon Siew Honda Sdn Bhd akan melancarkan Honda Gold Wing 2012 pada 31 Mei yang sekali gus meningkatkan penanda aras bagi motosikal touring mewah.

“Kami berbangga untuk memperkenalkan Honda Gold Wing 2012 yang menawarkan kelancaran mengagumkan, kecekapan dan keselesaan untuk mengembara dalam jarak jauh. Honda Gold Wing 2012 akan menawarkan pengalaman menjelajah terbaik untuk peminat motosikal di Malaysia,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada.

“Honda Gold Wing 2012 mendapat perhatian meluas sewaktu ia mula-mula diperkenalkan pada MotoXpo 2012 Februari lalu. Ia mencipta kejutan dalam kalangan komuniti penunggang motosikal dengan penampilan luaran yang bergaya dan prestasi termaju. Ia membuktikan aspek kebolehpercayaan dan tahan lasak yang boleh didapati pada kenderaan-kenderaan Honda. Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan model Honda Gold Wing 2012 di Malaysia,” tambahnya.

Honda Gold Wing 2012 dijana oleh unit enjin lawan mengufuk enam silinder bersesaran 1832cc dengan sistem penyejukan cecair yang unik. Teknologi PGM-FI memastikan maklum balas pendikit yang lancar dan ekzosnya mengeluarkan emisi gas yang rendah. Sistem penukar gas ekzos mangkin dengan pengesan oksigen HECS3 meminimumkan emisi gas-gas berbahaya daripada ekzos bagi memastikan ia menepati garis panduan emisi Euro-3.

Kesan tork sisi dihapuskan oleh kotak gear lima kelajuan bersama ciri pemacu lampau yang berputar pada arah berlawanan dengan aci engkol enjin. Gear kelima merupakan pemacu lampau yang membolehkan putaran enjin rendah sewaktu ditunggang secara santai.

Honda Gold Wing 2012 menggabungkan prestasi tinggi dan reka bentuk menarik menerusi gayaan luaran yang telah dipertingkatkan. Berpenampilan elegan, motosikal ini membentuk bahagian hadapan yang dinamik dan hebat, di samping garis yang mengintegrasikan bahagian hadapan dan belakangnya. Aspek aerodinamik jentera ini ditingkatkan dengan menukar bentuk bahagian bawahnya.

Direka untuk mereka yang gemar mengembara, Honda Gold Wing 2012 menampilkan ruang penyimpanan barang lebih besar, poket-poket pada fairing dan kotak atas, meningkatkan kapasiti ruang keseluruhan kepada lebih 150 liter. Kompartmen penyimpanan pada bahagian tengah yang berkapasiti 2.8 liter disediakan untuk menyimpan barangan kecil peribadi dan aksesori ketika menunggang di atas jalan raya.

Pengalaman menunggang motosikal touring tidak lengkap tanpa sistem audio yang bagus untuk memainkan muzik. Honda Gold Wing 2012 hadir bersama satu sistem audio dengan bunyi keliling yang menawarkan kebebasan untuk menghasilkan lagu-lagu sesuai untuk perjalanan dalam pelbagai format seperti MP3, WMA dan AAC yang boleh disambung kepada iPod(r), iPhone(r) atau USB.

Kemewahan sebenar Honda Gold Wing 2012 disempurnakan dengan material tempat duduknya yang telah dipertingkatkan. Pelapik tempat duduk yang kalis cuaca dan kusyen uretana dibentuk bagi memberikan penunggang keselesaan terbaik. Sebagai tambahan, tempat duduk yang boleh dipanaskan dan sistem pemanas kaki memberikan suhu selesa sepanjang perjalanan. Pro-Arm Rear Swingarm menawarkan pengendalian responsif, manakala titik graviti yang rendah memberikan keseimbangan dan kestabilan ketika ia ditunggang perlahan.

Honda Gold Wing 2012 juga dilengkapi dengan ciri-ciri tunggangan termaju yang pasti disukai oleh peminat motosikal berikutan maklum balas dan kemudahan yang ditawarkannya. Satu butang pada pemegang hendal sebelah kanan membolehkan gear mengundur dimasukkan dengan mudah. Sementara perjalanan menjadi semakin mudah melalui sistem kawalan jelajah elektronik yang menggunakan satu ECU 16-bit, iaitu mekanisma pendikit yang digerakkan oleh motor.

Dengan sistem penetapan penyelarasan cermin utama enam cara sebanyak 100mm, sesi tunggangan bukan sahaja lebih selamat apabila angin kencang menerjah, malah jentera ini dipertingkatkan melalui perlindungan udara dan angin yang dibina pada bahagian hadapan dan tubuhnya. Ciri-ciri keselamatan turut dipertingkatkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang berperanan mengurangkan usaha membrek apabila ia mengesan roda akan terkunci. Sementara Sistem Brek Gabungan (CBS) pula bertanggungjawab memberi keseimbangan di antara brek hadapan dan belakang.

Honda 2012 Gold Wing hadir dalam dua warna – Putih Mutiara dan Grafit Hitam. Model baharu itu boleh didapati bilik pameran Impian Honda yang sah pada harga RM174,900.00 (di atas jalan) mulai 31 Mei 2012.

Syukran

Kata Anda//