MINI Seven Edition yang berharga RM254K ini hanya dikeluarkan sebanyak 30 unit sahaja

MINI Seven Edition

Khas untuk peminat kereta MINI dan mahukan sesuatu yang istimewa, MINI Malaysia baru-baru ini memperkenalkan MINI Seven Edition yang dikeluarkan sebanyak 30 unit sahaja. MINI Seven Edition dikeluarkan sebagai penghormatan kepada model asal Austin Seven yang klasik dan nostalgik serta mempunyai pengaruh kuat tempat asalnya iaitu Britain.

MINI Seven Edition adalah siri reka bentuk pertama daripada generasi terkini 5 Door MINI.

Legasi Austin Seven

Ketika memperkenalkan ikon baharu itu ke pasaran Malaysia, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Warisan MINI Seven bermula sejak tahun 1959 apabila kereta ikonik itu mula diperkenalkan ke pasaran dunia sebagai Austin Seven dan cukup identikal dengan Morris Mini Minor. Hanya sepuluh tahun kemudian pada 1969, produksi kereta itu dipindahkan ke kilang baharu pada waktu itu, Longbridge, Birmingham di United Kingdom dan nama Mini menjadi jenama standard.”

Reka bentuk bergaya dan ekspresif

MINI Seven Edition

Paling menarik perhatian pada luaran MINI Seven edition ialah warna biru MINI Yours, Lapisluxury Blue. Warna itu dikontraskan dengan bumbung berwarna perak (Melting Silver) dan perumah cermin sisi MINI Seven Edition.

Jalur pada bonet MINI Seven Edition diharmonikan dengan warna bumbung dan perumah cermin sisi. Rim aloi ringan bersaiz 17 inci berwarna kelabu (Spectre Grey) daripada MINI Yours juga direka khas untuk reka bentuk model ini bersama rekaan dua spoke.

MINI Seven Edition Baharu turut dilengkapi lampu utama LED, satu ciri yang unik untuk segmen kereta kompak. Ia dikelilingi oleh gegelung lampu nyalaan siang LED. Teknologi LED ada digunakan pada lampu kabus.

Satu lagi perbezaan tersendiri mode kini ialah kekatup sisi yang dilekatkan dengan logo model ini. Dihasilkan daripada perkataan “Seven” dan nombor tujuh, logo MINI Seven juga boleh didapati pada kemasan sil pintu di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

Interior – Diamond Malt Brown dan stereng Union Jack

MINI Seven Edition

Ruang kabin dihasilkan menerusi permukaan acuan tiga dimensi (3D), kombinasi material dan warna berkualiti tinggi. Fungsi dan ergonomik dioptimumkan oleh papan pemuka baharu pada kolum stereng dan butang kawalan yang berada di posisi baru.

Tempat duduk sports menggunakan fabrik/kulit bersama kemasan Diamond Malt Brown yang eksklusif. Warna Malt Brown juga merupakan elemen yang direka khas untuk model ini dengan permukaan ruang kabin kemasan Piano Black.

Satu lagi ciri reka bentuk model ini ialah stereng MINI Yours yang dibalut dengan kulit berkualiti tinggi “Walknappa” dengan jahitan tangan dan benang bersalut aluminium. Stereng pula menggunakan kemasan corak union jack manakala perehat tangan boleh dilipat dalam pelbagai posisi bersama ruang penyimpanan barang.

Ciri-ciri lain termasuklah MINI Seven Entry Strips dan MINI Seven Centre Instrument Ring Badging. MINI Seven turut menampilkan ciri Comfort Access dengan fungsi bukaan yang lebih mudah. Ini sekali gus membolehkan urusan membuka pintu, but dan menghidupkan enjin tanpa perlu menggunakan kunci kereta.

Enjin berkuasa dengan Teknologi MINI TwinPower Turbo

MINI Seven Edition Baharu dikuasakan oleh generasi enjin terkini Teknologi MINI TwinPower Turbo. Ia dipadankan transmisi sports Steptronic 6 kelajuan. Transmisi ini menawarkan tempoh penukaran gear yang pantas, dan dilengkapi paddle shift pada stereng.

Enjin 4 silinder bersesaran 2.0 liter mampu menghasilkan 192hp dan tork puncak 280Nm.MINI Seven Edition Baharu boleh memecut dari kedudukan pegun ke 100km/j dalam masa 6.8 saat.

Penggunaan purata bahan api ialah 5.5 liter bagi setiap 100km.

Mod pemanduan dan sistem cengkaman

Mod Pemanduan MINI diaktifkan melalui satu suis berputar di bahagian bawah tuil gear. Pemandu boleh memilih mod MID standard, SPORT dan GREEN.

MINI Seven Edition Baharu dilengkapi ciri keselamatan dan sistem bantuan pemandu moden seperti Dynamic Stability Control dengan Dynamic Traction Control dan Electronic Differential Lock Control. Kereta ini juga dilengkapi Performance Control iaitu sistem yang mampu menghalang understeer sebelum ia berlaku.

Sistem multimedia dan navigasi

MINI Seven Edition

MINI Seven Edition Baharu dilengkapi Navigation System Professional beresolusi tinggi bersaiz 8.8 inci yang memberikan pemandu reka bentuk 3D ketika memberi pandu arah apabila menuju ke destinasi.

Maklumat seperti destinasi sistem navigasi boleh dibuat melalui tulisan tangan pada pad sentuh yang disepadukan dengan MINI Controller. Controller itu boleh diputar dan ditekan untuk mengakses pelbagai fungsi, menukar talaan dan melihat senarai tetapan.

Kamera undur beresolusi tinggi (HD) juga ditawarkan untuk memaparkan pandangan belakang kereta yang jelas pada MINI Centre Instrument.

Snap In Adapter

Satu lagi ciri utama pilihan pada MINI Seven Edition Baharu ialah Snap In Adapter. Ia mampu mengecas kebanyakan telefon pintar dan apabila disambung dengan antena luar kereta, ia dapat memastikan penerimaan liputan yang terbaik sepanjang masa.

Sistem Bunyi Harmon Kardon HiFi

Aspek hiburan turut dipertingkatkan menerusi Sistem Bunyi Harmon Kardon HiFi yang terdiri daripada 12 unit pembesar suara yang diletakkan di posisi terbaik di ruang kabin. Ia mampu menghasilkan kualiti audio yang sempurna seperti berada dalam konsert siaran lansung.

Jaminan dan harga

MINI Seven Edition

MINI Seven Edition Baharu hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama 4 tahun dan servis berjadual secara percuma.

Harga anggaran MINI Seven Edition Baharu (di atas jalan tidak termasuk insurans) ialah RM253,888.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.