MINI Roadster: Hembusan Angin Membelai Rambut!

BMW Group merupakan salah satu di antara pengeluar automobil dan motosikal yang berjaya di dunia. Harus tahu, konglomerat dari Jerman itu tidak hanya mengeluarkan jenama BMW sahaja bahkan mempunyai jenama tersohor lain seperti MINI, motosikal Husqvarna dan Rolls-Royce. Ini menunjukkan bahawa di dalam bisnes, sesebuah syarikat tidak boleh terlalu fokus kepada jenama tunggal tetapi perlu juga bergantung kepada variasi penawaran. Jika diperhatikan, kebanyakan syarikat automotif mempunyai sub-brand atau pemilik kepada jenama lain. Hatta PROTON sendiri mempunyai LOTUS di bawahnya. Jika dibuat kajian secara teliti, boleh jadi setiap satu pengeluar kenderaan mempunyai kaitan antara satu sama lain. Cuma yang mungkin membezakannya ialah hubungan tersebut berlaku secara langsung atau tidak.

MINI mempunyai hubungan secara langsung dengan BMW apabila jenama British (Rover Group) tersebut diambil alih pada tahun 1994. Mengekalkan warisan, BMW tidak mengubah rekabentuk MINI secara ketara dan tetap mengekalkan imej retronya. Sekali pandang memang orang akan kata itu adalah MINI dan tidak akan tersilap dengan Perodua Kelisa. Kiranya apa yang BMW buat ialah tidak merosakkan imej dan penjenamaan MINI yang telah lama melekat di minda ramai orang di serata dunia. Tetapi, apa yang dikesali ialah MINI secara relatifnya bukanlah lagi kereta rakyat terutama sekali di Malaysia. Jika dulu MINI amat cocok dengan Mr. Bean dengan taraf hidup working classnya tetapi keadaannya telah berubah dan lebih sesuai jika digayakan oleh orang bisnes atau muda-mudi hartawan. Stratergi itu tidak pula silap kerana pasaran premium kadar untungnya lebih tinggi dan mungkin demi kelangsungan bisnes dan jenama, cara itu dilihat lebih sesuai.

Terkini MINI telah menambah lagi varian produknya. Baru lagi panas dengan model Coupé terbaharu, kini keluar pula model Roadster yang merupakan model keenam di dalam barisan produk MINI. Varian MINI lain adalah Hatch, Convertible, Clubman dan Countryman. Dengan Roadster, MINI telah mencipta sejarah di mana ianya merupakan model open-topped dua tempat duduk pertama MINI. Rekabentuknya adalah tipikal MINI iaitu inteprasi semula konsep permotoran klasik. Model terbaharu itu menawarkan keseronokan pengendalian selain daripada karakter lazim MINI. Bumbung soft-top yang merupakan karakter utama Roadster menggunakan operasi semi-automatik dan itu bermakna pembukaan dan penyimpanan bumbung adalah pantas dan tidak menjejaskan praktikaliti Roadster dalam pelbagai keadaan. Dakwa MINI lagi, Roadster adalah kereta dua tempat duduk yang versatil dengan ruang penyimpanan barang di belakang kerusi pemandu dan penumpang serta ruang bagasi bersaiz 240 liter.

Rekaaan MINI Roadster adalah ‘true’ kepada bahasa rekabentuk jenama MINI dan ianya dibentuk mengikut perkadaran roadster klasik. Roadster juga agak hampir dengan MINI Convertible, walaubagaimanapun garis bumbungnya 20mm lebih rendah daripada model empat pintu itu menjadikan Roadster tampak lebih sleek dengan posisi kereta seolah-olah dipanjangkan.

Direka berdasarkan struktur tiga kotak (three-box) tradisional, bebayangnya didominasi oleh tiang A yang condong ke bawah, dengan tarikan sudut ke belakang sebanyak 13 darjah lebih daripada model MINI Convertible. Garis pinggang kereta meningkat dengan lembut bersama-sama panjang kereta dan terus ke bahagian hujung kereta yang menonjol.

Kuasa mekanikal MINI Roadster datangnya daripada famili enjin BMW Group yang terdiri daripada enjin petrol dan diesel. Kuasa output bermula dari 122hp untuk model MINI Cooper Roadster dan 211hp untuk model MINI John Cooper Works Roadster. Enjin diesel yang ditawarkan pula adalah berkuasa 143hp dan merupakan enjin yang sama seperti Cooper SD yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Daripada segi keselamatan, apa yang ditawarkan pada MINI Roadster agak komprehensif dengan sistem Dynamic Stability Control (DSC) yang secara selektifnya memperlahankan roda secara tunggal dan mengurangkan kuasa enjin untuk menghalang kereta sama ada tergelincir dari bahagian depan atau belakang. Sistemnya terdiri daripada ABS anti-lock braking, Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Cornering Brake Control (CBC), Brake Assist dan Hill Start Assistant. Untuk model MINI John Cooper Works pula didatangkan sebagai standard ialah Dynamic Traction Control (DTC) dengan Electronic Differential Lock Control (EDLC) dan sistem tersebut boleh dijadikan opsyen untuk kesemua model varian lain.

Apa yang ditunjukkan oleh BMW melalui jenama MINI ialah kereta klasik jika kena dengan strategi ianya tetap boleh berjaya. Walaupun berada di dalam kategori premium tetapi mungkin itulah sahaja jalannya. Kereta yang niche sukar untuk dijual di dalam pasaran massa. Jadi, mahu tidak mahu ianya perlu diposisikan ke dalam pasaran premium yang mana persaingannya agak kurang. Saya tidak pasti jika MINI mempunyai pesaing terdekat, yang saya perasan, rakan retro yang telah dimodenkan ialah Fiat 500 dan VW Beetle. Apa pun sebagai pengubat hati, ketiga-tiga model tersebut masih boleh dicari model asalnya, cuma harga untuk model yang telah dipulihara juga berada di dalam kategori premium walaupun sudah berpuluh tahun usianya! Itu lah dia model malar segar.

Newspress

-Md Uia-

Muhammad

4 Comments

  1. Gua 1st…..
    Mini roadster yg tak berape mini tang duitnya…
    Terbaik dr ladang…

  2. @CM Punk

    Gua minat semua kereta kecuali yang tak ada driving dynamics dan built for emerging markets.

Kata Anda//