Mini John Cooper Works GP: Mini Paling Laju!

Mini John Cooper Works GP (JCW GP) merupakan model Mini paling laju pernah dibina oleh pengeluarnya. Model itu dibina dengan prestasi tinggi untuk kegunaan litar lumba. Menariknya model itu halal didaftarkan untuk kegunaan jalan awam dan lebih istimewa hanya dua ribu unit sahaja ditawarkan kepada pasaran.

Walau bagaimanapun, pembeli yang berminat masih belum boleh memilikinya memandangkan model itu masih lagi dalam proses pembangunan. Suatu yang mengujakan semasa sesi ujian di litar Nurburgring, model itu telah mencatat rekod kelajuan masa 8 minit 23 saat. Catatan masa itu merupakan rekod baharu iaitu 19 saat lebih pantas berbanding model sebelumnya iaitu Mini Cooper S dengan kit John Cooper Works GP.

Walaupun jumlah saat itu tidaklah besar mana tetapi di dalam dunia perlumbaan ianya sudah memadai untuk menjuarai perlumbaan. Di dalam perlumbaan Formula 1 (F1) misalnya, perbezaan masa antara juara, naib juara dan ketiga hanyalah pada lingkungan beberapa saat sahaja. Namun untuk sesebuah pasukan ‘mencuri’ sedikit saat tersebut mereka perlu berbelanja besar dan menghabiskan banyak masa dalam melakukan penambah baikan pada kereta lumba. Itu pun belum tentu berjaya kerana lazimnya sesebuah pasukan memerlukan tiga musim sebelum menaiki podium. Kejayaan Michael Schumacher pada perlumbaan F1 minggu lepas adalah bukti utama kenyataan itu.

Apa yang membuatkan Mini JCW GP ini luar biasa berbanding Mini Cooper kebanyakan? Jawapannya ialah pada pakej enjin, casis serta kit aerodinamik yang mana kesemuanya diinspirasikan daripada sukan permotoran. Enjinnya menggunakan turbo twin-scroll yang menjanakan tork yang kuat dan bergerak seperti enjin yang dahagakan arahan kuasa daripada pemandu. Suspensi yang digunakan pula adalah jenis perlumbaan boleh laras yang dibangunkan khas bagi menterjemahkan kuasa output enjin kepada jalan tar dengan pengendalian yang meyakinkan.

Bukan sahaja enjin dan suspensi malah luarannya juga perlu gempak seiring kuasa. Kit badan yang digunakan bukan sahaja untuk astetik malah berfungsi di dalam keadaan pemanduan yang ekstrem. Komponen itu terdiri daripada apron depan dan belakang yang besar, kit sisi dan spoiler bumbung yang menyerlah. Peresap belakang pula mengoptimumkan laluan angin di bawah kereta. Interior kereta pula pasti membuatkan penumpang berasa sedih memandangkan kerusi belakangnya telah dibuang terus bagi menjustifikasikan lagi imej perlumbaan. Justifikasinya ialah di dalam perlumbaan yang penting hanyalah pemandu dan juru pandu arah.

Tag GP yang digunakan pada model itu pula lambang model edisi sport sebagai tanda bahawa model itu berprestasi tinggi. Konfigurasi casis, sistem brek, grip pada tayar perlumbaan ‘diasuh’ di litar perlumbaan Nurburgring yang merupakan litar yang paling mencabar di dunia. Jadi tidak hairanlah Mini JCW GP mencatatkan masa yang cemerlang di litar itu. Suka untuk saya kongsi model Mini Cooper S dengan kit JCW GP sebelum ini telah menjadi collector’s item di UK. Model penggantinya pula menjejak langkah model terdahulu dan hadir dengan pakej yang lebih ekstrem.

Sebagai strategi perniagaan jangka masa panjang, barang yang dijangkakan popular perlu dihadkan supaya sentiasa dicari. Biasalah, benda-benda yang rare itulah diburu orang. Kesannya ialah sesebuah jenama atau produk itu dikehendaki selari dengan prinsip kepenggunaan iaitu keperluan atau kehendak. The brand that people desire. Lagi pula tidak semua orang sukakan kereta sejuta umat!

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

6 comments

Skip to comment form

    • lateh on 26/06/2012 at 9:05 AM
    • Reply

    order satu

    • matmus on 26/06/2012 at 11:06 AM
    • Reply

    Aik, macam dah baca je cite ni. Boringnya…

    • encikpadil on 26/06/2012 at 1:23 PM
    • Reply

    nak modified kelisa gua camni, he he

    • sepu7 on 26/06/2012 at 2:19 PM
    • Reply

    Semat seh..katakan tak nak pada mobil sejuta umat..

    • encikpadil on 26/06/2012 at 7:51 PM
    • Reply

    he he, lawak2 lu joe…

    • encikpadil on 28/06/2012 at 9:28 PM
    • Reply

    lau ada 4 pintu sure aku consider, sian mak ayah nak masuk, susah… gua duk kg…

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.