PROTON MEMBAWA KECERIAAN KEPADA WARGA ASRAMA KEBAJIKAN AR-RAYYAN

image

PROTON Holdings Berhad baru-baru ini menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama warga Asrama Kebajikan Ar-Rayyan bertempat di Pasaraya Besar Tampoi, Johor Bharu. Aktiviti kemasyarakatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat PROTON untuk mendampingi dan mengukuhkan hubungan bersama masyarakat umum di samping bersama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Seramai 40 orang anak-anak daripada Asrama Kebajikan Ar-Rayyan telah bersama-sama warga PROTON yang diketuai oleh Encik Norzahid Mohd Zahudi, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd bertanding dalam acara ‘Membeli Belah Bersama PROTON’ di Pasaraya Besar di Tampoi ini. Setiap peserta telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan dikehendaki untuk membeli barangan keperluan harian seperti makanan, kelengkapan peribadi, alatan pembelajaran dan juga barangan kelengkapan asrama seperti alatan pencuci dan sebagainya mengikut jumlah wang dan masa yang telah diberikan. Kumpulan yang membeli barangan keperluan harian yang betul, tidak melebihi masa dan jumlah wang yang ditetapkan muncul sebagai juara pertandingan ini.

“Melalui program seumpama ini, ianya dapat memupuk budaya berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah kepada anak-anak dan generasi muda seperti warga Asrama Kebajikan Ar-Rayyan ini terutamanya dalam perbelanjaan seharian. Budaya berjimat cermat ini amat perlu diterapkan dalam jiwa mereka agar dapat mengerti dan menghargai nilai wang itu sediri,” ujar Encik Norzahid Mohd Zahudi, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar Sdn Bhd yang turut hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan ‘Membeli Belah Bersama PROTON’.

“Selain itu, bagi kami di PROTON, kejayaan yang diperolehi selama ini juga merupakan hasil sokongan daripada masyarakat, khasnya rakyat Malaysia. Maka sudah menjadi tanggungjawab PROTON untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik dan aktiviti ini merupakan salah satu daripada usaha kami dalam mencapai tujuan tersebut”.

Di samping aktiviti tersebut, PROTON juga turut menyumbangkan sumbangan wang tunai kepada Asrama Kebajikan Ar-Rayyan untuk membantu membiayai perbelanjaan mereka seharian. Asrama Kebajikan Ar-Rayyan telah diilhamkan pada 1 Januari 2011bersamaan 12hb Rabiul Awwal 1432H dan dikelolakan oleh Uztaz Mohamad Halimi bin Hj Kolan yang juga Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Negeri Johor. Kini Asrama Kebajikan Ar-Rayyan telah dikelolakan bersama dengan Persatuan Insani Darul Takzim. Asrama Kebajikan Ar-Rayyan mempunyai seramai 82 orang pelajar yang terdiri daripada anak yatim/piatu, fakir, miskin dan pelajar tahfiz dari umur 6 tahun hingga 17 tahun.

Muhammad

Kata Anda//