Mazda3 2014: Pencabar Segmen C Dunia!

Mazda3 2013.01

Di kalangan penggemar kereta, nama Mazda cukup kuat dengan model sport seperti Miata, RX7 dan RX8. Tetapi bagaimana dengan model massa seperti kereta sedan, kereta bandar atau SUV? Sejak kebelakangan ini senario itu semakin berubah dengan kebanjiran produk-produk baharu Mazda. Model Mazda6 adalah pembuka jalan kepada populariti kendaraan Mazda. Dengan rekabentuk cantik dan pakej yang lain daripada lain telah berjaya membuka banyak mata terhadap jenama Mazda. Begitu juga dengan Mazda3 yang memberi alternatif kepada mereka yang bosan dengan jenama Jepun lain. Produk lain seperti Mazda2 yang memenangi Anugerah Kereta Dunia pada tahun 2008 juga tidak kurang hebatnya cuma yang menjadi masalah dengan Mazda ialah penjenamaan tempatan yang tidak berapa kuat sedangkan potensinya tinggi untuk bersaing dengan produk Jepun, Korea Selatan, Eropah atau Amerika Syarikat.

Mazda3 2013.02

Walau bagaimanapun, senario itu sudah mula berubah dengan pengenalan model boleh jual seperti SUV CX5. Pada awal pengenalan, CX5 menerima sambutan hangat dengan tempoh menunggu berbulan lamanya, untuk lebih kompetitif, pengedar tempatan iaitu Bermaz telah memasangnya di dalam negara dan telah mula menganggu kedudukan Honda CR-V yang tidak terusik sejak sekian lama. Momentum tersebut diteruskan pula dengan pengenalan Mazda6 baharu dengan nilai spesifikasi yang tinggi pada harga yang berpatutan untuk sebuah kereta yang diimport sepenuhnya dari Jepun. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding pesaing lain namun tinggi bukan sebarang tinggi, lihat pada spesifikasi yang ditawarkan dan saya yakin ianya berpatutan.

Mazda3 2013.05

Berita baik untuk mereka yang mahukan kelainan dan tidak mahu tergolong dengan memandu kereta sejuta umat, Mazda Motor Corporation pada penghujung Jun lepas telah memperkenalkan model baharu Mazda3 hatchback. Model tersebut merupakan produk ketiga yang menggunakan tema rekabentuk KODO – Soul of Motion dan teknologi SKYACTIV. Mazda3 hatchback kemudian akan disusuli oleh model sedan dan bakal dipasarkan di serata dunia bermula lewat tahun ini. Model ini masih baharu dan Mazda dilihat agak ‘kedekut’ dalam memberi maklumat lanjut mungkin kerana ianya belum dilancarkan sepenuhnya atau mungkin juga kerana ingin menambah sedikit keseronokan sementara dipasarkan.

Mazda3 2013.03

Sejak model pertama dilancarkan pada tahun 2003, lebih 3.5 juta unit Mazda3 telah terjual diserata dunia yang membuktikan sambutan hangat terhadap model ini walaupun falsafah rekaannya lebih menjurus ke arah sporty. Satu lagi fakta ialah Mazda3 merupakan model cari makan yang merupakan produk terlaris Mazda dengan satu pertiga jualan global Mazda. Mazda3 digemari kerana rekabentuk yang beremosi, pemanduan yang menyeronokkan, ciri-ciri keselamatan dan alam sekitar dan kualiti tinggi. Rekod Mazda3 lebih cemerlang dengan 136 anugerah dimenangi di serata dunia.

Rekaan Mazda3 baharu memang emosional, terima kasih kepada tema gayaan KODO yang jika sekali imbas nampak seperti kereta yang seronok untuk dipandu. Ditambah pula dengan teknologi SKYACTIV yang memberi pengalaman “jinba-ittai” iaitu penyatuan di antara kereta dan pemandu yang semakin jauh dipandu semakin mendalam perasaannya. Selain daripada itu, buat pertama kalinya diperkenalkan ialah Human Machine Interface (HMI) yang direka dengan penekanan yang tinggi terhadap aspek keselematan. Sistem keselamatan dipakejkan sekali di dalam teknologi i-ACTIVESENSE yang dapat membantu pemandu di dalam mengesan dan mengelak daripada bahaya. Mazda dengan falsafah zoom-zoom nya sentiasa konsisten untuk memberi keseronokan pemanduan dan semestinya tidak terkecuali melalui Mazda3 baharu.

Mazda3 2013.04

Pada bahagian janaan kuasa pula, untuk pasaran global Mazda bakal memperkenalkan enjin SKYACTIV-G 1.5 liter petrol baharu selain daripada enjin 2.0 liter dan 2.5 liter serta 2.2 liter diesel. Barisan enjin tersebut akan ditentukan untuk setiap pasaran dengan pelbagai keperluan di serata dunia. Menariknya, model Mazda3 sedan akan menggunakan enjin hybrid elektrik tetapi yang tidak berapa menarik ialah model itu akan dipasarkan di Jepun dan masih tiada berita untuk pasaran global lain. Apa pun, untuk pasaran tempatan lazimnya kita akan menerima produk global di antara enam bulan sehingga setahun selepas pelancaran global. Jika dicongak ringkas, boleh jadi Mazda3 baharu bakal dibawa masuk tahun depan.

Persaingan biasanya memberi kebaikan kepada pengguna dan tidak sabar rasanya untuk menunggu reaksi pasaran. Nampaknya segmen C bukan lagi pasaran yang selamat untuk dua lagi jenama dari Jepun.

Mazda Media

@muhd_gt

Silakan kongsi:

1 comment

    • afiqzakuan on 03/12/2014 at 8:35 AM
    • Reply

    rasanya ini mazda 2

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.