Mazda RX-8 Spirit R: Edisi Akhir RX-8!

Apabila sesebuah model yang laku keras atau ikonik sudah sampai ke hujung kitaran produk (product life cycle), pengeluar akan menawarkan kepada pasaran model edisi istimewa atau lebih popular dengan nama SE (special edition). Model itu akan disegarkan semula dengan aksesori-aksesori baharu untuk menjadikan ianya lebih nilai untuk wang sebelum model pengganti diperkenalkan. Proton Wira SE dan Satria SE adalah contoh model edisi akhir. Model-model SE itu walaupun sudah bertahun ditamatkan produksi tetapi menjadi buruan pasaran kerana aksesorinya yang unik dan eksklusif. Perodua juga tidak terkecuali dengan mengeluarkan Myvi Limited Edition sebagai tanda model itu sudah sampai ke penghujung produksi.

Selain daripada itu, hasil daripada penambahbaikan berterusan menjadikan produk akhir lebih sedap dan selesa dipandu berbanding model edisi terdahulu. Anda boleh memandu uji sendiri Wira atau Satria SE dan rasakan perbezaan di antara model itu dengan yang lama. Jadi, tidak pelik jika ada orang kata usah beli model edisi pertama kerana ianya baru dilancarkan dan pastinya akan ditambah baik seiring dengan input pembeli dan kehendak semasa pasaran. Paling parah jika model edisi kedua dilambakkan spesifikasi ekstra tetapi dengan hanya sedikit peningkatan harga. Kebiasaannya kita akan merasa rugi dan menyesal kenapa tidak menunggu sehingga model itu dikeluarkan. Tetapi lebih parah jika model yang baru dibeli beberapa bulan atau minggu ditamatkan produksi dan digantikan dengan model baru sepenuhnya. Di dalam hal ini jurujual atau pengeluar kenderaan perlu lebih jujur bila sesebuah model pengganti akan dikeluarkan dan jika itu tidak berlaku pengguna harus bijak meneka kenapa sesebuah edisi itu dikeluarkan.

Di dalam hal ini, Mazda bersikap jujur dengan mengeluarkan RX-8 Spirit R, tanpa perlu menyembunyikan apa-apa, Mazda memberitahu dengan jelas di dalam siaran akhbarnya bahawa model itu adalah versi terakhir RX-8 yang bakal ditamatkan produksi pada bukan Jun 2012. Oleh itu, pembeli tidak akan rasa tertipu dan kecewa jika ada model pengganti dikeluarkan. Walaupun Mazda RX-8 lagaknya seperti kereta sport sejati hakikatnya ianya mempunyai pintu untuk penumpang belakang. Ciri seperti itu adalah pelik untuk sebuah kereta sport yang lazimnya hanya mempunyai dua pintu. Selain daripada itu, menurut ulasan seorang rakan, RX-8 tidaklah laju mana cuma apa yang menyeronokkan ialah pengendaliannya yang dinamik serta cukai jalan yang murah dek kerana saiz enjin hanya 1.3 liter.

Mazda RX-8 Spirit R diasaskan daripada model RX-8 Type RS dengan transmisi enam kelajuan manual dan RX-8 Type E dengan transmisi enam kelajuan automatik kawalan elektronik. Model istimewa itu dinamakan sempena edisi akhir istimewa Mazda RX-7 pada tahun 2002 sebelum RX-8 dikeluarkan. Keistimewaan RX-8 Spirit R terletak pada penggayaan baharu kerusi dan roda aloinya, sistem beg udara depan dan tingkap yang merupakan opsyen kini menjadi perkakasan standard. Selain daripada itu, model itu dilekapkan logo Spirit R manakala lampu depan, lampu kabus dan lampu belakang mempunyai efek berwarna hitam. Angkup brek depan dan belakang pula diwarnakan merah. Model manual Spirit R mempunyai peralatan yang membezakan dengan model automatik seperti kerusi bucket jenama Recaro dan roda aluminium bersaiz 19 inci berwarna bronze dengan tayar bersaiz 225/40R19 89W. Model transmisi automatik Spirit R pula mempunyai kerusi kulit dan stereng berwarna hitam dengan sulaman merah. Tuil brek tangan dan konsol tengah juga turut disulami dengan jahitan berwarna merah.

Model transmisi automatik juga dipasangkan suspensi sport dan brek yang lebih besar. Rimnya pula bersaiz 18 inci, lebih kecil berbanding model manual dan berwarna gun metallic. Tayar pula bersaiz 225/45R18 91W. Warna-warna yang ditawarkan untuk model Spirit R adalah Aluminium Metallic, Sparkling Black Mica dan Crystal White Pearl Mica. Selepas ini varian RX-8 akan dihadkan kepada model Spirit R dan Type G dengan transmisi enam kelajuan automatik kawalan elektronik sahaja. Model itu akan mula dijual di Jepun pada 24 November depan dengan jangkaan jualan sebanyak seribu unit sahaja.

“Enjin rotary Mazda yang ikonik mencatatkan kemenangan yang masyhur pada perlumbaan lasak 24 Jam Le Mans 20 tahun lepas. Sepanjang 2011, kami meraikan ulangtahun kemenangan itu dengan mempamerkan kereta 787B yang digunakan sewaktu perlumbaan itu di litar Le Mans de La Sarthe dan pelbagai acara lain di serata dunia. Pada setiap lokasi, bunyi enjin rotary dan penampilan 787B telah mempesonakan ramai orang sama ada kanak-kanak atau peminat perlumbaan yang menyaksikan kemenangan pada tahun 1991. Acara-acara itu adalah peringatan kepada besarnya pengaruh enjin rotary. Walaupun produksi RX-8 akan tamat, enjin rotary akan sentiasa mewakili semangat Mazda dan Mazda akan sentiasa komited dengan pembangunan berterusannya.” kata Takashi Yamanouchi, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Mazda.

-Mak/d Uia-

Muhammad

12 Comments

  1. giler aarrrr RX-8…

    tp kan, mcm mn performance die agaknyer yer…???

    kot2 ada sapa2 tau…

  2. bila la gua nak grad dari study nih…boleh beli rotary
    ade sape2 tau tak enjin 4g94…boleh terangkan skit

  3. kalo tk silap.. rx-8, supra mmang ade model gantian baru nak keluar.. rx masih gune rotary katenye.. hybrid kot..

    ondeway 2012-2015.. mane tah ak bace kt ntenet..

Kata Anda//