Lubetech Dilantik Sebagai Pembekal Perodua

Lubetech Sdn Bhd yang merupakan subsidiari penuh milik UMW Holdings Bhd telah dilantik sebagai pembekal minyak pelincir kepada Perodua dengan nilai jualan melebihi 60 juta untuk tempoh 5 tahun.

Perjanjian itu juga menyaksikan Lubetech bakal membekalkan bendalir lain seperti minyak transmisi automatik, minyak gear, minyak brek, penyejuk radiator dan air bateri kepada Perodua Sales Sdn Bhd yang bertanggung jawab dalam pengedaran, jualan dan khidmat lepas jualan kenderaan Perodua.

Perodua telah melantik Lubetech sebagai pembekal-sub bermula April tahun ini. Sejak April hingga Ogos, Lubetech telah membekalkan kira-kira 500,000 liter produk minyak kepada Perodua Sales yang bernilai RM4 juta.

“Sebagai strategi untuk maju ke hadapan, setiap anak syarikat UMW bukan sahaja melihat peluang di luar bahkan di dalam kumpulan”, kata Datuk Syed Hisham Syed Wazir, Presiden UMW dan CEO Kumpulan.

“Perjanjian yang kami meterai hari ini akan memastikan pelanggan kami mendapat suatu yang bernilai untuk wang apabila mereka menservis kenderaan di outlet kami,” kata Datuk Aminar Rashid Salleh, Pengarah Urusan Perodua.

Perodua telah menjual sebanyak 2.2 juta kenderaan sepanjang 19 tahun di mana 1.4 juta berada di atas jalan raya. Dianggarkan 53% daripada 1.4 juta pelanggan Perodua menghantar kenderaan mereka untuk penyelenggaraan, membeli alat ganti dan aksesori.

Perodua adalah syarikat bersekutu dengan UMW Corporation Sdn Bhd dengan pegangan sebanyak 38% di dalam syarikat itu.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.