Lotus Elise S Cup R: Penampilan Pertama di Birmingham!

Lotus Elise S Cup R 2014.01

Keistimewaan kereta Lotus adalah pada konsep binaan yang ringkas dan membeli sebuah Lotus bukan setakat memiliki dan memandunya sahaja. Lotus mahu memberitahu bahawa produk mereka sesuai untuk pelbagai bajet, tahap serta pengalaman pemandu.  Buktinya ialah Lotus Driving Academy menyediakan pelbagai program seperti pengalaman pemanduan sehari, latihan dan kursus pemanduan dan menariknya terbuka untuk orang ramai, sama ada pemilik atau bukan pemilik kereta Lotus.

Mereka yang ingin lebih daripada itu ditawarkan perlumbaan hujung minggu atau boleh saja terbang ke serata dunia berlumba di dalam Lotus Cup. Untuk program yang lebih ekstrem, terdapat siri perlumbaan lasak (endurance) dan GT dengan kereta Lotus Evora GT4. Senang kata, terdapat pelbagai kereta Lotus untuk pelbagai program dan tahap pemanduan.

Bakal dianjurkan pada awal bulan ini ialah pameran Autosport 2014 yang berlangsung di Birmingham di mana pengeluar dan syarikat talaan mempamerkan kereta dan produk perlumbaan mereka. Lotus turut mengambil bahagian dengan mempamerkan beberapa model seperti Elise S Cup R, Evora GT4, Exige V6 Cup dan Exige V6 Cup R.

Lotus Elise S Cup R adalah versi modifikasi Elise S 1.8 liter standard seperti yang dijual di bilik pameran. Diserlahkan dengan grafik badan baharu dan kit badan aero, Elise S Cup R tampil garang untuk digunakan di litar lumba. Modifikasi yang dilakukan ialah menggantikan pemetaan standard dengan pemetaan perlumbaan pada engine control module (ECM) manakala kit badan aero janaan komputer (CFD) dipasang bagi memastikan fizikal Elise yang kecil itu mempunyai tenaga yang mampu untuk melonjak di litar lumba.

Di antara pakej aerodinamik Elise S Cup R ialah splitter baharu, sirip angin, diffuser dan spoiler belakang. Manipulasi aliran udara menghasilkan lebih mendapan (downforce) kereta dan gabungan set suspensi boleh laras berjaya mengurangkan masa pusingan litar sebanyak 4 saat dengan jarak pusingan sejauh 3.5km berbanding Elise S standard.

Rupert Manwaring, Ketua Lotus Motorsport berkata, “Membangunkan Elise S Cup R adalah tindakan susulan selepas kejayaan Exige V6 Cup R. Dengan munculnya banyak pasaran baharu yang berminat dengan sukan permotoran, Elise S Cup R adalah kereta entry-level yang sesuai untuk dijadikan kereta lumba. Sama ada untuk pelumba profesional atau pun pemandu biasa yang ingin menajamkan skil di dalam trek lumba atau sekadar untuk berseronok, kejituan pengendalian dan praktikalitinya serta kos penggunaan yang rendah menjadikan Lotus Elise S Cup R sebagai pilihan yang tepat untuk jentera perlumbaan.

Muhammad

Kata Anda//