LFA Centre of Excellence: Pusat Servis Lexus LFA

Lexus LFA 2014.03

Lexus LFA adalah sebuah kereta dengan teknologi dan kejuruteraan canggih yang memerlukan perhatian istimewa dari segi penyelenggaraan dan tugas itu dikendalikan oleh pakar di Pusat Kecemerlangan LFA (LFA COE). Terletak di ibu pejabat Toyota Motorsport di Cologne, Jerman, COE itu ditugaskan untuk menjaga 38 buah LFA di Eropah termasuk LFA GU11VLL kepunyaan Lexus UK dengan frekuensi kegunaan yang tinggi sama ada untuk pandu uji media atau pun pameran awam. Baru-baru ini kereta itu dihantar untuk servis berjadual selama empat hari di mana kesemua sistem dan komponen diperiksa supaya berada di dalam tahap terbaik.

Peter Dressen, Pengurus bengkel yang mengetuai operasi pusat tersebut berkata “Perhatian kami untuk LFA lebih kurang sama dengan kereta Le Mans. LFA diselenggara sama seperti kereta jalanan Lexus lain tetapi ianya lebih komplikated untuk melakukan sesetengah perkara dan menilai perkakasan tertentu yang menjadikannya hampir sama seperti kereta lumba dari cara kami menjaganya.”

Lexus LFA 2014.04

Program servis yang ketat termasuk panel badan ditanggalkan supaya isi dalam seperti suspensi, sistem stereng dan subframe dapat dilihat dengan jelas. Setiap nat dan bolt diperiksa berulang kali.

Walaupun LFA sebuah kereta yang sofistikated namun tangan dan mata manusia masih lagi ‘alat’ yang penting di mana cakera brek dan pelapik brek diperiksa dengan jari jika ada sebarang rekahan walaupun kecil pada material karbon seramik yang digunakan. COE itu juga mempunyai sistem x-ray untuk imbasan di bawah permukaan.

Kebanyakan servis rutin yang dilakukan adalah sama seperti kereta biasa seperti penggantian penapis udara dan penukaran minyak. Perbezaan terperinci dilakukan pada badan kereta yang diperbuat dari carbon-reinforced plastic. Walau pun LFA milik Lexus UK banyak digunakan oleh pelbagai pemandu namun kereta itu masih lagi di dalam keadaan baik kecuali calar kecil pada bampar depan. Selepas semua kerja penyelenggaraan selesai, LFA diuji di tiga ujian jalan iaitu pertama tanpa panel bawah badan kedua di laluan sejauh 2.5 batu dan ketiga di Autobahn.

Kata Dressen, “Anda perlu memanaskan enjin terlebih dahulu dan mula meningkatkan kelajuan. Penting untuk mengambil masa dan elakkan memandu dengan keras selepas selesai menyiapkan kereta. Pandu uji pertama ialah tanpa panel bawah badan kerana ianya mengambil masa selama dua jam untuk memasangnya semula. Ini dapat menjimatkan masa jika sebarang kerja tambahan diperlukan”

Pelanggan tidak perlu menghantar kereta mereka ke COE tetapi pasukan penyelenggara yang akan mengunjungi Pusat Lexus dengan membawa peralatan yang diperlukan bagi kerja luar. Pusat itu juga menyediakan khidmat untuk memeriksa kereta dari luar wilayah terutama sekali pemandu yang membawa kereta mereka ke Nürburgring di mana para pakar akan memberi nasihat teknikal, menukar tayar dan memeriksa sistem brek.

Lexus LFA 2014.01

Dengan lebih 30 tahun pengalaman sebagai jurutera perlumbaan dan juruteknik Dressen adalah orang yang sesuai untuk memberi pandangan mengenai kualiti LFA. “Ianya kereta yang menakjubkan untuk dipandu, kuasa dan pengendaliannya hebat tetapi anda boleh memandunya setiap hari – sesuatu yang mustahil untuk supercar lain.”

Selepas empat hari diperiksa oleh Dressen dan pasukannya, Lexus LFA dipulangkan semula kepada pemiliknya di UK untuk sekali lagi ‘dibelasah’ secara maksimum di jalanan.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.