Lexus CT200h 2014: Penampilan Baharu Model Hibrid Premium

Lexus CT 200h 2013.02

Lexus adalah sub-jenama Toyota Motor Corporations, jenama itu sebenarnya ditubuhkan bagi menyaingi jenama premium Eropah. Namun bukan itu sahaja stratergi jenama Lexus malah turut melengkapkan ekosistem Toyota yang bermula daripada jenama kereta kompak seperti Daihatsu. Senang kata, pelanggan yang setia dengan jenama Toyota boleh bermula dari harga yang paling rendah hinggalah kepada pasaran premium selari dengan perubahan pendapatan dan gaya hidup seseorang. Dilema seorang pelanggan yang ingin menaik taraf daripada Toyota Camry diselesaikan dengan penawaran Lexus ES misalnya dan di situlah pentingnya sesebuah jenama mempunyai hubungan baik dengan pelanggan. Jika gembira dengan sesebuah jenama kebarangkalian tinggi pelanggan akan membuat pembelian berulang dan lebih manis apabila mereka turut menyarankan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan yang lain. Memenangi hati pelanggan buat kali pertama lebih mudah daripada memenangi hati buat kali kedua setelah mereka kecewa atau hilang kepercayaan.

Lexus CT 200h 2013.06

Lexus adalah jenama premium dan status itu menjadikan harga produknya berada di dalam kategori tinggi. Menjadi kelaziman pengeluar kereta sama ada jenama premium atau biasa untuk mempunyai sebuah model yang diposisikan sebagai produk mampu milik atau akses pertama kepada jenama itu. Untuk Lexus pula, model paling mampu milik mereka ialah CT 200h yang merupakan kereta hatchback dengan enjin hibrid. Model itu mula ditawarkan di pasaran tempatan pada tahun 2011 dan daripada pemerhatian boleh dikatakan antara model yang mendapat sambutan. Secara logiknya wajar CT 200h mendapat menerima respon begitu memandangkan harga model asas hanya RM168 ribu sahaja dan merupakan model Lexus paling murah. Di pasaran Eropah, Lexus CT 200h bakal ditawarkan dengan model wajah baharu (facelift) bermula Mac tahun depan. Model itu telah menerima pelbagai perubahan dari dalam hingga luar kereta.

Selari dengan signatur baharu Lexus, CT 200h menerima gril baharu yang digelar sebagai spindle grille. Set gril baharu itu menjadikan muka depan CT 200h nampak lebih rendah dan lebar. Rekaan spindle grille itu sebenarnya agak kontroversi seolah-olah tiada keharmonian di antara bahagian badan lain. Hakikatnya bentuk spindle grille itu telah lama digunakan pada bampar depan kereta Lexus cuma ianya tidak disebut-sebut sahaja. Rekaan itu diserlahkan semula dengan usaha penjenamaan identiti rekabentuk dengan padanan warna krom yang menarik dan melakukan provokasi minda orang ramai. Selain daripada gril baharu, Lexus turut menyemak semula pilihan warna dan menariknya cat tersebut menggunakan lapisan anti calar.

Lexus CT 200h 2013.04

Pada bahagian dalaman pula, Lexus telah menggunakan stereng baharu dengan diameter 370mm yang sama seperti Lexus IS baharu. Skrin multimedia pula telah direka semula supaya lebih nipis dan generasi kedua Remote Touch Interface Controller telah diubah supaya lebih mesra dan senang digunakan oleh pemandu. Lexus Media Display dan Lexus Premium Navigation System turut ditala semula dengan operasi bebas tangan dan pengecaman suara yang lebih. Paparan di skrin kini boleh dioperasikan melalui butang pada konsol tengah.

Satu perkara yang menarik ialah penggunaan serat buluh (pertama di dunia), opal tumbuhan (plant opal) dan arang digunakan semasa proses suntikan acuan untuk menghasilkan pembesar suara paling nipis di dalam industri bagi mengeluarkan kualiti bunyian yang lebih baik. Padanan warna dan rekaan semula jahitan baharu juga bakal ditawarkan dan untuk sesetengah pasaran, kayu shimamoku akan digunakan. Perubahan CT 200h tidak terhad pada penampilan dan luaran sahaja malah turut melibatkan nadi kuasa. Emisi enjin hibrid berjaya dikurang dengan jumlah CO2 turun 5kg/m kepada 82g/km untuk model S grade dengan roda bersaiz 15 inci. Untuk model dengan roda bersaiz 16 inci pula kadar emisi CO2 turun sebanyak 6g/km kepada 88g/km.

Lexus CT 200h 2013.05

Perubahan CT 200h lebih komprehensif apabila Lexus turut menyemak semula keselesaan pemanduan. Model baharu itu lebih rigid manakala suspensinya di tala semula. Ciri-ciri aerodinamik ditambah baik dan begitu juga kadar NVH (Noise, vibration, harness) supaya kereta lebih selesa dipandu dan suasana kabin yang lebih senyap. Ketegaran badan kereta diperkemaskan lagi dengan penambahan kimpalan titik (spot weld) dan penggunaan teknologi lekatan struktur yang ekstensif. Badan yang lebih kukuh membolehkan suspensi ditala semula dengan kadar kekenyalan spring telah dioptimumkan, injap penyerap hentak baharu turut digunakan dan diameter palang anti oleng belakang telah ditukar untuk memperbaiki keselesaan pemanduan tanpa menjejaskan tahap pengendalian kereta.

Lexus CT 200h 2013.01

Lexus turut menala semula sistem kawalan transmisi supaya bergerak selari dengan putaran enjin untuk menyamai pergerakan transmisi automatik konvensional. Selain daripada itu, Lexus Hybrid Drive sememangnya bergerak dengan senyap dan untuk model baharu ini, Lexus telah melakukan tidak kurang dari 94 tindakan bagi mengurangkan tahap NVH antaranya yang pertama untuk model Lexus ialah rekaan salur masuk yang senyap dan efisyen. Tidak ketinggalan Lexus turut menambah baik model istimewa iaitu CT 200h F Sport supaya tampil lebih garang dan mempunyai perbezaan signifikan dengan varian CT 200h lain. Spindle grill yang digunakan mempunyai corak jaring sama seperti model IS F Sport manakala spoiler belakang mempunyai potongan yang menambah tahap mendapan (downforce). Model F Sport terus dibezakan dengan penggunaan rim 17 inci 10 jejari dan lebih unggul apabila ditawarkan dengan warna istimewa iaitu F-Sport White. Pada bahagian dalaman pula, model F-Sport dipasangkan pedal aluminium, plak bingkai pintu dan stereng balutan kulit dengan perincian tebukan (perforated).

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.