Laporan Ringkas Pandu Uji Proton Ertiga ke Sekinchan

pandu-uji-proton-ertiga-2017-01

Pada awal Januari 2017, pihak media telah diberi peluang untuk memandu uji Proton Ertiga dari Pusat Kecemerlangan Servis Proton (CoSE), Shah Alam ke Pantai Redang, Sekinchan, Selangor. Jarak pergi dan pulang dari CoSE ke Pantai Redang ialah hampir 200km termasuk persinggahan di Bukit Malawati.

Laluan yang digunakan adalah campuran di antara lebuh raya, jalan negeri serta jalan kampung bagi menguji kelebihan dan kekurangan produk terbaharu Proton ini. Berikut ialah poin ringkas sesi pandu uji ini.

Pengenalan

Sudah disebar luaskan bahawa Proton Ertiga adalah produk kerjasama di antara Proton dan Suzuki. Lebih jelas apabila kedua-dua model itu turut berkongsi nama iaitu Ertiga. Di Indonesia, Suzuki Ertiga turut disalin semula oleh Mazda dan dikenali sebagai VX-1.

Namun itu tidak bermakna Proton mengambil jalan mudah kerana Ertiga turut diuji ke hulu dan ke hilir oleh juruteranya bagi memastikan model ini benar-benar sesuai untuk jalan raya tempatan.

Jadi, kenapa Proton mengambil keputusan untuk menjual Ertiga? Di antaranya ialah kerana Proton tidak mempunyai wakil di dalam segmen B MPV yang telah lama terisi dengan Perodua Alza, Nissan Grand Livina dan Toyota Avanza.

Perodua Alza misalnya mencatat jualan ribuan unit setiap bulan dan Nissan Grand Livina masih lagi dijual sejak mula diperkenalkan pada penghujung tahun 2007. Toyota Avanza pula sudah memasuki status legenda dan mungkin layak digelar Raja MPV Kompak.

pandu-uji-proton-ertiga-2017-04

Reka bentuk

Suzuki Ertiga menggunakan platform yang sama dengan Suzuki Swift. Iya kedua-dua model itu berkongsi platform atau pelantar dan untuk Ertiga, saiznya diperbesarkan sesuai untuk fungsi MPV kompak. Tiada perubahan reka bentuk di antara Suzuki atau Proton Ertiga kecuali lencana Proton. Bampar belakang Proton menggunakan edisi pra-facelift Suzuki yang mempunyai lampu kabus bagi memenuhi keperluan undang-undang negara.

Interior

Kecuali kereta mewah atau eksekutif, rata-rata kenderaan arus perdana menggunakan tema warna gelap. Walau bagaimanapun Suzuki memilih warna Beige bagi memenuhi dua objektif iaitu untuk nampak luas dan menyambut ceria penumpang. Memandangkan Ertiga pada asalnya dibina untuk pasaran Indonesia dan India maka boleh difahami kenapa opsyennya berbeza dengan selera rakyat tempatan.

Walaupun begitu, Suzuki memberi fokus penuh pada kualiti binaan, dalaman Ertiga tidak terasa murah atau seperti kereta yang dipotong belanjawan. Di dalamnya tersedia material dan reka bentuk papan pemuka yang ‘standard’ dan balutan kerusi yang kemas serta selesa menyokong badan. Kerusi barisan kedua juga sama selesa dan boleh dilaras supaya penumpang barisan ketiga tidak berasa sempit dalam ruang yang terhad.

Nadi kuasa

Apabila Suzuki memperkenalkan model Swift baharu, antara yang menarik perhatian ialah penurunan sesaran enjin dari 1.5L kepada 1.4L. Enjin K14B DOHC VVT yang digunakan pada Swift generasi baharu turut diguna semula pada Ertiga ini. Enjin itu berkuasa 92 ps pada 6,000 rpm dengan tork 130 Nm pada 4,000 rpm yang dipadankan sama ada dengan transmisi manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan.

Enjin tersebut juga cekap bahan api dengan bacaan di atas kertas iaitu 5.7L/100km untuk transmisi manual dan 6.0L/100km untuk transmisi automatik. Angka tersebut melayakkan Ertiga menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) oleh kerajaan.

 

pandu-uji-proton-ertiga-2017-03

Pengalaman Pemanduan

Sesi pandu uji kali ini adalah yang paling singkat dianjurkan oleh Proton iaitu lebih kurang 5 jam sahaja. Walaupun tidak lama namun seleksi jalan raya yang pelbagai membolehkan Ertiga diuji dengan poin-poin penting.

Contohnya ialah kuasa yang dibekalkan enjin 1.4L dan transmisi automatik memadai untuk fungsinya sebagai MPV kompak.

Walaupun angka 1.4L itu nampak kecil dan tidak bermaya untuk sebuah MPV kompak namun prestasinya melebihi jangkaan. Ertiga tidak terasa lembab dan malu-malu untuk bergerak malah seperti kereta kebanyakan.

Walaupun sesarannya lebih kecil berbanding Perodua Alza atau Nissan Grand Livina namun kuasanya boleh diharap dan kurang mengecewakan.

Baca ulasan penuh pandu uji Proton Ertiga:

Pandu uji Proton Ertiga – MPV kompak sepadan harga

Enjin terasa senyap dalam pemanduan bersahaja dan agresif apabila pedal minyak ditekan kuat bagi memotong kenderaan.

Dari segi keselesaan pula, jurutera Suzuki benar-benar mencerap jalan raya benua Asia yang mencabar. Dengan tayar yang tebal dan talaan suspensi sedia ada, Ertiga tidak rasa keras tidak tentu hala dan agak berjaya melakukan tugasnya dalam menyerap hentak lopak dan lubang yang secara tiba-tiba ‘melintas jalan’ atau permukaan jalan raya beralun seperti ombak menghempas pantai.

Apabila bergerak laju di atas lebuh raya, Ertiga terasa stabil dengan bunyi angin yang boleh diterima serta bersesuaian dengan kelasnya. Stereng juga semakin memberat dalam kelajuan membelah lebuh raya seterusnya memberi keyakinan kepada pemandu.

Cuma pusingan stereng juga terasa sedikit berat semasa bergerak dari keadaan statik atau bergerak perlahan.

Pemanduan dan pengendalian Ertiga boleh dikatakan memadai asalkan ia tidak dipandu untuk mengejar titik keluar selekoh (Apex) atau pun digunakan untuk perlumbaan ‘time attack’ dan seumpamanya.

Prestasi brek juga boleh diharap untuk memperlahankan atau memberhentikan MPV ini sewaktu kecemasan.

Ertiga sudah cukup sesuai untuk membawa penumpang atau memenuhi gaya hidup pemilik yang aktif.

pandu-uji-proton-ertiga-2017-02

Kesimpulan ringkas

Keputusan Proton untuk mengguna pakai model Suzuki ini boleh dikatakan betul bagi mengisi vakum yang lama tidak terisi.

Segmen ini penting kerana wujudnya permintaan berdasarkan jumlah jualan pesaing lain tambahan pula gaya hidup pengguna sudah berubah. Ada yang mahukan MPV tetapi tidak mahu besar sangat. Ada yang memerlukan sedan tapi ruangnya perlu besar.

Apa pun masih ramai pengguna yang perlukan kereta sebagai alat mobiliti berbanding untuk status atau kehendak. Asalkan menepati keperluan mereka dan tidak memeningkan kepala dari segi bayaran bulanan dan penyelenggaraan itu sudah memadai.

Proton juga tidak perlu pening kepala memikirkan segala rencah dan pelaburan untuk membina produk ini dari kertas kosong. Asalkan produk boleh jual dan ada pihak yang boleh bekerjasama, mengapa tidak?

Laba dari produk ini boleh digunakan untuk survival Proton dan dilaburkan semula bagi menghasilkan model keluaran sendiri yang semakin pantas mengejar standard global.

Inilah dunia perniagaan yang perlu berpijak di bumi nyata.

Baca ulasan penuh pandu uji Proton Ertiga yang telah diterbitkan:

Pandu uji Proton Ertiga – MPV kompak sepadan harga

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.