Lamborghini Huracán LP 610 – 4: ‘Lembu Laga’ 610 Kuasa Kuda!

Lamborghini Huracan 2014.02

Pada bulan Disember 2013, Automobili Lamborghini telah memperkenalkan model baharu Huracán LP 610 – 4. Model baharu itu bukan sahaja menggantikan model ikonik Gallardo malah diberi tugas untuk memberi sempadan baharu di dalam segmen kereta berprestasi mewah. Dengan reka bentuk yang unik, pakej teknologi inovatif, kedinamikan dan kualiti tinggi, Huracán menawarkan pengalaman baharu di dalam barisan kereta seumpamanya. Huracán dibina dengan gabungan prestasi tinggi dan mudah dipandu, mewah dan sporty. Menjadikan model itu eksklusif (selain daripada varian akan datang) Huracán akan dipertontonkan di lebih 130 acara persendirian di 60 bandar seluruh dunia.

Lamborghini Huracan 2014.04

Dengan jumlah produksi sebanyak 14,022 unit di dalam kitaran produk selama 10 tahun, Gallardo merupakan model paling berjaya yang pernah dihasilkan Lamborghini dan telah mengangkat jenama eksotik itu ke tahap baharu. Huracán yang menggantikannnya telah dibina dari lakaran kosong hinggalah kepada perincian terakhir dan seperti nama model Lamborghini yang lain diambil dari pertandingan laga lembu. Lembu Huracán dari baka Conte de la Patilla Sepanyol terkenal dengan keberanian dan sifat serangannya yang agresif. Pertarungan lembu laga itu di Alicante pada Ogos 1879 telah menjadikannya sebagai legenda di dalam sejarah pertandingan laga lembu.

Reka bentuk Huracán merupakan revolusi bahasa rekaan Gallardo dengan poin permulaan dari bebayang bentuk (silhouette) yang mana profailnya dipengaruhi oleh satu garisan yang menyatukan bahagian depan, kokpit dan belakang kereta. Identiti lain Lamborghini pada Huracán ialah iluminasi LED pada lampu utama dan pertama kali di dalam segmen ini ialah penggunaan LED pada nyalaan lampu selebihnya yang didatangkan sebagai aksesori standard. Pada bahagian dalaman pula, sebuah panel instrumen TFT 12.3 inci memaparkan maklumat yang diperlukan pemandu seperti meter putaran enjin, peta navigasi dan fungsi multimedia.

Lamborghini Huracan 2014.01

Chasis Huracán dibina mengikut kemahiran mendalam Lamborghini di dalam bidang gentian kaca dan kali ini mereka menggunakan kaedah hibrid iaitu elemen gentian dan aluminium. Dengan berat kering hanya 1,442 kg, Huracán bukan sahaja mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang rendah iaitu 2.33 kg kepada setiap kuasa kuda malah turut memberikan ketepatan seperti kereta lumba dengan ketegaran tinggi. Kereta super itu digerakkan oleh enjin baharu 5.2 liter V10 berkuasa 610 hp pada 8,250 rpm dan tork maksimum 560 Nm pada 6,500 rpm. Sistem pancitan yang digunakan dipanggil Iniezione Diretta Stratificata (IDS) di mana pancitan terus dan bukan terus (indirect) digabungkan sekali yang menjadikan enjin baharu itu mempunyai lebih kuasa dan tork tetapi dengan penggunaan minyak yang lebih rendah daripada enjin V10 Gallardo.

Lamborghini Huracán boleh memecut melebihi 325km/j dan kelajuan dari pegun hingga 100km/j hanya mengambil 3.2 saat dan 9.2 saat ke 200km/j. Suatu yang baru dan mengikut peredaran masa ialah penggunaan teknologi Stop & Start yang mungkin tidak disangka-sangka akan digunakan pada sebuah kereta super Lamborghini. Namun, terima kasih kepada teknologi itu, penggunaan minyak berjaya dikurangkan kepada 12.5L/100km (EU combined) dan enjin yang menepati piawaian emisi EU6.

Lamborghini Huracan 2014.03

Kuasa buas enjin V10 dialihkan ke permukaan jalan dengan transmisi berkembar 7 kelajuan baharu yang dipanggil Lamborghini Doppia Frizione (LDF) dan sistem pacuan empat roda yang dikawal penuh secara elektronik. Seleksi mode pemanduan berbeza boleh diatur melalui suis pada stereng dengan tiga pilihan iaitu STRADA, SPORT dan CORSA. Tiga pilihan itu mengubah karakter kotak gear dan enjin, sistem pacuan empat roda dan kawalan penstabilan elektronik (ESC). Dipasangkan standard pada Huracán ialah brek gentian-seramik manakala sistem variable steering ratio (Lamborghini Dynamic Steering) dan magneto-rheologic suspension damper control ditawarkan sebagai aksesori pilihan yang turut ditala mengikut tiga seleksi pemanduan.

Lamborghini Huracán bakal dibina di ibu pejabat Automobili Lamborghini di Sant’Agata Bolognese di jaluran pengeluaran (production line) baharu. Penghantaran pertama kepada pelanggan dirancang pada bulan Mac tahun ini dan tidak berapa lama kemudian kemungkinan ‘lembu laga’ itu akan berada di negara kita.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.