Lamborghini Aventador LP700-4 Roadster

Lamborghini adalah sebuah jenama kereta super dan merupakan pesaing utama Ferrari. Jika disoroti, sejarah jenama itu penuh dengan warna-warni. Pengasasnya iaitu Ferrucio Lamborghini adalah seorang hartawan yang terlibat di dalam bidang kejuruteraan dan paling terkenal sekali ialah pembuat traktor. Iya, memang benar, Lamborghini asalnya ialah pembuat traktor. Bisnesnya yang lain ialah membuat pemanas dan penyaman udara. Sebagai seorang hartawan, pengasasnya mempunyai koleksi kereta-kereta mewah dan pastilah yang wajib dimiliki ialah Ferrari. Kisahnya membuat kereta bermula apabila Lamborghini pergi ke Ferrari untuk menuntut klac keretanya yang rosak. Beliau mendapati klac yang digunakan adalah sama seperti pada traktornya. Beliau ke Ferrari untuk meminta gantian yang lebih elok dan Ferrari menolak tuntutan tersebut dan mengatakan Lamborghini hanyalah pembuat traktor dan tidak tahu apa-apa mengenai kereta sport. Bermula dari situ, Lamborghini berazam untuk mengeluarkan kereta sport sendiri mengikut citarasanya sendiri, iaitu lebih sempurna dan selesa berbanding kereta Ferrari yang bising dan lebih kepada kereta lumba.

Kata Ferrari ada benarnya, membuat kereta sport bukan mudah, prestasi Lamborghini tidaklah membanggakan. Saham banyak kali bertukar tangan dan pernah bankrap. Untuk kita rakyat Malaysia, harus tahu bahawa Lamborghini pernah dimiliki oleh firma milik Indonesia dan Malaysia sebelum dijual pada tahun 1998 kepada Audi, anak syarikat Kumpulan VW. Dengan dana dan kolam kejuruteraan yang besar, Lamborghini mula bangkit dan model pencetusnya ialah Murciélago dan beberapa siri semakan semula pada tahun-tahun berikutnya. Pada tahun 2011 Lamborghini melancarkan Aventador LP 700-4 selepas sepuluh tahun Murciélago didalam produksi. Sehingga kini model tersebut sejak dilancarkan telah dimiliki oleh lebih 1,300 pelanggan dan baru-baru ini Lamborghini melancarkan varian baharu iaitu Aventador LP 700-4 Roadster. Bezanya ialah pemandu dan penumpang model itu boleh menikmati udara dan kelajuan pada masa yang sama kerana bumbungnya boleh ditanggalkan.

Bumbung dengan dua bahagian tersebut dibuat sepenuhnya daripada gentian kaca menggunakan teknologi seperti RTM dan Forged Composite(R). Teknologi tersebut mempunyai hasil yang cantik dan kuat walaupun ianya sangat ringan iaitu kurang daripada 2 kg. Kedua-dua bahagian tersebut boleh diangkat keluar, senang diguna, ringan dan ringkas untuk dipasang dan paling menarik boleh disimpan di dalam bonet hadapan. Ini bermakna, kalau-kalau hujan atau panas melampau, bumbung boleh dipasang kerana ianya boleh dibawa ke mana-mana sahaja. Dengan rekabentuk baharu, tiang belakang direka semula untuk memberi sokongan penuh kepada bumbung boleh buka tersebut selain daripada memberi perlindungan kepada penumpang dan ruang untuk pengudaraan pada enjin.

Juga signifikan pada visual ialah rekaan bonet enjin yang berada di belakang yang berbeza dengan model coupé. Bonet model Roadster mempunyai ‘spinal column’ dengan dua pasang cermin heksagon yang nampak seperti plat perisai. Fungsinya ialah untuk menyejukkan enjin, mengeringkan air hujan dengan sempurna dan semestinya untuk menampakkan kecantikan enjin V12 yang berada di bawahnya.

Pemandu dan penumpang Aventador Roadster boleh menikmati setara mana mereka mahu menikmati muzik yang datang daripada enjin kereta. Cermin belakang berkuasa bukan sahaja boleh mengawal aliran udara bahkan mampu mengawal bunyi enjin dua belas silinder tersebut. Pemesong (deflector) angin pula mampu memberi suasana yang tenang di dalam kereta walaupun pada kelajuan yang tinggi. Ianya terletak di hadapan bingkai cermin depan dan seperti bumbung, turut boleh disimpan di dalam bonet jika tidak diperlukan. Varian warna biru metalik, Azzuro Thetis adalah bayangan semula warna Lamborghini Miura Roadster 1968 yang cantik. Ditampilkan pada model roadster ini ialah rim baharu Dione 20″/21″ dengan rekabentuk yang garang. Dibina dengan material light forged aluminium, rim itu 10kg lebih ringan berbanding rim standard.

Menjana Aventador LP700-4 Roadster ialah enjin 6.5 liter V12 yang berkuasa 700hp seperti kod modelnya iaitu 700. Digabungkan dengan enjin tersebut ialah transmisi ISR 7 kelajuan. Model baharu Lamborghini ini boleh mencecah 100km/j dalam masa hanya 3 saat dengan kelajuan maksimum 350 km/j. Bersesuaian dengan trend penjimatan bahan api, enjin tersebut mempunyai sistem pengaktifan silinder yang berfungsi mengikut kelajuan kereta dan juga sistem Stop & Start. Walaupun pemilik-pemilik kereta ini adalah orang kaya namun teknologi penjimatan bahan api tidak diketepikan dan katanya teknologi tersebut adalah yang pertama untuk kereta super. Kepada mereka yang ingin memiliki model baharu ini, harga yang ditawarkan Lamborghini ialah Euro 300,000, tidak termasuk cukai. Mereka yang kaya bukan setakat memiliki Lamborghini malah turut mempunyai Ferrari dan parkir sebelah menyebelah. Suatu kontradiksi sejarah.

The Newsmarket

@muhd_gt

Silakan kongsi:

3 comments

    • Smut_liar on 04/01/2013 at 7:43 PM
    • Reply

    Mereka yang kaya bukan setakat memiliki Lamborghini malah turut mempunyai Ferrari dan parkir sebelah menyebelah. Suatu kontradiksi sejarah.

    ish….ish…ish….

  1. anda pasti??

    • jabroni on 12/01/2013 at 11:34 PM
    • Reply

    banyak gua tgk Lambor/Ferrari plet G1M XXX…

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.