Kuasa Sebenar Nissan 4×4 Diuji!

Nissan Navara 2013.02

Miri, 28 Mei 2013 – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah menganjurkan Nissan Jurassix Park 2013, satu pengembaraan 4×4 mengujakan yang diadakan di Miri, Sarawak, pada 24 – 26 Mei 2013. Acara ini terbuka kepada semua pelanggan Nissan di Malaysia Timur, terutama mereka yang memiliki model 4×4 seperti Nissan Navara, Frontier dan X-Trail. Seramai 78 orang peserta menyertai cabaran laluan off-road ini yang menyaksikan sebanyak 35 unit kenderaan 4×4 mengharung laluan berbonggol dan berlumpur.

Ini merupakan kali pertama acara Nissan Jurassix diadakan di Malaysia Timur. Para peserta berpeluang untuk meneroka prestasi jentera 4×4 mereka. ETCM telah menganjurkan program sama di Semenanjung Malaysia sejak tahun 2004. Acara di Miri merupakan program keenam sejak ia mula-mula dianjurkan.

Nissan Navara 2013.03

Pada hari pertama dan ketiga dalam program yang berlangsung selama tiga hari itu, orang ramai berpeluang untuk merasai pengalaman memandu Nissan Navara 4×4 di laluan yang disediakan. Bagi kebanyakan mereka, kuasa sebenar dan kemampuan Nissan Navara sangat mengagumkan!

Sementara pada hari kedua pula, pertandingan “4×4 Off Road Warrior Challenge” diadakan. Ini merupakan acara utama yang dikhaskan untuk pemilik kenderaan 4×4 Nissan.

Menyatakan keterujaannya terhadap acara ini, Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ David Chen berkata, “Program ini sangat bermanfaat kepada para pemilik untuk benar-benar memahami ciri-ciri serta kemampuan jentera 4×4 mereka. Sekali gus boleh mereka menggunakan kenderaan secara sepenuhnya. Ini merupakan salah satu daripada banyak program yang kami anjurkan untuk semua pelanggan setia. Ia juga sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka dan menjadi sebahagian daripada keluarga Nissan.”

Nissan Navara 2013.01

Sepanjang acara utama itu berlangsung, pemilik Nissan diberikan pengalaman sebenar dan peluang untuk memahami kemampuan serta ciri-ciri sebuah kenderaan 4×4. Selain menempuh laluan yang memompa adrenalin di Tapak Nissan Village, terdapat juga cabaran-cabaran fizikal yang melibatkan pelbagai peringkat demi menguji kemampuan dan ketahanan setiap peserta ketika bersaing di antara satu sama lain untuk tiba ke garisan penamat.

Keseronokan aktiviti-aktiviti itu ditambah dengan cabutan bertuah yang diadakan sewaktu majlis makan malam dan penyampaian hadiah di Hotel Parkcity Everly. Nilai keseluruhan hadiah wang tunai, baucar dan cabutan yang diberikan kepada para pemenang dianggarkan berjumlah RM12,500!

Nissan Navara 2013.04

Dalam mencari “4×4 Off Road Warrior”, pemenang bertuah dalam pertandingan ini ialah Samuel Iwat dan Joshiah Abun Samuel. Mereka tidak hanya membawa pulang wang tunai dan baucar bernilai RM1, 200 tetapi telah memenangi juga tayar Continental Sime Tyres bernilai RM 1,200 pada pusingan akhir cabutan bertuah. Ini merupakan hari yang sungguh bertuah bagi kedua-dua mereka.

Nissan Navara diterima baik terutama di Malaysia Timur. Dengan tork maksimum mencecah 403Nm/2000rpm, Nissan Navara sememangnya dikenali kerana sifatnya yang kuat, kemampuan di laluan off-road dan keselesaan di seluruh dunia. Trak ini telah memperoleh pelbagai anugerah berprestij di Malaysia sejak ia dilancarkan.

Silakan kongsi:

1 comment

    • best on 22/06/2013 at 4:22 PM
    • Reply

    terbaik…

Leave a Reply to bestCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.