Kia Stinger menang anugerah pertama hanya tiga hari selepas dilancarkan

Kia Stinger adalah produk terbaru syarikat dari Korea yang dikatakan bakal bersaing secara terus dengan jenama Eropah seperti BMW dan Audi. Stinger banyak menerima liputan media dan jika dihakimi melalui spesifikasi dan siapa di belakangnya memang layak kereta itu menerima perhatian hebat.

Pada awal tahun ini, iaitu tiga hari selepas dilancarkan di Pertunjukan Kereta Amerika Utara (NAIAS) di Detroit pada 9 Januari 2017, Kia Stinger telah memenangi anugerah pertamanya. Kereta fastback itu memenangi Anugerah EyesOn Design for Production Car Design di NAIAS yang biasanya didominasi oleh pelancaran kereta buatan Amerika Syarikat.

Istimewa

Sememangnya Stinger adalah produk hebat apabila Ketua Pegawai Rekabentuk Kia Motors iaitu Peter Schreyer sendiri mengakui bahawa Kia telah membina banyak kereta yang bagus-bagus dan beliau amat berbangga tetapi Stringer ini adalah sesuatu yang istimewa.

Masakan tidak apabila rekabentuk Kia Stinger diselia sendiri oleh dua individu hebat iaitu Peter Schreyer dan Gregory Guillaume, Ketua Pereka Kia Motors Eropah.

Nadi kuasa dan chasis

Kia Stinger dibekalkan dua opsyen enjin iaitu 3.3 liter V6 Turbo berkuasa 365 hp dan 2.0 liter Turbo berkuasa 255 hp dengan padanan transmisi 8 kelajuan automatik. Lebih menyengat apabila pembeli ditawarkan dua konfigurasi roda sama ada pacuan semua roda (AWD) atau pacuan belakang (RWD).

Iya, Stinger ini dipacukan roda belakang, sesuatu yang jarang kita dengar dari pengeluar masa kini. Suatu yang mengujakan juga apabila pembangunan chasis Stinger diketuai oleh Albert Biermann, bekas Ketua M Division, BMW.

Rekabentuk luaran

Rekabentuk luarannya pula menampilkan gayaan maskular dan elegan berbanding imej ‘boy racer’ yang kebiasaanya tidak sepadan dengan kuasa. Menurut Kia, bentuk badan kereta ini ialah sedan coupe dan mengadili dari gambar, ianya seperti fastback ala Audi.

Interior Stinger tampil ringkas dengan instrumen bacaan tunggal yang digabungkan dengan cerapan meter analog dan digital.

Anugerah EyesOn Design adalah anugerah rekabentuk rasmi yang diiktiraf untuk NAIAS. Diakui oleh pereka automotif antarabangsa, anugerah EyesoN Design kebanyakannya dipamerkan di studio rekaan serata dunia.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.