Kerusi Bayi & Kanak-Kanak Perodua Pada Harga Istimewa – Hanya RM 660 & RM 780

Pada 30 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Dato’ Ab Aziz Kaprawi telah melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua dan Kerusi Kanak-Kanak Perodua di Perodua Sentral, Petaling Jaya.

Istimewa sempena kempena ini ialah penawaran kerusi bayi dan kanak-kanak pada harga mampu milik dan ia boleh dipesan semasa pembelian kereta baharu Perodua.  Sehingga Tahun Baru Cina 2018, harga pengenalan untuk kerusi bayi dan kanak-kanak GearUp ialah RM660 dan RM780.

Selepas tamat tempoh promosi, harga kedua-dua kerusi meningkat kepada RM790 dan RM980. Kerusi bayi yang ditawarkan sesuai digunakan sehingga berat 13 kg dan terdapat dalam dua warna iaitu merah dan kelabu

Kerusi kanak-kanak pula sesuai untuk berat 9 kg hingga 36 kg dan terdapat dalam dua warna iaitu merah dan hitam. Selain jualan, pengedar dan penasihat servis Perodua akan melakukan demonstrasi kepada pelanggan untuk memasang kerusi itu dengan betul.

Program ini adalah salah satu daripada pengisian kempen keselamatan jalan raya seluruh negara selama lima tahun Perodua bagi memperbaiki sikap pemandu. Kempen ini dimulakan dengan menggalakkan pemandu mematuhi undang-undang asas jalan raya serta mengamalkan tabiat memandu yang baik.

Perodua mensasarkan untuk menyampaikan mesej tersebut kepada sejuta pelanggan dalam masa setahun pelaksanaan program dan menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, bahan promosi akan diletakkan di pusat jualan dan servis Perodua di seluruh negara.

Fokus awal dalam program lima tahun tersebut ialah empat rangka utama pemanduan yang baik iaitu pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan gajet semasa memandu, penggunaan lampu isyarat dan juga kerusi bayi atau kanak-kanak.

Selain itu, Perodua turut menganjurkan program Tweckbot di mana Perodua adalah syarikat pengeluar pertama di Malaysia yang menawarkan program keselamatan berasaskan media sosial apabila ia dilancarkan pada tahun 2011.

Program Tweckbot Perodua menawarkan 50 poin pemeriksaan percuma pada tempoh sambutan perayaan dan sehingga kini sebanyak 5,000 kenderaan telah diperiksa setakat ini.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.