JLRM LANCARKAN RANGE ROVER EVOQUE 2016 BERWAJAH BARU

Range Rover Evoque 2016.01

Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd baru-baru ini telah melancarkan versi 2016 bagi model paling larisnya, Range Rover Evoque. SUV kompak mewah tersebut kini dilengkapi dengan ciri baru yang bakal menambah daya tarikan kenderaan ini sebagai salah satu model yang paling diidamkan dalam segmen yang dipeloporinya.

Lebih 400,000 unit Range Rover Evoque telah dikeluarkan sejak diperkenalkan pada 2011, menjadikan SUV kompak premium ini Land Rover yang paling laris. Evoque mencatatkan kejayaan paling besar pada 2014, dengan 125,364 unit dijual di seluruh dunia. Sehingga November 2015, JLRM telah membawa masuk lebih daripada 1,600 Evoque ke jalan raya Malaysia. Selain daripada mencapai kejayaan jualan, para pengkritik juga menyanjung tinggi kenderaan ini memandangkan Range Rover Evoque telah memenangi lebih daripada 165 anugerah antarabangsa sejak pelancarannya.

Bagi tahun model 2016, reka bentuk luar canggih Range Rover Evoque telah dimantapkan lagi dengan pembaharuan yang dipilih dengan teliti.  Pembaharuan halus tetapi anggun ini termasuk reka bentuk bampar dan gril depan baru, lampu depan Xenon serta lampu perjalanan siang (DRL) jenis LED yang tersendiri, lampu belakang dengan DRL unik yang serasi dengan lampu depan, lampu kabus, dan spoiler pintu belakang dengan lampu brek ketiga yang disepadukan secara tidak ketara dan menghasilkan taburan cahaya yang sekata.

 

Tumpuan utama kabin yang tersendiri ini ialah sebuah sistem infohiburan baru, yang diakses menerusi skrin sentuh lapan inci, dengan antara muka pengguna jelas dan mengikut gerak hati yang dinamakan InControl™ Touch dengan menu yang mudah digunakan. Sistem ini membolehkan pengguna meleretkan jari untuk menukar skrin seperti telefon pintar. Kemudahan Bluetooth® audio dan telefon, sistem stereo lapan speaker dan sambungan USB turut disediakan.

Kerusi depan dan perapian pintu baru digabungkan dengan ruang instrumen yang direka bentuk semula secara keseluruhannya mencetus suasana anggun di bahagian dalam. Meter halaju dan pengukur rev menampilkan sentuhan moden dan kemas dengan skrin TFT lima inci resolusi tinggi yang memaparkan maklumat berguna seperti jarak perjalanan minyak, kedudukan gear dan suhu sekeliling. Bahan premium dengan sentuhan lembut meningkatkan kualiti kabin.

Range Rover Evoque 2016.04

Range Rover Evoque 2016 baru, yang dipacu oleh enjin petrol 240PS/340Nm Si4 2.0-liter dan digandingkan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan ZF, mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 7.6 saat dan mencapai kelajuan tertinggi 217km/j.

Untuk memberikan ketenangan fikiran penuh dan pengalaman pemilikan premium di Malaysia, Range Rover Evoque 2016 baru disertai pakej khidmat lepas jualan komprehensif termasuk waranti 5 tahun atau 150,000km, penyenggaraan terjadual percuma 5-tahun atau 80,000km yang mana lebih awal, serta bantuan kerosakan tepi jalan selama 3 tahun.

Harga jualan adalah daripada RM430,000.00. (Harga dengan GST, tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.)

Range Rover Evoque 2016 baru untuk pasaran Malaysia juga memaparkan kerusi kulit berira dengan pelarasan elektrik 12 hala bagi pemandu dan penumpang depan dan disediakan dengan pilihan warna Hitam Eboni, Badam/Espreso dan Lunar/Sirus. Kereta ini dilengkapi dengan rim 19 inci sebagai ciri piawai dan bumbung panorama kekal baru sebagai pilihan.

Range Rover Evoque 2016.02

Ciri utama di antara pelbagai kemudahan bantuan pemandu dan bertumpu pengguna baru yang disediakan ialah Pintu Belakang Kuasa Isyarat, yang merupakan ciri piawai dalam Evoque baru.

Pintu Belakang Kuasa Isyarat menambah dimensi baru kepada kemudahan yang ditawarkan kepada pemilik Evoque. Ciri ini membolehkan pemilik membuka pintu belakang kuasa elektrik secara automatik tanpa kunci apabila tangan mereka penuh dengan barang, dengan hanya menggerakkan tapak kaki di bawah bampar belakang. Dua sensor yang terletak di kedua-dua sisi pintu belakang mengesan pergerakan, lantas mengaktifkan sistem apabila kunci kenderaan berada berhampiran. Ini memastikan sensor tidak boleh diaktifkan secara tidak sengaja, sebagai contoh apabila seekor binatang datang berhampiran bampar belakang. Berbeza daripada sistem pesaing, Pintu Belakang Kuasa Isyarat Evoque boleh diaktifkan secara langsung dari belakang kenderaan, dan dari mana satu sisi bampar untuk tahap versatiliti yang lebih tinggi.

Sebagai model Land Rover yang tulen, Range Rover Evoque baru juga dilengkapi dengan Terrain Response® System. Sistem berkenaan membolehkan stereng, maklum balas pendikit, kotak gear serta sistem brek dan kestabilan untuk diselaraskan mengikut keadaan semasa permukaan yang dilalui oleh Discovery Sport.   Terdapat empat pilihan, iaitu General; Grass/Gravel/Snow (untuk permukaan licin, termasuk off-road); Mud and Ruts (berlumpur) serta Sands (berpasir).

Pengarah Urusan Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd Tuan Syed Mudzhar Syed Ali menyuarakan keyakinan bahawa Range Rover Evoque serba baru ini akan menarik perhatian lebih ramai pengguna kenderaan yang arif memilih di Malaysia.

“Evoque membawa perubahan besar yang mencipta dan kemudian menguasai segmen SUV kompak mewah, yang mencatatkan kejayaan jualan dan mendapat sanjungan tinggi. Cabarannya ialah untuk menggabungkan reka bentuk Evoque tanpa mengubah perwatakannya yang tersendiri; dan menambah baik Evoque daripada pilihan pelancarannya supaya setanding dengan model Land Rover dan Range Rover terbaru. Kami memperkenalkan spesifikasi SE dengan beberapa pilihan naik taraf bagi pasaran Malaysia. Penyesuaian boleh dibuat atas permintaan di mana-mana bilik pameran kami,” tambahnya.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.