Isuzu D-Max Facelift 2016 Dilancarkan – RM83,000 hingga RM128,000

isuzu-d-max-2016-01

Isuzu Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan varian model trak pikap D-Max yang diperbaharui yang menyasarkan segmen gaya hidup dan pada masa yang sama, memperkukuhkan kedudukannya sebagai pakar trak pikap.  Pilihan lapan model dalam tiga varian yang berbeza iaitu Standard, Premium dan  Z-Prestige ini melibatkan pengubahsuaian besar yang pertama sejak D-Max diperkenalkan pada tahun 2013.

Varian yang diperbaharui ini dilengkapi penambahbaikan yang banyak di bahagian luaran dan dalaman termasuklah pelbagai ciri-ciri lain yang baru. Bagaimanapun, pilihan powertrain enjin diesel VGS turbo Intercooler 2.5 atau 3.0-liter yang dipadankan dengan transmisi automatik atau manual lima kelajuan telah dikekalkan kerana ia terbukti dari segi kebolehpercayaan, prestasi dan ekonomi.

Penambahbaikan yang besar pada bahagian luaran dan dalaman direka untuk penampilan kontemporari

  • Ciri-ciri dan aksesori untuk kemudahan dan pemandu bagi pengalaman pemilikan yang hebat
  • Barisan lapan model baru dalam tiga varian yang nyata berbeza untuk kegunaan gaya hidup dan komersial
  • Varian Z-Prestige baru yang terbaik dalam kelasnya untuk segmen gaya hidup

Harga atas jalan (termasuk GST, cukai jalan dan insurans) adalah dari RM83,000 bagi D-Max 2.5L Standard dengan transmisi manual hingga RM128,000 bagi D-Max 3.0L Z-Prestige dengan transmisi automatik, iaitu yang terbaik dalam kelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Kenji Matsuoka berkata bahawa barisan D-Max yang diperbaharui ini akan membolehkan syarikat itu memenuhi keperluan lebih ramai pelanggan.

“D-Max telahpun menjadi pilihan mereka yang mahukan kenderaan kerja yang boleh diharap, tahan lasak dan ekonomi.  Terdapat potensi pasaran yang besar bagi trak pikap yang diubahsuai dan diberi kemasan oleh pengeluar seperti varian tetap Z-Prestige kebanggaan Isuzu yang baru, yang begitu berbeza dari yang lain, tetapi didatangkan dengan waranti penuh untuk ketenangan fikiran,” katanya.

isuzu-d-max-2016-02

Varian Z-Prestige baru didatangkan dalam pilihan tiga model dengan koordinasi warna eksklusif serta  dilengkapi aksesori dan ciri-ciri yang mesra pengguna jelas menggambarkan hasrat Isuzu untuk menyasarkan segmen gaya hidup yang kian berkembang.

Rekaan barisan Z-Prestige adalah berunsurkan model-model edisi terhad sebelum ini yang telah mencatat kejayaan mereka yang tersendiri dalam pasaran. Unit Silky White Pearl direka untuk eksekutif yang sentiasa sibuk dengan penekanan kepada penampilan dan gaya mewah. Bagi yang rugged dan sukakan cabaran, varian eksklusif Velvet Red Mica direka khusus untuk mereka. Akhir sekali, pilihan varian Stallion Black bertemakan kehidupan ‘urban underground’ yang provokatif.

Menurut Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia Hajime Machimura, penambahbaikan dan ciri-ciri yang baru ini adalah untuk mempersiapkan D-Max ke arah memenuhi permintaan mereka yang inginkan kenderaan yang bergaya dan boleh diharap untuk disesuaikan dengan gaya hidup mereka yang berbeza.

“Varian Z-Prestige kami yang terbaik dalam kelasnya ini jelas menunjukkan bagaimana D-Max yang baru ini mampu mengalami transformasi kepada 4X4 premium yang begitu menonjol walaupun dalam persekitaran bandar yang mewah dan masih mengekalkan keupayaan mengendalikan laluan yang paling sukar,” katanya.

Ciri-ciri baru dalam varian Z-Prestige termasuklah ‘Passive Entry and Start System’ (PESS), rim aloi 18”, lampu depan projektor dengan lampu pencahayaan siang LED (daytime running lights), pemain DVD dengan skrin sentuh 8 inci beserta sistem bunyi keliling dengan 8 speaker, panel meter electroluminescent (e-LUMAX) rekaan baru dengan ‘Multi-Information Display’ (MID), port multimedia dan ruang untuk telefon pintar, tempat duduk kulit dan tempat letak tangan (armrest).

Rekaan D-Max baru ini adalah berasaskan konsep kekuatan, emosi dan gaya sporty. Bentuk kenderaan ini yang menyerupai ikan paus orca menampilkan bahagian depan yang tinggi dan rugged dengan bahagian belakang berbentuk spoiler.

price-list-d-max-2016

Semua varian termasuklah model yang mempunyai spesifikasi paling rendah didatangkan dengan kelengkapan keselamatan, antaranya Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA).

Ketika pelancaran, SUV tujuh tempat duduk Isuzu mu-X Type S edisi terhad yang diasaskan kepada platform D-Max turut dipamerkan.

SUV mu-X Type S ini ditambahbaikkan dengan ciri-ciri premium seperti ‘Passive Entry and Start System’ (PESS), sistem audio dengan paparan 8 inci, panel meter e-Lumax baru, tempat duduk dan tempat letak tangan kulit berwarna “Ivory”, antena berbentuk sirip yu, papan pemuka (dashboard) berwarna hitam, perapi pintu dan sirip penyaman udara, skirting depan dan belakang dalam tona yang sama dengan badan, bumper garnish di bahagian belakang dan lencana Type S. Bantuan Mendaki (HSA) turut disertakan dalam ciri-ciri keselamatan kenderaan.

Waranti bagi Isuzu D-Max yang diperbaharui ini juga telah dilanjutkan daripada 3 tahun atau 100,000km kepada 5 tahun atau 150,000km. Di samping itu, sebagai tanda penghargaan kepada pemilik mu-X sedia ada, barisan Isuzu mu-X, termasuklah edisi terhad terkini,  mu-X Type S, juga telah melanjutkan waranti kepada 5 tahun tanpa had kilometer.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.