Honda RS150R Kini Di Pasaran – RM8,213.94 sehingga RM8,374,94

Honda RS150R.2016.07

Boon Siew Honda melebarkan sayapnya apabila melancarkan RS150R yang merupakan entri pertama syarikat itu di dalam segmen urban muda. Malaysia merupakan negara ketiga di dalam ASEAN selepas dilancarkan di Indonesia dan Vietnam. Boon Siew Honda mensasarkan untuk menjual sebanyak 24,ooo unit RS150R untuk tempoh 12 bulan akan datang dan seterusnya meningkatkan pegangan pasaran yang juga merupakan langkah pertama bagi merebut kembali tempat pertama di dalam industri motosikal. Sasaran itu selari dengan matlamat global Honda untuk menjual sebanyak 20 juta unit berbanding 17 juta unit pada tahun 2015 iaitu 3 kali ganda berbanding pesaing Honda yang berada di kedudukan kedua dunia.

Pelancaran RS150R merupakan refleksi Boon Siew Honda bagi mencapai sasaran yang ditetapkan. RS150R melengkapi segmen pelbagai harga Honda seperti Wave Alpha yang mampu milik dan Wave Dash pada harga sederhana. Posisi pasaran itu merupakan langkah awal sebelum mencapai cita-cita besar di dalam mendapatkan tempat pertama industri.

Honda RS150R mempunyai tiga ciri utama iaitu rekabentuk yang agresif, lampu utama LED serta kerangka dalaman dan panel cowl. Model itu dikuasakan oleh enjin 150cc DOHC silinder tunggal dengan penyejuk cecair dan dipadankan kotak gear enam kelajuan. Output kuasa ialah 15.6hp pada 9,000 rpm dengan tork 13.5Nm pada 6,500 rpm. Berat RS150R ialah sebanyak 122kg. Tangki bahan api pula boleh memuatkan 4.5 liter petrol dan motosikal ini dilengkapi brek cakera depan dan belakang seperti pesaing terdekatnya. RS150R ditawarkan melalui dua varian dengan empat warna iaitu Metallic Red, Repsol dan matte blue atau matte black yang menyerlah untuk menarik pelanggan muda.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Khairul Idham Pawi, pelumba Moto3 tajaan Honda dan individu termuda dan warga Asia pertama yang berjaya menduduki podium beberapa bulan lepas.

RS150R dijual pada harga di antara RM8,213.94 sehingga RM8,374,94 termasuk CBP. Model itu akan berada di kesemua pengedar sah bermula Ogos 2016.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.