Honda Malaysia Mahu Tingkatkan Kepuasan Pelanggan, Sasar 109K Jualan 2018

Honda Malaysia telah mengumumkan hala tuju strategik perniagaannya untuk tahun 2018. Ia juga optimis untuk terus menerajui industri automotif di Malaysia dengan sasaran jualan sebanyak 109,000 unit. Sasaran tersebut mewakili perkongsian pasaran 18% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 600,000 unit yang dijangkakan pada tahun 2018.

Sasaran itu ditetapkan berdasarkan kepada momentum yang stabil sejak empat tahun lalu. Honda Malaysia juga menyatakan bahawa dua model baharu bakal dilancarkan pada tahun 2018 di mana satu daripadanya ialah Odyssey Baharu dengan Honda SENSING yang diperkenalkan sebelum ini.

Honda Malaysia turut mengenal pasti aspek selepas jualan akan menjadi fokusutama, demi meningkatkan Keseronokan Membeli (Joy of Buying) dalam kalangan pengguna, sekali gus membawa pengalaman pemilikan ke tahap yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Toichi Ishiyama berkata, “Berdasarkan kepada kaji selidik dalaman, Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) kami telah meningkat sebanyak 23 mata berbanding tahun sebelumnya. Untuk memberi lebih Kegembiraaan (Joy), kami akan meningkatkan aspek ini secara signifikan pada tahun 2018.

Memandangkan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan No.1 Honda, tahun ini kami akan fokus kepada tiga aspek penting iaitu pengembangan pengedar dan pengalaman pelanggan, menempatkan tenaga kerja terlatih di semua pengedar dan titik sentuhan maya pelanggan.

Kesimpulannya, aspek kepuasan pelanggan akan menjadi penekanan utama pada tahun 2018. Jumlah pelaburan untuk penambahbaikan dari segi selepas jualan dan operasi Honda Malaysia dianggarkan sebanyak RM31 juta.”

Tujuh lagi pengedar yang terdiri daripada Pusat 3S dan 2S, sehinggalah Pusat Badan dan Cat akan dibuka menjelang akhir tahun 2018 demi meningkatkan jangkauan Honda Malaysia, seterusnya memberi lebih kemudahan kepada para pelanggan.

Selain pengedar baharu, pengedar sedia ada juga akan dinaik taraf bagi menambah baik perkhidmatan dan
memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat.

Honda Malaysia juga meningkatkan sokongan selepas jualan dengan membuka Express Dealers, di mana pelanggan boleh menikmati servis pantas dalam tempoh satu jam tiga puluh minit berbanding dua jam yang diperlukan untuk servis biasa.

Express Dealer pertama ialah Pusat 2S HZN Express di Glenmarie, Shah Alam yang sudah sedia untuk  memberi perkhidmatan pantas kepada pelanggan.

Honda Malaysia juga sedang giat mengimplementasikan Identiti Korporat (C.I) terbaharunya ke atas para pengedar untuk memberikan pelanggan imej yang lebih segar, berdasarkan kepada konsep Inovatif dan elemen Berorientasikan kepada Manusia.

C.I. baharu ini bakal meningkatkan pengalaman pelanggan dengan pelbagai kemudahan terkini serta hospitaliti terbaik.

Pada tahun 2017, Honda Malaysia telah membuka dan menaik taraf enam pengedar dan jumlah keseluruhan pengambilan servis naik sebanyak 13% berbanding tahun 2016, sekali gus menjadi angka pengambilan servis paling tinggi pernah direkodkan oleh Honda Malaysia.

Dengan peningkatan yang memberangsangkan itu, adalah penting untuk syarikat mempunyai lebih ramai juruteknik terlatih di setiap pengedarnya. Bagi memenuhi keperluan ini, Honda Malaysia telah bekerjasama dengan sebuah kolej vokasional awam dan kolej automotif swasta tempatan.

Para pelajar terpilih dan graduan akan menerima latihan selama enam bulan sebelum menjadi juruteknik terlatih untuk Honda Malaysia.

Latihan tersebut akan membantu melengkapkan graduan dengan standard Fixed Right First Time (FRFT), yang merupakan salah satu satu komponen penting kepuasan pelanggan dalam industri automotif.

Untuk menawarkan akses lebih mudah kepada pelanggan, Honda Malaysia telah membangunkan Portal Selepas Jualan, satu titik sentuhan maya yang membolehkan pelanggan membuat temu janji servis, mengetahui status kenderaan, rekod servis dan maklumat produk yang terkini.

Portal khas ini akan dioptimumkan untuk penggunaan komputer dan peranti mudah alih dan ia akan  dilancarkan pada tahun ini.

Demi memberi akses lebih luas dan meningkatkan kemudahan pelanggan, pusat panggilan Tol Percuma Honda kini dibuka 365 hari, 13 jam sehari bermula dari 9:00 pagi hingga 10:00 malam termasuklah pada cuti umum.

Inisiatif yang berorientasikan kepada pelanggan dan selepas jualan ini dilaksanakan selepas Honda Malaysia mencatat jualan tahunan yang cukup memberangsangkan.

Baru-baru ini, syarikat mengumumkan rekod jualan sebanyak 109,511 unit, jumlah jualan keseluruhan
paling tinggi dalam sejarahnya.

Pencapaian tersebut yang juga menjadi jumlah jualan keseluruhan paling tinggi oleh jenama kereta Bukan Nasional di Malaysia membolehkan Honda mengekalkan posisi No.1 dalam segmen Bukan Nasional selama tiga tahun berturut-turut dan No.2 dalam TIV selama dua tahun berturut-turut.

Jika dinilai dari segi model, semua model CKD Honda menjadi peneraju dalam segmennya. Bagi keseluruhan operasi Honda Automobile di peringkat global, perkongsian pasaran sebanyak 19% ini telah meletakkan Honda Malaysia di posisi ke-2, hanya 0.1% di belakang Honda Atlas Cars (Pakistan) Ltd. Ia juga meletakkan Honda Malaysia ke dalam rangkaian pasaran penting buat Honda.

Dari segi pasaran tempatan, rantau tengah mencatatkan penerimaan paling tinggi ke atas kenderaan Honda dengan melibatkan jualan keseluruhan sebanyak 47.3% pada tahun 2017.

Honda Malaysia fokus dalam meneruskan pelan pengembangannya di Sabah dan Sarawak, syarikat telah mencatat pertumbuhan 0.8 mata dari segi sumbangan dari rantau ini kepada jualan keseluruhannya, iaitu daripada 6.1% pada tahun 2016 kepada 6.9% pada tahun 2017.

Honda Malaysia yakin bukan sahaja mampu untuk mencapai sasaran jualan dan jangkaan pasarannya pada tahun 2018, malah dapat meningkatkan aspek kepuasan pelanggan.

Honda Malaysia percaya dengan jenama Honda yang kukuh serta barisan produk menarik yang menawarkan teknologi termaju dan penekanan terhadap aspek selepas jualan, ia akan membantu dalam mencapai sasaran-sasaran tersebut.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.