Honda CR-V baharu dijual di Thailand – 7 tempat duduk, enjin 1.6 Turbo Diesel

Honda CR-V 2017

Honda Automobile (Thailand) Co., Ltd., telah melancarkan Honda CR-V baharu (generasi kelima) dengan gayaan yang lebih menarik, enjin baharu dan dalaman yang lebih luas melalui tujuh tempat duduk. Honda CR-V dibekalkan dengan enjin baharu 1.6L i-DTEC DIESEL Turbo buat pertama kalinya di pasaran Asean dan ia dipadankan transmisi Shift by Wire sembilan kelajuan automatik.

Turut dipasarkan ialah versi enjin 2.4L DOHC i-VTEC dengan transmisi CVT. Pertama kali juga untuk CR-V ialah bukaan but belakang bebas tangan serta pelbagai lagi peralatan canggih yang menaik taraf SUV itu ke pasaran premium.

Honda CR-V 2017

Ketua Pegawai Operasi, Operasi Serantau (Asia & Oceania) Honda Motor Co., Ltd. dan Presiden & CEO, Asian Honda Motor Co., Ltd., En. Noriaki Abe berkata, “Thailand adalah salah satu dari negara strategik Honda dan ia adalah pangkalan eksport kenderaan serta peralatan dan pasaran terbesar Honda di rantau Asia dan Oceania. Thailand adalah negara pertama di luar Amerika Utara selepas Amerika Syarikat (AS) dan Kanada serta yang pertama di rantau Asia & Oceania melancarkan CR-V baharu. Model ini merupakan salah satu produk penting Honda yang berjaya mengekalkan populariti besar di kalangan pelanggan global. Setakat ini sebanyak 8.7 juta unit CR-V telah terjual di seluruh dunia. CR-V baharu dipasang di kilang Ayutthaya dan kami merancang untuk mengeksport sebanyak 75,000 unit CBU dan CKD dalam masa setahun.”

Honda CR-V dilengkapi rekabentuk luaran yang tampil mewah dengan pelbagai kelengkapan terkini seperti lampu utama dan belakang LED, lampu DRL LED, gril dengan rupa lebih menonjol dan roda aluminium rekaan baharu.

Honda CR-V 2017

Bahagian dalaman juga lebih luas dan menariknya mempunyai tujuh tempat duduk dengan pelbagai konfigurasi dan tidak dilupakan corong penyaman udara untuk kerusi barisan kedua dan ketiga. Peralatan premium yang dilengkapkan ialah kerusi pemandu boleh laras lapan arah elektrik dan penyaman udara i-dual zone.

Turut dilengkapi ialah Advanced Touch Audio Display berukuran tujuh inci yang bersesuaian dengan Apple CarPlay dan meter TFT dengan pelbagai paparan dan informasi kenderaan.

Pembeli ditawarkan dua nadi kuasa yang dibina di bawah teknologi Earth Dream Honda iaitu 1.6L i-DTEC 4 silinder DIESEL TURBO yang mempunyai kuasa maksimum 160hp pada 4,000 rpm dan tork maksimum 350Nm pada 2,000 rpm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi Shift by Wire sembilan kelajuan automatik untuk menawarkan prestasi yang diperlukan selain penggunaan bahan api yang cekap iaitu 18.9 km/l* (varian DT E).

Satu lagi pilihan enjin ialah 2.4L DOHC i-VTEC 4 silinder berkuasa 173hp pada 6,200 rpm dengan tork 224 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT dan nadi kuasa itu bersesuaian dengan bahan api E85 khusus untuk pasaran Thailand.

Honda CR-V 2017

Honda CR-V baharu turut dibekalkan peralatan premium (bergantung kepada varian) seperti bukaan but belakang berkuasa bebas tangan (Hands-free Power Tailgate) dengan ketinggian boleh laras. Ia turut dilengkapi Driver Attention Monitor yang akan memberi amaran kepada pemandu pada meter TFT dan juga melalui gegaran pada stereng serta pelbagai lagi teknologi seperti Agile Handling Assist, Honda LaneWatch, Parkir Brek Elektrik, dan Hentian Brek Automatik (Automatic Brake Hold).

Untuk pasaran Thailand, Honda CR-V diposisikan sebagai SUV premium dan didatangkan dengan empat varian seperti berikut:

Enjin diesel:

  • DT EL 4WD 1,699,000 baht (RM217,510.49)
  • DT E 1,549,000 baht (RM198,307.09)

Enjin petrol:

  • 2.4 EL 4WD 1,549,000 baht (RM198,307.09)
  • 2.4 E 1,399,000 baht (RM179,103.69)

Honda CR-V baharu ditawarkan dalam lima varian iaitu White Orchid Pearl, Crystal Black Pearl, Modern Steel Metallic, Lunar Silver Metallic, dan satu warna baharu untuk varian DT EL 4WD dan 2.4 EL 4WD iaitu Dark Olive Metallic.

Galeri gambar Honda CR-V baharu:

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.